BARAKAH

BARAKAH: Perkataan ``berkat'' atau ‘barakah’ berasal daripada bahasa Arab ``بركة'' yang bermaksud tumbuh dan bertambah. Umumnya ``berkat'' menurut pemahaman orang Melayu ada kaitan dengan anugerah Allah, yang mendatangkan kebaikan bagi diri seseorang. Ia juga sering dikaitkan dengan perantaraan ``wasitah'' orang-orang tertentu, yang merupakan pengaruh baik seperti berkat doa orang tua-tua, berkat usaha gigih dan sebagainya.

Sekiranya ia dikaitkan dengan makanan, makanan yang dimakan itu mencukupi bagi mereka yang memakannya, berasa puas dan kenyang. Harta yang mempunyai keberkatan memberi manfaat, bertambah dan memberi kebahagiaan kepada si empunya diri dan orang lain. Kalau harta yang dimiliki itu dibelanjakan untuk menyekolahkan anak-anak, maka anak-anak itu menjadi manusia yang berakhlak.
Dalam istilah syarak, berkat bererti adanya sesuatu kebajikan Allah yang diletakkan pada suatu, yang melibatkan nabi-nabi, wali-wali, orang soleh, orang yang mati syahid dan sebagainya. Ada juga keberkatan itu diletakkan ayat-ayat suci al-Quran, pada surah Kahfi misalnya, pada surah Yasin, pada surah al-Ikhlas dan sebagainya. Pada amnya, keberkatan itu bermaksud atau merujuk kepada kebajikan Allah, rahmat Allah yang diletakkan pada sesuatu yang dikasihi oleh-Nya.

Bukti dari Keberkatan
Keberkatan pada harta ialah, mereka yang mempunyai harta itu berasa senang dan bahagia dengan hartanya, hidup harmoni dengan keluarga rukun damai, baik dengan jiran tetangga dan sebagainya. Harta yang tidak mempunyai keberkatan memberi implikasi buruk kepada si empunya. Hati berasa susah dan runsing biarpun mempunyai harta yang banyak. Masalah yang datang tidak henti-henti ataupun mempunyai harta tetapi tidak dapat dinikmatinya dengan cara yang baik. Makanan yang mempunyai berkat ialah makanan yang menyebabkan orang yang memakan sihat dan tidak menimbulkan masalah. Makanan yang disediakan untuk dua orang boleh dimakan oleh tiga orang tanpa mengurangi kepuasan makan.

Mengenai keberkatan ini Allah berfirman (QS al-Raf: 96) yang bermaksud: "Dan kalau penduduk negeri beriman dan bertakwa kepada Tuhan, nescaya akan Kami bukakan untuk mereka keberkatan dari langit dan bumi".
Keberkatan dari langit diturunkan ke bumi melalui hujan dan keberkatan dari bumi dianugerahkan melalui tumbuh-tumbuhan dan hasil yang keluar daripadanya.

Dalil dari Hadits Rasulullah s.a.w.
Sebuah hadis daripada Salim bin Abi Ja'd, daripada Jabir r.a. beliau berkata: "Kalaulah engkau melihat bagaimana saya bersama-sama dengan nabi, ketika itu waktu asar sudah tiba sedangkan air tidak ada untuk berwuduk, kecuali lebihan air sedikit. Maka air yang sedikit itu dimasukkan dalam satu bekas lalu dibawa kepada Nabi Muhammad. Baginda telah masukkan tangan ke dalam bekas itu lalu merenggangkan anak jarinya, kemudian baginda berkata: Hai orang yang akan berwuduk, ke marilah, barakah daripada Allah. Saya lihat, kata Jabir, air mencucur keluar dari anak jari baginda, maka berwuduklah semua orang dan minumlah.

Saya tidak peduli lalu memenuhkan perut saya dengan air itu. Saya tahu betul bahawa air itu memberi barakah. Saya bertanya Jabir, kata Salim bin Abi Ja'd: Berapa orang kamu semua ketika itu? Jawabnya seribu empat ratus orang.
Daril dari al-Qur'an

Dalam surah al-Qasas: 30 Allah berfirman yang bermaksud: Maka setelah Musa datang ke sana, terdengar ia dipanggil dari sebelah kanan lembah tempat yang sudah diberi berkat dari pohon kayu: Hai Musa, sesungguhnya Aku ini Allah, Tuhan semesta alam.

Dalam surah Ali-Imran: 96, Allah berfirman yang bermaksud: Bahawasanya rumah pertama yang didirikan untuk beribadah bagi manusia ialah yang berada di Mekah, yang diberi barakah dan menjadi petunjuk bagi alam semesta.

Keterangan di atas, yang dipetik daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis menunjukkan bahawa keberkatan itu adalah kebajikan daripada Allah yang dianugerahkan oleh-Nya pada sesuatu yang dikasihi oleh-Nya termasuk rezeki yang halal. Jelas membuktikan bahawa barakah itu adalah sesuatu yang wujud dan perlu diyakini yang datangnya hanya daripada Allah. Persoalan timbul adakah harus seseorang itu pergi ke satu tempat, membaca sesuatu, memakai sesuatu dengan mengharapkan limpahan berkat. Adakah perbuatan ini boleh merosakkan tauhid atau mengurangkan iman seseorang kepada Allah?

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar menyatakan bahawa Nabi datang ke Masjid Quba setiap hari Sabtu menaiki kenderaan atau berjalan kaki. Begitulah juga yang dilakukan oleh Ibnu Umar yang melakukan hal yang sama. Hadis ini menyatakan bahawa Nabi datang ke Masjid Quba untuk mengambil keberkatan daripada masjid itu kerana Masjid Quba adalah sebuah masjid yang diberkati Allah.

Mengenai Masjid Quba Allah berfirman (at-Taubah: 10 yang bermaksud: Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa dari hari pertama didirikan adalah lebih patut engkau sembahyang di dalamnya.

Masjid Quba terletak lebih kurang enam kilometer dari Kota Madinah. Setiap hari Sabtu baginda datang ke situ dan sembahyang sunat dua rakaat di masjid berkenaan. Rasulullah datang ke Masjid Quba bukan mencari keberkatan daripada masjid berkenaan, tetapi hakikatnya beliau meminta kepada Allah agar berkat yang telah diberikan kepada masjid berkenaan dilimpahkan kepadanya.
Dalam sebuah hadis lain, hadis daripada Siti Aisyah menyatakan bahawa Nabi apabila sakit, baginda membaca untuk dirinya surah-surah al-Muawwidhat dan meniupkan ludah beliau. Tetapi apabila sakitnya bersangatan, maka sayalah yang membacakan untuknya dan saya usapkan pada tangan beliau dengan mengharapkan berkatnya muawwidhat itu.
Hadis daripada Abdullah bin Maghfal pula, menyatakan yang dia telah melihat Rasulullah pada hari peperangan menakluki Mekah membaca surah al-Fath. Surah ini dibaca dengan mengharapkan kelimpahan berkat yang ada pada surah berkenaan.

Mengenai keberkatan pada makanan pula dinyatakan dalam beberapa buah hadis, di antaranya hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi apabila diberi orang tamar buah sulung baginda membaca doa yang bermaksud: Ya Allah berkatilah kami dalam kota kami, berilah keberkatan buah-buahan kami, gantang kami, sukatan kami, berkat di atas berkat. Kemudian baginda memanggil anak-anak dan memberi tamar itu kepada mereka. Dalam sebuah hadis lain pula, iaitu daripada Aun bin Juhaifah, daripada bapanya beliau berkata, yang dia telah datang menemui Rasulullah yang sedang berdoa dalam khemah kulit berwarna merah. Beliau melihat bilal juga beberapa orang lain berebut-rebut mengambil air bekas wuduk Nabi.

Ada di antara mereka menggosokkan air itu ke badan dan mereka yang tidak mendapatnya mengambil air tersebut daripada bekas-bekas basuh tangan temannya. Dalam keterangan hadis ini kita diperlihat betapa sahabat-sahabat yang terlibat berebut mengambil bekas air wuduk Nabi dan mengusapkan air itu ke badannya untuk mengambil berkat daripada air yang telah menyentuh kulit Nabi yang mulia. Kelakuan ini tidak dilarang oleh Rasulullah. Ia tidak merosakkan tauhid mereka yang terlibat. Kalau merosakkan tentu baginda melarang sahabat daripada berbuat demikian.

Maksud mengambil berkat
Mengambil berkat di sini bermaksud agar berkat yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada nabi melimpah kepada umatnya, iaitu mereka yang berbuat demikian. Berdasarkan keterangan di atas ternyata bahawa keberkatan itu wujud pada diri mereka, yang juga merujuk kepada hasil perlakuan, wujud pada objek-objek tertentu, seperti Kaabah, masjid dan air.
Dalam keadaan tertentu barakah dirujuk kepada rezeki, anugerah Allah. Dalam masyarakat Melayu kita juga sering mempelajari dari contoh-contoh perilaku manusia, di mana hasil haram yang diperoleh oleh seseorang itu dikatakan tidak adanya keberkatan. Orang yang memakan rasuah, menyalah guna kuasa biarpun memperoleh jumlah kekayaan atau harta yang banyak, hasil daripada perilaku tersebut, sifat tamaknya semakin menjadi-jadi, harta yang dimiliki digunakan untuk merosakkan orang lain.

Dari sikap seperti inilah lahirnya rasa tidak tenang kerana dalam dirinya terus timbul rasa tamak, dengki kepada orang lain yang memperoleh nikmat. Tidak mustahil seseorang itu memperoleh harta yang banyak, tetapi ketenangan tidak wujud dalam keluarga, timbul pergaduhan di antara suami, isteri, kaum keluarga dan sebagainya. Di antara tanda-tanda kebahagiaan di dunia dan akhirat ialah mereka yang berupaya mengingati Allah ketika dalam keadaan kaya-raya dan senang-lenang, reda dengan qadak dan qadar Allah, juga sabar terhadap musibah yang menimpa.

No comments:

Post a Comment