Sujud Syukur

SUJUD SYUKUR : Sujud yang dilakukan diluar solat kerana mensyukuri sesuatu nikmat.



Sujud Syukur sunat dilakukan apabila seseorang itu mendapat sesuatu nikmat seperti lahir seorang anak, mendapat harta, terlepas dari bahaya dan lain-lain. Bahkan kita sepatutnya melakukan sujud syukur kerana Allah telah memberikan terlalu banyak nikmat kepada kita seperti nikmat kesihatan, nikmat dapat bergerak, bercakap dan berjalan. Kalaupun jika kita ditakdirkan sakit tapi masih lagi mampu mengingati Allah, memanjangkan umur kita, memberi kebahagiaan kepada perhubungan keluarga kita, terlepas dari segala mara bahaya, Allah memberi kejayaan kepada anak-anak kita, memberi kejayaan kepada usaha gigih dan tawakkal kita, dan sebagainya. Nikmat yang paling besar dari Allah untuk kita ialah Nikmat Islam itu sendiri. Alangkah besarnya nikmat Islam anugerah Allah dan Allah s.w.t memilih kita semua menjadi hambaNya. Betapa ruginya orang-orang yang tidak dipilih oleh Allah untuk melihat kebenaran Agama Islam. Alhmabdulillah.

Jadi sujud syukur ini bertujuan melahirkan rasa terima kasih kepada Allah di atas nikmat-nikmat tersebut.

Dalam hal ini, terdapat hadits Nabi s.a.w seperti berikut:" Dari Abi Bakrah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w apabila telah datang kepadanya sesuatu urusan yang menyenangkannya, atau ia gembira kerana sesuatu, lalu ia sujud menekurkan muka ke tanah sebagai isyarat berterimakasih kepada Allah ta'ala".

Sujud syukur ini hanya dilakukan di luar solat kerana ia tidak berhubungan dengan soal solat. Dalam melakukan sujud syukur tidak disyaratkan berwudhuk, memadai jika memenuhi syarat di bawah.

SYARAT-SYARAT
1. Suci dari segala najis di badan, pakaian dan tempat.
2. Menutup aurat
3. Menghadap kiblat (di sunatkan) harus mengadap mana-mana arah jika tidak dapat dipastikan dengan tepat arah kiblat. 4. Sunat segera melakukan sujud apabila mendapat nikmat Allah s.w.t.

CARA MELAKUKAN SUJUD SYUKUR
Caranya pula ialah :
1. Berniat untuk sujud syukur (iaitu niat di dalam hati):
"Sahaja aku sujud syukur kerana Allah taala".

2. Mengangkat takbiratul ihram,

3. Takbir kali kedua ketika melakukan sujud.

4. Ucapkanlah kesyukuran di dalam sujud dengan apa bahasa sekalipun. Sebutlah satu persatu kalau mampu nikmat yang Allah berikan kepada kita sehingga saat ini.

5. Takbir ketika bangkit dari sujud

6. Memberi salam seperti dalam solat sesudah bangkit dari sujud.

HUKUM SUJUD SYUKUR

Jumhur ulama berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya:


خَرَجَ النبى صلى الله عليه وسلم فتوجَّه نحو صَدَفَتِهِ فدخل فاستقْبَل القبلةَ فخرَّ ساجدًا فأطال السُّجودَ ,
ثمَّ رفع رأسَه وقال : إنَّ جبريل أتانى فبشَّرنى , فقال : إن الله عز وجل يقول لك
: مَنْ صلَّى عليك صلَّيْتُ عَلَيْهِ , ومَنْ سلَّم عليك سلَّمْتُ عليه, فَسَجَدْتُ لله شكرًا
(رواه أحمد)


Maksudnya :
“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam solat. Ianya hanya sunat dilakukan di luar solat ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.

Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Saad iaitu:

فغفرنا له ذلك وإن له عندنا لزلفى وحسن مآب


Ertinya: “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.

Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam solat kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah solatnya menurut pandapat yang paling sahih, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.

DOA SUJUD SYUKUR

Kepada golongan remaja, doanya adalah sebagaimana berikut:


Maksudnya: ‎“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan ‎kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan ‎masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.”‎(QS. An-Naml:‎ 19)‎

Kepada yang melebihi usia 40 tahun, doanya sebagaimana berikut:



‎Maksudnya: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan ‎kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan ‎Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku ‎bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".‎(QS. Al-Ahqaf: 15)

No comments: