AHLI SUFFAH

AHLI SUFFAH : (أهل الصفة ) Iaitu sekumpulan lelaki dari kalangan Sahabat Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam, yang tinggal disuatu sudut di dalam Masjid Madinah.
Sudut Ahli Suffah di masa ini dibina padanya lantai yang lebih tinggi dari tempat lain. Ianya terletak antara Pintu Jibril dan Pintu An Nisa’.
 Apabila ditanya.kepada Ibnu Taimiyyah tentang siapakah Ahli Suffah, maka Ibnu Taimiyyah menjawab:  Adapun Ahli Suffah itu dinisbahkan kepada sekumpulan sahabat Rasulullah sollallaahu alaihi sallam yang tinggal di hujung Masjid Madinah. Mereka adalah orang-orang miskin yang tidak mempunyai keluarga dan tempat tinggal. Pada peringkat awalnya mereka semua dari kalangan yang berhijrah dari Mekah.  Mereka itu berjumlah lebih dari 400 orang, mereka hanya bekerja untuk menampung kehidupan mereka. Kadang-kadang mereka diberi bantuan dari harta baitulmal dan kadang-kala dari kalangan orang-orang soleh.
Mereka itu tidak terlalu dikenali orang orang ramai dan tidak mengganggu orang lain, bahkan mereka itu sering disangka sebagai orang yang kaya raya kerana tidak bekerja dan tidak pula mereka itu meminta-minta walaupun mereka kelaparan.
Dikatakan juga, bahawa Ahli Suffah itu tidak tertentu bilangannya, kadang-kadang sedikit, kadang-kadang ramai. Ada ketika beberapa orang lelaki tinggal di situ untuk beberapa ketika kemudian mereka berpindah daripadanya. Mereka kurang berilmu, bahkan ada yang murtad dari Islam sehingga Nabi membunuhnya. Ahli Suffah tidak  terdapat dari kalangan kaum Ansar, begitu juga dari kalangan pembesar Muhajirin seperti Abu Bakar, Umar dan Ali.
 
Perihal tentang mereka difirman oleh Allah dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 273:
Maksudnya: “Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”
 Surah al-Kahfi ayat 28:
Maksudnya: “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
Dan Surah al-An’am ayat 52.:          
Maksudnya: “Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.”
Nama-Nama Ahli Suffa
Ahli Suffah antaranya ialah:
Abu Hurairah
Abu dZarr al-Ghaafiri
Abu Said al-Khudri
Kaab al-Harith
Salman al-Faarisi
Abu Barzah al-Aslami
Suhaib San’am
Ammar bin Yaaser
Abdullah bin Mas’ud
Saad bin Abi Waqqas
Uqbah bin Amir
Wabisah bin Ma’bad al-Juhani
Tamin ad-Daari
Dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment