1 Memulakan perjalanan pada hari Khamis (jika boleh dilakukan). “Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)
2 Memulakan perjalanan pada waktu malam. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.” (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud)
3 Menjaga makan-minum agar tidak bercampur dengan perkara yang syubhah. Rasulullah s.a.w pernah menyebutkan dalam satu hadis tentang seseorang yang sedang dalam perjalanan panjang, rambutnya kusut dan berdebu. Dia berdoa sambil menadahkan tangannya ke langit, dia berucap: Ya Rabbi, Ya Rabbi, sementara makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya dimakbulkan. (Hadis diriwayatkan Imam Muslim)
4 Dianjurkan bermusafir bersama-sama Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)
5 Meraikan permulaan perjalanan dan berdoa. Abu Hurairah r.a meriwayatkan,
seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan
memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi s.a.w berdoa, “Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.” (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi)
6 Dianjurkan agar segera kembali ke pangkuan keluarga apabila urusan sudah selesai. Sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: “Perjalanan adalah sebahagian daripada azab. Dia tidak dapat makan enak dan minum sepuas-puasnya serta tidur dengan nyenyak. Apabila seorang daripada kamu sudah menyelesaikan hajatnya, segeralah kembali kepada keluarganya.” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
7. Sebaik-baik musafir adalah berteman, iaitu musafir bersama 2 orang teman atau sahabat. Serta melantik salah seorang sebagai ketua.
8. Melakukan solat sunat musafir sebelum bermusafir dengan berdoa kepada Allah agar Allah memberi keselamatan dalam perjalanan pergi dan balik, menyelamatkan diri daripada perbuatan khianat orang-orang yang jahat, melindungi harta dan keluarga yang ditinggalkan, dan sebagainya.
Adab Dalam Perjalanan
1. Hendaklah menjaga solat dan waktunya, serta menunaikan tuntutan Rukhsah dalam bermusafir.
2. Menjaga pandangan mata, telinga dan fikiran semasa dalam perjalanan.
3. Kurangkan bercakap perkara-perkara yang melalaikan daripada mengingati Allah.
4. Menunaikan solat sunat sepanjang perjalanan
5. Sentiasa dalam keadaan berwudhuk.
Tujuan Musafir.
Menurut Imam Ghazali dalam Ihya Ulumiddin bahawa musafir itu ada berbagai tujuan. Hanya 4 tujuan sahaja yang dihalalkan bermusafir.
1. Bermusafir untuk menuntut ilmu pengetahuan. Ini adakalanya wajib atau sunat, dilihat dari jenis ilmu pengetahuan yang dituntut.
“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya untuk mencari ilmu pengetahuan, maka ia berada di dalam jalan Allah sehingga ia kembali”
(Riwayat Tarmizi)
Tentang jenis ilmu, dihuraikan bahawa penting untuk menuntut ilmu pengetahuan untuk membaiki perilaku akhlak, kerana seseorang tidak dapat menginsafi keburukan dan sifat tercelanya sendiri apabila perkara itu lazim di tempatnya sekarang kerana ia sudah menjadi tabiat masyarakat. Tetapi, apabila diuji dengan sesuatu yang asing pada diri kita, barulah kita dapat melihat keburukan pada diri kita sendiri dan berusaha untuk melenyapkannya.
Ambillah manfaat dari pemandangan dari tempat-tempat yang indah dan berfikirlah tentang ayat-ayat Allah, agar ia menambahkan lagi keimanan kita dan meneguhkan keyakinan kita kepada Al-Khaliq.
2. Bermusafir untuk tujuan ibadah seperti menunaikan haji dan peperangan.
Hadis Abu Hurairah r.a:
“Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali menuju ke tiga buah masjid iaitu masjidku ini iaitu masjid Nabi, Masjidilharam di Mekah dan Masjidilaqsa“
(Sahih Muslim)
3. Bermusafir untuk menghindarkan diri dari sebab-sebab yang menganggu agama.
4. Bermusafir untuk menghindarkan diri dari sesuatu yang membahayakan tubuh, selain lari dari penyakit ta’un. (Kerana ada hadith yang jelas melarang.)
Pendeknya, sesuatu tujuan musafir hendaklah difikirkan niatnya. Kerana hatta seseorang itu mahu beribadah menunaikan haji sekalipun, tetapi didorong perasaan riak, maka ia tidak lagi dikira amalan akhirat. Maka, mari kita berfikir sejenak, begitu jauh kita mengembara pulang, tetapi adakah niat kita berada di dalam niat yang diredhai Allah swt. Kerana jika tidak, maka sia-sialah penat lelah kita berjalan, hanya mendapat hasil di dunia sahaja.
إِنَّمَا الأعْمَالُ بِالنِّياتِ
“Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung kepada niat.”(Sahih Bukhari dan Muslim)
Selain dari apa yang disebut oleh Imam Ghazali di atas, musafir boleh juga dilakukan kerana tujuan baik dan berfaedah untuk kehidupan dunia dan akhirat. Seperti;
1. Musafir kerana menziarahi saudara mara yang jauh dan lama berpisah,
2. Musafir kerana mengeratkan hubungan silaturrahim, seperti berjumpa kawan dan sahabat.
3. Musafir kerana membeli barangan dagangan yang halal dan untuk kepentingan orang ramai,
4. Musafir kerana menghantar barangan atau sahabat atau ahli keluarga bagi tujuan menyambung pelajaran dan tujuan-tujuan baik sebagaimana di atas.
5. Musafir kerana mahu memberi bantuan di atas kerja-kerja kebajikan dan amalan.
6. Musafir kerana mahu menyebarkan ilmu pengetahuan dan tujuan dakwah kepada Agama Allah.
7. Musafir bagi menghindarkan diri daripada tohmahan dan fitnah orang lain
Selain daripada Imam Ghazali juga menggariskan beberapa adab yang sepatutnya dijadikan panduan dan dipatuhi oleh seseorang yang akan, sedang dan dalam musafir, antaranya;
Adab I
1. Dimulai dengan memulangkan semula semua harta yang diperoleh dengan pinjaman, secara zalim, penganiayaan, penipuan, pencurian dan sebagainya.
2. Tunaikanlah segala hutang piutang yang masih tertunggak.
3. Lengkapkanlah persiapan dan nafkah tanggungannya, agar tanggungannya ia tidak menghadapi kesukaran nanti.
4. Bekalan yang mahu dibawa mestilah dengan cara benar, bukan diperoleh dengan cara haram lagi batil.
5. Sekiranya, bepergian dengan kumpulan, pastikanlah bekalan mencukupi untuk semua ahli kumpulan.
6. Dalam bermusafir, usahakanlah selalu mengucapkan perkataan-perkataan manis dan baik, suka beri makan pada orang lain.
7. Tampilkanlah budi pekerti yang luhur lagi mulia kerana sepanjang musafir, seseorang akan menemui perkara-perkara yang menyakitkan hati, menimbulkan kekeluhan, maka barangsiapa yang masih luhur budi pekertinya semasa musafir, itu adalah tanda kebaikan budi pekertinya.
8. Berbuat baik kepada sesiapa yang kita sewa bendanya, menolong orang yang tergendala perjalanannya.
9. Beri sedekah kepada orang yang habis bekalan.
10. Lebih sempurna, jika dapat bergurau senda dengan kawan-kawan, tetapi jauhilah perkara maksiat dan perkataan kotor. Semua ini dapat meringankan kesukaran dan mengurangkan keluhan hati.
Adab II
1. Apabila jauh, hendaklah bermusafir dengan sahabat. Carilah sahabat dahulu, baru bermusafir. Carilah sahabat yang dapat membantu dalam urusan agama, agar ia dapat mengingatkan apabila kita lalai dan lupa.
2. Angkatlah seorang menjadi pemimpin. Pilihlah yang terbaik akhlaknya, yang selalu mengutamakan kepentingan sahabatnya dari dirinya dan mengutamakan persepakatan.
“Jika kamu bermusafir bertiga, maka angkatlah seseorang di antara kamu itu sebagai pemimpin.” (Riwayat Thabrani)
Adab III
1. Sebelum berangkat hendaklah meminta diri dahulu dari sahabat-sahabat yang masih menetap atau tidak ikut bermusafir. Orang yang meminta diri sebaiknya mengucapkan
“Saya serahkan kepada Allah, agama dan amanat saudara, dan penutup amalan saudara.” (asal hadith, diriwayatkan Tarmizi)
2. Setelah itu diikuti dengan berdoa,
“Mudah-mudahan engkau dibekali ketakwaan oleh Allah, dan Allah mengampuni dosamu dan menunjukkan kebaikan kepadamu di mana sahaja engkau berada.”
3. Selanjutnya, orang yang mahu bermusafir itu hendaklah beristikharah dan bertawakkal kepada Allah swt sebaik saja melangkah keluar pintu.
4. Bacalah doa menaiki kenderaan,
Adab IV
1. Hendaklah mempunyai sifat belas pada binatang kenderaannya. Jangan sekali dibebani sehingga overload dan jangan dipukul kepalanya sebab kedua tadi sangat dilarang dalam Islam.
2. Disunatkan sekali sekala turun dari kenderaan untuk merehatkannya.
3. Hendaklah seseorang tidak membawa suatu yang tidak termasuk di dalam perjanjian ketika sewa menyewa dibuat.
Adab V
1. Hendaklah selalu berhati-hati, jika bermusafir bersama kafilah atau rombongan agar tidak tertinggal. Sebaiknya berganti-ganti jaga semasa tidur.
2. Orang yang bermusafir hendaklah membawa bersamanya alat-alat mengemas diri, pada masa yang sama tidak terlalu menyusahkan dirinya dalam perihal taharah (bersuci), baik berwuduk dan sebagainya.
Adab VI
1. Apabila Rasulullah saw selesai berperang atau menunaikan haji / umrah, baginda sentiasa bertakbir di tempat tinggi sebanyak 3 kali.
2. Rasulullah saw melarang mengetuk pintu rumah keluarganya sewaktu malam, seolah begitu mendadak kedatangannya agar tidak mengejutkan.
3. Baginda mengajar apabila sampai, menuju ke masjid dan menunaikan solat 2 rakaat, kemudian barulah baginda masuk ke rumah.
4. Bawalah buah tangan untuk keluarga mengikut kemampuan. Ini adalah kerana kita disunatkan, memberikan kegembiraan dengan membawa buah tangan. Tambahan, ini adalah tanda mereka tetap diingati apabila bermusafir.
5. Apabila berada di negeri, bertemulah dengan ilmuan, ulama, hukamak dan mempunyai peribadi yang baik. Niatkanlah untuk mendapat faedah dan manfaat daripada mereka.
6. Jika mahu menziarahi sahabat, elakkanlah melebihi 3 hari menetap di rumahnya, kerana memang itulah hadnya seseorang perlu dilayan sebagai tetamu. Kecuali orang yang diziarahi sangat berat untuk ditinggalkan, atau sangat rindu kerana lama tidak berjumpa.
7. Janganlah melakukan perkara yang tiada manfaat, kerana ini akan melenyapkan keberkatan perjalanannya.
Alhamdulillah, telah selesai kita membaca adab-adab bermusafir. Semoga ini menjadi titik untuk kita berfikir kembali tentang perjalanan kita dan mendapat pahala yang besar daripada Allah swt. Selamat menemui keluarga dan have a safe journey bagi yang bakal pulang minggu ini!
No comments:
Post a Comment