KHUSYUK

KHUSYUK ( ‎خشوع‎ ) : Sengaja dan ikhlas serta tunduk zahir dan batin; dengan menyempurnakan keindahan bentuk atau sikap zahirnya, serta memenuhinya dengan kehadiran hati, kesedaran dan memahami segala ucapan dan bentuk atau sikap zahir itu.

Dari segi pemahaman umum khusyuk adalah tetap melekat hatinya, matanya dan telinganya hanya kepada ‎perkara yang ‎dilakukan di hadapannya.

Sebagai contoh, seseorang yang khusyuk ketika ‎membaca ‎akhbar atau majalah tidak akan mendengar panggilan dari sabahatnya jika dari arah belakang sehinggalah beberapa kali panggilan.‎

Sifat khusyuk paling penting terutama dalam ibadah-ibadah seperti solat, tawaf, sai’e, zikir, baca al-‎‎Qur’an, berdoa dan sebagainya.‎ Ibadah tanpa khusyuk tidak akan diterima Allah s.w.t. Membaca akhbar tanpa khusyuk tidak akan difahami apa yang dibaca, apatah lagi untuk mengingati faktanya.

"Akhir zaman khusyuk ‎‎akan lenyap dari hati-hati manusia"
Solat tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Justeru khusyuk di dalam solat adalah penting. ‎‎Namun khusyuk perlu diamalkan tidak hanya di dalam solat. Ia perlu diaplikasikan dalam ‎‎setiap ibadah yang kita lakukan agar kesannya lebih positif. Di akhir zaman khusyuk ‎‎akan lenyap dari hati-hati manusia digantikan dengan kealpaan dan kelalaian. Mengikut ‎‎Imam Al-Hakim, sahabat Ubadah bin Somit berkata, “Tidak berapa lama lagi akan ‎‎sampai satu zaman apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki ‎‎yang khusyuk.” ‎

Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika nabi ternampak seorang lelaki ‎‎menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ‎‎ini akan tenanglah anggota badannya.” ‎

Berkata Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di ‎‎samping tenang anggota badan.” Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn ‎Abbas berkata, “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” ‎

Ali bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Sebagaimana diceritakan tentang kekhusyukan hati saidina Ali dalam solatnya, apabila anak panah berjaya dicabut dari belakangnya ketika dia solat.‎

Imam Hasan Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ‎‎ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan.” ‎

Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu ‎‎Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan ‎‎dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan ‎‎tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.” Pendapat ini ‎‎disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.‎

Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, sahabat Huzaifah bin Yaman ‎‎berkata, “Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan akhirnya ‎‎yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu.”‎

CARA UNTUK KHUSYUK

Asas kepada khusyuk ialah kebersihan hati. Justeru, untuk menjadi sesuatu ibadah itu ‎‎dilakukan dengan khusyuk maka penekanan perlu diberikan kepada ibadah hati tanpa ‎‎mengabaikan rukun-rukun yang berkaitan dengan anggota badan. Unsur-unsur ibadah ‎‎hati yang ditekankan ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali dalam ‎‎Ihya Ulumuddin, ialah, “Kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, ‎‎harap dan malu.” ‎

1. Kehadiran Hati Terhadap Apa Yang Dilakukan
2. Pemahaman Tentang Apa yang Dilakukan
3. Pengagungan Terhadap Kebesaran Allah
4. Merasai Kehebatan Allah
5. Mengharap Pahala dan Keredhaan Allah
6. Malu Berdepan Dengan Allah

Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara yang lain ‎‎daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di ‎‎dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah ‎‎hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud, ‎‎mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat pergantungan bagi ‎‎manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana ‎‎pastinya terdapat kekurangan padanya.‎

Untuk membantu kekhusyukan hati, beberapa pengaruh luaran perlu dikawal dan dijaga. ‎‎Antaranya, jika seseorang berasa lapar hendaklah beliau menjamah makanan terlebih ‎‎dahulu sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang ‎‎bermaksud, “Apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat telah dilaungkan, ‎‎mulailah dengan mengambil makanan malam terlebih dahulu.” Demikian jugalah ‎‎kiasannya dengan membuang air besar dan kecil dan yang seumpamanya.‎

Dalam kitab Ihya Ulumuddin dalam bab Rahsia Solat Dan Kepentingannya, Imam Al-‎‎Ghazali berkata, “Pengaruh luar merupakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada ‎‎pendengaran dan penglihatan sekali gus mengganggu kekhusyukan seseorang. Ubatnya ‎‎ialah memisahkan dan menjauhkan diri dari kesemua pengaruh itu. ‎

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah tidak melaksanakan solat di tempat yang ‎‎dipenuhi ukiran kesenian dan tidak melaksanakan solat di atas sejadah yang mempunyai ‎‎celupan warna yang menarik (serta gambar-gambar). Ketika hendak bertakbiratul ihram ‎‎hendaklah dikeluarkan dari hatinya segala perkara yang boleh mengganggu jiwanya, dan ‎‎dimasukkan ke dalam hati itu ingatan kepada akhirat dan dibayangkan kepadanya ‎‎keadaan huru-hara ketika berdepan dengan Allah pada suatu hari nanti… ‎

Walau bagaimanapun hawa nafsu memang susah hendak dikawal. Manusia akan terus ‎‎bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang memang mencintai dunia dan ‎‎condong kepadanya tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat. ‎‎Justeru mujahadah hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. ‎

Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan ‎‎seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Seberapa banyak air yang dapat ‎‎dimasukkan ke dalam gelas itu akan mengurangkan jumlah yang sama daripada cuka. Tentu diperlukan air yang terlalu banyak untuk menghilangkan rasa masam segelas cuka. ‎‎Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu. ”‎

Benarlah Imam Al-Hasan ketika beliau berkata, “Mereka yang tidak menghadirkan hati ‎‎ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah”.‎

PETUA KHUSYUK DALAM SOLAT

Sebenarnya khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah s.w.t:-

Yang bermaksud: “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya”[QS Al-Mukminun : 1-2]. FirmanNya lagi:-

Ertinya: "Peliharalah segala solatmu dan peliharalah solat utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" [Surah Al-Baqarah : ayat 238] dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain. Firman Allah lagi:-

Yang bermaksud : "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah Al-Ma'un : ayat 4-5]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam solatnya." Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam solatnya kecuali sekadar mana yang ia ingat." Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. "Aku selalu mengingati mati dalam solat". serta "Apabila kamu solat anggaplah solat ini solat perpisahan (terakhir)".

Yang dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup. Untuk mengekalkan solat yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan solat:

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Husnul Qoori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafahum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (hadir hati), menyedari bahawa Allah memperhatikan solat itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan solat secara berjemaah. Dan berada di saf paling hadapan. Jika berada disaf belakang, kita akan melihat banyak perkara, antaranya kain jamaah di hadapan, tumitnya, gerak gerinya, tingkah lakunya dan sebagainya.

12. Mengambil wudhuk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut dalam tahiyyat mata menjeling melihat jari telunjuk.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15. Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.

Walau apapun syarat khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam solat bermula dari khusyuk di luar solat. Kalau di luar solat hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam solat. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Menurutnya lagi bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Saidina Ali r.a boleh khusyuk dalam solatnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa. Sayidina Umar Al Khattab pernah berkata, "Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati."

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang bermaksud:

"Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya" [QS. Al-Baqarah : 45-46].

No comments: