Walimatul Urus

Walimatulurus : atau kenduri kahwin hukumnya sunat (seperti majlis santapan makanan) diadakan dan menerima jemputannya adalah wajib (terdapat ulama mengatakan sunat). Ia bertujuan untuk menghebahkan kepada orang ramai mengenai perkahwinan tersebut, mengelakkan sangkaan buruk orang ramai sekiranya terjadi sesuatu perkara dan saudara mara dapat menyaksikan sendiri pernikahan mereka dan mendoakan kebahagiaan rumahtangga mereka.
Terdapat beberapa adab dalam walimatulurus seperti dilakukan selepas akad nikah; menjemput jemputan mengikut keutamaan seperti didahulukan saudara-mara, kaum kerabat dari kedua-dua pihak, jiran dan rakan kenalan; bagi pengantin wanita hendaklah mengikut sunah Nabi Muhammad SAW dengan cara bersederhana dan tiada unsur bermewah, maksiat dan kemungkaran; dilarang sama sekali berhutang yang membebankan.
Dalam menganjurkan agenda berkaitan Walimatulurus, etika berbudaya mengikut adat resam bangsa masing-masing adalah dibolehkan, namun perlu diingat agar penganjurannya perlulah selari dengan apa yang dianjurkan oleh Islam tanpa mempunyai rasa gharar (was-was) dalamnya. Juga tidak mempunyai pengaruh adat berunsur keagamaan dan kepercayaan yang dicedok dari agama lain.

Islam melarang aktiviti persandingan seperti yang menjadi adat kebiasaan dalam masyarakat melayu khususnya kerana perbuatan tersebut telah menampakkan pengaruh Hindu-Buddha seperti aktiviti merenjis dan menepung tawar, selain memperlihatkan pasangan pengantin yang bergaya dan bersolek secara terus kepada hadirin. Hal ini pasti akan menimbulkan rasa bangga oleh pasangan pengantin dan menimbulkan rasa (seperti cemburu, gersang dan was-was) dari kalangan hadirin yang melihat aktiviti persandingan tersebut.

Persandingan boleh membawa kepada haram hukumnya berdasarkan kepada kriteria berikut:

Mempertonton perhiasan kepada orang ramai lelaki dan perempuan.
Memperlihatkan aurat pengantin wanita kepada lelaki yang bukan mahram.
Bercampur gaul lelaki perempuan dalam majlis persandingan tersebut.
Membazir dengan perhiasan yang mahal jika dibandingkan dengan manfaatnya.
Adanya upacara-upacara tertentu yang menyerupai upacara penganut agama selain Islam.
Boleh menimbulkan rasa riak kepada pasangan pengantin dan keluarga pengantin.Menimbulkan rasa hasad dan dengki kepada orang yang melihatnya.

No comments: