Mengumpat

MENGUMPAT : Ialah satu perbuatan menceritakan atau menyebut perihal keburukan atau kekurangan seseorang ‎kepada orang lain. Sebagai contoh menceritakan kepada seseorang bahawa orang itu makan harta anak yatim, sekalipun perkara itu adalah benar, itulah dinamakan mengumpat. Jika perkara makan harta anak yatim tidak dilakukan oleh orang yang kena umpat maka itu dinamakan FITNAH.

Pengertian mengumpat berdasarkan hadits, Rasullah S.A.W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud: ‎‎"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara ‎yang dibencinya"(Hadis Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila ‎menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi ‎diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Dalil Al-Qur'an dan Hadits Haram Mengumpat

"Dosa pengumpat tidak terampun tanpa keampunan yang di umpat"

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti ‎memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging ‎manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Sebagaimana firman Allah dalam al-Qur'an:


Ertinya : "Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka ‎sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah ‎kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat ‎setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? ‎‎(jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-‎larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi ‎Maha Mengasihani."‎ (Al-Hujurat: 12).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat ‎itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia ‎bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan ‎umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" ‎‎(Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).

Zina berbeza dengan merogol, kerana berzina adalah perbuatan suka sama suka maka kedua-dua pihak wajib menanggung dosa dan wajib dihukum dan bertaubat nasuha untuk menghilangkan dosanya. Adapun dalam masalah rogol, perogol tidak akan diterima taubatnya jika tidak diampun oleh orang yang dirogol. Ini bermakna orang yang kena rogol tidak bersalah dan tidak berdosa.

Berbalik kepada masalah mengumpat, disebabkan terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu ‎perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Dan amat ramai penghuni neraka terdiri dari kalangan pengumpat.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya ‎diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu ‎dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah S.A.W. "Wahai orang ‎yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu ‎mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. ‎Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip ‎keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu ‎Daud)

Balasan Terhadap Pengumpat

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat nasuha.

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang ‎yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan pengumpat akan menerima ‎pembalasannya di akhirat.

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod ‎amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan yang menghapuskan pahala. Orang yang mengumpat akan semakin bertambah dosanya dan semakin berkurang pula pahalanya kerana diambil oleh Allah dan diberikan kepada orang yang kena umpat. Jika sudah kering pahalanya, maka Allah akan ambil dosa orang yang kena umpat dan ditambah pula kepada pengumpat. Akhirnya pengumpat akan menjadi seorang yang muflis di akhirat nanti.

Dalil daripada sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api ‎memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau ‎dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa ‎lagi.

Balasan Kepada Orang Yang Diumpat

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat nanti seseorang akan terkejut besar apabila ‎melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia ‎berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ‎ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu ‎kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri ‎daripada melakukannya.Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Hukum Mengumpat

Dosa mengumpat tidak syak lagi adalah satu dosa daripada dosa besar. Ia disebutkan oleh Allah SWT : ertinya : " Adakah kamu suka memakan daging mayat saudara kamu ? " ( Al-Hujurat : 12 ).

Rasulullah pernah menggunakan satu teknik sastera dalam mengingatkan sahabat tentang bahaya mengumpat. Di satu ketika Jabir r.a mengatakan bahawa dia bersama Nabi SAW di satu tempat dan terbau busuk di tempat itu, lalu Nabi SAW berkata " Adakah kamu tahu apakah bau ini ? , inilah bau orang-orang yang mengumpat orang mukmin" (Ahmad, dengan perawinya thiqah).

Adapun bagi kesalahan mengumpat, ia bukanlah satu kesalahan yang sangat besar sehingga terdapat peruntukan hukuman Allah di dunia ini. Justeru, apabila si pesalah mengaku salah dan memohon maaf, amat digalakkan untuk memaafkannya berdasarkan sebuah hadith yang menyebut bahawa sesiapa yang dipohon kemaafaannya (dengan ikhlas), dan ia menolaknya, maka yang menolak tidak akan dapat merasai telaga Nabi Saw di akahirat kelak. (Riwayat At-Tabrani, Albani : Hadits Dhoif)

Tips mengelak dari Mengumpat

bersambung....

No comments: