ZAQQUM

ZAQQUM : Nama Zaqqum telah digunakan pada spesis tumbuhan Euphorbia abyssinica (pokok kaktus) oleh suku Beja Sudan timur. Di Jordan, ia digunakan pada spesis Balanites aegyptiaca. Manakala di Turki, zaqqum (zakkum) adalah spesis Nerium Oleander.




Zaqqum dalam masyarakat Arab jahiliah adalah sejenis makanan penduduk Makkah yang diadun dari kurma dan keju.

Ibnu Abbas rdhma berkata: Ketika Firman Allah SWT turun: "Sesungguhnya (buah) pohon Zaqqum itu, (adalah) makanan bagi orang yang banyak berdosa dosa." (Surah Ad Dukhan ayat 43-44), maka Abu Jahal pun berkata: "Kurma dan keju itu kami sebut Zaqqum." maka Allah pun menurunkan ayat: "Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang keluar dari dasar neraka yang menyala."

Zaqqum Dalam Islam.
Sebagaimana yang digambarkan bahawa Zaqqum adalah buah dari pepohon berduri yang tumbuh dari dasar neraka Jahannam. Memakannya tidak menjadikan seseorang gemuk dan tidak pula menghilangkan kelaparan. Jika pohon ini diletakkan didunia, maka akan hancurlah bumi beserta isinya.

Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya setitik dari zaqqum diteteskan di dunia, nescaya akan menghancurkan kehidupan semua penghuninya. Lalu bagaimana dengan keadaan orang yang menjadikan zaqqum sebagai makanannya?” (HR At-Tirmidzi, Ibnu Majah dalam sunannya, kitab Az-Zuhud, bab Sifat An Nar, 8/4325.)

Ini bererti Pokok Zaqqum dan buahnya adalah sebahagian daripada neraka dan siksaannya. Kewujudan pokok zaqqum adalah sebaris dengan kewujudan ular berbisa, kala jengking dan seumpamanya di dalam neraka.

Pokok dan buah Zaqqum dalam al-Qur'an.
Di dalam al-Quran perkataan Zaqqum telah disebut sebanyak tiga kali, iaitu di dalam surah as-Sooffaat, surah ad-Dukhan dan surah al-Waaqi'ah. Perhatikanlah di dalam setiap pengkhabaran mengenai Zaqqum (di dalam surah-surah tersebut) diceritakan bahawa ia menjadi makanan yang cukup menyiksakan bagi orang-orang kafir yang mendustakan Hari Kebangkitan dan juga Hari Pembalasan Amal, juga bagi orang yang berbuat zalim dan para pelaku dosa besar yang tidak bertaubat kepada Allah SWT.

Maksud firman Allah: (62) “Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum?” (63) “Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat)”. (64) “Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar Neraka yang marak menjulang”. (65) “Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan”. (66) “Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.” (QS As-Soofaat : 62-66)

Maksud firman Allah: (43) (Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum; (44) (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam Neraka). (45) (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut; (46) Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (QS. Ad-Dukhaan : 43-46.)

Maksud firman Allah: (51) Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), (52) Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum, (53) Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu, (QS al-Waaqi’ah : 51-53)

Zaqqum makanan penghuni neraka.
Penghuni neraka akan selalu lapar, mereka akan selalu tergesa-gesa meluru kedasar neraka, untuk memakan apapun yang dapat mereka temukan. Di dasar neraka ini mereka akan dipaksa memakan buah dari pohon Zaqqum. Dahsyatnya Zaqqum. Belum pun disentuh, bibir penghuni neraka akan terbakar sehingga nampaklah gigi-gigi mereka.

Tidak sekadar itu. Jika ia dimakan juga, buah tersebut akan membakar wajah beserta organ dalam tubuh mereka manakala duri Zaqqum yang ditelan akan serta merta merobekkan kerongkongan mereka saat ia ditelan. Sebelum buah itu sampai ke dasar perut, ia akan segerakan membakar dan mengeluarkan isi perut.

No comments:

Post a Comment