WASIAT


WASIAT:Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh ‎seseorang mengenai hartanya, hutangnya atau amal ibadahnya untuk diuruskan selepas ‎berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada ‎fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris. Oleh ‎itu sebaik-baik wasiat adalah yang ditulis dan disaksikan oleh seseorang tertentu.‎

Surat wasiat ialah pengisytiharan sah yang mana penulisnya adalah selaku pewasiat, ‎‎mencalonkan beberapa orang lain untuk menguruskan asetnya serta menguruskan ‎‎pertukaran hartanya apabila pewasiat meninggal dunia. Wasiat juga boleh merupakan surat ‎‎amanah yang hanya menjadi laku dan sah selepas kematian pewasiat.‎


DALIL TENTANG WASIAT‎

Wasiat adalah dibenarkan di dalam Islam. Wasiat disyariatkan melalui dalil Al-Quran, ‎Sunnah Nabi s.a.w., amalan sahabat dan ijma' ulama'.‎

Dalam al-Quran, Allah s.w.t. berfirman:


"...Tetapi sekiranya kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu ‎perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu ‎wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutang kamu..." ‎‎(QS. Surah An-Nisa': 12)‎

Dalam Sunnah, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Seseorang Muslim yang ‎mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur dua malam berturut-‎turut melainkan dia menulis wasiat disisinya”.(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)‎

Hadis ini menyebut kalimah 'tidak sepatutnya' menunjukkan bahawa langkah persediaan ‎perlu diambil oleh setiap seorang muslim dengan menulis wasiatnya kerana dia tidak ‎mengetahui bila ajalnya akan tiba. Kemungkinan kerana kelalaiannya akan mengakibatkan ‎segala hajatnya tergendala dan tidak terlaksana.‎ Manakala harta yang ditinggalkannya menjadi rebutan dan perkelahian pewaris yang masih hidup.

Rasulullah s.a.w. turut besabda yang maksudnya: “Orang yang malang ialah orang yang ‎tidak sempat berwasiat”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)‎

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi: “Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan ‎wasiat maka dia mati di atas jalan Islam dan mengikut sunnah. Dia mati dalam keadaan ‎bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan. (Hadis riwayat Ibnu Majah)‎
‎ ‎

CIRI-CIRI WASIAT ISLAM

Terdapat beberapa ciri dan prinsip wasiat Islam yang perlu dipatuhi:‎

‎1. Harta yang hendak diwasiatkan mestilah tidak lebih daripada sepertiga (1/3) daripada ‎harta pusaka bersih kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris.‎

‎2. Penerimanya hendaklah bukan waris iaitu mereka yang tiada hak faraid ke atas pusaka ‎simati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain.‎

‎3. Jika penerima wasiat meninggal dunia semasa hayat pewasiat, maka wasiat tersebut ‎adalah terbatal.‎

‎4. Jika penerima wasiat meninggal dunia selepas menerima wasiat dan selepas kematian ‎pewasiat, maka haknya boleh diwarisi oleh waris penerima.‎

‎5. Selepas kematian pewasiat, perlu ditolak dahulu kos perbelanjaan pengkebumian dan ‎pembayaran hutang simati.‎

‎6. Wasiat boleh ditarikbalik pada bila-bila masa kerana ia hanya berkuatkuasa selepas ‎kematian pewasiat dan wasiat tersebut perlulah dibuat secara sukarela.‎

‎7. Harta yang diwasiatkan adalah harta milik sendiri secara tunai dan bukan harta milik ‎orang lain.‎

‎8. Jika yang diwasiatkan adalah dari harta perkongsian samada perniagaan atau ‎seumpamanya, maka hendaklah dikepilkan bersama surat perakuan dari rakan kongsi ‎yang menyatakan sah wujudnya dan benarnya sebagaimana yang ditulis dalam wasiat.‎

9. Wasiat yang ditulis hendaklah tidak membebankan penerima wasiat. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa' ayat 12:




Maksudnya: "...Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka ‎bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), ‎sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan ‎hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada ‎waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah ‎Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar".‎


KEPENTINGAN WASIAT

Kepentingan berwasiat bukanlah untuk pembahagian harta semata-mata kerana asas pembahagian telah ditetapkan oleh syarak dalam surah An-Nisa’ ayat 5 hingga 12.‎

Berwasiat adalah untuk menjaga hak dan kepentingan demi keadilan ke atas mereka ‎yang tidak diberikan hak.‎

Berwasiat juga bertujuan untuk melantik seorang pemegang amanah yang akan mentadbir ‎harta pusaka yang ditinggalkan secara sempurna dan bijaksana. Kita semua mahu ‎peninggalan kita di dunia ini diiringi rahmat dan doa dari semua pihak.‎

Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa’ ayat 13:‎


Maksudnya: “(Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. ‎Barangsiapa taat kepada Allah & RasulNya, nescaya Allah memasukkanya ke dalam ‎syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan ‎itulah kemenangan yang besar”.‎

Wasiat juga memberi keadilan dalam pembahagian harta kepada anak-anak yang ‎disembunyikan statusnya kerana perkahwinan kedua atau ketiga yang tidak disenangi ‎keluarga utama.‎

Wasiat mungkin hebahan terhadap harta si pewasiat yang tidak diketahui oleh ahli waris secara menyeluruh atau secara ditil satu persatu. Pewasiat semasa hidupnya menyembunyikan harta atau kepentingan berkenaan dengan sebab-sebab yang tertentu.


HUKUM BERWASIAT

Berdasarkan hadits dari Rasulullah s.a.w., hukumnya sunat;‎

‎“Barang siapa yang mati dalam keadaan berwasiat maka dia telah mati di atas jalan Allah ‎dan Sunnah, mati dalam keadaan bertaqwa dan syahid dalam keadaan ‎diampuni dosanya”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)‎

Walaubagaimanapun terdapat perbezaan pendapat di antara para ulamak tentang hukum ‎berwasiat. Percanggahan pendapat ini disebabkan para ulamak mengambil kira banyak ‎atau sedikitnya harta yang ditinggalkan. Secara umumnya berwasiat dihukumkan harus.‎

Ada pendapat mengatakan wasiat itu wajib dalam keadaan di mana manusia mempunyai ‎kewajipan syarak yang dikhuatiri akan disia-siakan. Umpamanya hutang kepada Allah dan ‎manusia, misalnya kewajipan zakat atau haji yang belum ditunaikan atau ‎mempunyai amanah yang harus disampaikan atau mempunyai hutang yang tidak ‎diketahui oleh orang lain yang wajib ditunaikan atau mempunyai tanggungjawab atau kontrak yang tidak ‎dipersaksikan.‎

Firman Allah s.w.t.;‎


Maksudnya: “Diwajibkan keatas kamu, apabila seorang diantara kamu kelihatan tanda-‎tanda hampir mati, jika dia mennggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibubapa dan ‎saudara maranya dengan cara yang baik. Ini adalah kewajipan ke atas orang-orang yang ‎bertaqwa”. (QS. Al-Baqarah : 180).‎


PROSES MEMBUAT WASIAT

Untuk membuat wasiat supaya keadaannya lebih terjamin dan diterima semua pihak ‎maka sebaiknya wasiat itu dibuat melalui proses undang-undang yang terdapat di ‎sesebuah negara.‎

‎1.‎ Mengisi borang butiran wasiat
‎2.‎ Menghantar ke pejabat peguam yang dilantik
‎3.‎ Memastikan dan meluluskan draf wasiat
‎4.‎ Menetap tarikh untuk wasiat ditandatangani dan membuat bayaran‎
‎5.‎ Menandatangani wasiat dipejabat guaman yang dilantik
‎6.‎ Wasiat tersebut akan dimeterai atau disilkan
‎7.‎ Wasiat boleh dibawa pulang atau disimpan di dalam peti besi‎
‎8.‎ Wasiat boleh dibuat pindaan bila perlu selagi pewasiat masih hidup
‎9.‎ Wasiat akan dibaca dihadapan waris setelah kematiannya oleh pihak-pihak tertentu.‎

Walau bagaimanapun jika cara di atas tidak disetujui, wasiat juga boleh ditulis sendiri ‎dengan disertakan seorang atau dua orang saksi yang jujur dan adil yang tidak akan ‎mengkhianati amanah si penulis wasiat. Wasiat ditulis dengan butiran-butiran antaranya:‎

1.‎ Tarikh dan tempat wasiat dibuat.‎
‎2.‎ Nama penulis wasiat
‎3.‎ Orang-orang yang dituju dalam wasiat
‎4.‎ Perkara yang diwasiatkan
‎5.‎ Tandatangan penulis wasiat
‎6.‎ Tandatangan saksi.‎

Telah berkata Imam as-Syafi’e: “Tidaklah seseorang itu dikatakan orang yang berhati-hati dan tiada ‎sifat keteguhan sebagai seorang muslim, melainkan bila wasiat itu tertulis dan selalu ‎berada di sisinya bila dia mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, sebab dia tidak ‎tahu bila ajalnya. Jika dia mati tanpa menulis wasiat di sisinya, maka wasiatnya mungkin ‎tidak kesampaian”.‎

No comments:

Post a Comment