Bila ingin berwudhuk lebih sempurna, yakni sempurna lahiriah dan sempurna pula dalam ganjaran, maka kerjakanlah tabahan-tambahannya dengan cara sebagai berikut:
SYARAT-SYARAT
1. Mulailah dengan mengucapkan Basmalah dan doa.
2. Berusaha menghadaplah ke arah kiblat
3. Usahakanlah berwudhu' dengan tidak meminta bantuan orang lain, seperti menimba, dan sebagainya.
4. Bersihkan semua anggota wudhuk daripada segala kotoran dan najis. Pastikan anggota wudhuk bebas daripada perkara yang menghalang air dari sampai kepada kulit.
5. Mulailah dengan anggota wudhuk yang sebelah kanan.
6. Ulangilah masing-masing sampai tiga kali (3X).
7. Ratakanlah air hingga membasahi seluruh anggota wudhu'
CARA BERWUDHUK
Berdoalah sebelum memulakan wudhuk.
Maksudnya: "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Aku berlindung dengan engkau daripada gangguan Syaitan dan aku berlindung dengan engkau daripada kedatangan syaitan itu.
1. Basuhlah jari-jari tangan dengan menyelat-nyelatinya. Dan bagi jari yang bercincin, jam atau perhiasan yang dipakai di jari-jari lainnya, bukalah perhiasan tersebut agar air dapat merata membasahi seluruh jari-jari.
2. Baca doa semasa membasuh tangan.
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku, aku memohon kepadamu kebahagiaan dan keberkatan dan aku berlindung denganMu daripada kecelakaan dan kebinasaan".
3. Berkumur-kumur. Gosoklah gigi untuk menghilangkan sisa makanan dan bau mulut yang kurang sedap. Samada menggunakan kayu sugi, berus gigi atau sekurang-kurangnya dengan jari. Sambil berdoa;
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku, tolonglah aku untuk membaca kitabMu dan memperbanyakkan zikir padaMu. Dan tetapkan aku dengan kata-kata yang tetap di dunia dan di akhirat.
4. Masukkanlah air ke dalam hidung, lalu keluarkanlah kembali (istinsyaq). Sambil berdoa;
(Allahumma aujidlii ra'ihatal jannati wa anta 'anni raadhin)
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah bagiku bau-bauan syurga dan Engkau meredhaiku".
Maksudnya:"Aku berlindung dengan Engkau daripada bau-bauan neraka dan daripada buruknya tempat tinggal di sana".
5. Mulakan dengan membasuh muka sambil berniat mengambil wudhuk, atau mengangkat hadas. Basuh muka dengan meratakan air keseluruh muka yang kelihatan, bermula dari gigi anak rambut hingga bawah dagu.Sebaik-baiknya gunakan kedua-dua telapak tangan Sambil berniat;
Ertinya: “Aku niat berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil fardu/wajib kerana Allah Taala.”
Doa ketika membasuh muka selepas berniat;
Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhanku serikanlah mukaku dengan nurMu pada hari di mana segala muka wali engkau putih berseri. Janganlah Engkau hitamkan mukaku dengan kegelapan Engkau pada hari di mana segala muka-muka musuhmu akan menjadi hitam".
6. Basuh kedua tangan hingga melepasi siku sambil berdoa, dimulakan yang kanan; Doa ketika membasuh tangan kanan hingga kesiku dalam berwudhu'.
Maksudnya: "Ya Tuhanku, berikanlah sukatan amalku dengan tangan kananku dan hisabkanlah amalku dengan cara yang mudah".
Doa ketika membasuh tangan kiri
(Allahumma inni a'udzubika an tu'tinii kitaabi bisyimaalii au min waraa'i zahri)
Maksudnya: "Ya Tuhanku sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada engkau memberikan surat amalku dari tangan kiriku atau dari sebelah belakangku.
7. Basuh kepala (rambut). Ketika menyapu kepala, ratakan seluruhnya (letakkan ibu jari samping kiri dan kanan kepala, lalu putarlah telapak tangan dari depan ke belakang, kemudian kembali ke depan (cukup sekali) dengan menyapu ekor cicak dengan ibu jari kedua-dua belah tangan serentak. Sebaik-baik cara adalah dengan menggunakan kedua-dua telapak tangan sambil berdoanya sebagaimana berikut;
(Allahumma Harrim sya'ri wa basyyirii minan naar)
Ertinya: "Ya Allah, harmkanlah rambutku dan kulitku daripada kepanasan api neraka".
8. Basuhlah telinga dengan memasukkan telunjuk kedalam 2 lubang pada setiap telinga, ibu jari diletak dibelakang telinga untuk menyapu keseluruhan belakang telinga. Sambil itu bacalah doa;
(Allahummaj 'alnii minal ladziina yastami'uunal qaula fayattabi'uuna ahsanahu)
Ertinya:"Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah diriku ini sebagai orang-orang yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya".
9. Basuh kedua kaki hingga melepasi buku lali. Gosoklah celah-celah jari agar semua tempat diratai dengan air. Sambil membaca doa berikut;
(Allahumma innii a'udzubika 'an tazilla qadamii 'alas siraati mustaqiimi ma'a aqdaami ibadikal munafiqiin )
Ertinya: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau daripada tergelincirnya kakiku di atas titian siratal mustaqim kedalam neraka pada hari tergelincirnya kaki-kaki orang munafiq".
10. Bila selesai berwudhu', hadapkan muka ke arah kiblat dan berdoalah dengan membaca:
(Asyhadu alla ilaha illallah wahdahu la syarika lahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhu warasuluhu. Allahummaj’alni minat tawwabina, waj’alni minal mutatahhirina waj’alni min ‘ibadikas-salihina).
Ertinya: “Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan tidak ada yang menyekutukan bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahwa nabi Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku dari kalangan orang yang bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang disucikan dan jadikanlah aku dari kalangan hambaMu yang soleh.”.
11. Lakukanlah Solat Sunnat Wudhu' dua raka'at.
HIKMAH WUDHU’
Dengan wudhuk yang sempurna akan membawa kekhusyukan dalam solat seseorang dan menghindarinya daripada gangguan syaitan.
Wudhuk sempurna juga dapat mengelak daripada mudah terbatal wudhuk apabila disentuh dari belakang oleh wanita muslimah yang halal dinikahi. Ini bermakna bagi jemaah haji yang mengerjakan ibadah haji di makkah amat dituntut untuk melakukan wudhuk yang sempurna terutama ketika menunaikan solat dan melakukan tawaf.
Wudhuk yang sempurna akan menggugurkan dosa-dosa kecil, sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang berwudhuk dan dalam melakukan wudhuknya itu dia berserah semata-mata hanya kepada Allah, lalu dia pula mematuhi segala rukun tertibnya yang betul, maka nescaya akan keluarlah segala dosa-dosanya daripada seluruh jasad hatta sekalipun dosa yang ada tersangkut pada celah kukunya pun akan mengalir jatuh bersama air wudhuk itu.” (HR Muslim dan An-Nasai)
Tidak dinafikan cabaran bagi kita untuk bangun pagi dan berwudhuk bagi menunaikan solat Subuh kerana lebih enak meneruskan tidur tetapi Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang berwudhuk dengan cara sempurna di awal pagi yang dingin maka pahala baginya dua kali ganda.” (HR At-Tabrani)
Hadis sahih juga menerangkan bahawa kebiasaan mengambil wudhuk pada tiap hari lima kali (kerana keperluan untuk solat lima waktu untuk sehari semalam) mempunyai manfaat yang baik dari segi kesihatan.
Berwudhuk secara tidak langsung membantu kita membersihkan seluruh anggota terpenting seperti muka, kedua tangan, pertengahan kepala, kedua telinga serta kedua kaki daripada segala kekotoran yang tidak disangkakan.
Lantaran itu, daripada penglihatan fizikalnya, orang yang rajin serta tekun menunaikan solat secara tetap dan berkekalan akan kelihatan bersih berseri wajah, anggota tangan dan kakinya. Ini bertepatan sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud, “Sesungguhnya perumpamaan bagi mereka yang sering kali berwuduk dan menunaikan solat itu ialah seperti seseorang yang mandi lima kali sehari di sebatang anak sungai, maka sudah barang tentu badannya akan bersih dan suci sepanjang waktu.”
Diriwayatkan daripada Saidina Umar al-Khattab, aku pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa di antara kamu yang berwudhuk lalu selepas memperlengkapkan wudhuknya dia mengucap dua kalimah syahadah pula, maka di akhirat nanti akan dibukakan lapan pintu syurga lalu malaikat akan mengiringnya masuk daripada mana-mana saja pintu yang dikehendakinya.”
Saidina Abu Bakar seorang khalifah Islam yang terbilang pernah ditanya seseorang mengenai perbuatannya mengambil wudhuk pada saat akan menunggangi unta, lalu Saidina Abu Bakar menjawab, “Dengan berwudhuk ketika akan melakukan perjalanan, dengan izin Allah swt kita akan terhindar daripada sebarang musibah dan kemalangan.” Banyak riwayat serta hadis yang menerangkan betapa besarnya fadilat dan keberkatan wudhuk, sehingga kita perlu mengakui pentingnya mengekalkan wudhuk dan tidak hanya menjadikannya kewajipan untuk menunaikan solat.
No comments:
Post a Comment