RASUAH

RASUAH: Ditakrifkan sebagai memberi sesuatu kepada orang-orang yang tertentu ‎dengan niat untuk mendapatkan sesuatu yang bukan menjadi haknya.

‎Memberi sesuatu itu samada dalam bentuk wang ringgit, harta benda, jawatan, ‎perkhidmatan, janji manis dan sebagainya. Ianya diberikan kepada orang yang tertentu ‎yang tidak layak menerimanya. Mungkin orang yang diberi rasuah itu mempunyai gaji dan upah yang tertentu, lebih kaya dan berjawatan dan bukan pula kaum keluarga si pemberi. Pemberian yang diberi ‎dengan niat agar suatu masa mendapat balasan dan imbalan yang lebih besar dari orang-orang ‎tertentu tadi. Sedangkan pada hakikat orang lain yang sepatutnya memiliki hak itu.‎
‎ ‎ Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab yang berbunyi al-risywah. Dalam Al-‎Quran rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perbuatan jenayah ‎lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. rasuah ataupun ‘corruption’ dalam ‎Bahasa Inggeris, tidak diberi definisi yang khusus di dalam undang-undang Malaysia. ‎Tetapi ditakrikan sebagai suapan.‎

Walau bagaimanapun ada beberapa definisi yang telah diberi oleh beberapa pihak yang ‎pakar dalam bidang ini. Di dalam kamus Concise Law Dictionary. P. G. Osborne ‎memberi definisi bribery and corruption sebagai perbuatan giving or offering any reward ‎to any person to influence his conduct; or the receipt of such reward

John B. Saunders pula menulis dalam kamus 'Mozley and Whiteleys Law Dictionary' memberi ‎definisi 'corruption is the taking or giving of money for the performance or non-performance of a ‎public duty'.‎

Rasuah dalam bahasa Latin: corruptio daripada kata kerja corrumpere = busuk, rosak, ‎menggoyahkan, memutar balik, menyogok).‎

Menurut 'Transparency International' pula, rasuah ialah perilaku buruk di jabatan-jabatan ‎atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara ‎tidak wajar dan tidak sah/menurut undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya ‎kerabatnya (keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan ‎kepercayaan awam yang diberi kepada mereka. ‎

Dari sudut undang-undang, perbuatan rasuah mencakupi: Melanggar undang-undang ‎yang dikuatkuasakan, Penyalahgunaan harta Negara, yang akan merugikan Negara, serta ‎memperkaya diri sendiri dan kaum kerabat.‎


NAMA LAIN BAGI RASUAH

Dalam dunia hari ini rasuah disebut dalam berbagai sebutan agar ianya tidak nampak ‎sebagai rasuah. Ada yang disebut sebagai sogokan, suapan, tumbuk rusuk, makan suap, ‎wang saku, duit kopi, bawah meja dan sebagainya. Semuanya itu bermaksud rasuah.‎

Jenayah rasuah adalah satu tegahan agama, baik agama Islam mahupun agama-agama ‎lain. Allah s. w. t. berfirman yang bermaksud:-‎

‎“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu ‎dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi ‎rasuah) kepada hakim- hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari ‎harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.‎

Hadis nabi SAW ada menyatakan :"Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah ‎SAW telah mengutuk orang yang memberi sogokan dan orang yang menerima sogokan ‎dalam soal hukum menghukum" (HR. Abu Daud & Tirmizi)‎

Ibnu Mas'ud telah mentafsirkan ayat di atas seperti berikut:‎

‎"Sogokan (rasuah) dapat berlaku pada tiap-tiap sesuatu, barangsiapa yang telah memberi ‎sesuatu pemberian dalam sesuatu pembelaan kepada seseorang supaya pembelaan itu ‎dapat mengembalikan yang hak atau dapat menolak kezaliman (aniaya) lantas ‎diterimanya maka pemberian itu dinamakan sogokan juga. Perbuatan sedemikian ‎diharamkan kerana mengandungi beberapa perkara yang diharamkan oleh agama di ‎antaranya :‎

‎1) Tidak akan berlaku kebenaran dalam sesebuah masyarakat selagi mana perbuatan ‎sogok menyogok masih dilakukan oleh manusia. ‎

‎2) Dengan sogok menyogok itu manusia selalu melanggar hukum untuk memenuhi ‎kehendak hawa nafsunya. ‎

‎3) Dengan sogok menyogok juga manusia dapat membalas dendam antara seorang ‎dengan orang yang lain dan sebagainya.‎

Dalam Islam rasuah juga bermaksud harta yang diperolehi kerana terselesainya suatu ‎kepentingan manusia (baik untuk memperolehi keuntungan mahupun untuk menghindari ‎kemudharatan) yang sepatutnya wajib diselesaikan tanpa imbalan (imbuhan).‎

Adakala orang yang mendapat sesutu projek atau pekerjaan tidak memberi sesuatu dalam bentuk yang boleh dikatakan rasuah dan seumpamanya tetapi selepas mendapat upah dan imbuhan, diberinya sedikit wang atau seumpamanya kepada seseorang pegawai atas dasar penghargaan maka hal ini akan menjadi satu perkara syubhat. Mungkin pemberiannya kerana penghargaan semata-mata dan tidak mengharapkan apa-apa lagi selepas itu. Adakalanya memberi kerana penghargaan tetapi ada niat tersembunyi yang mungkin hanya pemberi dan penerimanya sahaja yang mengetahui.


HUKUM MEMBERI DAN MENERIMA RASUAH

1. Haram dan berdosa besar, wajib bertaubat nasuha dengan segera samada pemberi, ‎penerima atau yang berkaitan dengannnya. Jika sampai melibatkan individu tertentu yang teraniaya TAUBAT NASUHA TIDAK MEMADAI TANPA MEMOHON KEMAAFAN ATAU MEMBAYAR GANTIRUGI KEPADA MEREKA. Pengharaman rasuah adalah jelas berdasarkan ‎Al-Qur'an dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,


Ertinya : " Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di ‎antara kamu dengan jalan yang batil (tidak halal) dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu ‎kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain ‎itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui." ( Al-Baqarah : 188 )‎


Gambar hiasan
Disebutkan dalam hadits :-

Ertinya : "Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam ‎penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain)".
( HR. At-‎Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)‎

2. Dilaknat oleh Allah S.W.T dan RasulNya. Daging yang tumbuh dari sumber yang haram ‎‎(seperti rasuah), Neraka lebih utama untuknya. Dengan rasuah akan hilang keberkatan ‎dalam kehidupan. Hidup tidak terdorong ke arah kebajikan dan kebaikan tetapi terdorong ‎ke arah kemaksiatan dan kejahatan.‎

3. Akibat rasuah kuasa, jawatan, pangkat, kedudukan yang hasil daripada rasuah ia tidak ‎akan mendapat keberkatan dan tidak akan berkekalan lama, di akhirat pula akan ‎dimasukkan ke dalam neraka sekiranya ia tidak bertaubat, atau bertaubat tetapi tidak ‎diterima oleh Allah taubatnya.‎

SUAPAN ATAU SOGOKAN

Suapan atau makan suap juga boleh terjadi dalam bentuk wang derma, alang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan ‎mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, atau apa-apa ‎manfaat seumpama itu yang lain;‎

1. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-‎apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa ‎sifat;‎

2. Apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau ‎liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;‎

3. Apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisyen, rebet, bonus, potongan atau ‎peratusan;‎

4. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau ‎benda berharga;‎

5. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa ‎penalti atau ketakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa ‎tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak ‎sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan ‎apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan

6. Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk ‎memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (1) hingga (5) yang ‎terdahulu;‎

PUNCA DAN SEBAB RASUAH

Berbagai faktor dikaitkan mengapa seseorang itu melakukan perbuatan jenayah rasuah. ‎Walaupun begitu Islam melihat kelakuan rasuah adalah disebabkan beberapa sikap buruk ‎dari jiwa seseorang manusia dan didorong oleh kekuatan syaitan, kerana lemahnya iman ‎bahkan tidak beriman kepada qadha’ dan qadar Allah s.w.t. Secara terperinci amalan ‎rasuah disebabkan oleh sikap;‎

‎1. Tamak dan haloba.‎

‎2. Dengki dan khianat.‎

‎3. Sombong dan Takabbur.‎

‎4. Suka berbuat yang haram.‎

‎5. Tiada keberkatan Hidup‎

‎6. Nafsu serakah.‎

‎7. Gila Kuasa.‎

‎8. Menafikan hak orang lain.‎

‎9. Ingin menunjuk-nunjuk.‎

‎10. Zalim dan kasar.

Walau bagaimanapun secara ringkasnya, berdasarkan pengalaman Badan Pencegah Rasuah di Malaysia, perbuatan ‎jenayah rasuah berlaku disebabkan oleh:‎

‎1. Di mana seseorang ingin hidup mewah dan cepat kaya dan sentiasa mengejar ‎kebendaan tanpa mengira halal haram. Apa yang dipentingkannya hanyalah nilai-nilai ‎material, dengan membuang jauh tanggungjawabnya sebagai seorang penjawat awam ‎yang diamanahkan dengan kuasa dan pertanggungjawaban. Individu seperti ini tidak ‎mahu mengambil kira langsung bahawa dengan melakukan perbuatan rasuah, ‎penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, sebenarnya dia telah melakukan kezaliman, ‎penganiayaan dan menafikan hak-hak orang lain atau memberikan hak sesuatu itu bukan ‎kepada orang yang sepatutnya mendapat hak itu.‎

Sebagai contoh, oleh kerana seorang pegawai di Bahagian Bekalan menerima suapan ‎secara rasuah, kontraktor yang sepatutnya dan layak membekalkan peralatan ketenteraan, ‎atau membekalkan makanan telah tidak dipilih. Perbuatan pegawai ini menyebabkan ‎Kementerian Pertahanan atau Angkatan Tentera telah dinafikan yang terbaik yang boleh ‎dibekalkan oleh kontraktor berkenaan.‎

Allah swt telah berfirman:‎
‎"dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan ‎jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu ( memberi rasuah ) ‎kepada hakim-hakim kerana hendak memakan ( atau mengambil ) sebahagian dari harta ‎manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah: ayat ‎‎188)‎

‎2. Di samping itu, sikap hidup yang suka bermegah-megah menjadi amalan. Menyara ‎hidup pula melebihi pendapatan hinggakan terpaksa berhutang di sana sini. Akhirnya, ‎akibat bebanan hutang jenayah rasuah dilakukan.‎

‎3. Kurangnya penghayatan nilai-nilai murni. Selain dari itu, kedangkalan ilmu-ilmu ‎keagamaan, kurangnya penghayatan nilai-nilai murni dan hilangnya nilai-nilai akhlak ‎yang baik juga menjadi antara faktor yang menyebabkan seseorang itu bergelumang ‎dalam jenayah rasuah. ‎

Menurut seorang penulis, "nilai" ialah "beliefs about right and wrong". Manakala "etika" ‎pula ditakrifkan sebagai "thinking systematically about morals and conduct and making ‎judgments about right and wrong". (Carol W. Lewis: The Ethics Challenge in Public ‎Service). ‎

‎4. Kerendahan moral ditambah dengan nafsu yang tidak lagi dapat membezakan antara ‎nilai-nilai yang baik dan buruk, hingga mengenepikan nilai-nilai suci dalam agama ‎mendorong seseorang itu melakukan pelbagai kemaksiatan dan jenayah. Justeru itu, ‎individu seperti ini akan memperhambakan dirinya kepada nafsu yang mengongkong ‎kehidupannya.‎

‎5. Kurangnya penyeliaan oleh pegawai atasan. Berdasarkan pengalaman BPR juga. ‎kurangnya penyeliaan pegawai atasan akan menyebabkan mana-mana individu yang ‎didorong oleh unsur-unsur yang tidak sihat akan mengambil kesempatan dari keadaan itu ‎untuk melakukan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. ‎

‎6. Kurangnya komitmen kepimpinan untuk mengenalpasti ruang-ruang yang boleh me- ‎nyebabkan berlakunya perbuatan rasuah, dan ditambah pula wujudnya pemimpin yang ‎takut untuk menjadi tidak popular, menyebabkan keadaan akan tidak terkawal.‎

‎7. Terlalu banyak penurunan kuasa tanpa pengawasan yang bijak oleh pegawai atasannya ‎akan juga membuka banyak ruang berlakunya perbuatan rasuah, penyelewengan dan ‎penyalahgunaan kuasa.‎

‎8. Kelemahan Peraturan atau Sistem Pelaksanaan Kerja. Selain dari itu, longgarnya ‎tatacara dan peraturan kerja atau kelemahan dalam sistem pelaksanaan kerja itu sendiri, ‎boleh menyebabkan sesebuah Jabatan / Agensi itu sentiasa terdedah dengan perlakuan - ‎perlakuan seperti jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh ‎pegawai dan kakitangannya. ‎

Sekali lagi, komitmen kepimpinan khususnya, dan sikap serta perasaan ‎pertanggungjawaban semua kakitangan bagi mempastikan ketelusan tatacara kerja dan ‎sistem pelaksanaan kerja adalah sangat penting.‎

KESALAHAN RASUAH

Meminta/ Menerima Rasuah
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/ bersetuju menerima ‎suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah ‎untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau ‎berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan. ‎

Menawar/Memberi Rasuah
Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/ bersetuju menerima ‎suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah ‎untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau ‎berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan. ‎

Membuat Tuntutan Palsu
Mana-mana orang memberi kepada ejen, atau ejen memberi kepada ‎prinsipal/majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi ‎butir matan palsu, yang mana prinsipal / majikannya mempunyai kepentingan, dengan ‎tujuan untuk mengeliru/memperdayakan prinsipal/majikannya. ‎

Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat ‎suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-‎apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutu- nya ada ‎kepentingan secara langsung atau tidak langsung.

KESAN BURUK DARI RASUAH AMNYA

1. Menganiayai orang yang sepatutnya berhak mendapat sesuatu seperti, projek pembinaan dan seumpamanya. Ini akan menimbulkan pula kesan jangka panjang dimana orang yang dianianya akan turut melakukan rasuah pada lain waktu, agar pekerjaan yang lain jatuh pula ketangannya.

2. Projek pembinaan akan terbengkalai atau mudah rosak. Jika suatu projek pembinaan yang sepatutnya diluluskan oleh Engineer atau Arkitek mengikut kesesuaian spesifikasi ilmu yang mereka pelajari tidak diguna pakai ketika itu kerana dirasuah dan menerima rasuah dari seseorang kontraktor maka projek pembinaan itu akan mudah terbengkalai atau mudah rosak. Kerana kontraktor yang membina projek berkenaan mahu cepat kaya dan inginkan marjin keuntungan yang tinggi.

3. Menyemarakkan perasaan dendam dan api kemarahan, sehingga boleh mencetuskan permusuhan. Hal ini biasanya akan terbit dari pihak yang merasa dianiaya yang mengetahui haknya jatuh ke tangan orang yang memberi rasuah.

4. Tidak akan ada keadilan dalam keputusan yang dibuat oleh hakim di mahkamah. Akibat rasuah orang yang sepatutnya bersalah lepas bebas dan orang yang tidak bersalah pula masuk penjara.

5. Jika pihak menegakkan undang-undang seperti Polis, SPRM, Kastam menerima rasuah, maka kes-kes kejahatan dan perbuatan buruk seperti membunuh, mengedar dadah, penyeludupan, aduan kes rasuah, merogol dan seumpamanya tidak dapat diselesaikan. Bahkan rakyat akan hilang kepercayaan kepada jabatan-jabatan berkenaan.

‎1. Kesan Terhadap Individu:‎

‎(i) Kehilangan pekerjaan.‎
‎(ii) Kejatuhan moral atau maruah.‎
‎(iii) Menerima hukuman.‎
‎(iv) Menghancurkan keharmonian hidup berumahtangga.‎
‎(v) Keluarga terabai.‎

‎2. Kesan Terhadap Masyarakat:‎

‎(i) Mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengenepikan hak-hak orang tertentu.‎
‎(ii) Menggalakkan jenayah dan melindungi penjenayah.‎
‎(iii) Membebankan golongan orang susah.‎
‎(iv) Memburukkan lagi taraf kemiskinan kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan ‎bagi membantu rakyat miskin diselewengkan.‎

‎3. Kesan Terhadap Negara:‎

‎(i) Menjejaskan kecekapan dan integriti pentadbiran.‎
‎(ii) Menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan.‎
‎(iii) Tumpuan pembangunan yang tidak seimbang.‎
‎(iv) Kenaikan kos barang dan perkhidmatan.‎
‎(v) Mengurangkan pendapatan negara.‎
‎(vi) Menurunkan mutu dan kualiti kerja atau produk yang dihasilkan.‎

PEYELESAIAN PENYAKIT RASUAH

Ada beberapa cara atau langkah yang difikirkan boleh mengurangkan masalah rasuah ini ‎daripada berleluasa, antaranya:‎

‎1. Kembali kepada Islam dengan menyebarkan kefahaman terhadap konsep Islam kepada masyarakat seperti ‎menjelaskan hukum Islam terhadap perbuatan rasuah dan mengenal pasti perbuatan yang ‎diredhai Allah Subhanahu wa Ta‘ala mahupun yang sebaliknya.‎

‎2. Pendidikan Islam sejak dari usia kecil agar membentuk peribadi muslim yang beriman ‎dan bertakwa, kerana dengan adanya iman dan takwa boleh menghalang seseorang itu ‎daripada melakukan kejahatan.‎

‎3. Membentuk individu beretika mulia dengan menanam sikap amanah, jujur, menyuruh ‎kepada melakukan kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.‎

‎4. Menanamkan sikap minat belia-belia untuk mempelajari kitab-kitab agama dan ‎sebagainya.‎

‎5. Memperbanyakkan dan mengutamakan aktiviti-aktiviti keagamaan, seperti membaca, ‎menghafal dan merenung isi kandungan al-Qur’an, mengkaji hadis-hadis dan kitab-kitab ‎agama.‎

‎6. Membentuk peribadi muslim kepada seorang yang mahu mengubah sikap diri sendiri ‎daripada yang jahat kepada yang terpuji. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:‎

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum ‎sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri .....” (11)‎
‎(Surah ar-R‘ad: 11)‎

‎7. Memberi kefahaman yang jelas tentang makna dan tujuan hidup yang sementara ini. Terimalah ketentuan Allah dengan redha dan berlapang dada..‎

‎8. Membersihkan jiwa dengan menanamkan kerohanian Islam. Jauhi daripada sifat mahukan hak orang lain.‎

‎9. Merapatkan diri dengan al-Khaliq menerusi amalan ibadat yang wajib dan sunat, ‎seperti sembahyang sunat, berpuasa, berzikir, membaca al-Qur’an dan berselawat.‎

‎10. Menjalankan hukuman ta‘zir bagi memberi pengajaran kepada pelaku rasuah dan juga ‎untuk orang ramai mengambil iktibar dengan hukuman tersebut.‎

‎11. Menyediakan peruntukan akta atau undang-undang bagi membentras gejala rasuah ‎daripada berleluasa. Sebagai contoh, di Negara Brunei Darussalam peruntukan akta ‎berkenaan disebut sebagai Akta Pencegahan Rasuah Bab (2) Penggal 131.‎

KESIMPULAN

Rasuah adalah perkara yang amat dilarang oleh syarak, bahkan mereka yang terlibat ‎dengan amalan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan ‎Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.‎

Perbuatan rasuah juga termasuk dalam perkara memakan harta orang lain dengan jalan ‎yang salah. Kesannya setiap daging yang tumbuh dengan sesuatu yang haram, maka ‎nerakalah yang lebih utama bagi orang tersebut, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‎‎‘alaihi wasallam bersabda:‎

Maksudnya: “Wahai Ka‘ab bin ‘Ujrah: “Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada ‎dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya.”‎
‎(Hadis riwayat Ahmad)‎

Hikmat di sebalik pengharaman Islam terhadap sumber-sumber pencarian yang tidak ‎halal, Islam telah mencapai beberapa matlamat sosial dan ekonomi:‎

‎1. Menjalin hubungan antara manusia berdasarkan prinsip keadilan, persaudaraan, ‎penjagaan kehormatan dan pemberian hak kepada orang yang berhak.‎

‎2. Islam telah menghapuskan faktor utama yang menyebabkan lebarnya jurang perbezaan ‎ekonomi antara kelompok dan status masyarakat. Keuntungan yang keterlaluan, ‎kebanyakannya datang daripada sumber yang haram berbeza dengan jalan yang baik, ia ‎selalunya mendatangkan keuntungan yang sederhana dan logik.‎

‎3. Mendorong manusia agar bekerja dan berusaha, kerana haram memakan harta secara ‎salah iaitu bukan berdasarkan pulangan hasil usaha atau tanpa berkongsi dalam ‎keuntungan dan kerugian seperti judi, riba dan sebagainya, meskipun ia mendatangkan ‎manfaat dari segi ekonomi.‎

Oleh itu, amalan rasuah hendaklah dicegah daripada berleluasa. Cara yang terbaik ialah ‎memberikan pendidikan Islam sejak dari kecil lagi agar keimanan tersemai di dalam jiwa ‎mereka. Apabila keimanan ada dalam jiwa setiap orang, nescaya segala perkara-perkara ‎mungkar dan maksiat akan terhindar daripada mereka, sekaligus akan membina ‎masyarakat dan negara yang aman lagi makmur

No comments:

Post a Comment