PERKARA BATAL WUDHUK

BATAL WUDHUK : Perkara-perkara yang membatalkan wudhuk atau Hadas Kecil.Hadas kecil terjadi apabila seseorang itu terbatal wudhuknya, dengan sebab-sebab tertentu. Sebab-sebab yang membatalkan wudhuk ialah;

1. Keluar sesuatu dari kemaluan samada depan atau belakang

Keluar sesuatu dari kemaluan sama ada kemaluan hadapan atau belakang, yakni zakar/faraj atau dubur sama ada yang keluar itu air kencing, tahi, kentut, air mazi atau air wadi akan membatalkan wudhuk. Ia telah disepakati oleh sekelian ulamak berdalilkan ayat Allah (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”. (al-Maidah; 6)

Ungkapan “…atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air…” di dalam ayat di atas bermaksud selepas kencing atau berak, yakni apabila seseorang dari kamu selesai dari kencing atau berak, hendaklah ia mengambil wudhuk. Jika tidak ditemui air, hendaklah ia bertayammum.

Di dalam hadis, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Tidak diterima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas hinggalah ia mengambil wudhuk (terlebih dahulu)”. Seorang lelaki penduduk Hadramaut bertanya Abu Hurairah (yang menyampaikan hadis ini); “Wahai Abu Hurairah, apa itu hadas?”. Jawab beliau; “Kentut (sama ada yang tidak berbunyi atau yang berbunyi)” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah).

Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak wajib wudhuk kecuali bila terdengar bunyi (yakni bunyi kentut) atau keluar angin (kentut tanpa bunyi)” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah. Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini soheh).

Bagaimana jika yang keluar dari kemaluan itu adalah batu, darah, ulat dan sebagainya dari perkara yang jarang berlaku?

Menurut jumhur ulamak –termasuk mazhab Syafi’ie, Abu Hanifah dan Ahmad-; semua yang keluar melalui zakar dan dubur akan membatalkan wudhuk sama ada dari benda-benda yang biasa (yakni tahi, kencing dan sebagainya tadi) atau yang luar biasa (batu, darah, ulat dan sebagainya).

Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. memerintahkan wanita yang mengalami istihadhah (yakni keluar darah dari kemaluannya di luar masa haid) agar mengambil wudhuk setiap kali hendak menunaikan solat fardhu (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni dari Fatimah bin Abi Hubais r.a. dengan sanad yang siqah).

Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari kemaluan membatalkan wudhuk sekalipun ia bukan selalu berlaku. Dikias kepadanya benda-benda lain yang jarang keluar melalui kemaluan. Mazhab Imam Malik berpendapat; “Perkara-perkara yang jarang keluar melalui kemaluan itu tidak membatalkan wudhuk”.

Jika seseorang tidak dapat mengeluarkan najis melalui saluran asal (yakni zakar atau duburnya), lalu dibuat saluran di bahagian ususnya, adakah najis yang keluar melalui saluran baru itu akan membatalkan wudhuk?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Malik; “Ia membatalkan wudhuk jika sekiranya lubang atau saluran itu berada di bawah perut dan saluran najis yang asal (iaitu zakar atau dubur) telah tertutup, yakni saluran baru itu telah mengambil tempat saluran asal sebagai tempat keluar najis”.

2. Tidur

Tidur membatalkan wudhuk berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Mata adalah pengikat punggung (dubur). Maka sesiapa tidur, hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ali r.a.).

Menurut mazhab Syafi’ie dan juga Abu Hanifah, tidur yang membatalkan wudhuk ialah tidur nyenyak yang tidak tetap kedudukannya. Adapun tidur yang tetap kedudukannya, maka ia tidak membatalkan wudhuk. Yang dikatakan tidur yang tetap kedudukan ialah tidur sambil duduk dalam keadaan punggung rapat ke tanah (tidak beralih ke kanan atau ke kiri). Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang bercerita; “Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. tatkala sedang menunggu untuk menunaikan solat Isyak mereka tertidur sambil duduk. Kemudian (apabila masuk waktu Isyak) mereka menunaikan solat tanpa mereka mengambil wudhuk (terlebih dahulu)” (Riwayat Imam Syafi’ie, Abu Daud, Muslim dan at-Tirmizi).

Bagi ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan juga Abu Hanifah, bukan semata-mata tidur itu yang membatalkan wudhuk, akan tetapi kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari dua jalan (qubul atau dubur) ketika tidur itu. Tidur yang tetap kedudukan tidak ada kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari qubul atau dubur kerana papan punggung rapat ke tanah. Oleh itu, ia tidak membatalkan wudhuk. Adapun tidur yang tidak tetap kedudukannya, kebimbangan itu ada. Oleh itu, ia membatalkan wudhuk.

Ulamak-ulamak mazhab Malik dan Hanbali pula berpendapat; tidur yang nyenyak (yang tidak sedarkan diri) keseluruhannya membatalkan wudhuk sama ada tetap kedudukannya atau tidak. Ini kerana bagi mereka, tidur itu sendiri menjadi faktor yang membatalkan wudhuk. Asalkan wujudnya tidur dan tidur itu nyenyak, maka batallah wudhuk sama ada sambil duduk, berbaring atau melentang.

3. Hilang akal

Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, pitam, termakan ubat yang memabukkan atau sebagainya. Hal ini telah disepakati oleh sekelian ulamak kerana berdalilkan kepada hadis tentang tidur di atas di mana kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari dua jalan (zakar atau dubur) ketika seseorang itu gila, pitam atau mabuk lebih kuat dari ketika ia tidur. Maka jika tidur boleh menyebabkan batal wudhuk, maka lebih-lebih lagilah hilang akal.

4. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan

Berlaku sentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang bukan mahram membatalkan wudhuk berdalilkan firman Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 6 (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”.

Menurut mazhab Syafi’ie, semata-mata berlakunya sentuhan dan tanpa berlapik, akan batallah wudhuk sama ada sentuhan dengan syahwat atau tidak.

Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah, bersentuhan tidak membatalkan wudhuk kecuali yang membabitkan alat kemaluan (yakni zakar dan faraj) iaitulah bersetubuh. Adapun semata-mata bersentuhan tidaklah membatalkan wudhuk.

Mengikut mazhab Imam Ahmad dan Malik pula; bersentuhan antara lelaki dan perempuan hanya membatalkan wudhuk jika dengan merasai kelazatan atau dengan maksud merasai kelazatan. Adapun bersentuhan semata-mata tidaklah membatalkan wudhuk.

Perbezaan pandangan ulamak di atas berlaku berpunca dari perbezaan mereka dalam mentafsirkan ungkapan “أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء” (atau kamu bersentuhan dengan perempuan) dalam ayat di atas.

Menurut Imam Syafi’ie, ia bermaksud bersentuhan secara mutlaknya. Imam Abu Hanifah pula mentafsir ayat ini dengan pandangan Ibnu Abbas yang berkata; maksud ayat di atas ialah jimak (persetubuhan). Imam Malik dan Ahmad pula mentafsir ayat di atas dengan sentuhan yang disertai syahwat. Pandangan mereka disokong oleh hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mencium isteri-isterinya, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ahmad dan at-Tirmizi. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh. Lihat; Misykat al-Masabih, hadis no. 323).

Hadis ini menunjukkan bahawa sentuhan biasa tidaklah membatalkan wudhuk. Jika tidak, sudah tentu Nabi akan mengambil wudhuk sebelum menunaikan solat selepas mencium isteri-isterinya tadi.

Masalah: Adakah orang yang disentuh turut terbatal?

Menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; “Kedua-dua yang menyentuh dan yang disentuh batal wudhuknya”. Menurut Imam Ahmad (dalam satu riwayat darinya); “Orang yang disentuh tidak batal wudhuknya”.

5. Menyentuh zakar atau faraj

Menurut mazhab Syafi’ie dan Ahmad menyentuh zakar atau faraj dengan tangan tanpa berlapik akan membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa menyentuh zakarnya, janganlah ia menunaikan solat hinggalah ia mengambil wudhuk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Busrah binti Safwan r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh). Yang dimaksudkan dengan zakar ialah batangnya sahaja, tidak termasuk dua kantung telurnya. Sepakat para ulamak menyatakan; tidak batal wudhuk dengan menyentuh dua kantung telur itu sekalipun tanpa berlapik.

