Bulan Syaaban

SYAABAN : Bulan Syaaban adalah bulan ke 8 dalam kalendar Islam. Banyak pahala jika ‎dapat beramal dalam bulan ini. Kerana bulan ini adalah bulan bagi menyambut ‎kedatangan bulan Ramadhan nanti.‎

Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya " Dinamakan dengan syaaban ‎‎(berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang ‎berserak-serak.‎
‎ ‎

BANYAK RIWAYAT PALSU BERKENAAN BULAN SYAABAN.
Bulan Sya'ban terdapat beberapa kelebihan yang tersendiri sebagaimana yang disebut dalam hadits, namun kita wajib berhati-hati kerana  banyak tersebar hadits yang dhaif atau maudhu’ (rekaan) tentang fadhilatnya.

Terdapat hadits-hadits yang menyebut Nabi sollallaahu alaihi wasallam banyak berpuasa pada bulan Sya’ban. Kalau dikatakan, apakah hikmahnya memperbanyak berpuasa di bulan Sya’ban?  Maka jawapannya adalah perkataan Al-Hafiz Ibn Hajar:

“Yang lebih tepat apa yang diriwayatkan oleh Nasa’i dan Abu Daud serta disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Usamah bin Zaid, dia berkata, saya bertanya:

“Wahai Rasulullah, saya tidak melihat tuan (sering) berpuasa dalam satu bulan seperti tuan berpuasa di bulan Sya’ban?" 

Baginda bersabda: “Itu adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rajab dan Ramadhan. Iaitu bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah, Tuhan seluruh alam. Maka aku ingin amalanku di angkat, aku dalam keadaan berpuasa.” [Dinyatakan hasan dalam Sahih An-Nasa’i, no. 2221].
Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu syaaban ialah ‎mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, ‎mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka ‎terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali ‎silaturrahim.
Adalah mendukacitakan, ramai yang tidak berdisiplin dalam memetik hadits-hadits Nabi sollallaahu alaihi wasallam tanpa mengira kethabitan iaitu kepastian tentang ketulenan sesebuah hadits, juga tidak meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadits terhadap kedudukannya. Lebih teruk lagi jika terus disebarkan kepada masyarakat tanpa menjelaskan kedudukannya.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadits maka mereka terus sandarkan kepada Nabi sollallaahu alaihi wasallam tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi sollallaahu alaihi wasallam dalam hadits yang yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah bin Syu’bah:

إنَّ كذبًا عليَّ ليس ككذِبٍ على أَحَدٍ، من كذبَ عليَّ متعمدًا فليتبوَّأْ مقعدَهُ من النارِ. رواه البخاري 

Maksudnya:Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (HRBukhari dan Muslim).

Ini termasuk mendakwa Nabi sollallaahu alaihi wasallam bersabda berkenaa sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang Baginda tidak pernah melakukannya.

Hadits palsu ialah: “Hadits yang disandarkan kepada Nabi sollallaahu alaihi wasallam secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” [lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadits, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut].

Bukan sahaja membuat hadits palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadits palsu juga adalah sesuatu yang haram.

CONTOH AMALAN BID’AH DI BULAN SYAABAN
Apabila muncul bulan Rejab dan Sya’ban maka hadits-hadits palsu mengenainya  akan dibaca dan diajar secara meluas. Ramai penceramah, imam, khatib dan media massa menyebarkan hadits-hadits palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Antaranya hadits: “Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadan bulan umatku.” Begitu juga semua hadits mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu dan malam Nisfu Sya’ban adalah dusta ke atas Nabi sollallaahu alaihi wasallam.
Sebenarnya hadits sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Sya’ban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab persoalan berhubung dengan Malam Nisfu Sya’ban:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi sollallaahu alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.”
“Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabat, tabi‘en dan tabi’ taabi’en). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas al-Quran dan sunah, juga bercanggahan dan bertentang maknanya.”

“Perhimpunan (malam Nisfu Sya’ban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.”

“Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka”. [Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut].

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadits al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak cukup mendalam ilmu haditsnya, sama ada ilmu riwayaah atau diraayah (mengenai teks hadits).

Mereka hanya membaca hadits yang mereka hafal dan memetiknya tanpa mengetahui dan cuba memastikan kedudukan hadits tersebut.

Oleh itu semua pihak yang membaca sesuatu hadits wajiblah memastikan dahulu kesahihannya.
 
KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN MENURUT HADITS
Hadits yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Sya’ban ialah:

 ( إنَّ اللهَ لَيَطَّلِعُ في ليلةِ النِّصفِ من شعبانَ، فيَغفِر لجميعِ خلقِه إلا لمشركٍ أو مُشاحنٍ ) عن أبي موسى الأشعري عبدالله بن قيس

Maksudnya: Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) [HR Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani mensahihkan hadits ini dalam Silsilah al-Ahadits al-Sahihah. jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh].

Hadits ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

 
HADITS-HADITS YANG LEMAH DAN PALSU TENTANG NISFU SYA’BAN
Berikut adalah beberapa contoh hadits-hadits lemah dan palsu tentang fadhilat malam Nisfu Sya’ban.
 
1. DHAIF JIDDA (tersangat lemah).

Daripada ‘Aisyah r.a, dia berkata: “Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam lalu saya keluar, ternyata baginda berada di Baqi’, lalu Rasulullah bersabda:

Apakah kamu takut padahal Allah dan Rasul-Nya melindungimu?” Saya (‘Aisyah) jawab: Ya Rasulullah, saya mengira engkau mendatangi sebahagian isterimu (yang lain).”

Baginda bersabda: “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah turun ke langit dunia lalu mengampuni lebih banyak dosa daripada banyaknya bulu kambing Bani Kalb.” [HR Imam Ahmad, Imam Tirmidzi. [Dhaif Jiddan].

2. HADITS MAUDHU’ (Palsu)
Daripada ‘Ali bin Abi Talib r.a, dia berkata Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam bersabda: “Jika datang malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah pada malam harinya (untuk bersolat) dan berpuasalah pada waktu siangnya. Sesungguhnya pada saat itu sejak tenggelamnya matahari, Allah turun ke langit dunia seraya berfirman: “Ketahuilah, sesiapa yang meminta keampunan, maka Aku akan mengampuninya dan ketahuilah sesiapa yang meminta rezeki maka Aku akan memberinya, ketahuilah sesiapa yang sakit maka aku akan menyihatkannya, ketahui sesiapa yang begini aku akan begitu hingga terbit matahari. [HR Ibnu Majah  [Maudhu’].

3. HADITS MAUDHU’. (Palsu)
“Wahai ‘Ali, sesiapa yang solat seratus rakaat pada malam Nisfu Sya’ban, pada setiap rakaat membaca surah al-Fatihah dan Qul huwallahu ahad 10 kali, Nabi sollallaahu alaihi wasallam bersabda: “Ya ‘Ali, tidaklah seorang hamba yang solat seperti ini kecuali Allah akan memenuhi setiap setiap keinginan dan permintaanya pada malam itu…

Hadits ini adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibn al Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Lali al-Masnu’ah.

4. HADITS MAUDHU’. (Palsu)
“Sesiapa solat dua belas rakaat pada malam Nisfu Sya’ban dengan membaca pada setiap rakaatnya Qul huwallahu ahad 30 kali, tidak keluar hingga melihat tempat duduknya di syurga…”

Hadits ini adalah maudhu’ (palsu) sebagaimana dinyatakan Ibn al Jauzi di dalam al-Maudhu’aat, Ibn al Qayyim di dalam al-Manar al-Munif, al-Suyuthi di dalam al-Laali al-Masnu’ah.
Sebagai rujukan: Antara buku yang mengumpul hadits palsu tentang kelebihan bulan-bulan ialah buku: (Kelebihan Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Ustaz Budiman Radhi).

[Sumber: http://drmaza.com]

No comments: