AHLUL KITAB

AHLUL KITAB : Menurut pendapat Imam Syafi’e rahimahullah istilah Ahlul Kitab berasal dari dua kata Bahasa Arab yang tersusun dalam bentuk 'Idhafah' iaitu Ahlu dan al-Kitab. Ahlu bererti pemilik, sedangkan al-Kitab bererti Kitab Suci yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa dan Isa alihimassalam. Jadi, Ahlul Kitab bererti, “Pemilik Kitab Suci”, yakni para umat nabi yang diturunkan kepada mereka kitab suci (wahyu Allah).

Golongan Ahlul Kitab adalah mereka yang mengetahui kebenaran kitab yang mereka telaah dan hafal tetapi tidak beramal sebagaimana yang mereka tahu dari Al-Kitab. Sembelihan mereka juga halal dimakan manakala perempuan-perempuan mereka halal dinikahi.

Dalam hal ini Imam Syafi’i (w. 204 H) menegaskan bahawa yang dimaksud Ahlul Kitab hanya terbatas pada dua golongan saja, iaitu golongan Yahudi dan Nasrani dari Bani Israel. Sedangkan diluar Bani Israel, sekalipun beragama Yahudi atau Nasrani, menurut Imam Syafi’i, tidak termasuk Ahlul Kitab.

Imam Syafi’i berargumen bahawa Nabi Musa a.s dan Isa a.s hanya diutus untuk kaumnya, iaitu Bani Israel (hal ini menunjukkan bahawa objek seruan Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s yang diutus hanya Bani Israel). (Tafsir Imam Syafi’i , vol. II,hlm. 56 )

Adapun agama Majusi (Zoroaster) , menurut Imam Syafi’i tidak termasuk dalam kategori Ahlul Kitab (Al-Umm : Vol.V, hlm. 405 ). Hal itu kerana Majusi tidak diturunkan kepadanya Kitab, dan juga tidak mengikuti salah satu dari agama Yahudi maupun Nasrani. Dengan demikian, kaum Muslim tidak dihalalkan menikmati makanan sembelihan orang-orang Majusi, dan tidak dapat pula mengawini wanita-wanita mereka, walaupun dalam masalah membayar jizyah ( pajak ), kedudukan Majusi dan Ahlul Kitab dianggap sama.

Ini disebabkan adanya pengecualian secara khusus, sebagaimana terdapat dalam hadist Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh imam Syafi’e, bahawa suatu ketika ditanyakan kepada Umar r.a. tentang perlakuan terhadap Majusi dalam masalah jizyah, Umar pun terdiam ( tawaquf ), kemudian datang kepadanya Abdurrahman bin Auf, seraya bersaksi, bahawa ia pernah mendengar Rasulullah saw bersabda : “Perlakukanlah mereka ( kaum Majusi ) sama dengan perlakuan terhadap Ahl Al-Kitab.” Sementara ulama menyisipkan tambahan redaksi: “tanpa memakan sembelihan mereka, dan tidak juga mengahwini wanita mereka.” Hal ini juga dikuatkan oleh guru Imam Syafi’i iaitu Imam Malik dalam kitabnya Al-Muwatththa, Bab Zakat, hadis ke-42.

Jadi, ungkapan Imam Syafi’e, dapat disimpulkan bahawa Ahlul Kitab hanya terbatas pada kedua golongan saja iaitu Yahudi dan Nasrani, sementara Majusi (Zoroaster) tidak termasuk di dalamnya. Hal itu sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah: “(Kami turunkan Al-Qur’an ini) agar kamu (tidak) mengatakan bahawa, ‘Kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan saja sebelum kami. dan sesungguhnya kami tidak memperhatikan apa yang mereka baca.” (QS Al-An’am [6]: 156).

Pada masa awal perkembangan Islam, khususnya pada masa Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya, istilah Ahlul Kitab selalu digunakan untuk menunjuk kepada komunitas agama Yahudi dan Nasrani. Selain kedua komunitas tersebut, mereka tidak menyebutnya sebagai Ahlil Kitab. Kaum Majusi, misalnya, meskipun mereka sudah dikenali pada masa Nabi s.a.w, tetapi mereka tidak disebut sebagai Ahlul Kitab. Walaubagaimanapun, Rasulullah s.a.w pernah memperlakukan mereka seperti halnya Ahlil Kitab.

Pendapat Imam Syafi’i senada dengan para ulama besar lainnya, seperti Thabary, al-Qurthuby (w. 671 H) yang mengatakan tidak ada perbezaan bahawasannya Yahudi dan Nasrani adalah Ahlil Kitab. Pernyataan ini dipertegas juga oleh al-Baghawy (w. 516 H), Ibn Katsir (w. 774 H), dan al-Biqa’iy (w. 885 H) ketika menafsirkan QS al-Bayyinah:1, bahawa yang dimaksud Ahlul Kitab adalah Yahudi dan Nasrani.

Kajian tentang Ahlul Kitab telah menarik perhatian ramai ilmuwan Muslim, baik yang klasik maupun kontemporari. Salah satu kajian serius dilakukan oleh Dr. Muhammad Azizan Sabjan, dalam disertasinya di International Institute of Islamic Thought and Civilization—Universiti Islam Antarabangsa yang berjudul ‘The People of the Book and the People of a Dubious Bookin Islamic Religious Tradition’.

Disertasi ini juga menyimpulkan, bahawa istilah Ahlul Kitab (the people of the book) pada komunitas pengikut agama Yahudi dan Nasrani. Golongan ini ada dua jenis, yakni ‘true believers’ yang sejatinya adalah Muslim, kerana mereka mengimani kenabian Muhammad saw saat dakwah Nabi saw sampai pada mereka. Golongan lain adalah ‘misbelievers’. Inilah yang masuk kategori Ahlul Kitab.

“As stressed by al-Ghazali, they are those of the Jews and Christians who are exercising corrupted form of religions.” (***)

No comments:

Post a Comment