ISRA' DAN MI'RAJ

Isra’ bermaksud perjalanan malam dari Masjidl Haram di Makkah hingga Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa) di Palestin dengan menunggang Buraq. Manakala Mi’raj pula ialah perjalanan Nabi sollallaahu ‘alaihi wasallam melalui tangga yang disediakan oleh Allah dengan anak tangga berjumlah 9 tingkat. Setiap anak tangga membawa mereka kepada satu lapisan langit. Jadi Mi’raj ini adalah perjalan Rasulullah bersama malaikat Jibril dan Mikail melalui tangga dari Masjid Aqsa menuju ke Sidratul Muntaha di atas langit yang ketujuh.

Mengikut setengah riwayat peristiwa Isra' dan Mi'raj ini terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian beliau. Tarikh ini bersamaan 662 M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum Hijrah dari Mekah ke Madinah. Tahun ini juga dikenali sebagai Tahun Dukacita kerana bapa saudaranya Abu Talib bin Abdul Mutalib dan isterinya Siti Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia. Nabi dan anak angkatnya Zaid bin Haritsah diusir dan dibaling batu oleh penduduk Taif sehingga berdarah.

Pendapat lain pula mengatakan berlaku pada hari isnin 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah (tahun 619M.

Tarikh sebenar berlakunya peristiwa hebat itu masih lagi menjadi perselisihan di kalangan ulama.

Ada yang berpendapat ia berlaku sebelum Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam menjadi Nabi. Ia merupakan pendapat yang janggal. Majoriti ulama berpendapat ia terjadi selepas Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam menjadi Nabi. Ia diperkuatkan oleh banyak hadits yang sahih.

Seterusnya mereka berbeza pendapat lagi tentang tahun kejadian selepas kebangkitan Nabi sebagai Nabi samada tahun ke 13, 12, 10 atau ke 8 Kenabian. Begitu juga bulan samada bulan Safar, Rabi`ul Awal, Rabi`ul Akhir, Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Syawal atau Zulhijjah.

1. Menurut Ibn Sa`ad dan Nawawi serta Ibn Hazim ia berlaku setahun sebelum hijrah. Hijrah berlaku pada akhir Safar dan Awal Rabi`ul Awal. Ini bererti peristiwa ini berlaku pada bulan Safar atau Rabi`ul Awal.

2. Menurut Ibn Jauzi, 8 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Rejab.

3. Menurut Abu al-Rabi` bin Sali, 6 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti pada bulan Ramadhan

4. Menurut Ibrahim al-Harbi, dan ditarjihkan oleh Ibn al-Munir dalam Syrah al-Sirah oleh Ibn `Abd al-Barr, ia berlaku 11 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Rabi`ul Akhir

5. Menurut Ibn `Abd al-Barr, Ia berlaku 13 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Safar.

6. Menurut Ibn Faris, ia berlaku 15 bulan sebelum hijrah. Ia bererti pada bulan Zulhijjah.

7. Menurut al-Sudiy sebagaimana diriwayatkan oleh Tabari dan Baihaqi dan di pegang oleh al-Waqidi, 17 bulan sebelum Hijrah. Ia bererti ia berlaku pada bulan Syawal

8. Menurut Ibn Qutaibah dan dihikayatkan oleh Ibn `Abd al-Barr serta disebut oleh Ibn Sa`ad daripada Ibn Abi Sirah, ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah iaitu pada bulan Ramadhan

9. Menurut riwayat Ibn `Abd al-Barr dan dipegang oleh Nawawi dalam al-Raudah, ia berlaku pada bulan Rejab

10. Menurut riwayat Ibn al-Athir, ia berlaku 3 tahun sebelum hijrah.

11. Menurut riwayat `Iyad dan dituruti oleh Qurtubi dan Nawawi daripada al-Zuhri, ia berlaku 5 tahun sebelum hijrah. `Iyad berhujah bahawa tiada perselisihan lagi bahawa Khadijah pernah solat bersama baginda sollallaahu ‘alaihi wasallam selepas kefarduan Solat diturunkan. Juga tiada yang berselisih bahawa Khadjah mati sebelum hijrah samada 3 tahun atau 5 tahun sebelum hijrah. Tiada perselisihan juga bahawa kefarduan solat berlaku pada malam Isra’.

Namun, hujahnya boleh diteliti kembali kerana menurut al-`Askari Khadijah mati 7 tahun sebelum hijrah. Ada pendapat menyatakan 4 tahun sebelum hijrah. Ibn al-A`rabi menyatakan beliau mati tahun berlakunya hijrah.

Dalil dari al-Qur'an.
Sebagai membuktikan kebenaran peristiwa ini Allah subhanahuu wataala berfirman dalam al-Qur'an, surah al-Isra';

Maksudnya : "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (QS. al-Isra' : 1)

Dalil dari Hadits.
Dari Abu Said al-Khudri, bahawa dia telah bertanya kepada Nabi sollallaahu ‘alaihi wasallam perihal malam di saat baginda diisra’kan, maka nabi berkata:

Maksudnya: “Telah di datangkan kepadaku seekor binatang, yang dia menyerupai ‘bighal’ (baghal) iaitu yang bernama ‘Buraq’ yang dikenderai para nabi”. Sabda Nabi sollallaahu ‘alaihi wasallam seterusnya: “Buraq itu membawa aku, dan dia dapat melangkah kaki depannya sejauh mata memandang (kira-kira 1 Kilo meter), lalu aku mendengar suara memanggil dari kanan; Ya Muhammad, perlahan-lahanlah. Maka akupun terus saja serta tidak berpaling kepadanya, maka aku mendengar seruan dari kiri, tetapi akupun terus saja serta tidak berpaling, kemudian aku bertemu pula dengan Seorang perempuan di atas kepalanya dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan …….kemudian aku sampai di Baitul Maqdis atau baginda menyebut Masjid Aqsa. Maka aku turun dan mengikat Buraq itu di tempat nabi mengikat Buraqnya, lalu aku masuk ke dalam Masjid dan solat. (Setelah solat) aku bertanya kepada Jibril alaihissalam: “Ya Jibril, aku mendengar suara dari arah kananku, suara siapakah itu?”. Jibril menjawab: “Itu adalah suara Pendakwah Yahudi, ketahuilah sesungguhnya kalau engkau berhenti saat itu, nescaya umatmu menjadi orang-orang Yahudi.”. Aku bertanya lagi (kepada Jibril): “Akupun mendengar suara dari arah kiri, suara apakah itu?”. Jibril menjawab : “Itu adalah suara pendakwah Nasrani, ketahuilah sesungguhnya kalau engkau berhenti saat itu nesacaya umatmu akan menjadi orang-orang Nasrani. Adapun wanita yang menemui kami kamu adalah gambaran tentang dunia ini, yang telah dihias untukmu, maka seandainya kamu berhenti saat itu, nescaya umatmu (semua) akan memilih dunia daripada akhirat”. Kemudian dihidangkan kepadaku dua gelas minuman, satu berisi susu dan satu lagi berisi khamar (arak), dan aku dipersilakan: “Minumlah, mana yang engkau sukai”. Maka aku mengambil gelas yang berisi susu, dan aku tinggalkan gelas berisi khamar. Kata Jibril: “Tepatlah pilihan engkau yang sesuai dengan fitrah – iaitu engkau telah memberikan Islam kepada umatmu sebagai agama mereka – ketahuilah, seandainya engkau memilih khamar, nescaya akan menjadi sesatlah umatmu”.


Kronologi Peristiwa Isra’ dan Mi’raj

1. Sebelum Isra’ dan Mi’raj
Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibril dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimun nubuwwah” (Nabi Penutup/Terakhir). Kemudian Jibril membawa binatang bernama Buraq yang seakan-akan baghal dan kuda, untuk ditunggangi oleh Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan Isra’ itu.

2. Ketika Isra’ (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa):
Sepanjang Isra’ itu Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibril dan Israfil. Apabila sampai di tempat-tempat tertentu, Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam diarah oleh Malaikat Jibril supaya berhenti dan solat dua rakaat. Di tempat-tempat berikut:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam akan melakukan hijrah.
ii. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu daripada Allah;
iii. iii. Baitul Laham (tempat Nabi ‘Isa a.s.dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam menghadapi gangguan jin ‘Afrit dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa yang amat luar biasa. Antaranya :
i. Kaum yang sedang bercucuk tanam kemudian terus menuai hasil tanaman mereka. Setelah dituai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam diberitahu oleh Jibril : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

ii. Tempat yang berbau harum. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam diberitahu oleh Jibril : Itulah wanginya kubur Masyitah (tukang sisir Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
iii. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).

iv. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibril : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat dari harta yang mereka kumpulkan.

v. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibril: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan masing-masing mempunyai isteri / suami.

vi. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril: Itulah orang yang makan riba`.

vii. Lelaki yang memikul seberkas kayu yang banyak di atas belakangnya dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril: Itulah orang tak menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

viii. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu kepada saudaranya.

ix. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

x. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibril: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

xi. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam tidak memperdulikannya. Kata Jibril: Itulah dunia. Jika Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

xii. Seorang perempuan tua berdiri di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam berhenti. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam tidak menghiraukannya. Kata Jibril: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

xiii. Seorang perempuan bongkok belakangnya menahan Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibril: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Ketika Mi’raj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mi’raj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dan Jibril naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit (pintu Hafazhah).

1. Langit Pertama:
Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dan Jibril masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua:
Nabi sollallaahu ‘alaihi wasallam dan Jibril naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa a.s.dan Nabi Yahya a.s.

3. Langit Ketiga:
Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf a.s.

4. Langit Keempat:
Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris a.s.

5. Langit Kelima:
Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun a.s. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam:
Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa a.s. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam mengangkat kepala (disuruh oleh Jibril) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh:
Masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur yang sedang di lingkungi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam , Nabi Ibrahim a.s. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat terakhir dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ( لا حول ولا قوة الا بالله ) (Laa haula walaa quwwata illaa billaahi).





Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim a.s bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah 5 kalimah, iaitu:

( سبحان الله , والحمد لله, ولا اله الا الله, والله أكبر, ولا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم )

(Subhaanallaah, wal hamdulillaah, walaa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, walaa haula walaa quwwata illaa billaahil ‘aliyyil ‘azim)

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga. Setelah melihat beberpa peristiwa ajain yang lain Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dan Jibril masuk ke dalam Baitul-Makmur dan melakukan solat.

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malaikat penunggunya.

Di sini juga Rasulullas sollallaahu 'alaihi wasalam dapat menyaksikan bentuk rupa Malaikat Jibril yang asal, sebagaimana firman Allah;

Maksudnya : "13. Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain, 14. (yaitu) di Sidratil Muntaha, 15. Di dekatnya ada syurga tempat tinggal, 16. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya, 17. Penglihatannya (muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya, 18. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar. (QS. al-Najm : 13-18)

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sarirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah dengan zikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah Subhaanahu wa ta’ala dengan mata kepalanya sendiri, lantas serentak baginda bersujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah Subhaanahu wa ta’ala : Ya Muhammad. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam : Labbaika. Allah Subhaanahu wa ta’ala : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang berpenyakit sopak dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah Subhaanahu wa ta’ala berfirman : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) solat.

Selesai munajat, Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam di bawa turun menemui Nabi Ibrahim a.s. kemudian Nabi Musa a.s. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam merayu kepada Allah Subhaanahu wa ta’ala agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu, kerana bagi Nabi Musa a.s. umat Nabi Muhammad tidak akan mampu melakukannya. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilai pahalanya sebanyak 50 waktu juga. Walaupun Nabi Musa menyuruh Nabi sollallaahu ‘alaihi wasallam terus merayu kepada Allah, tetapi Nabi sollallaahu ‘alaihi wasallam menolaknya dengan alasan sudah malu berhadapan dengan Allah berkali-kali. Maka tinggallah waktu yang diwajibkan solat 5 waktu sehari semalam.

Mengikut jumhur ulama’ walaupun 5 waktu solat yang wajib dilakukan tetapi pahalanya sama dengan 50 waktu yang asal Allah perintahkan sebelum itu.

4. Peristiwa Selepas Mi’raj

Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam turun ke langit dunia semula. Seterusnya ke Baitul Maqdis. Lalu menunggang Buraq pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang amat ajaib itu. Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah.

Bantahan orang Quraisy.
Sekembali dari Isra’ dan Mi’raj, Nabi Muhamad telah diragui dan ditertawakan oleh masyarakat Quraisy terutama pemimpinnya Abu Jahal dan Abu Lahab. Bagi Abu Jahal, inilah bukti Nabi Muhamad seorang yang gila dan ahli sihir kerana mana mungkin pergi ke Palestin hanya semalaman dan menjelang subuh sudah sampai di Mekah semula. Abu Jahal mempersendakan Rasulullah di Hijr Ismail di hadapan komuniti Bani Kaab bin Luay.

Namun Abu Bakar adalah orang pertama yang percaya dengan cerita itu kerana baginya Muhamad adalah seorang al Amin. Abu Bakar sentiasa membenarkan khabar langit yang Rasulullah bawa. Aisyah mencatatkan ada orang Islam yang murtad selepas peristiwa itu.

Setelah dicabar oleh Bani Kaab bin Luay, Nabi menceritakan keadaan Masjidil Aqsa hingga hampir keliru. Mujurlah saat itu Allah mendatangkan Masjid Aqsa dan diletakkan berdekatan rumah Uqail. Maka, mudahlah Nabi menceritakan masjid itu. Salah seorang dari mereka mengakui kebenaran gambaran itu kerana pernah pergi ke Masjidil Aqsa.


Penutup.
Seandainya peristiwa dalam Isra’ dan Mi’raj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Isra’ dan Mi’raj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah Subhaanahu wa ta’ala . : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1). wallahua’lam..

Rujukan :
Kitab Jam’ul-Fawaa`id.

No comments: