'URF dan ADAT

'URF DAN ADAT : ‘Urf merupakan salah satu sumber penting untuk mengeluarkan hukum syarak walaupun ada di kalangan para ulama yang tidak mengiktirafkannya sebagai salah satu sumber yang muktabar. Namun begitu, para ulama yang mengiktirafkannya melihat ia sebagai salah satu sumber yang amat penting terutama dalam permasalahan yang berkaitan dengan hubungan antara sesama makhluk dan dalam beberapa aspek lain juga tidak dapat di nafikan, kerana di sana ada persoalan yang tidak dapat di selesaikan dengan menggunakan sumber-sumber yang disepakati iaitu al-Quran, Al-Sunnah, ijmak dan qiyas.

Oleh itu, perbincangan yang akan dikemukakan dan akan memperjelaskan keadaan sebenar ‘urf sebagai salah satu sumber perundangan yang tidak disepakati ini akan diterangkan dalam perbincangan di bawah dengan sekadarnya.


Definisi ‘urf dari segi bahasa:

Takrifan al-‘urf dari sudut bahasa arab ialah ma'rifah (pengetahuan) dan maksudnya disesuaikan kepada sesuatu yang ma'ruf dan sikap yang dianggap baik oleh akal yang sejahtera. Al-Quran telah menggunakan al-‘urf dengan pengertian sesuatu yang ma’ruf seperti firman Allah swt:


خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya:

“Terimalah apa Yang mudah Engkau lakukan, dan suruhlah Dengan perkara Yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang Yang jahil (yang degil Dengan kejahilannya).” (al-Quran, al-A’raaf, 7:199)


Definisi ‘urf dari segi istilah syarak;


Para ulama mempunyai pelbagai takrifan mengenai ‘urf dari segi istilah, antara takrif tersebut ialah seperti yang dinukil oleh Haji Muhammad Saleh B. Haji Ahmad dalam kitabnya daripada kitab ulama-ulama yang terkenal antaranya ialah;

Mengikut Abu Sunnah, ‘urf adalah “setiap yang tetap dalam diri dari sudut pandangan akal dan diterima oleh tabiat yang baik”. Jurjani pula mentakrifkan ‘urf sebagai “setiap yang tetap dalam diri dengan disaksikan oleh akal dan diterima oleh tabiat yang baik.” Dan Sayyid Salih Awad mentakrifkan ‘urf itu sebagai “setiap yang tetap dalam diri, dipandang elok oleh akal, diterima oleh tabiat yang baik dan sentiasa dilakukan oleh manusia serta tidak ditolak oleh syarak”. Menurut Mustafa Ahmad al-Zarqa’ ‘urf itu sebagai adat orang ramai atau majoriti sesuatu kaum pada perkataan atau amalan.

Abdul Karim Zaidan mentakrifkan ‘urf sebagai “setiap (perkataan dan perbuatan) yang biasa dalam masyarakat akan menjadi adat serta menjadi ikutan dalam kehidupan.” (Abdul Karim Zaidan 2004: 201). ’Urf juga ditakrifkan sebagai perkara yang tetap di dalam diri manusia dari segi akal fikiran dan diterima baik oleh tabiat yang sejahtera

Maka bagi rumusan takrif daripada pendapat para ulama, penulis mengemukakan pendapat yang dikeluarkan oleh Imam al-Ghazali yang dinukil oleh Haji Muhammad Saleh B. Haji Ahmad dalam kitab beliau iaitu “sesuatu yang telah mantap di dalam jiwa manusia dari segi akal fikiran dan diterima oleh tabiat sejahtera. Atau juga ’urf itu sesuatu yang menjadi tabiat manusia yang mempunyai tabiat-tabiat yang sejahtera lahir dari penghuni sesebuah negeri Islam dengan syarat ia tidak berlawanan dengan syarak”.)





No comments:

Post a Comment