ISTIQAMAH

ISTIQAMAH: (استقامة ) Satu perkataan yang berasal dari bahasa Arab, asalnya dari ‎perkataan Qaama, atau qiam yang bermaksud berdiri dengan tegap (Perlu ‎kepada kajian) Bagi seseorang hamba yang mencari syurga Allah s.w.t. maka dia ‎sewajibnya melakukan amal ibadat dengan istiqamah atau dalam bahasa harian ‎disebut sebagai konsistan.

Sebagai contoh, setiap waktu dilakukan solat fardhu ‎secara berjamaah, datang ke masjid lebih awal untuk melakukan solat tahiyyatul ‎masjid, beriktikaf, menjawab azan, solat sunat sebelum solat fardhu, kemudian ‎solat fardhu secara berjamaah sambil berusaha untuk khusyuk dari awal hingga ‎akhir, kemudian mengaminkan doa imam, atau meneruskan berada di masjid ‎untuk mendengar kuliah maghrib atau subuh, kemudian duduk seketika sambil ‎berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah azzawajalla.

Sebelum pulang ‎tunaikanlah dahulu solat sunat selepas solat fardhu. Jika dilakukan begitu setiap ‎waktu, setiap hari sehingga bertahun-tahun, perbuatan itu dinamakan istiqamah. ‎Dalam kehidupan sesorang insan yang bergelar hamba Allah s.w.t. seharusnya ‎dilunsuri perjalanan hidupnya dengan falsafah atau prinsip yang tertentu. ‎Panduan hidup tadi tidak boleh lari daripada falsafah yang sejajar dengan ‎kehendak Allah s.w.t. Jika seseorang insan melangsungkan perjalanan hidupnya ‎dengan falsafah ini, ianya tidak akan gagal, tidak akan kecewa, tidak akan keluh ‎kesah, tidak akan gelisah, tidak akan rasa tertekan (stress), tidak akan bermuram ‎durja, tidak akan dikhianati atau didengki oleh orang lain, tidak akan rasa duka, ‎tidak akan putus asa, tidak akan rasa berdosa dan tidak akan tergelincir dari ‎jalan kebenaran, iaitu jalan Islam.

Istiqamah hendaklah ada dalam setiap ‎pekerjaan, amalan hidup, jalan menuntut ilmu, amal ibadah dan sebagainya. ‎Istiqamah jika dipecahkan setiap ejaannya, akan terungkap suatu frasa yang ‎menarik untuk direnungi dan diikuti.

• IKHTIAR/USAHA ‎
• SABAR/SETIA ‎
• TAWAKKAL ‎
• IKHLAS/BERSERAH ‎
• QANA’AH/PUAS HATI ‎
• AMANAH/JUJUR ‎
• MUJAHADAH/BERSUNGGUH-SUNGGUH ‎
• AMAL JARIAH
• HARAP

HURAIAN ISTIQAMAH

• IKHTIAR Iaitu berusaha dengan bersungguh-sungguh apabila ‎melakukan sesuatu pekerjaan atau menuntut ilmu pengetahuan.

• SABAR Melakukan sesuatu juga hendaklah dengan penuh sabar, segala ‎susah, payah, kerumitan dan sebagainya hendaklah ditempuhi dengan ‎sabar, jangan sesekali cepat mengalah.

• TAWAKKAL ( توكل) Setelah berusaha dan berikhtiar dengan sesungguhnya, dan ‎menghadapi kerenah, mehnah dan tribulasi dengan penuh sabar, maka ‎langkah seterusnya hendaklah diserahkan kepada Allah Yang Maha Kuasa ‎yang akan menentukan hasil natijahnya.

• IKHLAS (إخلاص ) Apabila melakukan sesuatu perkara, perasaan ikhlas jangan ‎sekali-kali dikesampingkan. Lakukanlah sesuatu dengan ikhlas kerana ‎Allah, untuk manusia. Sebagai contoh, seorang tukang masak yang ‎profesional akan sentiasa memasak makanan untuk dimakan oleh orang ‎lain dengan penuh ikhlas. Sebab itulah masakannnya menjadi enak dan ‎lazat, walaupun makanan itu hanya dimasak dengan ala kadar sahaja. ‎Keikhlasan akan membuatkan sipelaku merasa gembira dan ‎mengharapkan orang lain yang menerima pekerjaan dan ‎perkhidmatannya juga gembira.

QANA’AH ( قناعة ) Jika baik yang datang, maka hendaklah diterima dengan ‎tenang dan senanghati, kalau dalam mencari rezeki makan kita semesti ‎mempunyai sifat qana'ah, iaitu rasa syukur dan rasa memadai dengan apa ‎yang telah dikurniakan Allah s.w.t kepada kita.

• AMAL JARIAH Jika banyak yang Allah kurniakan kepada kita maka ‎lakukanlah amal jariah, atau membantu orang-orang Islam lain yang lebih ‎memerlukan bantuan, samada harta benda atau kewangan. Agar dengan ‎itu harta yang kita miliki akan terus diberkati Allah s.w.t.

• MUJAHADAH ( مجاهدة ) = Bersungguh-sungguh) Semua perkara yang diatas tadi ‎hendaklah dilakukan dengan penuh mujahadah. Mungkin tidak semua ‎orang mampu melakukannya tanpa mujadahah atau bersungguh-sungguh, ‎samada dalam melakukan amal jariah sekalipun. Ramai orang yang ‎mempunyai harta yang banyak tetapi berat tangan dan perasaan kerana ‎hasutan nafsu syaitan untuk menghulur walau sedikit kepada orang yang ‎amat memerlukan bantuan.

• AMANAH Setiap rezeki yang dikurniakan Allah hendaklah dinilai, dan ‎dijaga dengan penuh amanah, mungkin rezeki itu adalah hak orang lain yang ‎kita hanya dilantik sebagai pemengang amanah sebelum sampai ke tangan orang ‎yang berhak memilikinya.

• HARAP (Dari bahasa arab = رجاء ) Dan akhirnya, kita hendaklah sentiasa ‎mengharapkan kebaikan di atas setiap sesuatu, ikhtiar dan usaha yang ‎dilakukan, tawakkal dan segala amal jariah yang dilakukan semoga Allah ‎meredhainya dengan sebenar-benar keredhaan. Itu adalah harapan yang ‎kita mesti sematkan di dalam doa dan hati masing-masing. ‎

No comments:

Post a Comment