BIDADARI

BIDADARI SYURGA : Adalah makluk ciptaan Allah yang ditempatkan di dalam syurga. Mereka disediakan untuk orang-orang mukmin yang beramal soleh. Mereka diciptakan Allah tanpa melalui proses kelahiran dari mana-mana ibu, bahkan kejadian mereka hanya dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. dengan kalimah ( كن فيكون )‘Kun fayakuun’.


Allah dan Rasul menggambarkan bahawa mereka berwajah teramat cantik dan amat sempurna kejadiannya. Setiap hamba Allah yang berjaya memasuki syurga di akhirat nanti akan disediakan dua orang bidadari khusus untuk mereka, dan mereka kini sedang menunggu kehadiran suami-suami mereka dari dunia dengan penuh tawaddhuk dan sabar. Firman Allah:


إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً ,فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا ,عُرُبًا أَتْرَابًا
"Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung (tanpa ibu dan tanpa kelahiran)", "Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan", "Penuh cinta lagi sebaya (umurnya)." (QS. Al-Waqi'ah: 35-37)


Mereka mungkin sekali berupa seperti manusia, sesuai dengan ciptaannya untuk manusia. Tubuhnya terdiri daripada misik, za’faran, ambar dan kaafur. Bauannya bau kasturi syurga, dan ditempat oleh Allah di dalam syurga. Mereka dicipta dengan sangat indah oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang beramal soleh, yang berbuat kebaikan semasa di dunia, yang layak untuk memasuki syurga. Tetapi bentuk rupa sebenar, kecantikan dan keindahan mereka tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa.


Diceritakan bahawa bidadari-bidadari syurga ini terlalu rindukan suaminya di dunia dan teringin melihat suaminya di dunia, namun tidak diizin oleh malaikat penjaga syurga. Suatu hari mereka meminta izin dari Allah untuk menjenguk ke bumi untuk melihat suami mereka dan mereka telah diizinkan. Bidadari-bidadari ini dapat mengenal siapa suami mereka kerana di dada mereka telah tertulis nama suami yang mereka rindui. Apabila mereka melihat ke bumi, tatkala terlihat akan isteri kepada suami-suami mereka di dunia yang tidak taat serta derhaka kepada suami, menyakiti suaminya, lalu bidadari syurga itu berkata dan berseru-seru. Sebagaimana telah diceritakan oleh Mu’adz ;


لاَ تُؤْذِي امْرَأةٌ زَوْجَهَا فِي الدُّنْيَا. إِلاَّ قَالَتْ زَوْجَتُهُ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ: لاَ تُؤْذِيهِ، قَاتَلَكِ الله، فَإِنَّمَا هُوَ عِنْدَك دَخِيلٌ يُوشِكَ أَنْ يُفَارِقَكِ إِلَيْنَا
“Tidak ada seorang isteri yang menyakiti hati suaminya di dunia melainkan bidadari yang menjadi pasangannya (di syurga) berseru (mungkin marah): "Jangan engkau sakiti dia!, semoga Allah melaknatimu, sesungguhnya dia hanyalah bertamu (di rumahmu), dia sudah hampir berpisah meninggalkanmu menuju kami.” (Sahih al-Jami’: 7192).


BENTUK FIZIKAL BIDADARI


Tidak ada sesiapapun didunia ini dapat membayangkan rupa bentuk sebenar seorang bidadari. Samada dari segi kecantikannya, cintanya, kasih sayangnya, penuh perhantiannya kepada suami-suami mereka.


Sebagaimana Sabda Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam, maksudnya: “Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu (bidadari) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran (bentuk dan rupanya)” (H.R. Bukhari dan Muslim – Hadits Qudsi)


Walau bagaimanapun di dalam Al-Quran dan al-Hadits banyak sekali ayat-ayat yang menjelaskan secara umum zahir sifat-sifat bidadari ataupun menggambarkan tentang susuk bidadari yang bertempat di syurga dan bersedia melayani para ahli Jannah.


Al-Qur’an menceritakan bahawa bidadari diciptakan sebaya umurnya. Firman Allah:



إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً ,فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا ,عُرُبًا أَتْرَابًا
“Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung (Maksudnya: tanpa melalui kelahiran dan langsung menjadi gadis)”,” dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan”,” penuh cinta lagi sebaya umurnya”. (QS al-Waaqi’ah: 35-37)


Quraish Shihab menjelaskan kalimat ‘lagi sebaya umurnya’ dengan menyampaikan hadits diriwayatkan oleh at-Tirmidzi bahawa seorang wanita tua datang kepada Nabi Muhammad sollallaahu 'alaihi wasallam  memohon didoakan agar masuk syurga. Nabi menjawabnya dengan bersabda (dengan tujuan bergurau sambil mengajar) :”Beritahu wanita itu, bahawa dia tidak akan memasukinya dalam keadaan tua. Sesungguhnya Allah berfirman (lalu beliau membacakan ayat-ayat diatas) . Hadits ini diriwayatkan juga oleh al-Baihaqi dan at-Tabarani, namun oleh Ibnu Hajar dinilai sebagai hadits Dha’if.




Dalil Dari al-Qur’an


قُلْ أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيْرٍ مِّن ذَلِكُمْ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَأَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَرِضْوَانٌ مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ
Katakanlah: "Inginkah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik dari yang demikian itu?( lebih baik dari: wanita-wanita, anak-anak, emas perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang)". Untuk orang-orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai; mereka kekal didalamnya. Dan (mereka dikurniai) isteri-isteri yang disucikan serta mendapat keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (QS al-Imran:15)


كَذَلِكَ وَزَوَّجْنَاهُم بِحُورٍ عِينٍ
“Demikianlah, dan Kami berikan (beri pasangan) kepada mereka dari bidadari yang cantik matanya (mata jeli)”. (QS. ad-Dukhan:54)


كَأَمْثَالِ اللُّؤْلُؤِ الْمَكْنُونِ وَحُورٌ عِينٌ
“Dan ada bidadari-bidadari bermata jeli, laksana mutiara yang tersimpan baik”. (QS. al-Waaqi’ah : 22-23)


إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً ,فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا ,عُرُبًا أَتْرَابًا
"Sesungguhnya kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung (tanpa ibubapa dan tanpa kelahiran)", "dan kami jadikan mereka gadis-gadis yang sentiasa perawan", "Penuh cinta lagi sebaya umurnya." (QS. Al-Waqi'ah: 35-37)


Ibnu Abid Dunya meriwayatkan dari Abul Hawari, dia berkata: Bidadari itu diciptakan langsung (Allah berfirman ‘kun’ maka jadilah). Apabila telah sempurna penciptaan mereka maka dipasanglah kemah-kemah untuk mereka.


وَعِندَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ أَتْرَابٌ
“Dan pada sisi mereka (ada bidadari) yang tidak liar pandangannya dan sebaya umurnya”. (QS. as-Sood: 52)




وَالَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً لَّهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُّطَهَّرَةٌ وَنُدْخِلُهُمْ ظِـلاًّ ظَلِيلاً
“Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan yang soleh, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai; kekal mereka di dalamnya; mereka di dalamnya mempunyai isteri-isteri yang suci, dan Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh lagi nyaman” (QS. an-Nisaa’: 57)

مُتَّكِئِينَ عَلَى سُرُرٍ مَصْفُوفَةٍ وَزَوَّجْنَاهُمْ بِحُورٍ عِينٍ
"Mereka bertelekan di atas dipan-dipan berderetan dan kami kahwinkan mereka dengan bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli." (QS. At-Thur: 20)

كَأَنَّهُنَّ الْيَاقُوتُ وَالْمَرْجَانُ فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلَا جَانٌّ,
“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni syurga yang menjadi suami mereka), dan tidak pula oleh jin", "Seakan-akan bidadari itu permata Yakut (delima merah) dan marjan”. (QS. Ar-Rahman: 56 dan 58)

فِيهِنَّ خَيْرَاتٌ حِسَانٌ
“Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik- baik lagi cantik-cantik”. (QS. Ar-Rahman: 70)


حُورٌ مَقْصُورَاتٌ فِي الْخِيَامِ
"(Bidadari-bidadari) yang jelita, putih bersih, dipingit dalam khemah-khemah." (QS. Ar-Rahman: 72)

Ibnul Qayyim berkata bahawa kemah-kemah ini bukanlah ghuraf (kamar-kamar) atau qushur (istana-istana), melainkan ia adalah tenda di taman-taman dan di atas sungai-sungai.

لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ وَلاَ جَانٌّ
“Mereka (bidadari) itu tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (kecuali oleh suaminya dari dunia), dan tidak pula oleh jin”. (QS. ar-Rahman: 74)

كَأَنَّهُنَّ بَيْضٌ مَّكْنُونٌ, وَعِنْدَهُمْ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ عِينٌ
Di sisi mereka ada bidadari-bidadari yang tidak liar pandangannya dan jelita matanya (tidak memandang kepada yang lain kecuali suami mereka), seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik.” (QS. as-Sooffaat : 48-49)



Dalil Dari Hadits

Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya, nescaya akan menerangi cahaya antara langit dan bumi.” (H.R. Bukhari)

Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Jibril mengatakan kepadaku bahawa ketika orang mukmin masuk syurga, akan disambut oleh bidadari dengan pelukan hangat dan erat. Dengan jari dan telapak tangan manakah akan dibandingkan kelembutan dan keindahannya, kalau lambaiannya akan memadamkan sinar matahari dan bulan?” (H.R. at-Tabrani)

Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Jika sehelai saja dari rambut bidadari jatuh ke bumi, nescaya wanginya akan meliputi seluruh timur dan barat.” (H.R. Ath-Thabrani)

Ibnul Qayyim memberikan penjelasannya mengenai hal ini: “Mengenai rambut bidadari ada dua sifat kontradiktif yang membuat kecantikannya semakin nyata dan memikat. Pekatnya hitam rambut terpadu dengan putihnya wajah dan mata yang bersinar cemerlang. Sungguh terserlah sekali, namun disitulah letak kecantikannya.” (Kitab Hadzil Arwah: 316)

Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Penghuni syurga boleh mencermin melihat wajahnya di pipi bidadari yang mulus itu.” (H.R. Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Dari Anas bin Malik, Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Seandainya bidadari meludah pada tujuh lautan, nescaya air laut akan tawar kerana keindahan dan kemanisan mulutnya, kerana bidadari terbuat dari za’faran.”

Dalam sebuah riwayat oleh Hafidz Abu Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu' (mutiara), dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang merah (delima merah) dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”

Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Sungguh tutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Dari Anas r.a, Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Seorang mukmin di syurga diberi kekuatan untuk menjimak isterinya sekian dan sekian.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah ia begitu kuat?” Baginda s.a.w bersabda, “Ia akan diberi kekuatan seratus orang laki-laki.” (H.R. Tirmidzi)

Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda s.a.w menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang nampak daripada apa yang tidak nampak.” Saya bertanya lagi, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda sollallaahu 'alaihi wasallam menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (H.R. At-Tabrani)


Riwayat Penciptaan Bidadari


Riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari. Dikatakan kepadanya, namanya ‘Aina’, ia diciptakan dari empat unsur, iaitu misik, kafur, anbar dan za’faran. Semua bidadari-bidadari itu sangat merindukan suami-suami mereka. Andai sekali saja bidadari-bidadari itu meludah di dunia maka tawarlah lautan tersebut lantaran ludahnya. Tertulis pada tengkuknya, ‘Barangsiapa yang suka akan dirinya seperti aku, maka beramal dengan ketaatan kepada Tuhannya’.”

Riwayat Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan lihatlah apa yang telah aku ciptakan untuk hamba-hambaKu dan wali-waliKu. Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana syurga yang masih perawan dan matanya bersinar-sinar memuliakannya, lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah syurga ‘Adn kerana gigi-giginya. Lalu malaikat Jibril bersujud, ia menyangka cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka bidadari itu memanggil malaikat Jibril, “Wahai makhluk yang dipercayai Allah s.w.t, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” ucap bidadari jelita itu. “Tidak,” jawab malaikat Jibril. “Sesungguhnya aku ini diciptakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memilih redha Allah s.w.t daripada menuruti hawa nafsunya,” ungkap bidadari itu.”

Di dalam kitab Daqo'iqul Akbar Fii Dzikril Jannati Wan-Nar karya Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy disebutkan: Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam  bersabda, “Allah s.w.t menciptakan wajah bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. Allah menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur. Rambutnya dari sutera yang halus. Jari kakinya hingga kelututnya dicipta dari za’faran dan wangian. Dari lutut sampai payudara dari misik. Dari payudara sampai lehernya dari Anbar dan dari leher sampai kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari itu meludah sekali di dunia, maka jadilah semua air di dunia berbau Kasturi. Di dadanya tertulis nama suaminya dan nama-nama Allah s.w.t. Pada setiap tangan dari kedua tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.”


Seorang Lelaki Mendapat 2 Bidadari

Apabila seorang lelaki mukmin yang soleh diperkenankan Allah untuk memasukki syurga buat pertama kali, dia akan diiringi oleh 2 orang bidadari. Rasulullah sollallaahu 'alaihi wasallam bersabda: “Rombongan yang pertama masuk syurga adalah dengan wajah bercahaya bagai cahaya bulan purnama. Rombongan berikutnya adalah dengan wajah bercahaya seperti bintang-bintang yang berkilau di langit. Masing-masing mereka mempunyai dua isteri, dimana sumsum tulang betisnya kelihatan dari balik dagingnya. Di dalam syurga nanti tidak ada orang bujang.” (H.R. Bukhari dan Muslim)


Isteri Syurga Makin Hari Makin Cantik.

Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Sesugguhnya di syurga terdapat pasar yang dikunjungi penduduk syurga setiap hari jumaat. Angin utara berhembus dan menerpa wajah dan pakaian mereka hingga membuat mereka semakin tampan dan kacak. Dalam keadaan seperti itu, mereka pulang kepada isteri masing-masing. Isteri-isteri mereka berkata, “Demi Allah, tuan semakin tampan dan kacak.” Mereka menjawab, “kalian juga semakin cantik dan mempesona”.


KISAH MEREKA YANG MENDAPAT BIDADRI SYURGA

1. Ainul Mardhiyyah Untuk Pemuda Syahid

Dalam suatu kisah yang dipaparkan Al Yafi’i dari Syeikh Abdul Wahid bin Zahid, dikatakan: Suatu hari ketika kami sedang bersiap-siap hendak berangkat perang, aku meminta beberapa teman untuk membaca sebuah ayat. Salah seorang lelaki tampil sambil membaca ayat Surah At Taubah ayat 111, yang ertinya sebagai berikut :

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka”

Setelah selesai ayat itu dibaca, seorang anak muda yang berusia 15 tahun atau lebih bangkit dari tempat duduknya. Ia mendapat harta warisan cukup besar dari ayahnya yang telah meninggal. Ia berkata: “Wahai Abdul Wahid, benarkah Allah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan syurga untuk mereka?” Jawab Abdul Wahid: “Ya, benar anak muda”. Anak muda itu melanjutkan: “Kalau begitu saksikanlah, bahawa diriku dan hartaku mulai sekarang aku jual dengan syurga.”

Anak muda itu kemudian mengeluarkan semua hartanya untuk disedekahkan bagi perjuangan. Hanya kuda dan pedangnya saja yang tidak. Sampai tiba waktu berangkat, ternyata pemuda itu datang lebih awal. Dialah orang yang pertama kali kulihat. Dalam perjalanan ke medan perang pemuda itu kuperhatikan siang berpuasa dan malamnya dia bangun untuk beribadah. Dia rajin mengurus unta-unta dan kuda tunggangan pasukan serta sering menjaga kami bila sedang tidur.

Sewaktu sampai di daerah Romawi dan kami sedang mengatur strategi pertempuran, tiba-tiba dia maju ke depan medan dan berteriak:”Hai, aku ingin segera bertemu dengan Ainul Mardhiyah . .” Kami menduga dia mulai risau dan fikirannya kacau, kudekati dan aku tanyakan siapakah Ainul Mardiyah itu. Dia menjawab: “Tadi sewaktu aku sedang terlelap, tiba-tiba aku bermimpi. Seseorang datang kepadaku seraya berkata: “Pergilah kepada Ainul Mardiyah.” Ia juga mengajakku memasuki taman yang di bawahnya terdapat sungai dengan air yang jernih dan dipinggirnya nampak para bidadari duduk berhias dengan mengenakan perhiasan-perhiasan yang indah. Manakala melihat kedatanganku, mereka bergembira seraya berkata: “Inilah suami Ainul Mardhiyah”

“Assalamu’alaikum” kataku memberi salam kepada mereka. “Adakah di antara kalian yang bernama Ainul Mardhiyah?” Mereka menjawab salamku dan berkata: “Tidak, kami ini adalah pembantunya. Teruskanlah langkahmu. Tatkala aku sampai pada taman-taman yang lebih indah dengan bidadari yang lebih cantik, aku bertanya lagi ,tapi jawaban mereka sama, mereka adalah pembantunya dan menyuruh aku meneruskan langkah.

Akhirnya aku sampai pada khemah yang terbuat dari mutiara berwarna putih. Di pintu khemah terdapat seorang bidadari yang sewaktu melihat kehadiranku dia nampak sangat gembira dan memanggil-manggil yang ada di dalam: “Hai Ainul Mardhiyah, ini suamimu datang”.

Ketika aku dipersilakan masuk kulihat bidadari yang sangat cantik duduk di atas sofa emas yang ditaburi permata dan yaqut. Waktu aku mendekatinya, dia berkata: “Bersabarlah, kamu belum diizinkan lebih dekat kepadaku, kerana roh kehidupan dunia masih ada dalam dirimu”. Anak muda itu melanjutkan kisah mimpinya: “Lalu aku terbangun, wahai AbdulWahid. Aku tidak sabar lagi menanti terlalu lama”.

Belum sempat perbualan kami selesai, tiba-tiba sekelompok pasukan musuh terdiri sembilan orang menyerbu kami. Pemuda itu segera bangkit dan melawan mereka. Selesai pertempuran aku cuba meneliti, kulihat anak muda itu penuh luka ditubuhnya dan berlumuran darah. Ia nampak tersenyum gembira, senyum penuh kebahagiaan, hingga rohnya berpisah dari badannya untuk meninggalkan dunia. ( Irsyadul Ibad ).

2. Ziyad Bertemu Bidadari Syurga

Telah menceritakan kepada kami Abdullah, telah menceritakan kepada kami Abu Ali al-Mawarzi Hamzah Ibnul ‘Abbnas, telah menceritakan kepada kami Ali Ibnul Hasan dan ‘Abdan Ibn ‘Utsman mengatakan: Telah menceritakan kepada kami Abdullah Ibnul Mubarak dari Abdurrahman Ibn Razin al-Mishri, telah menceritakan kepada kami Abdul Karim Ibnul Harits al-Hadhrami, telah menceritakan kepada kami Abu Idris al-Madini mengatakan:

“Seseorang dari penduduk Madinah bernama Ziyad datang kepada kami. Kami sedang memerangi puak Saqaliyah di negeri Romawi. Kami bertiga, aku, Ziyad dan seorang lagi dari penduduk Madinah mengepung kota. Suatu kali salah seorang dari kami pergi untuk mencari makanan. Ketika itu peluru manjanik [1] jatuh terhempas berhampiran Ziyad dan pecahannya mengenai lutut Ziyad sehingga dia pengsan. Aku lalu menariknya. Temanku datang, aku lalu memanggilnya dan kami melalui jalan yang aman dari anak panah dan peluru manjanik.

Siang itu kami hanya duduk diam, sementara Ziyad tidak bergerak sama sekali. Kemudian serta-merta Ziyad tertawa hingga terlihat gigi gerahamnya! lalu diam! Kemudian menangis hingga air matanya mengalir! Lalu diam! Kemudian dia diam sesaat dan setelah itu tersedar dan duduk tegak. Dia berkata: “Kenapa aku disini?” kami jawab: “Tidakkah engkau mengetahui apa yang terjadi pada dirimu?” dia menjawab: “Tidak!” Kami katakan: “Tidakkah engkau ingat peluru manjanik yang jatuh di sampingmu?” dia menjawab: “Ya!. Kami katakan : “Engkau terkena pecahannya hingga engkau jatuh pengsan, kemudian engkau melakukan demikian dan demikian!” dia menjawab: “Benar! Aku akan beritahu kepada kalian berdua: “Aku dibawa ke suatu kamar yang terbuat dari mutiara dan intan, aku lalu dihantarkan ke tempat tidur yang terbuat dari emas dan terjahit dari benang emas.

Di kedua sisi kamar tersebut terdapat dua buah bantal. Setelah aku duduk di atas tempat tidur itu, aku mendengar suara gemercing perhiasan dari samping kananku. Dari sana keluar seorang gadis. Aku tidak tahu mana yang lebih indah; kecantikan gadis itu, pakaiannya atau perhiasannya! Dia lalu berjalan ke arah sudut kamar. Dia memberi salam kepadaku dan berkata: “Selamat datang wahai orang yang tidak pernah memohon kami kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, padahal kami tidak seperti fulanah -isterinya-!” ketika dia mengingatkan aku akan isteriku dengan ungkapannya, aku tertawa. Dia lalu mendatangiku dan duduk di samping kananku. Aku bertanya kepadanya: “Siapa kamu?” dia menjawab: “Aku adalah madu bagi isterimu!” Ketika aku menjulurkan tanganku untuk menjamahnya, dia berkata: “Tunggu sebentar! Engkau akan mendatangi kami di waktu zuhur.” Akupun menangis setelah dia selesai bicara.

Kemudian aku mendengar lagi suara gemercing perhiasan dari samping kiriku. Ternyata dari sana keluar juga seorang gadis serupa dengan gadis yang pertama, berbicaranya sama. Aku juga melakukan seperti yang aku lakukan pada gadis yang pertama; aku tertawa ketika dia menyebutkan tentang isteriku. Dia duduk di samping kiriku. Ketika aku menjulurkan tangan untuk menjamahnya, dia mengatakan: “Tunggu sebentar! Engkau akan mendatangi kami di waktu zuhur,” maka akupun menangis.” Ziyad terus duduk bersama kami dan berbicara. Ketika terdengar suara azan, dia rebah dan mati.”

Abdul Karim mengatakan: “Ada seseorang yang menceritakan kisah ini kepada kami dari Abu Idris al-Madini. Kemudian dia mendatangiku dan berkata kepadaku: “Mahukah engkau datang kepada Abu Idris dan mendengar langsung darinya?” akupun mendatanginya dan mendengar langsung darinya.”[1]

3. Bidadari Saidina Umar r.a.

Suatu hari ketika Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dimi'rajkan menghadap Allah subhaanahu wa taala,  malaikat Jibril a.s memperlihatkan kepada baginda taman-taman syurga. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam melihat ada sekumpulan bidadari yang sedang bergurau dan bermain. Ada seorang bidadari yang begitu berbeza dari yang lainnya. Bidadari itu menyendiri dan nampak sangat pemalu. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam bertanya kepada Jibril a.s, "Wahai Jibril a.s bidadari siapakah itu?". Malaikat Jibril a.s menjawab, "Bidadari itu adalah diperuntukkan bagi sahabatmu Umar r.a.".

Pernah suatu hari ia membayangkan tentang syurga yang engkau ceritakan keindahannya. Ia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeza dari bidadari yang lainnya. Bidadari yang diinginkannya itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya berwarna merah, dan bahagian bawah matanya berwarna biru serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Kerana sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah SWT maka saat itu juga Allah subhaanahu wa taa’ala menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya".


1 MAHLIGAI DI SYURGA BERJUTA BIDADARI.

Sesiapa mendapat 1 Mahligai di syurga, maka dia akan mendapat 24,010,000 (24 juta bidadari.) 

Sebagaimana Hadits diriwayat oleh Hafidz Abu Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu (mutiara), dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang merah (delima) dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”
1 Mahligai dicipta dari Lu’lu’, di dalamnya terdapat;
70 kampung dicipta dari Yaqut merah, didalamnya terkandung;
70 Rumah dicipta dari Zamrud hijau, di dalam setiap rumah terdapat;
70 bilik tidur, dan di dalam setiap bilik terdapat;
70 bidadari.
Jumlah bidadari seluruhnya 24,010,000

Untuk membina satu Mahligai di Syurga cukup dengan sekali tasbih, tahmid dan takbir.

No comments:

Post a Comment