PUASA SUNAT SYAWAL

PUASA SUNAT SYAWAL atau Puasa Enam : Puasa Sunat Syawal adalah puasa sunat yang dilakukan sebanyak 6 hari paada bulan syawal KECUALI 1 syawal. Puasa ini juga dikenali dibeberapa Negara sebagai Puasa Enam.

Masih ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak sedar tentang kelebihan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. Malah tidak dinafikan juga masih ada yang belum yakin dengan hanya berpuasa enam hari dalam bulan ini dan dicampur sebulan bulan Ramadhan pahalanya seperti berpuasa setahun.

Dalil dari sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Puasa sebulan (Ramadhan) menyamai dengan 10 bulan, dan puasa enam hari (bulan syawal) menyamai dua bulan”, (jika dicampurkan antara keduanya maka jadilah puasa itu penuh setahun)
(HR An-Nasa’ie).

MATEMATIK FADHILAT SETAHUN

Dikatakan bahawa ‘seperti setahun’ itu kerana 30 hari puasa Ramadhan itu bersamaan 10 bulan dan 6 hari syawal bersamaan 60 hari, maka jadilah 360 hari iaitu kira2 setahun. Setahun hijriyah bersamaan 355 hari kerana tahun hijri kurang 10 hari daripada tahun masihi yang ada 365 hari setahun.

kaedah kira2nya begini:

30 X 10 =300

6 X 10 = 60;

jadi, 300 +60= 360 HARI.

Kenapa didarab dengan 10? Ada hadis yang menyamakan 30 hari itu sama dengan 10 bulan dan 6 hari bersamaan dengan 60 hari. Juga berdasarkan kepada satu hadis yang bermaksud,

“Setiap amalan anak Adam digandakan baginya 10 (kali ganda) yang seumpamanya) hingga kepada 700 kali ganda… ..”

Jadi, kalau pakai gandaan yang paling minimum iaitu 10, maka hasilnya ialah 360 hari.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Walau bagaimanapun masih terlalu ramai umat Islam yang tidak melakukan puasa sunat syawal. Alasan paling popular pada ketika ini ialah puasa enam Syawal itu hanya sunat. Tidak berdosa pun jika tidak melakukannya. Hal ini bertepatan peribahasa Melayu “Hendah seribu daya, tak hendak seribu dalih".

Hukum Puasa Sunat Syawal

Asas kepada amalan puasa enam hari dalam bulan syawal ini ialah sabda Nabi s.a.w., maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian disusuli dengan enam hari dari Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)”.
(HR Muslim, Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah dan lain-lain)

Berdasarkan hadits di atas, jelaslah bahawa puasa enam hari dalam bulan syawal adalah SUNAT. Kecuali Imam Malik bin Anas pengasas Mazhab Maliki yang menghukumnya sebagai makruh. Ini sebagaimana yang dicatatnya dalam Kitab al-Muwatta’. Imam Malik berpendapat bahawa beliau tidak pernah melihat ilmuan Islam atau ahli fiqh Madinah dalam zamannya melakukan puasa tersebut, bahkan tidak sampai kepadanya riwayat dari ulama salaf mengenai hal itu. Para ilmuan zamannya memakruhkan puasa syawal kerana bimbang kebid’ahannya. Mereka juga bimbang golongan jahil akan mengaitknya dengan puasa bulaan Ramadhan. (Rujukan Al-Muwatta’, 1/330-bil: 857. Beirut: Mu’assasah ar-Risalah)

Imam Malik juga berpendapat demikian kerana sebab perawi hadits di atas iaitu Sa’d bin Sa’id bin Qais tidak kukuh kerana ada masalah hafalan, maka dianggap tidak kuat jika dia bersendirian dalam riwayat tersebut.

Namun hadits di atas dianggap sahih oleh majoriti pada ilmuan hadits, kerana hadits ini mempunyai jalur rawi yang lain selain dari Sa’d bin Sa’id, seperti Sofwaan bin Sulaim dan selainnya. Maka hadits ini sahih dari segi ilmu hadits.

Imam Nawawi pula berkata, tidak patut meninggalkan sesuatu sunnah nabi s.a.w. hanya kerana melihat orang lain tidak mengamalkannya sedangkan ia telah terbukti sahih riwayat tersebut di sisi ilmuan hadits dan tiada nas sahih lain yang boleh menolak amalan tersebut. (An-Nawawi: Syarh Sahih Muslim, 8/238, Beirut: Dar al-Khair).


Niat Puasa Sunat Syawal

“Sahaja aku berpuasa sunat syawal esok hari kerana Allah Taala.”

Niat puasa sunat juga boleh dilakukan selewat-lewatnya sebelum tergelincinrnya matahari pada hari tersebut dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkaan puasa sebagaimana yang diketahui dalam puasa Ramadhan.

Cara Pelaksanaan puasa enam Syawal

Sering kali menjadi perbincangan dikalangan ulama mengenai puasa itu dilaksanakan, sama ada secara berturut-turut atau berselang- selang.

Puasa ini boleh dilakukan secara berselang-selang (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya Syawal. Hal ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam Syawal, Baginda SAW hanya menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Oleh itu, puasa sunat enam Syawal boleh dilakukan pada mana-mana hari dalam Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir Syawal.

Adalah lebih afdal (utama) disegerakan pelaksanaan puasa sunat enam hari Syawal. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang amat luas, seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 133) ,” katanya.

Kesempurnaan pahala berpuasa selama setahun itu bermaksud iainya mestilah disempurnakan kedua-dua puasa berkenaan iaitu sempurna puasa Ramadhan dan sempurna puasa enam hari bulan syawal.

Beza puasa Syawal dan Ramadan

Puasa Syawal dan Ramadan mempunyai beberapa perbezaan.

Pertama, dari aspek hukum, puasa Syawal sunat, manakala puasa Ramadan wajib dan termasuk dalam satu daripada Rukun Islam. Sesiapa meninggalkan puasa Syawal tidak diwajibkan qada (ganti), tetapi berbeza dengan orang yang meninggalkan puasa Ramadan, mereka wajib mengqadanya semula pada hari-hari lain.

Kedua, puasa Ramadan (wajib) lebih tinggi darjatnya daripada puasa Syawal (sunat).

Ketiga, puasa Syawal boleh terus dilakukan bermula 2 Syawal, manakala puasa Ramadan tertakluk kepada penetapan anak bulan terlebih dahulu atau secara hisab (mencukupkan 30 hari Sya‘ban).

Keempat, jumlah hari puasa Syawal hanya enam hari sahaja, manakala puasa Ramadan dilakukan sebulan (30 hari).

Beliau berkata, disunatkan berbuka dengan buah kurma bagi mereka yang berpuasa enam Syawal.

“Tidak kira puasa wajib atau sunat, semuanya disunat berbuka dengan kurma, sama ada kering ataupun yang basah (paling afdal). Sekiranya tiada kurma, disunatkan berbuka dengan air. Hal ini berdasarkan amalan Rasulullah SAW ketika berbuka puasa, iaitu “Nabi SAW berbuka sebelum solat (Maghrib) dengan beberapa biji buah kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan kurma kering. Sekiranya tidak ada juga, Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci” (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)

Gabung puasa qada dan sunat enam Syawal

Isu menggabungkan puasa qada dan sunat enam Syawal sememangnya amat popular di negara ini.

Pandangan ringkas saya tentang perkara ini ialah tidak elok menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh badan dan lain-lain) untuk memisahkannya (dilakukan secara berasingan). Ini kerana, tidak ada dalil jelas membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada sahabat untuk menggabungkan antara kedua-duanya

Beliau berkata, apabila Nabi SAW, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya, maka sudah pasti ia bukanlah amalan terpilih dan terbaik untuk diikuti, kerana pilihan Nabi SAW dan sahabat selama-lamanya adalah terbaik.

Kesimpulannya, elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan wajib (qada) daripada sunat (puasa sunat enam Syawal).

Adab dalam berpuasa Sunat Syawal

Oleh kerana hari yang diharuskan puasa sunat syawal itu panjang dan mempunyai pilihan maka waktu-waktu kemeriahan keluarga, jemputan sahabat dan jiran hendaklah diutamakan.

Jika dijemput untuk meraikan kenduri seperti rumah terbuka, majlis kesyukuran, solat hajat dan sebagainya, haruslah seseorang yang telah berniat puasa syawal membatalkannya kerana meraikan jemputan dari jiran tetangga, keluarga terdekat atau sahabat handai. Kerana puasa boleh dilakukan pada hari-hari yang lain.

Asalkan jemputan itu tidak diterima selepas waktu zohor. Jika selepas waktu zohor maka lebih afdhal diteruskan puasa tersebut dan hadirilah majlis pada awal malam.

Puasa sunat memang digalakkan, namum menjaga hubungan silaturrahim dan perasaan kaum keluarga juga amatlah penting, bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya: “Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w.. Maka baginda dan sahabat-sahabat baginda pun datang ketempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: Aku berpuasa. Rasulullah s.a.w. pun bersabda: “Saudara kaamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu. “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti-jika mahu”.
(HR Al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra. Dinilai sebagai Hadits Hasan oleh Ibnu Hajar dalam fathul Bari).

Orang yang berpuasa juga disunatkan menjauhi kalangan mereka yang sedang menikmati makanan, kerana dibimbangi menimbulkan perasaan bersalah dihati orang lain dan mencabar keimanan orang yang berpuasa.

Si isteri wajib hukumnya meminta izin daripada suami-suami mereka jika mahu melakukan puasa sunat syawal bahkan sunat-sunat yang lain. Jika suami tidak mengizinkan maka haram baginya berpuasa. Ini bermakna jika siiteri yang berpuasa jika diajak oleh suami untuk bersenggama, maka hendaklah dia membatalkan puasanya.

Untuk lebih baik maka suami dan isteri dan ahli keluarga hendaklah sama-sama bersepakat melakukan puasa sunat dan mendapat kemeriahan apabila sama-sama berbuka.

Hikmah Puasa Sunat Syawal

Puasa sunat syawal sudah semestinya mempunyai hikmat yang amat besar, iaitu dapat menyempurnakan kecacatan yang mungkin terdapat dalam melakukan amalan puasa Ramadhan.

Hari Raya Puasa Enam Syawal

Tiada dalam Islam apa yang dinamakan Hari Raya Puasa Enam. Sebagaimana tiadanya ibadat khusus untuk puasa sunat syawal sebagaimana puasa Ramadhan. Solat tasbih jika hendak dilakukan janaganlah dikaitkan dengan puasa enam syawal. Jika diadakan juga maka seseorang itu telah melakukan perkara bid’ah dalam beragama.

No comments: