GADAI

Ar-Rahnu ( اَلرَّهْن )(gadaian) : Ar-Rahn bermaksud, menahan, mantap, berkekalan, tetap dan lestari, iaitu merujuk kepada sesuatu barangan (harta) berharga sebagai cagaran kepada hutang oleh pencagar (penggadai).


Al-Rahn adalah istilah yang diambil daripada kata terbitan bahasa Arab. Al-rahn adalah berasal daripada kata perbuatan rahana yang bermakna menggadaikan. Perkataan ini membawa maksud kena gadai (atau digadaikan), sebagaimana kata terbitan al-khalq membawa makna kena jadi atau dijadikan (al-Faruz, Abadi 1997, 2: 1570).

Definisi al-Rahn menurut istilah undang-undang Islam ialah sebagaimana yang diperkatakan oleh para ulama Maliki iaitu:

Pemberian seseorang yang diizinkan berkontrak, sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit) sebagai sandaran (jaminan) ke atas sesuatu hak (Muhammad cUlaisy t.th.,5: 56-57; al-Dasuqi, t.th., 3: 231).

Definisi ini adalah meliputi definisi yang digunapakai oleh empat mazhab utama ahli sunnah iaitu mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafie dan mazhab Hanbali. Penggunaan perkataan “pemberian” meliputi semua urusniaga sama ada gadaian atau jual beli atau selainnya. Ungkapan “seseorang yang diizinkan berkontrak” meliputi mukallaf yang dizinkan bertransaksi mengikut perundangan Islam iaitu berakal, baligh dan tidak boros.

Manakala ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” membawa makna sesuatu perkara yang boleh digunakan dalam berkontrak contohnya berjual beli. Gharar dalam bahasa Arab adalah berasal daripada kata perbuatan gharra bermakna memperdaya.

Dari segi istilah, gharar ialah sesuatu yang tidak diketahui kewujudannya atau ketiadaannya; atau tidak diketahui jumlahnya sama ada sedikit atau banyak; atau sesuatu yang tidak mampu diserahkan ketika berkontrak. Gharar yang sedikit pada pandangan mazhab Maliki ialah sesuatu ketidakpastian yang masyarakat memaafkannya (Sa’di Abu Jaib t.th.: 171).

Ungkapan “sesuatu yang boleh dijual atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” adalah merangkumi perkara yang boleh digadaikan. Terdapat perkara yang tidak boleh digadaikan iaitu sesuatu yang tidak boleh dijualbeli seperti babi, arak, bangkai dan sebagainya. Ungkapan ini memberi pengertian umum terhadap sesuatu itu sama ada ia benda atau manfacah (manfaat daripada benda) berdasarkan pandangan sesetengah mazhab yang membenarkan “bukan benda” atau manfacah sebagai perkara yang digadaikan.

Contohnya ‘sesuatu hutang’ sebagai perkara yang digadaikan. Ungkapan “atau sesuatu yang mempunyai gharar (yang sedikit)” membawa pengertian berdasarkan mazhab Maliki, kepada pembenaran penggadaian sesuatu yang mempunyai unsur gharar yang sedikit. Manakala ungkapan “jaminan” memberi erti bahawa kontrak ini khusus kepada kontrak gadaian dan bukan terhadap kontrak selainnya, iaitu sesuatu perkara itu menjadi jaminan ke atas hutang yang diberikan oleh pemiutang. Ungkapan “kepada sesuatu hak” pula meliputi gadaian kerana berhutang atau benda yang dipinjam. Ia bersesuaian kerana ungkapan “hak” ini lebih umum. Istilah hak adalah meliputi hutang atau barang yang dipinjam kerana sesetengah mazhab mengkhususkan gadaian terhadap hutang sahaja dan tidak terhadap benda yang dipinjam (lihat al-Kawakibi 1324H.: 107; al-Qadiri t.th., 8: 232; Muhammad ‘Ulaisy t.th., 5: 56-57; al-Dasuqi t.th., 3: 231; al-Syarbini t.th., 2: 121. al-Qalyubi; Ahmad Ahmad al-Salamah t.th., 2: 261; Ibn Qudamah t.th., 4: 366).

Konsep Gadai pada asalnya adalah salah satu cara berhutang. Perkataan gadaian dalam bahasa Arab dinamakan Ar-Rahnu. Maksudnya ialah meletakkan sesuatu barang yang berharga sebagai jaminan kepada sesuatu hutang yang diperolehi seorang pemberi hutang dengan perkiraan bahawa sekiranya orang yang berhutang tidak dapat melunaskan hutangnya, maka si pemberi hutang boleh mendapatkan kembali barang atau wangnya daripada barang gadaian itu. Ringkasnya, gadaian merujuk kepada harta yang di jadikan cagaran kerana sesuatu hutang untuk melunaskan hutangnya apabila tidak berkemampuan untuk melakukan pembayaran oleh pihak yang berhutang mengikut ketentuan syarak. Kata Gadaian dalam bahasa Inggeris dinamakan sebagai Mortage dan Pawn. Ia secara umum membawa maksud cagaran yang diserahkan oleh pemimjam kepada yang memberi pinjam untuk jangka masa yang tertentu.

HUKUM GADAIAN

Hukum Gadaian adalah harus. Ini adalah berdasarkan firman Allah dalam kitab suci Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 283 yang bermaksud:

“Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedangkan kamu tidak mendapati juru tulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).”

Islam memang memberi jalan keluar kepada mereka yang benar-benar terdesak dan tidak berkeupayaan dengan memajak atau menggadaikan harta benda berharga dimiliki kepada yang berkuasa menanganinya.

Tetapi jalan yang diberi Islam itu adalah untuk mewujudkan amalan saling membantu dan meringankan bebanan bagi kesejahteraan hidup semasa insan dan mensyukuri nikmat
Allah, sebagaimana firman Allah SWT di atas.

Amalan gadaian berlaku sejak zaman Rasulullah SAW dan diteruskan oleh para sahabat
sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah r.a. yang berkata: Rasulullah SAW pernah membeli makanan daripada orang Yahudi dan beliau menggadaikan kepadanya baju besi beliau. (riwayat Bukhari).

Di sini jelas menunjukkan bahawa institusi kewangan Islam tidak memisahkan antara faktor ibadah khusus iaitu fardhu ain dan faktor ibadah umum iaitu fardhu kifayah. Malah Islam menyepadukan kedua-duanya dalam satu ikatan yang erat dan padu. Institusi Kewangan Islam berfungsi membangunkan aspek kerohanian manusia dengan serentak dengan aspek kebendaan.

Gadaian dalam konteks negara kita Malaysia telah diamalkan sejak abad ke-15 lagi iaitu sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ia diperkenalkan oleh pedagang-pedagang China yang melakukunnya secara rahsia di kalangan jiran, sahabat dan keluarga. Pada zaman penjajahan Inggeris, pajak gadai berlesen telah diperkenalkan dan undang-undang pajak gadai baru telah dikuatkuasakan pada bulan Jun 1973.

RUKUN GADAIAN

Terdapat dua pandangan utama dalam memperkatakan mengenai rukun gadaian iaitu pandangan jumhur ulama yang terdiri daripada mazhab Maliki, Shafie dan Hanbali, serta pandangan mazhab Hanafi. Dalam hal ini, jumhur ulama (mazhab Maliki, Shafie dan Hanbali) menyatakan bahawa secara amnya terdapat empat rukun dalam sesuatu kontrak gadaian. Empat rukun dalam kontrak gadaian tersebut ialah
1) dua orang yang berkontrak (al-caqidan iaitu penggadai atau al-rahin; dan penerima gadaian atau al-murtahin),
2) lafaz kontrak (sighah) iaitu ijab (lafaz memberi gadaian) dan qabul (lafaz menerima gadaian),
3) perkara yang digadaikan (al-marhun), dan
4) hak yang menjadi sebab sesuatu itu digadai (al-marhun bihi).

Sesetengah ulama menyatakan bahawa terdapat enam rukun gadaian kerana mereka menjadikan dua orang yang berkontrak sebagai dua rukun; dan ijab dan qabul juga sebagai dua rukun yang berbeza (al-Qarafi 1994, 8: 78; al-Syarbani t.th., 2: 121). Mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa terdapat dua rukun dalam sesuatu kontrak gadaian iaitu ijab dan qabul. Individu atau pihak yang berkontrak dan perkara yang digadaikan terhadap sesuatu hak merupakan perkara yang mendatang dan mesti zahir apabila adanya ijab dan qabul.

Terdapat juga sebahagian besar daripada mereka yang menyatakan bahawa hanya ada satu rukun sahaja pada kontrak gadaian (al-rahn) iaitu ijab (lafaz menggadaikan). Ini adalah kerana kontrak gadaian adalah kontrak tabarru’ (iaitu kontrak sukarela dan kebajikan yang berbentuk umum meliputi sedekah, memberi pinjam dan sebagainya). Pandangan ini ditolak oleh sebahagian kecil ulama mazhab Hanafi. Mereka menetapkan dua rukun tersebut (ijab dan qabul) pada gadaian. Ini adalah kerana walaupun kontrak gadaian merupakan kontrak tabarruc, namun ia bukan kontrak tabarruc dari semua segi.

Pada mereka, terdapat juga pada kontrak gadaian ini makna mucawadah atau “pertukaran barang dengan sesuatu yang lain” (al-Kawakibi 1324H: 109; al-Qadiri t.th., 8: 231). Walaupun begitu para ulama tidak menafikan al-rahn ini merupakan kontrak tabarruc. Kontrak tabarruc ialah kontrak kebajikan berupa menyedekahkan penggunaan wang tanpa mengambil keuntungan dengan menyandarkan sesuatu barang sebagai jaminan. Tidak timbul dalam kontrak ini, mereka mendapatkan untung daripada penyimpanan barang sebagaimana dalam skim al-rahn yang dilaksanakan dewasa ini, kerana perbelanjaan menjaga barang gadaian mengikut kadarnya yang sebenar tanpa mengambil untung, tidak terpisah daripada kontrak gadaian itu sendiri. Memberi pinjaman atau hutang dari pihak pemiutang adalah sedekah. Memberi sesuatu barang daripada pihak penghutang kepada pemiutang sebagai jaminan kepada hutangnya juga adalah sedekah.

Oleh itu, pertikaian terhadap transaksi ar-rahn ialah apabila diubah kontrak al-rahn daripada hakikat kontrak untuk bersedekah (tabarruc) kepada kontrak mencari keuntungan. Ia berlaku melalui tambahan “kontrak upah simpan” antara penghutang dan pemiutang. Ini menyebabkan unsur-unsur yang dipertikaikan dimasukkan lebih-lebih lagi al-rahn berbeza dengan gadaian konvensional yang menjadikan barang sebagai sandaran dan pinjaman dikenakan kadar faedah tertentu.

Antara masalah gadaian mengikut perundangan Islam ialah segala kos menjaga barang milik penghutang akan ditanggung oleh penghutang kerana barang itu adalah miliknya. Menurut ulama fekah, penghutang hanya membayar kos yang sebenar untuk menjaga barang gadaian. Sebarang pengambilan untung daripada kos tersebut oleh pemiutang adalah riba kepada pinjaman wang, kerana pemiutang menyimpan barang gadaian daripada penghutang berasaskan akad (kontrak) gadaian dan bukan kontrak upah yang berasingan. Transaksi kontrak gadaian sudah meliputi peminjaman wang atau barang dan penyerahan barang gadaian. Sekaligus meliputi juga tanggungjawab penghutang untuk membayar kos sebenar menjaga barang gadaian miliknya tanpa perlu kepada kontrak upah yang baru.

Jikalau ada keuntungan daripada kontrak al-rahn yang merupakan kontrak tabarruc, maka ia adalah keuntungan maknawi, iaitu keuntungan yang dating secara tidak langsung seperti orang miskin merasa terbela yang membawa kepada keselamatan harta orang-orang kaya. Pemberi hutang pula mendapat pahala dan ganjaran di sisi Allah (s.w.t.).


HUKUM BERKAITAN BARANG GADAIAN

Dari perspektif perundangan Islam, terdapat beberapa hukum berkaitan barang gadaian. Hukum berkaitan barang gadaian mengikut perundangan Islam tersebut ialah:

1. Nafkah terhadap barang gadaian
Para ulama muktabar membezakan dua bentuk nafkah, iaitu nafkah untuk meneruskan kewujudan dan nafkah penjagaannya. Mereka bersepakat bahawa penggadai (al-rahin) yang juga penghutang, wajib menanggung perbelanjaan memastikan penerusan kewujudan sesuatu yang digadaikannya. Contohnya perbelanjaan memastikan kereta yang digadaikan dalam keadaan sempurna melalui servis yang berterusan merupakan tanggungjawab penghutang/penggadai (pemilik kereta). Namun, mereka berbeza pandangan dalam menentukan sama ada perbelanjaan selainnya (seperti menyediakan tempat letak kereta) merupakan sebahagian kos yang perlu ditanggung oleh penggadai (iaitu penghutang tersebut) atau sebaliknya?

Terdapat dua pandangan utama dalam permasalahan ini iaitu:

a. Kebanyakan ulama (jumhur ulama) berpandangan bahawa perbelanjaan menjaga barang gadaian adalah tertanggung di bahu penggadai. Ia meliputi perbelanjaan berupa sesuatu yang “meneruskan kewujudannya” atau sesuatu perkara lain untuk menjaganya. Ia berasaskan bahawa segala perbelanjaan tersebut adalah untuk faedah penggadai itu sendiri iaitu menjaga kesempurnaan barang penggadai (Qadi Zadah Afandi t.th., 1: 101; al-Sharbani t.th., 2: 136; Ibn Qudamah t.th., 4: 436; al-San’ani t.th., 3: 236).

b. Mazhab Hanafi berpandangan bahawa perbelanjaan untuk “meneruskan kewujudan” barang gadaian adalah tanggungan penggadai. Manakala perbelanjaan untuk menjaganya seperti tempat letak kereta yang khusus adalah tertanggung di atas tanggungjawab penerima gadaian (pemiutang). Ia berdasarkan kepada pandangan bahawa penerima gadaian memegang barang tersebut untuk faedah dirinya iaitu sandaran ke atas pinjaman atau hutang yang diberikan. Oleh itu, penerima gadaian tidak berhak untuk meminta perbelanjaan tersebut dari penggadai (Qadi Zadah Afandi t.th., 1: 101).

Dalam permasalahan ini, transaksi gadaian di pusat-pusat al-rahn mengambil pandangan kebanyakan ulama yang menyatakan bahawa tanggungjawab kos penjagaan terletak di bahu penggadai (pemilik barang). Namun, ia tidak bermakna penerima gadaian (pemiutang) boleh mengambil lebih daripada kos sebenar atas nama upah berdasarkan kaedah “kull qard jarra nafcan fahuwa riba” iaitu setiap pinjaman yang mengambil atau mendapat faedah maka ia adalah riba (al-Shirazi 1995, 2: 83-84).

2. Penggunaan atau mengambil manfaat daripada barang gadaian (al-intifac bi al-marhun). Perbincangan mengenai permasalahan mengambil manfaat daripada barang gadaian merangkumi dua topik utama iaitu:
a. Permasalahan pemiutang (yang juga penerima gadaian atau al-murtahin) mengambil manfaat atau menggunakan barang gadaian.

b. Permasalahan penggadai (al-rahin) mengambil manfaat daripada barang miliknya yang berada di tangan penerima gadaian (pemiutang tersebut). Perbincangan hanya menumpu kepada pemasalahan pertama sahaja iaitu pemasalahan penerima gadaian (al-murtahin) iaitu pemiutang mendapat faedah daripada barang yang diserahkan kepadanya untuk gadaian dengan izin penggadai. Muhammad Uthman Shubayr (1996: 236) menukilkan dalam bukunya bahawa keseluruhan faedah atau manfaat yang didapati daripada barang gadaian adalah hak tuan punya barang tersebut iaitu penghutang yang menggadaikannya.

Pandangan ini merupakan kata sepakat para fuqaha’. Penerima gadaian tidak berhak menggunakannya tanpa izin dari pemiliknya sekiranya barang gadaian tersebut bukan daripada jenis yang boleh diperah susunya atau boleh ditunggangi (Muhammad Uthman Shubayr 1996: 236). Hukum yang berbeza sedikit bagi barang gadaian yang boleh menghasilkan sesuatu (contohnya haiwan yang mengeluarkan susu) dan boleh ditunggang (contohnya kuda, kereta dan sebagainya).

Para ulama berselisih pandangan kepada tiga pandangan berbeza mengenai masalah sekiranya penggadai membenarkan penerima gadaian menggunakan barang gadaian tersebut (mengambil faedah daripadanya) iaitu: 1. Pandangan yang melarang pemiutang atau penerima gadaian tersebut menggunakannya secara mutlak. Pandangan ini dipelopori oleh sebahagian ulama mazhab Hanafi, satu pandangan yang lebih terkenal dalam mazhab Shafie dan Imam Ahmad bin Hanbal (al-Mawardi t.th., 6: 245; al-Sharbini t.th.: 121; wahbah al-Zuhayly 1987, 5:257; al-Shafie Abd al-Rahman 1978: 129).

Maksud menggunakan barang gadaian adalah seumpama sewa secara percuma. Penggunaan adalah sesuatu yang mempunyai nilai wang. Oleh itu, meletakkan syarat pemberian manfacah adalah riba kerana penghutang terpaksa membayar hutang secara penuh dan menyerahkan barang gadaian untuk digunakan pada masa yang sama, iaitu penghutang membayar hutangnya dengan cara bayaran pinjaman dan penggunaan barang secara percuma.

Dalam hal ini, berlaku padanya kaedah kull qard jarra naf’an fahuwa riba iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah atau manfaat daripada pinjaman tersebut maka ia adalah riba. Pemiutang mengambil faedah menggunakan barang hasil daripada pemberian hutang kepada pemilik barang gadaian.

2. Pandangan yang membenarkan pemiutang atau penerima gadaian menggunakannya secara mutlak. Pandangan ini dipelopori sebahagian kecil ulama mazhab Hanafi dan mazhab syiah Jacfariyyah. Mereka berhujah bahawa seseorang itu bebas menyedekahkan penggunaan barangnya kepada sesiapa yang disukai berdasarkan kepada Hadith: “Tidak halal (menggunakan atau mengambil) harta seseorang Muslim kecuali dia mengizinkan” (Ibn Hibban t.th.,13: 316-317).

Menurut mereka, seseorang itu bebas dan berhak meminjamkan barang gadaiannya sama ada kepada penerima gadaian atau bukan penerima gadaian. Namun pentafsiran tersebut ditolak oleh para ulama kerana Hadith tersebut bukanlah umum sebegitu. Sebaliknya ia terikat kepada perkara yang tidak membawa kepada perkara haram umpamanya mewujudkan riba.

Manakala penggunaan kaedah qiyas iaitu mengiaskan (qiyas usuli) seseorang itu bebas menyedekahkan penggunaan sesuatu barang pada sesiapapun sebagaimana dalam al-rahn, dengan kebebasan yang dinyatakan dalam hadith, merupakan qiyas yang batil. Qiyas ini menurut istilah ulama usul fekah ialah qiyas maca alfariq iaitu mengiaskan sesuatu perkara kepada sesuatu yang berbeza, kerana kalau tidak kerana pinjaman nescaya pemilik barang tersebut akan melarikan barangnya dan tidak meminjamkan kepada penerima gadaian (Itfish t.th., 11: 220; al-Tusi t.th., 2: 100; Wahbah al-Zuhayly t.th., 5: 257).

3. Pandangan yang membenarkan penerima gadaian menggunakan barang gadaian sekiranya penggadai mengizinkannya dengan syarat hak yang dituntut bukannya hak yang terhasil daripada pinjaman wang tunai (termasuk emas dan perak). Sebaliknya ia adalah hak ke atas hutang daripada pertukaran barang seperti jual beli. Dalam keadaan tersebut, ia dibenarkan sekiranya ditentukan tempoh penggunaan barang gadaian tersebut.

Syariat Islam membezakan berhutang melalui urusan jual beli dan meminjam wang tunai. Contohnya, seseorang membeli rumah dengan cara berhutang. Ia menggadaikan tanahnya untuk berhutang. Dalam kontrak tersebut, ia membenarkan penerima gadaian menggunakan tanahnya tersebut untuk sesuatu tempoh tertentu. Kontrak ini dibenarkan mengikut pandangan ini yang dipelopori para ulama mazhab Maliki, sebahagian ulama mazhab Shafie dan mazhab Hanbali.

Mereka mensyaratkan hutang tersebut adalah hutang jual beli dan bukan dari pinjaman wang tunai. Pinjaman wang tunai mempunyai beberapa peraturan yang ketat untuk mengelakkan riba. Kaedahnya riba pinjaman wang tunai ialah sebarang pembayaran lebih terhadap kadar asal sama ada berbentuk wang tunai atau penggunaan barang adalah riba. Ia berdasarkan kaedah: kull qard jarra nafcan fahuwa riba iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah darinya maka ia adalah riba. Justeru mereka membenarkan penggunaan barang oleh penerima gadaian (yang juga pemiutang dan pemegang barang gadaian tersebut) pada hutang yang terhasil daripada jual beli.

Terdapat dua bentuk bayaran untuk jual beli secara hutang. Umpamanya, seseorang yang membeli rumah dengan harga seratus ribu ringgit secara hutang dengan bank. Ia menggadaikan tanahnya untuk berhutang. Dalam kontrak ini, ia mengizinkan penerima gadaian (bank) menggunakan tanahnya untuk tempoh setahun. Pada transaksi ini, harga rumah yang dibeli oleh penghutang (yang juga penggadai) dibayar dalam dua bentuk iaitu seratus ribu ringgit dan sewa tanah selama setahun. Oleh itu, menurut Ibn Qudamah (t.th., 4: 431) dan al- San’ani (t.th., 3: 238), tujuan mereka mensyaratkan penetapan tempoh penggunaan adalah supaya tidak timbul persoalan ketidaktentuan pada harga (jahalah).

Bentuk ini membuktikan bahawa ulama-ulama muktabar amat berhati-hati pada permasalahan riba. Sebarang bayaran lebih daripada pinjaman wang tunai yang diberi dengan menggunakan nama sedekah, upah, hadiah adalah riba. Pandangan ini adalah berdasarkan kaedah kull qard jarra nafcan fahuwa riba iaitu setiap pinjaman yang berlaku pengambilan faedah daripadanya maka ia adalah riba. Kalau tidak kerana pinjaman nescaya penghutang tidak akan memberikan upah, hadiah atau sedekah tersebut. Para sarjana Islam membenarkan pengambilan bayaran kos pentadbiran dengan syarat kos tersebut adalah kos sebenar pentadbiran tersebut dan bukannya sebagai satu alasan untuk mengambil keuntungan dengan meletakkan kadar yang melebihi kos sebenar pentadbiran.

Kesimpulannya, gadaian dalam Islam mempunyai 5 rukun iaitu:

1) Pemberi gadai (Rahin) dan penerima barang gadaian (Murtahin).
2) Hutang (Marhun Bih)
3) Sighah (Ijab dan Qabul) iaitu majlis penyerahan dan penerimaan gadaian
4) Penerimaan barang gadaian oleh pemberi hutang secara mutlak.
5) Barang gadaian. Terdiri dari barang-barang yang halal dan sah untuk dijual beli menurut pandangan syarak.

SYARAT GADAIAN

Berikut adalah syarat-syarat gadaian:

a) Akad gadaian mestilah dilakukan melalui ijab dan qabul (tawaran dan penerimaan)

b) Orang yang menggadai (Ar-Rahin) dan orang yang memegang gadaian (Al-Murtahin) hendaklah terdiri daripada orang yang mempunyai kelayakan yang sewajarnya untuk mentadbir harta (Mutlaq Al-Tasarruf). Oleh itu, orang yang gila atau kanak-kanak yang belum baligh tidak sah melakukan atau menerima gadaian.

c) Barang yang digadaikan (Al-Marhun) mestilah barang yang dimiliki dan boleh dijual.

Oleh itu, untuk mengelakkan sebarang masalah dan kekeliruan berkenaan gadaian, surat atau perjanjian haruslah diwujudkan untuk dijadikan bukti yang sah.


NILAI POSITIF GADAIAN

1) Membolehkan orang yang sedang kesempitan wang mendapatkannya dengan cara yang bersih dan di bolehkan oleh syarak.

2) Menjadi jaminan bagi hutang sekiranya orang yang berhutang tidak dapat menjelaskan hutangnya.

3) Memberi keyakinan terhadap pemberi hutang dalam mendapatkan kembali wang yang telah dihutangkan.

4) Mengelakkan sebarang perbalahan antara pemberi hutang dengan orang yang berhutang sekiranya hutng tidak dapat dilangsaikan.Memberi dorongan kepada orang yang berhutang agar membayar hutangnya bagi mendapatkan kembali barang yang menjadi barang gadaian

No comments:

Post a Comment