Dalam mazhab as-Syafi‘e, sujud sahwi dikerjakan setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam dan wajib berniat untuk melakukan sujud sahwi dalam hati.
Caranya ialah sama seperti sujud yang biasa kita lakukan dalam sembahyang iaitu sebanyak dua kali sujud dan di antara keduanya duduk di antara dua sujud. Kemudian selepas selesai dua kali sujud barulah memberi salam.
Disunatkan untuk membaca ketika dua sujud sahwi tersebut bacaan tasbih berikut:
Maksudnya: "Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai"
Adakah Memadai Dua Kali Sujud Sahaja Jika Banyak Berlaku Kesalahan Dalam Sembahyang?
Imam Khatib as-Sharbini menyatakan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj, adalah memadai dengan dua sujud sahaja walaupun berlaku berbagai-bagai jenis kelalaian, sama ada tertambah, terkurang atau kedua-duanya sekali. Ini berdasarkan hadits riwayat Imam Bukhari, bahwasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang fardhu Zuhur ataupun ‘Asar bersama kami, lalu Baginda memberi salam. Kemudian berkata kepadanya Zul Yadain: "Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang telah ikurangkan?". Lalu Baginda pun bertanya kepada sahabat-sahabatnya: "Benarkah apa yang dikatakannya?" Para sahabat lalu menjawab: "Benar ya Rasulullah". Lalu Baginda pun menyambung dua raka‘at terakhir sembahyangnya tadi kemudian Baginda pun melakukan sujud dua kali sujud (sujud sahwi)". (Hadits riwayat Imam Bukhari).
Berdasarkan hadits tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali sujud sahaja sedangkan Baginda telah terlupa dua raka‘at penuh termasuk rukun-rukun serta sunat-sunat ab‘adh yang ada dalam kedua-dua raka‘at tersebut.
Hukum Melakukan Sujud Sahwi Selepas Salam
Menurut pendapat yang paling rajih dalam mazhab as-Syafi‘e, waktu untuk mengerjakan sujud sahwi itu ialah setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam, ini berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah bin Buhainah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berdiri setelah dua raka‘at bersembahyang fardhu Zuhur tanpa duduk untuk membaca tahiyyat awal. Setelah selesai Baginda bersembahyang (sebelum memberi salam), Baginda pun melakukan sujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) lalu memberi salam".(Hadits riwayat Imam Bukhari)
Kedua-dua hadits di atas menerangkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan sujud sahwi selepas Baginda memberi salam sedangkan Baginda telahpun berkata-kata, berjalan dan berpaling dari arah qiblat. Akan tetapi, jarak masa di antara salam dan waktu Baginda diingatkan oleh para sahabat itu tidak panjang yakni belum lagi lama.
Sebaliknya, jika jarak masanya sudah jauh maka luputlah sujud sahwi tersebut berdasarkan pendapat yang paling rajih dalam mazhab as-Syafi‘e. Begitu juga jika sekiranya seseorang itu terkena najis ataupun telah bercakap-cakap dengan banyak.
Bagaimanapun, jika seseorang itu dengan senghaja memberi salam sebelum melakukan sujud sahwi, maka luputlah sujud sahwi tersebut kerana tempat sujud sahwi itu asalnya ialah sebelum salam sedangkan dia telah dengan senghaja menutup sembahyangnya dengan memberi salam.
Diibaratkan oleh para ulama, kadar jangka masa pendek itu seperti apa yang dinukil tentang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada kisah Zul Yadain. Dalam kisah tersebut, digambarkan bahawa Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Zul Yadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka. Sementara kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Zul Yadain tersebut.
Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq pula, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa seraka‘at.
Sementara menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat raka‘at.
Hukum Jika Teringat Ada Kekurangan Dalam Rukun Sembahyang Selepas Memberi Salam
Menurut pendapat Imam Nawawi, jika seseorang itu teringat bahawa dia telah terlupa sesuatu rukun dalam sembahyangnya selain daripada niat dan takbiratul ihram sesudah memberi salam, misalnya terlupa untuk ruku‘, sujud, membaca surah al-Fatihah dan sebagainya dalam sembahyangnya tadi, jika jarak waktu teringat akan kelalaian tersebut masih belum lagi jauh pada adat kebiasaannya selepas memberi salam, maka wajiblah ke atasnya menyempurnakan sembahyang itu mengikut tertib sembahyang, kemudian melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.
No comments:
Post a Comment