Sentuhan yang membatalkan wudhuk ialah sentuhan dengan tangan. Sentuhan dengan anggota yang lain dari tangan tidak membatalkan wudhuk dan ini telah disepakati oleh sekalian ulamak. Menurut mazhab Syafi’ie, sentuhan tangan yang membatalkan wudhuk itu ialah dengan bahagian tapak tangan atau perut-perut anak jari dan tanpa berlapik. Adapun sentuhan dengan belakang tangan, tidaklah membatalkan wudhuk. Menurut mazhab Imam Ahmad, sentuhan tangan (tanpa berlapik) secara keseluruhannya membatalkan wudhuk sama ada dengan bahagian tapaknya atau belakangnya.

Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; menyentuh zakar atau faraj tidak membatalkan wudhuk secara keseluruhannya. Mereka berdalilkan hadis dari Talq (طلق) bin ‘Ali r.a. yang telah bertanya Nabi s.a.w.; “Seorang lelaki telah menyentuh zakarnya. Adakah wajib atasnya mengambil wudhuk?”. Maka baginda menjawab; “Ia adalah sebahagian dari kamu” (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Ibnu Hibban; hadis ini adalah soheh dan disokong oleh al-Albani. Lihat; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah Lil-Albani, hlm. 47). Sebahagian ulamak –antaranya Ibnu Hibban, Ibnu ‘Arabi dan al-Hazimi- berpandangan; hukum dalam hadis ini telah dimansukhkan. (Lihat; al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, karangan Wahbah az-Zuhaili).

Menurut pandangan Imam Malik pula; sentuhan yang membatalkan wudhuk ialah sentuhan dengan syahwat. Adapun sentuhan tanpa syahwat, tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka memadankan antara dua hadis di atas; hadis pertama merujuk kepada sentuhan dengan syahwat dan hadis kedua pula merujuk kepada sentuhan tanpa syahwat. Pandangan ini disokong oleh Imam Ibnu Taimiyyah. (Lihat; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah Lil-Albani, hlm. 48).

Masalah: Adakah menyentuh zakar atau faraj orang lain juga membatalkan wudhuk?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; “Batal wudhuk sekalipun yang disentuh itu zakar/faraj anak kecil atau zakar/faraj orang yang telah mati”. Menurut Imam Malik; “Yang membatalkan wudhuk ialah menyentuh zakar/faraj orang dewasa. Adapun menyentuh zakar/faraj kanak-kanak, tidaklah membatalkan wudhuk”.

Orang yang disentuh zakar/farajnya, adakah wudhuknya turut terbatal?

Menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; “Tidak batal wudhuknya”. Menurut Imam Malik; “Wudhuknya turut terbatal”.

Masalah: Bagaimana pula dengan menyentuh dubur, adakah juga akan membatalkan wudhuk?

Menurut mazhab Syafi’ie dan Ahmad; “Menyentuh dubur (iaitu bahagian lingkaran lubangnya) membatalkan wudhuk”. Mereka mengkiaskan dubur kepada zakar/faraj kerana ia juga termasuk dalam erti kemaluan manusia”. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa menyentuh farajnya, hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Ummu Habibah r.a.). Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya at-Tahzib, mengikut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; “Perkataan al-Faraj digunakan untuk makna kemaluan hadapan (yakni zakar/faraj) dan juga dubur, sama ada bagi lelaki atau perempuan”. Pada pandangan Imam Malik, menyentuh dubur tidaklah membatalkan wudhuk.

6. Keluar najis dari badan

Keluar darah (sama ada darah bekam, darah hidung atau sebagainya), nanah atau air bisa (iaitu benda-benda yang dianggap najis) dari badan membatalkan wudhuk mengikut pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad sekalipun tidak melaui zakar/faraj atau dubur, dengan syarat yang keluar itu adalah banyak (mengikut Imam Ahmad) atau mengalir (mengikut Imam Abu Hanifah). Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.; “Berwudhuk (adalah wajib) bagi setiap darah yang mengalir” (Riwayat Imam Daruqutni dari Tamim ad-Dari r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; hadis ini dhaif. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9680). Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Sesiapa muntah atau berdarah hidungnya atau meloya (hingga muntah penuh mulut) atau keluar mazi (ketika ia sedang mengerjakan solat), hendaklah ia keluar dari solatnya dan mengambil wudhuk, kemudian hendaklah ia menyambung (yakni meneruskan) solatnya dan janganlah ia bercakap-cakap” (Riwayat Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Menurut Imam Ahmad, hadis ini dhaif. Lihat; Bulughul-Maram, bab Nawaqid al-Wudhu’).

Namun mengikut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik perkara tersebut tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah berbekam, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk. Baginda hanya membasuh tempat bekamnya sahaja” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni. Menurut Imam Syaukani, hadis ini dhaif (Kitab at-Toharah, bab al-Aghsal al-Mustahabbah). Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari badan tidaklah membatalkan wudhuk.

7. Muntah

Muntah membatalkan wudhuk pada pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad jika muntah itu banyak atau hingga memenuhi mulut. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa muntah atau berdarah hidungnya atau meloya (hingga keluar muntah penuh mulut) atau keluar mazi (ketika ia sedang mengerjakan solat), hendaklah ia keluar dari solatnya dan mengambil wudhuk, kemudian hendaklah ia menyambung (yakni meneruskan) solatnya dan janganlah ia bercakap-cakap” (Riwayat Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Menurut Imam Ahmad, hadis ini dhaif. Lihat; Bulughul-Maram, bab Nawaqid al-Wudhu’).

Namun menurut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik, ia tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis riwayat Imam Daruqutni yang menceritakan; “Nabi s.a.w. telah muntah, namun baginda tidak mengambil wudhuk”. Dalam hadis lain dari Sauban r.a. menceritakan; “Aku bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah wajib mengambil wudhuk kerana muntah?’. Jawab baginda; “Jika wajib tentu aku akan menemuinya di dalam kitab Allah” (Lihat hadis ini dalam; Nailul-Autar, Kitab at-Toharah, Abwab Nawaqidh al-Wudhu’).

8. Memakan daging unta

Ia membatalkan wudhuk mengikut mazhab Imam Ahmad dengan berdalilkan hadis dari Jabir bin Abdullah r.a. yang menceritakan; “Seorang lelaki telah bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah saya perlu mengambil wudhuk selepas memakan daging kambing?’. Jawab Nabi; ‘Jika kamu mahu ambillah wudhuk dan jika tidak mahu tidak payahlah mengambil wudhuk’. Ia bertanya lagi; ‘Adakah perlu saya mengambil wudhuk selepas memakan daging unta’. Jawab Nabi; ‘Ya’. Ia bertanya lagi; ‘Adakah harus saya menunaikan solat di kandang kambing?’. Jawab Nabi; ‘Ya’. Ia bertanya lagi; ‘Haruskan aku menunaikan solat di tempat berbaring unta (di sekitar air/telaga)’. Jawab Nabi; ‘Tidak harus’” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun di sisi mazhab-mazhab yang lain (Imam Malik, Syafi’ie dan Abu Hanifah), ia tidaklah membatalkan wudhuk. Berkenaan hadis tadi, mereka menjawab; maksud wudhuk di dalam hadis tadi ialah membasuh tangan dan mulut untuk tujuan kebersihan. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; “Nabi meminum susu. Kemudian baginda meminta air, lalu berkumur dan berkata; ‘Sesungguhnya ia berlemak’”. (Riwayat Imam Muslim).

9. Ketawa berdekah di dalam solat membatalkan Wudhuk?

Menurut jumhur ulamak –termasuklah mazhab Syafi’ie, Maliki dan Imam Ahmad-, ketawa berdekah itu tidaklah membatalkan wudhuk kerana perkara yang jika berlakunya di luar solat tidak membatalkan wudhuk, tentunya jika berlaku di dalam solat juga tidak akan membatalkan wudhuk.

Tetapi menurut Imam Abu Hanifah; ketawa berdekah di dalam solat akan membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang ketawa hingga berdekah, hendaklah ia ulangi solat dan juga wudhuknya” (Riwayat Imam at-Tabrani dari Abu Musa al-Asy’ari. Menurut ulamak hadis; jalan-jalan periwayatan hadis ini sebahagiannya dhaif dan sebahagiannya mursal).

Adapun bagi Jumhur Ulamak selain Imam Abu Hanifah tidak menerima hadis di atas, dan ia tidak dapat dijadikan hujjah kerana bersifat mursal.

10. Timbul syak atau keraguan

Menurut mazhab Imam Malik; jika seseorang itu syak atau ragu sama ada ia masih berwudhuk atau tidak, semata-mata timbulnya syak itu, maka batallah wudhuknya. Namun jumhur mazhab berpendapat; semata-mata syak atau ragu tidaklah membatalkan wudhuk sehinggalah diyakini benar-benar bahawa telah berlakunya perkara-perkara yang membatalkan wudhuk tadi, barulah wudhuk dikira batal. Pendapat jumhur ini bertepatan dengan hadis Nabi di mana ‘Ubbad bin Tamim meriwayatkan dari bapa saudaranya yang bertanya Nabi s.a.w. tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar darinya punggungnya sesuatu atau tidak?. Nabi menjawab; “Janganlah ia keluar dari solatnya sehinggalah ia terdengar bunyi (kentut) atau mendapati keluar angin”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

11. Memandikan mayat.

Orang yang terlibat secara langsung memandikan mayat, batal wudhuknya menurut mazhab Imam Ahmad. Adapun mazhab-mazhab yang lain, ia tidak membatalkan wudhuk.

Sebab-sebab Hadas Besar.

Hadas besar terjadi kerana dua sebab;

1. Kerana berjunub. Seorang itu dikatakan berjunub dengan dua sebab;

(a) Kerana bersetubuh dengan pasangan (suami atau isteri) sama ada keluar mani atau tidak ketika persetubuhan itu. Semata-mata berlakunya persetubuhan iaitu masuknya zakar ke dalam faraj, maka dianggaplah seseorang itu berjunub sekalipun tidak keluar mani. Sabda Nabi s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani”. (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.).

(b) Keluar mani dari kemaluan sama ada dengan sengaja (seperti mengeluarkan dengan tangan atau berkhayal) atau tidak sengaja (seperti bermimpi). Orang yang keluar mani dari kemaluannya ia dianggap berjunub dan wajib mandi berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’’ (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

2. Kerana kedatangan haid dan nifas

Wanita yang kedatangan haid dan nifas adalah berhadas besar dan wajib mandi apabila kering darahnya sebelum ia diharuskan menunaikan solat dan bersetubuh dengan suaminya. Ini berdalilkan ayat al-Quran (surah al-Baqarah, ayat 222) dan hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari). Walaupun ayat dan hadis hanya menyebut tentang haid, namun dikiaskan kepadanya nifas kerana bifas adalah haid yang berkumpul. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.

Tegahan Syarak Ke Atas Orang Berhadas Kecil

Jika seseorang itu berhadas sama kecil atau besar, maka dia ditegah melakukan perkara berikut:


1. Mengerjakan solat

Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa orang yang tidak berwudhuk, haram mengerjakan solat sama ada solat fardhu, solat jenazah atau solat sunat. Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas sehinggalah ia mengambil wudhu’” (Riwayat Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a.).

Termasuk dalam pengertian solat ialah sujud tilawah, sujud syukur dan khutbah Jumaat mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak. Jadi wajib berwudhuk untuk melakukannya mengikut jumhur ulamak. Namun sebahagian ulamak –antaranya Imam Ibnu Hazm- tidak mewajibkan wudhuk untuk melakukan sujud. Menurut Ibnu Hazm; sujud Tilawah tidaklah dapat dianggap sebagai solat kerana yang dikatakan solat itu ialah yang mempunyai rakaat (iaitu satu atau dua rakaat), padahal membaca al-Quran tidaklah mempunyai rakaat. Oleh kerana ia bukan solat, maka harus dilakukan tanpa wudhuk. Malah harus dilakukan oleh orang berjunub dan wanita yang sedang haid dan nifas dan begitu juga, harus mengadap ke arah lain dari qiblat. Hukumnya sama seperti hukum berzikir, tidak ada beza antara keduanya. (al-Muhalla, 1/80).

2. Mengerjakan tawaf

Tidak harus tawaf melainkan dalam keadaan berwudhuk kerana sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya tawaf mengelilingi Baitullah (Kaabah) adalah solat. Maka apabila kamu mengerjakan tawaf, hendaklah mengurangkan bercakap” (Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai). Dalam hadis ini, Rasulullah menyamakan tawaf dengan solat. Oleh demikian, diwajibkan berwudhuk untuk mengerjakan tawaf sebagaimana diwajibkan untuk solat.

3. Menyentuh mushaf al-Quran dan membawanya

Menurut jumhur ulamak, wajib berwudhuk untuk menyentuh mushaf al-Quran atau membawanya kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Jangan menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci” (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Umar r.a.. Menurut Imam al-Haithami; perawi-perawi hadis ini adalah tsiqah. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9986). Sebahagian ulamak tidak mewajibkannya, yakni bagi mereka harus menyentuh mushaf al-Quran tanpa berwudhuk. Antara mereka ialah Ibnu ‘Abbas, ulamak-ulamak mazhab Zaidiyah dan Zahiriyah (termasuk Ibnu Hazm). Menurut mereka, maksud suci dalam hadis di atas ialah suci dari kufur. Jadi, maksud hadis tersebut menurut mereka; “Jangan menyentuh al-Quran melainkan orang beriman”.

Adapun untuk membaca atau melihat sahaja tanpa menyentuhnya, tidaklah diwajibkan berwudhuk. Hukum ini disepakati oleh sekelian ulamak. Begitu juga, para ulamak mengharuskan kanak-kanak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk untuk tujuan belajar kerana ia belum mukallaf. Namun yang afdhal ialah menyuruhnya mengambil wudhuk.


Tegahan Syarak ke atas atas orang yang berhadas besar atau berjunub

Ditegah ke atas orang berjunub segala tegahan terhadap orang yang berhadas kecil tadi dengan ditambah dua lagi tegahan, iaitu;

1. Membaca al-Quran

Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Tegahan ini disepakati oleh jumhur ulamak termasuk imam-imam mazhab empat iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. sentiasa membaca al-Quran. Tidak ada sesuatu yang menghalangnya dari membaca al-Quran kecuali kerana jnub” (Riwayat al-Hakim, Ibnu Majah dan Ahmad. Hadis ini telah ditashihkan oleh al-Hakim). Mengikut riwayat at-Tirmizi, hadisnya berbunyi; “Rasulullah s.a.w. membaca kepada kami al-Quran pada setiap keadaan selama baginda tidak berjunub” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Saidina ‘Ali r.a.. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh) Saidina ‘Ali pernah ditanya berkenaan seorang berjunub membaca al-Quran. Ia menjawab; “Tidak harus sekalipun satu huruf”. Adapun melihat kepada al-Quran atau membacanya dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), ia tidaklah ditegah.

Namun larangan membaca al-Quran tersebut dikecualikan bagi yang dibaca dengan niat doa, memuji Allah, membuka majlis, mengajar, memohon perlindungan Allah dan berzikir. Contohnya; membaca Bismillah sebelum memulakan sesuatu, membaca “al-Hamdulillah” untuk bersyukur kepada Allah, membaca zikir ketika menaiki kenderaan dan sebagainya. Terdapat pandangan dari Imam Malik mengharuskan wanita haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhanya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (Riwayat Imam Muslim). Membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir.

2. Berhenti/menetap/beriktikaf di dalam masjid

Diharamkan ke atas orang berjunub untuk berhenti atau duduk di dalam masjid termasuklah beriktikaf berdalilkan firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 43 (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri Solat (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan, dan begitu juga (jangan hampiri tempat solat, iaitu masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci…”. (an-Nisa’: 43). Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi; “Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Kata al-Baihaqi; hadis ini soheh. Namun menurut Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya; Telah berkata Imam al-Khattabi; “Hadis ini telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis”).

Diharuskan jika sekadar melalui/melintas (contohnya dari satu pintu ke satu pintu yang lain) sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam ayat di atas; “….kecuali kamu hendak melintas sahaja…”. Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; keharusan melintas itu adalah secara keseluruhannya sama ada kerana keperluan atau saja-saja. Cuma bagi wanita yang kedatangan haid dan nifas, keharusan melintasi tersebut terikat dengan syarat tidak bimbang akan mencemarkan masjid.


Maksudnya, jika ia khuatir semasa melintasi masjid itu darahnya akan menitis keluar, ditegah ia melintasi ruang masjid. Bagi Imam Abu Hanifah; tidak harus melintas kecuali kerana tidak ada jalan lain dan ia hendaklah mengambil wudhuk terlebih dahulu, kemudian baru melintas. Menurut Imam Ahmad; harus melintas jika ada hajat atau keperluan sahaja. Kalau tidak ada sebarang hajat atau keperluan, tidak harus melintas. Selain itu, Imam Ahmad berpendapat; orang yang berjunub harus duduk di dalam masjid jika ia mengambil wudhuk.


Ia berdalilkan kepada riwayat A’tho’ bin Yasar (seorang Tabi’in) yang menceritakan; “Aku telah melihat beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w.; mereka duduk di dalam masjid sedangkan mereka berjunub apabila mereka telah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk menunaikan solat”.( Lihat Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43. Berkata Imam Ibnu Kathir; riwayat ini sanadnya adalah soheh mengikut syarat Imam Muslim). Bagi ulamak-ulamak yang lain, pengharaman tersebut tidak terangkat melainkan dengan mandi wajib. Adapun wudhuk ia tidak memberi kesan kepada pengharaman tersebut.

Pengharaman di atas adalah pandangan jumhur ulamak. Terdapat juga ulamak-ulamak yang tidak bersetuju dengan pandangan jumhur tersebut, antara mereka Imam al-Muzani, Daud az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir. Bagi mereka; harus orang yang berjunub untuk menetap di dalam masjid secara mutlaknya, yakni tidak diharamkan. Mereka berdalilkan sabda Nabi s.a.w. yang menegaskan; “Seorang muslim tidaklah najis” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Imam al-Muzani berhujjah; “Orang musyrik diharuskan duduk di dalam masjid, maka orang muslim lebih utama diharuskan”. Hujjah mereka juga; “Asal hukum duduk di dalam masjid ialah harus hinggalah ada dalil yang kuat mengharamkanya. Dalil-dalil pengharaman yang dikemukakan oleh jumhur ulamak tadi semuanya lemah, tidak kuat”. Adapun ayat di atas, ia tidak bermaksud “menghampiri tempat solat, yakni masjid” tetapi “menghampiri solat itu sendiri” sebagaimana di awal ayat. Ungkapan “عابري سبيل” pula bukan bermaksud “orang-orang yang melintasi jalan” sebagaimana tafsiran jumhur di atas, tetapi bermaksud “orang-orang yang bermusafir”.


Kesimpulannya, bagi pandangan kedua ini, ayat tersebut bermaksud; “Dan janganlah orang-orang yang berjunub menghampiri solat (yakni mengerjakannya) kecuali bagi orang-orang yang bermusafir (yang berjunub semasa musafirnya dan ia tidak menemui air untuk mandi, maka hendaklah ia mengerjakan solat dengan bertayammum hinggalah ia menemui air)”. (Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43).

Masalah : Apakah perkara-perkara yang dimakruhkan ke atas orang berjunub?

1. Tidur sebelum membasuh kemaluan dan mengambil wudhuk

Dimakruhkan ke atas orang berjunub tidur sebelum membasuh kemaluannya dan mengambil wudhuk. Ibnu Umar r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Adakah harus seseorang dari kami tidur dalam keadaan ia berjunub?”. Baginda menjawab; “Ya, jika ia mengambil wudhuk” ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. jika ia hendak tidur semasa ia sedang berjunub, ia akan membasuh kemaluannya dan mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

2. Makan atau minum kecuali setelah mengambil wudhuk terlebih dahulu.

Terdapat hadis menjelaskan; “Adalah Rasulullah s.a.w. semasa ia berjunub jika ia hendak makan atau minum, beliau akan mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat” (Riwayat Imam Muslim). Ammar bin Yasir r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memberi kelonggaran kepada orang berjunub jika ia hendak makan atau minum atau tidur asalkan ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh).

3. Kembali bersetubuh

Orang yang berjunub makruh untuk kembali bersetubuh (sama ada dengan isteri yang sama atau isteri yang lain) kecuali setelah mengambil wudhuk terlebih dahulu. Diriwayatkan oleh Abi Sa’id al-Khudri r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Jika seseorang dari kamu telah mendatangi isterinya (yakni mensetubuhinya) kemudian ia ingin kembali bersetubuh, hendaklah ia mengambil wudhuk di antara keduanya (yakni di antara dua setubuh itu)” (Riwayat Imam Muslim).

Masalah : Apakah tegahan-tegahan Syarak ke atas wanita yang kedatangan haid dan nifas?

Segala tegahan ke atas orang yang berhadas kecil dan berjunub di atas, juga ditegah wanita yang kedatangan haid dan nifas melakukannya. Selain itu, ditambah dua tegahan lagi iaitu;

1. Puasa

Wanita yang sedang haid dan nifas ditegah berpuasa termasuklah puasa Ramadhan. Jika darah haid atau nifas itu datang ketika ia sedang berpuasa, batallah puasanya. Abu Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Bagi puasa Ramadan, wajib ia menggantinya pada bulan yang lain.

2. Bersetubuh dan beristimta’ dengan suami pada batasan antara pusat hingga lutut

Haram seorang lelaki mensetubuhi isterinya pada farajnya ketika ia sedang haid atau nifas. Pengharaman ini disepakati oleh sekelian ulamak berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (al-Baqarah; 222) Pengharaman mensetubuhi isteri yang kedatangan haid dan nifas ini berterusan hinggalah selepas mandi wajib. Jika darah haid atau nifas telah kering, namun belum dilakukan mandi wajib, tidak harus suami mensetubuhinya. Kesimpulannya, suami hendaklah menunggu hingga isterinya mandi wajib barulah ia harus mensetubuhinya.

Begitu juga, haram beristimta’ (berseronok) dengannya pada kawasan di antara pusat dengan lutut sekalipun tanpa bersetubuh mengikut pandangan jumhur ulamak termasuklah Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafi’ie. Menurut sebahagian ulamak (antaranya Imam Ahmad); yang diharamkan hanyalah mensetubuhi farajnya sahaja. Adapun beristimta’ sahaja (tanpa bersetubuh), tidaklah diharamkan termasuklah di kawasan antara pusat dan lutut, cuma dimakruhkan sahaja di kawasan tersebut. Pandangan kedua ini berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Orang-orang Yahudi apabila isteri mereka kedatangan haid, maka mereka tidak akan makan bersamanya, maka Nabi s.a.w. bersabda kepada orang-orang beriman; “Buatlah apa sahaja (dengan isteri kamu yang haid) kecuali nikah (yakni jimak atau bersetubuh)” (Riwayat Imam Muslim). Adapun beristimta’ dengannya pada bahagian lain dari kawasan antara pusat dan lutut atau sekadar mencium, memeluk, menyentuh atau sebagainya, hukumnya adalah harus dan halal dengan sepakat para ulamak.

3. Dijatuhkan talak ke atasnya

Diharamkan suami menjatuhkan talak ke atas isterinya semasa ia sedang haid atau nifas kerana ia akan memanjangkan iddah. Tegahan ini berdalilkan hadis dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan bahawa dia telah menceraikan isterinya semasa isterinya sedang haid. Lalu bapanya (iaitu Saidina Umar r.a.) mengadu kepada Rasulullah s.a.w.. Rasulullah lalu berkata kepada Umar; “Perintahkan Abdullah supaya rujuk kembali isterinya. Kemudian jika ia mahu ceraikan isterinya itu apabila ia telah bersih dari haidnya atau ketika dia hamil” (Riwayat al-Jamaah kecuali Imam al-Bukhari dari Ibnu Umar).

Perhatian;

Semua tegahan Syarak ke atas wanita haid atau nifas tidak terangkat kecuali setelah ia mandi wajib melainkan tiga tegahan sahaja iaitu;
a) Puasa
b) Talak
c) Melintasi masjid.

Ketiga-tiga larangan di atas terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut boleh dilakukan. Adapun tegahan-tegahan yang lain (iaitu solat, memegang al-Quran, membacanya, tawaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya) tidak terangkat melainkan setelah mandi wajib.

Dipetik dari: http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-menyucikan-najis.html

No comments:

Post a Comment