Roh

Roh : Roh berada dalam diri seseorang manusia, kerana dalam diri manusia itu terdiri dari dua unsur, iaitu jasad yang jelas nyata dan Roh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tidak dapat difikir walau oleh pakar pemikir sekalipun. Bahkan nabi Muhammad (S.A.W.) sendiri tidak pernah mengetahui jawapannya apabila ada orang bertanya beliau tentang apa itu roh.

Al-Qur’an menjelaskan bahawa Roh itu urusan Allah, sebagaimana firman Allah (S.W.T.) :

“Dan mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad (S.A.W.) mengenai Roh, katakanlah; Roh itu adalah urusan Tuhanku dan kamu semua tidaklah diberi pengetahuan melainkan hanya sedikit sekali”. (al-Isra’ : 85).

Hanya Allah (S.W.T.) yang mengetahuinya, kerana Roh adalah salah satu daripada rahsia Allah (S.W.T.) yang hanya sedikit sahaja manusia dapat mengetahui tentangnya. Rohlah yang membezakan di antara manusia dan haiwan atau benda-benda hidup yang lain. Ada setengah para ulama mentafsirkan bahwa Roh itu adalah suatu zat yang memiliki sifat yang tersendiri dan berada dengan benda-benda lain. Ia adalah jisim nuraniyyah, amat tinggi kedudukannya dan hidup. Roh itu sama dengan jiwa.

Roh sentiasa berada berada bersama-sama jasad, apabila ianya berpisah dengan jasad dan jasad yang ditinggalkan itu tidak bergerak sama sekali dan adakalanya akan mati sebagaimana matinya pokok dan lain-lain makhluk., tetapi apabila dikembalikan jasad tadi akan hidup kembali. Roh biasanya keluar meninggalkan jasad apabila jasad tidur, jika Allah (S.W.T.) tidak mengembalikannya semula ke dalam jasad maka akan matilah jasad itu, sebagaimana firman Allah (S.W.T.):

“Allah yang mengambil jiwa (roh) manusia itu ketika wafatnya dan ketika tidurnya sebelum wafat, lalu ditahannya jiwa (roh) yang sudah wafat, serta dikembalikan jiwa (roh) yang lain (yang sedang tidur), sampai waktu yang ditentukan”. (az-Zumar : 420).

Oleh kerana itulah tidur diibaratkan orang sebagai mati kecil. Atau mati sebelum mati. Jika menggerakkan orang tidur hendaklah dipanggil namanya yang baik, kerana roh akan pulang apabila namanya disebut.

Peranan Roh menjadikan manusia dapat menemukan, mengingat, berfikir, mengetahui, berkehendak, memilih, mencintai, membenci dan sebagainya.

Roh sesudah berpisah dengan jasad, maka di saat itulah terjadinya kematian. Namun demikian roh tersebut masih tetap dapat menangkap untuk mendengarkan siap-siap yang menziarahinya, ia dapat mengenalnya bahkan dpat membalas salam seseorang yang memberikan salam padanya. Roh itu pula dapat merasakan lazatnya kenikmatan dan dapat pula merasakan sakitnya sakit siksa neraka jahim.

Ibnu Taimiah berkata:“Banyak sekali huraian-huraian dari hadits yang menyebutkan bahawa mayat itu dapat mengenal serta mengetahui hal ehwal keluarganya dan sahabat-sahabatnya di dunia dan bahawa soal-soal sedemikian itu ditunjukkan padanya. Ia dapat mengetahui pula apa yang dilakukan berhampirannya, selanjutnya ia akan merasa gembira jika apa yang dilihatnya itu sebagai kegembiraan yang menyenangkan, tetapi akan merasa sedih apabila yang dilihatnya itu sebagai berita dukacita yang menyusahkan”.

Diriwayatkan bahawa (Aisyah r. anha, setelah dimakamkannya Umar r.a., lalu Aisyah menutup seluruh auratnya badannya dan berkata: “Dahulu yang dikuburkan di sini adalah ayah dan suamiku, tetapi sekarang ditambahkan dengan Umar sedang ia adalah orang lain (bukan mahramnya, maka ia harus menutupi auratnya)”.

Jelaslah dari maksud riwayat ini bahawa Syaidina Umar yang bukan Mahramnya dapat melihat dirinya. Ada pula hadits lain yang menyebut bahawa orang-orang yang telah mati bertanya kepada mayat yang baru ditanam perihal keluarga dan lain-lain, maka mereka mengetahui hal ehwal sesiapa yang ditanyakannya itu. Ia dapat mengerti pula pertanyaannya itu bahawa si fulan itu dapat anak atau si Fulanah itu itu sudah kahwin.

Ahli Sunnah wal Jamaah sependapat bahawa apabila seseorang itu telah meninggal dunia, setelah ditanam pasti ia akan ditanya dengan berbagai soalan oleh malaikat Munkar dan Nakir. Inilah yang disebut su’alil qabri (soalan kubur), yakni pertanyaan dalam kubur. Soal itu tetap akan ditanya samada mayat itu ditanam di dalam kubur atau dimakan binatang buas, atau tenggelam di dalam air sungai atau lautan atau ditelan oleh ikan atau dibakar menjadi abu dan dihambur-hamburkan ke udara, maka dalam keadaan bagaimana sekalipun ia pasti akan ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nakir. Jikalau amalan dan kehidupannya di dunia baik dan taat kepada perintah Allah maka baiklah balasannya di dalam kubur dan jika sebaliknya maka azablah balasannya di dalam kubur.

Menurut Ibnu Qayyim, beliau berkata bahawa apabila seseorang manusia meninggal dunia, dia akan mendapat balasan siksaan atau kenikmatan di dalam kuburnya. Kedua bentuk balasan itu dirasai oleh jasad dan roh. Roh sekalipun telah terpisah dari jasad tetap akan merasai kenikmatan atau keazaban, kerana roh itu adakalanya akan kembali semula kepada jasadnya untuk sama-sama merasai kenikmatan atau kesiksaan tewrsebut.

Di padang Mahsyar apabila jasad-jasad dibangkitkan semula untuk menghadapi hari Perhitungan roh akan kembali dicantum kepada jaad, dan manusia akan hidup di sana sebagaimana mereka hidup di dunia ini. Kesahihan ini telah disepakati oleh semua penganut agama yang berasal dari Allah, iaitu seluruh kaum Muslimin, Yahudi dan Nasrani.

Tempat tinggal bagi roh sementara menunggu hari dibangkitkan semula di padang Mahsyar adalah berbeza-beza tempatnya, di antaranya;

Tempat yang tertinggi; mereka itu ialah roh kalangan para Nabi salawatullahu alaihim. Namun begitu roh-roh mereka masih juga berada di tempat yang berlainan. Berterbangan seperti burung di dalam syurga yang indah; mereka adalah roh dari kalangan para syuhada, tetapi sebahagiannya sahaja. Jika orang yang syahid meninggalkan hutang yang tak berbayar, rohnya terkurung tidak dapat memasuki syurga.

Ada juga roh yang dipenjarakan di dalam kuburnya sahaja, tidak boleh naik ke langit, misalnya seseorang yang mencuri harta benda orang lain. Ada juga roh-roh yang berada di pintu-pintu syurga di tepi sungai dan diriwayatkan bahawa Ja’afar bin Abi Talib yang kudung kedua-dua belah tangannya kerana mempertahankan panji-panji Islam dalam peperangan menentang musuh Islam telah digantikan oleh Allah (S.W.T.) kedua-dua tangannya dengan sepasang sayap dan dia bebas terbang di dalam syurga semahunya.

Terdapat juga roh-roh yang terpenjara di dalam bumi, iaitu roh-roh orang yang ingkar kepada perintah Allah (S.W.T.). Roh-roh penzina lelaki dan perempuan akan diletakkan di dalam tungku api, ada pula roh yang berendam di dalam sungai darah dan memakan batu-batu.

No comments: