Surah al-Jaathiyah 45 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 37 ayat. Dinamakan surah “Al-Jaathiyah” (yang bertelut), kerana pada ayat 28 dan ayat-ayat yang terdahulu dan yang terkemudian daripadanya, Allah S.w.t. menerangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada hari kiamat.
Pada hari itu akan dapat dilihat tiap-tiap umat bergelut dalam keadaan cemas menunggu panggilan; masing-masing diseru untuk menerima surat amalnya, serta dikatakan kepada mereka: “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang telah kamu kerjakan.
Intisari kandungannya: Bagi menolak tuduhan-tuduhan yang berasas yang dilemparkan oleh orang-orang kafir terhadap kebenaran Al-Qur’an, Allah S.w.t. menegaskan bahawa Al-Qur’an itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Kemudian ditegaskan, bahawa pada langit dan bumi serta segala isinya, juga pada kejadian diri manusia sendiri terdapat tanda-tanda yang membuktikan – keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaan, serta keluasan rahmatNya bagi orang-orang yang mahu menggunakan akal fikiran.
Setelah itu diterangkan akibat yang buruk yang akan menimpa tiap-tiap seorang yang akan menolak keterangan-kerterangan yang dibentangkan oleh Allah S.w.t. di dalam Al-Qur’an yang menjadi hidayah petunjuk. Kemudian dijelaskan bahawa tiap-tiap balasan adalah berdasarkan kaedah: sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri.
Surah ini diakhiri dengan menerangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada hari akhirat, serta balasan yang akan didapati oleh orang-orang yang beriman dan ta’at, dan orang-orang yang kufur ingkar.
Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Maha Adil. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, - Tuhan sekalian alam.
No comments:
Post a Comment