ASNAF ZAKAT

ASNAF ZAKAT : Iaitu orang-orang yang layak dan berhak menerima zakat, samada zakat fitrah atau zakat harta. Mereka ini terdapat dalam firman Allah:

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. (Q.S. at-Taubah : 60)

Terdapat 8 Asnaf atau orang yang layak menerima zakat. Kumpulan ini samalah dengan mereka yang berhak menerima Zakat Fitrah. Mereka itu ialah:

1. Orang fakir : Iaitu orang yang tiada harta yang boleh mencukupkan keperluan dirinya; keperluan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Contohnya, seseorang itu memerlukan RM10.00 sehari tetapi dia hanya mampu memperolehi RM3.00 sahaja.

2. Orang miskin : Iaitu orang yang mempunyai harta tetapi hanya cukup memenuhi keperluan dirinya sahaja. Mereka yang tidak berkecukupan dalam perbelanjaan penghidupannya dan masih dalam keadaan kekurangan. Mereka lebih baik dari Fakir, sebagai contoh, jika sepatutnya mereka memerlukan RM10.00 sehari tetapi mereka hanya mampu memperolehi RM8.00 sahaja.

Menurut pendapat yang paling sahih golongan fakir dan miskin ini hendaklah diberi zakat agar mencukupi untuk mencukupi untuk sepanjang kehidupan mereka menurut kebiasaan umur mereka.

Keperluan perbelanjaan kahwin juga termasuk keperluan sebenar yang perlu diberi perhatian ketika mengambil kira apa yang dimiliki dan apa yang diperlukan.

3. Amil zakat : Adalah orang yang bertugas mengurus pungutan dan pembahagian zakat yang dilantik oleh pemerintah untuk mengumpul dan membahagikan zakat. Kebiasaan yang ditemui dalam masyarakat ialah Imam Masjid, Bilal, Pegawai-pegawai Agama dan seumpamanya. Mereka diberi upah dari harta zakat berdasarkan kerja yang mereka lakukan. Tidak boleh ditambah lebih dan tidak boleh dikira berdasarkan peratus tertentu daripada kutipan hasil.

Ini kerana tidak ada dalil yang mengharuskan mereka mengambil dari peratusan harta zakat yang dikumpul. Mereka hanyalah orang-orang yang diberi upah berdasarkan kerja mereka sahaja. Kalau dipersetujui RM 100 selama tempoh sebulan maka hanya  itulah sahaja hak mereka.

4. Mualaf : Atau dari ayat sebenar ‘Mu’allafatu Qulubuhum’, iaitu orang-orang yang dijinakkan hati mereka kepada Islam.
a. Agar dengan memberi zakat itu akan menguatkan imam mereka  yang baru memeluk Islam.
b. Agar dilihat oleh ahli keluarga mereka yang belum Islam dapat menarik mereka kepada Islam.
c. Agar lebih cepat menarik hati-hati mereka yang lembut dari kalangan orang kafir seperti berkawan, berjiran, bekerja bersama, berurusan bersama dan seumpamanya untuk memeluk agama Islam.

Jika mereka orang yang baru memeluk Islam (saudara baru). Mereka ini layak menerima zakat dan fitrah selama mereka belum mampu menanggung diri sendiri dan keluarga atau sehingga mereka mampu memberi zakat kepada orang lain pula.

5. Ar-Riqab : Hamba yang ingin memerdekakan dirinya. Hamba pada asal hukumnya adalah ‘Hamba Mukatab’ , iaitu hamba yang beraqad dengan tuannya untuk membebaskan diri dengan membayar secara ansuran. Apabila cukup bayaran mereka akan dibebaskan. Oleh itu zakat diberikan kepada mereka apabila mereka tidak mampu menjelaskan bayaran ansuran ini.

Termasuk juga muslim yang memerlukan harta untuk melepaskan diri dari ditawan oleh orang-orang kafir.

6. Raaghimin : Orang berhutang: Iaitu orang-orang yang berhutang dengan tujuan yang baik. Mereka dibebani hutang yang tidak mampu membayarnya. Jadi berikanlah kepadanya sebahagian  harta yang membolehkan mereka menjelaskan hutangnya yang telah matang dan mencukupkan makanan, minuman dan pakaian.

Tidak sah memberi zakat kepada orang yang berhutang kerana maksiat, seperti berjudi, meminjam dengan along (ceti) dan sebagainya, kecuali mereka telah diyakini betul-betul bertaubat.

Termasuk dalam kategori ini ialah mereka yang berhutang  untuk mengelakkan fitnah yang berlaku hasil daripada 2 orang yang bertelagah (kerana hutang), lalu dia diberikan sejumlah wang dari harta zakat untuk membayar hutang yang dilakukannya untuk tujuan tersebut, walaupun dia seorang yang kaya raya, yang mampu melunaskan hutang itu dengan hartanya.

Harus bagi seorang isteri yang mempunyai harta memberi zakat kepada suaminya yang menanggung bebanan hutang yang cukup matang dan tak mampu dilunasinya sebagaimana janji. Ini bagi mengelak berlakunya fitnah keatas keluarga tersebut.

Begitu juga harus bagi seorang kawan membantu kawannya yang menghadapi bebanan hutang yang tak mampu dibayar, walaupun sama taraf.

7. Fii Sabilillaah : Orang yang berjuang pada jalan Allah s.w.t. Maksudnya ialah lelaki yang berperang dan berjihad dengan sukarela untuk membela dan mempertahankan Islam dan mereka tidak mendapat upah dan gaji daripada harta orang Islam. Jadi diberikan zakat kepada mereka apa yang mencukupkan keperluan mereka dan keluarga mereka yang ditinggalkan sehingga mereka kembali. Walau selama mana mereka pergi dan walaupun mereka kaya raya (kecuali jika mereka menolak). Harus juga diberikan kepadanya apa yang membantunya untuk berjihad seperti pengangkutan diri dan barangannya, peralatan perang dan ubat-ubatannya.

Ulama akhir-akhir ini mengharuskan dan menjadikannya sebagai zakat ke atas pemberian kepada pembinaan Masjid, surau, Sekolah, Dewan orang ramai dan sumpamanya.

8. Ibnus Sabil (anak-anak di jalanan): Iaitu mereka yang bermusafir dengan berlandaskan syarak dan hendaklah yang diredhai Allah (terutamanya terkandas), seperti pergi menuntut ilmu, pergi untuk membantu seseorang yang dianiaya atau dizalimi, berpergian kerana bekerja mencari rezeki untuk menyara hidup dan keluarga, bukan kerana berhibur, berkelahi, membuat urusniaga yang haram dan sebagainya. Diharuskan juga membantu mereka dengan zakat bagi mereka yang terkandas dalam perjalanannya kerana melancong.

No comments:

Post a Comment