IKTIKAF

I'TIKAF: Dalam pengertian bahasa bererti berdiam diri yakni tetap di atas sesuatu. Sedangkan dalam pengertian syarak I'tikaf bererti berdiam diri di masjid kerana melakukan ibadah yang disunatkan, dikerjakan setiap waktu dan diutamakan pada bulan Ramadhan yang mulia, dan lebih dikhususkan sepuluh hari terakhir untuk mengharapkan bertemu dengan Lailatul Qadr. Dalam hal ini Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam bersabda :

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال :كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعتكف العشر الأواخر من رمضان ،
متفق عليه .

" Dari Ibnu Umar ra. ia berkata, Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam biasa beri'tikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan." (H.R. Bukhari dan Muslim)



عن أبي هريرة رضى الله عنه قال كان النبي صلى الله عليه وسلم يعتكف في كل رمضان عشرة أيام فلما كان العام الذي قبض فيه اعتكف عشرين يوما
ـ رواه البخاري.

"Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam biasa beri'tikaf pada tiap bulan Ramadhan sepuluh hari, dan tatkala pada tahun beliau meninggal dunia beliau telah beri'tikaf selama dua puluh hari. (H.R. Bukhari).

Sebahagian ulama mengatakan bahawa ibadah I'tikaf hanya boleh dilakukan dengan berpuasa di bulan puasa. Manakala sebahagian yang lain mengharuskan dikerjakan pada bila-bila masa. Cuma bulan Ramadhan adalah amat digalakkan kerana mengutip pahala yang besar yang dijanjikan oleh Allah.


Tujuan I'tikaf.
1. Dalam rangka menghidupkan sunnah sebagai kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam dalam rangka pencapaian ketakwaan hamba.

2. Sebagai salah satu bentuk penghormatan kita dalam memeriahkan masjid di bulan suci Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat dari Allah subhaanahu wata’ala.

3. Menunggu saat-saat yang baik untuk turunnya Lailatul Qadar yang nilainya sama dengan ibadah seribu bulan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Qadar.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan” (Q.S. Al-Qadr: 3)

4. Membina rasa kesadaran imaniyah kepada Allah dan tawadhu' di hadapanNya, sebagai mahluk Allah yang lemah.


Rukun I'tikaf.
I'tikaf dianggap sah apabila dilakukan di masjid yang di dirikan solat Jumaat atau masjid yang dikhaskan untuk beriktikaf dan memenuhi rukun-rukunnya sebagai berikut :

1. Niat. Niat adalah kunci segala amal hamba Allah yang betul-betul mengharap ridha dan pahala dariNya.
2. Berdiam di masjid. Maksudnya dengan diiringi dengan solat, tafakkur, zikir, berdo'a dan lain-lainya.

3. Di dalam masjid. I'tikaf dianggap sah bila dilakukan di dalam masjid, yang biasa digunakan untuk solat Jumaat. Berdasarkan hadits Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam.

" ولا اعتكاف إلا في مسجد جامع ـ رواه أبو داود.

"Dan tiada I'tikaf kecuali di masjid jami' (H.R. Abu Daud)

4. Islam dan suci serta akil baligh.


Cara berI'tikaf.
1. Niat berI'tikaf kerana Allah. Misalnya dengan mengucapkan : Aku berniat I'tikaf kerana Allah ta'ala.

نويت الاعتكاف فى هذا المسجد لله تعالى
“Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini kerana Allah taala”

2. Berdiam diri di dalam masjid dengan memperbanyak berzikir, tafakkur, membaca do'a, bertasbih dan memperbanyak membaca Al-Qur'an.

3. Diutamakan memulai I'tikaf setelah solat subuh, sebagaimana hadits Rasulullah sollallaahu ‘alaihi wasallam.

وعنها رضى الله عنها قالت كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا أراد أن يعتكف صلى الفجر ثم دخل معتكفة
ـ متفق عليه .

"Dan dari Aisyah, ia berkata bahawasannya Nabi sollallaahu ‘alaihi wasallam apabila hendak berI'tikaf beliau solat subuh kemudian masuk ke tempat I'tikaf. (H.R. Bukhori dan Muslim)

4. Menjauhkan diri dari segala perbuatan yang tidak berguna. Dan disunatkan memperbanyak membaca:

أللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنا
(Allaahumma ‘innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu anna)

“Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, maka maafkanlah daku”.


Waktu I'tikaf.
1. Menurut mazhab Syafi'e I'tikaf dapat dilakukan bila-bila masa sahaja dan dalam waktu apa saja, tanpa batasan lamanya seseorang itu berI'tikaf. Sebaik sahaja seseorang iyu masuk ke dalam masjid dan dia berniat I'tikaf maka sahlah I'tikafnya.

2. I'tikaf dapat dilakukan selama satu bulan penuh, atau dua puluh hari. Yang lebih utama adalah selama sepuluh hari terakhir bulan suci Ramadhan sebagaimana dijelaskan oleh hadits di atas.


Hal-hal yang membatalkan I'tikaf.
1. Berbuat dosa besar.
2. Bercampur dengan isteri.
3. Hilang akal kerana gila atau mabuk.
4.Murtad (keluar dari agama).
5. Datang haid atau nifas dan semua yang mendatangkan hadas besar.
6. Keluar dari masjid tanpa ada keperluan yang mendesak atau uzur, kerana maksud I'tikaf adalah berdiam diri di dalam masjid dengan tujuan hanya untuk ibadah.
7. Orang yang sakit dan membawa kesulitan dalam melaksanakan I'tikaf.


Hikmah BerI'tikaf .
1. Mendidik diri kita lebih taat dan tunduk kepada Allah.

2. Seseorang yang tinggal di masjid mudah untuk memerangi hawa nafsunya, kerana masjid adalah tempat beribadah dan membersihkan jiwa.

3. Masjid merupakan madrasah ruhiyah yang sudah barang tentu selama sepuluh hari ataupun lebih hati kita akan terdidik untuk selalu suci dan bersih.

4. Tempat dan saat yang baik untuk bertemu dengan Lailatul Qadar.

5. I'tikaf adalah salah satu cara untuk memakmurkan dan meramaikan masjid.

6. Dan ibadah ini adalah salah satu cara untuk menghormati bulan suci Ramadhan, jika dilakukan di bulan Ramadhan.

No comments: