NIFAS

NIFAS: (النفاس) ialah darah yang keluar dari rahim wanita atas sebab melahirkan anak. Ia keluar sama ada di saat melahirkan anak, selepas melahirkan anak atau dua hingga tiga hari sebelum melahirkan anak. Yang terakhir (sebelum melahirkan anak) hendaklah yang disertai dengan tolakan melahirkan anak(terasa nak bersalin).

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: Apa yang dilihat oleh wanita semasa bermula tolakan bersalin ialah darah nifas. Ia (nifas) tidak disyaratkan oleh dua atau tiga hari sebelum bersalin tetapi disyaratkan oleh tolakan yang mengiringi bersalin. Jika berlaku pendarahan selain itu (tolakan bersalin), maka ia bukan nifas.
Para ilmuan berselisih pendapat tentang tempoh bagi nifas, sama ada lama atau pendek.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: Bagi nifas tidak ada tempoh minimum atau maksimum. Jika ditakdirkan seorang wanita melihat darah lebih daripada 40 atau 60 atau 70 hari lalu kemudian barulah ia berhenti, maka itu adalah darah nifas. Akan tetapi jika pendarahan berlaku secara berterusan (melebihi tempoh di atas) maka ia adalah darah fasid (istihadah). Maka batasnya (bagi kes ini) ialah 40 hari kerana sesungguhnya tempoh 40 hari adalah kebiasaan (bagi wanita yang sudah bersalin) sebagaimana yang disebut dalam atsar-atsar (pendapat tokoh terdahulu). [al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam biha, ms. 37]

Berdasarkan penjelasan di atas:
1. Apabila menjadi kebiasaan bagi seorang wanita untuk mengalami nifas melebihi 40 hari dan dia dapat mengenali tanda berhentinya, maka hendaklah dia menunggu sehingga nifasnya berhenti.

2. Jika hal di atas bukanlah kebiasaan bagi dirinya, hendaklah dia menjadikan tempoh 40 hari sebagai tanda berhenti. Hendaklah dia mandi wajib setelah genap 40 hari. Pendarahan seterusnya dikira sebagai istihadah dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum istihadah sebagaimana yang dibahas sebelum ini.

3. Jika nifas berhenti dalam tempoh kurang 40 hari, maka (setelah mandi wajib) dia dianggap suci tanpa perlu menunggu genap 40 hari. Akan tetapi hendaklah dipastikan bahawa nifasnya benar-benar sudah berhenti. Jika nifasnya hanya berhenti dalam tempoh kurang sehari, dia belum dikira sudah berakhir tempoh nifasnya.

4. Jika nifas bersambung dengan haid, maka hendaklah dia tunggu sehingga berhenti haidnya. Diwajibkan ke atasnya hukum-hukum haid sebagaimana yang dibahas sebelum ini.
Pendarahan hanya boleh dikategorikan sebagai nifas apabila ia keluar dengan sebab fitrah mengandung dan melahirkan anak. Jika ia keluar dengan sebab selain itu, seperti keguguran, maka ia bukanlah nifas tetapi darah penyakit (al-‘Irq) yang diwajibkan ke atasnya hukum-hukum istihadah.

Masa yang paling awal untuk nifas secara fitrah ialah 80 hari sedangkan yang lazim ialah 90 hari daripada hari mula hamil. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menulis, sebagaimana yang dinukil daripada kitab al-Iqna’:
Apabila berlaku pendarahan kerana tolakan bersalin sebelum 80 hari (daripada hari mula hamil), maka janganlah dipedulikan (kerana ia bukan nifas).

Seterusnya:
1. Jika berlaku pendarahan selepas 80 hari kerana tolakan bersalin, hendaklah dia tidak bersolat dan tidak berpuasa (kerana ia adalah nifas).[1]

2. Jika berlaku pendarahan selepas 80 hari kerana keguguran, hendaklah dia mendirikan solat dan berpuasa (kerana ia bukan nifas tetapi istihadah).
3. Jika tidak jelas baginya (sama ada pendarahan disebabkan kehamilan atau keguguran) maka hendaklah dihukum berdasarkan yang zahir (yang paling diyakini).[2]

Hukum-Hukum Nifas
Sebagaimana haid dan istihadah, terdapat beberapa hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang mengalami nifas. Secara umumnya hukum-hukum nifas adalah sama dengan hukum-hukum haid kecuali dalam perkara-perkara berikut:

Pertama: Iddah.
Nifas tidak dijadikan ukuran iddah bagi seorang isteri yang dijatuhkan talak (diceraikan) oleh suaminya. Oleh itu apabila seorang isteri yang hamil dicerai oleh suaminya, maka tempoh iddahnya ialah sehingga melahirkan anak, bukan dengan berhentinya nifas. Apabila seorang isteri yang baru sahaja melahirkan anak dicerai oleh suaminya, maka iddahnya ialah menunggu hingga datang haid lalu dikira berdasarkan putaran haidnya, bukan berdasarkan nifasnya.

Kedua: Ila’
Ila’ ialah tindakan seorang suami yang bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya buat selama-lamanya atau untuk satu tempoh yang melebihi empat bulan. Jika ini berlaku, maka tempoh empat bulan (atau lebih sebagaimana yang disumpah) dikira berdasarkan putaran haid isteri dan bukan berdasarkan nifasnya.

Ketiga: Baligh.
Tahap baligh bagi seorang wanita diukur berdasarkan datang haid dan bukan datang nifas. Ini kerana seorang wanita tidak mungkin akan mengalami nifas jika dia tidak hamil, dan dia tidak mungkin akan hamil jika tidak terlebih dahulu mengalami haid.

Keempat: Nifas yang terputus-putus
Bagi darah haid, jika ia keluar, kemudian terhenti sebentar, kemudian keluar semula, maka mudah untuk diyakini bahawa yang keluar semula itu adalah haid juga. Sebagai contoh, seorang wanita yang lazimnya memiliki tempoh haid lapan hari setiap bulan, lalu dia haid pada empat hari yang pertama, kemudian ia terhenti pada hari kelima dan keenam, kemudian ia keluar semula pada hari ketujuh dan lapan, maka mudah untuk diyakini bahawa yang datang semula pada hari ketujuh dan lapan tersebut adalah haid juga.

Berbeza pula bagi darah nifas, para ilmuan berbeza pendapat ke atas kes nifas yang terputus. Umumnya terdapat dua pendapat:

Pendapat Pertama:
Apabila nifas terhenti sebelum 40 hari kemudian ia keluar semula pada hari ke-40, maka yang keluar semula itu dikategorikan sebagai “darah yang disyaki”. Dalam kategori ini, wanita yang mengalaminya wajib bersolat dan berpuasa. Sebelum itu ketika sedang nifas, diharamkan ke atasnya apa yang diharamkan ke atas wanita yang sedang haid.[3] Dia wajib mengqada puasanya selepas suci (jika dia nifas dalam bulan Ramadhan). Ini adalah pendapat yang mayshur dalam Mazhab Hanbali.

Pendapat Kedua:
Apabila darah keluar pada suasana yang lazimnya disebabkan oleh faktor nifas, maka ia adalah nifas. Apabila darah keluar pada suasana yang lazimnya disebabkan oleh faktor haid, maka ia adalah haid.[4] Apabila darah keluar secara berterusan, ia adalah istihadah.

Pendapat yang kedua inilah dianggap yang benar. Imam Ibn Qudamah rahimahullah di dalam kitabnya al-Mughni, jld. 1, ms. 349 menukil kata-kata Imam Malik rahimahullah: Jika dia (wanita) melihat darah selepas dua atau tiga hari, yakni selepas habis nifas, maka ia adalah darah nifas dan jika selepasnya ( lebih dari tiga hari) maka ia adalah darah haid.[5] Pendapat kedua ini juga merupakan pilihan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.

Kelima: Bersetubuh
Apabila seorang wanita menjadi suci daripada haidnya lebih awal daripada tempoh yang biasa baginya, diharuskan bagi suami menyetubuhinya. Akan tetapi apabila seorang wanita yang sedang nifas suci daripada nifasnya lebih awal daripada tempoh 40 hari, wujud perselisihan pendapat sama ada harus atau tidak bagi suami menyetubuhinya.
Yang benar diharuskan bagi suami menyetubuhinya dan ini adalah pendapat majoriti ilmuan. Untuk berkata “tidak harus” memerlukan dalil syarak padahal tidak wujud dalil syarak dalam permasalahan ini.

Terdapat sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah di mana isteri ‘Utsman ibn Abi al-‘Aas (yang baru suci daripada nifas) telah menghampirinya padahal di saat itu belum genap tempoh 40 hari. Maka ‘Utsman berkata: “Janganlah kamu menghampiri aku.” Kisah ini tidak boleh dijadikan dalil menghukum “tidak harus” kerana tindakan ‘Utsman mungkin di atas sikap berhati-hati kerana tidak yakin bahawa isterinya telah benar-benar suci atau akan keluar darah semula disebabkan persetubuhan atau sebagainya, Allah yang lebih mengetahui.

Mandi Wajib Kerana Nifas
Mandi kerana Nifas adalah wajib hukumnya, sebagaimana keterangan di atas. Manakala niatnya adalah sebagaimana mandi kerana Janabah atau Hadats Besar. Cuma ditukar kepada Nifas. Contohnya:

"Sahaja aku mandi kerana Nifas kerana Allah ta'ala".

Nota kaki:
[1]Dalam ertikata lain, syarat nifas ialah
1. ia keluar disebabkan tolakan bersalin dan
2. Ia keluar selepas 80 atau 90 hari daripada hari mula hamil (penyunting)

[2]Demikian adalah bagi zaman Ibn Taimiyyah yang meninggal dunia pada tahun 728H. Alhamdulillah, di masa kini sudah ada peralatan yang boleh menentukan kehamilan atau keguguran. Maka mudah bagi seorang wanita untuk membezakan pendarahannya sama ada disebabkan kehamilan (nifas) atau keguguran (istihadah). (penyunting)

[3]Seperti solat, puasa dan tawaf. (penyunting)

[4]Yang dimaksudkan dengan faktor nifas ialah hamil, disertai tolakan dan paling awal 80 hingga 90 hari selepas hari pertama hamil. Faktor haid adalah apa yang selain daripada faktor nifas kecuali jika ia berterusan, maka ia adalah istihadah. (penyunting)

[5]Maksudnya jika nifas terhenti kurang daripada tiga hari lalu kemudian keluar semula, yang keluar itu adalah nifas juga. Jika nifas terhenti lebih daripada tiga hari lalu kemudian keluar semula, yang keluar semula itu bukanlah nifas tetapi haid. Maka tempoh berhenti selama tiga hari adalah pembeza antara darah nifas atau haid. (penyunting)

No comments: