Pada dasarnya, Islam tidak
menggalakkan umatnya berhutang. Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada
Uqbah bin Amir yang bermaksud:
“Janganlah kalian membuat takut
jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Beliau
bersabda: Hutang.”
Tetapi Islam memberi galakan
kepada umatnya, agar memberi bantuan kepada saudara-saudaranya yang amat
memerlukan, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi.
Dalam Islam hutang dan sedekah
mempunyai hubungan yang amat rapat. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang
bermaksud:
“Barang siapa memberikan, lebih
dua pahalanya daripada pahala sedekah”. (Hadis Hasan).
Dalam kisah perjalanan Rasulullah
sollallaahu alaihi wasallam bersama
malaikat Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah sebuah pintu
syurga kata-kata bermaksud,
‘Sedekah bersamaan 10 kali ganda
dan hutang bersamaan 18 kali ganda’.
Lalu baginda bertanya kepada
Jibril, “Mengapa demikian? Jawab Jibril, “sedekah diberikan kepada seseorang,
semua atau sebahagiannya. Sementara hutang, orang tidak akan meminta berhutang
kalau tidak kerana sebab-sebab yang mendesak”.
Rasulullah sollallaahu alaihi
wasallam bersabda lagi yang bermaksud:
“Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba
itu suka menolong saudaranya”. (Riwayat Muslim)
Hutang yang dibenarkan dalam
Islam hanyalah hutang Al Qard dengan maksud pinjaman. Ia juga dikenali dengan
nama Al Qardhul Hasan atau pinjaman kebajikan (benevolent loan) di mana hutang
atau pinjaman diberikan kepada orang yang sangat memerlukan bantuan, tanpa
melibatkan bayaran lebih semasa bayaran balik hutang tersebut. Misalnya, jika diberi
pinjaman RM1000 dan tempoh bayaran balik selepas 2 bulan, maka siberhutang
mesti membayar semula hutang beliau pada tempoh yang dijanjikan dan dengan
jumlah yang sama RM1000. Jika orang yang berhutang hendak memberikan lebihan
saguhati kepada pemberi pinjaman, ini adalah dibenarkan dalam Islam tetapi
tidak boleh dijadikan syarat dalam pinjaman itu.
Orang yang memberikan hutang
tidak boleh mengenakan bayaran tambahan ke atas hutang itu, kerana jumlah
tambahan ke atas hutang itu dikenali sebagai RIBA yang amat dilarang dalam
Islam. Apa sahaja nama yang digunapakai seperti bunga, faedah, premium dan
sebagainya, adalah termasuk dalam kategori riba selagi mana ianya menepati
definisi riba yang dimaksudkan. Secara ringkas, salah satu riba hutang piutang
ialah riba annasi’ah atau juga dipanggil riba al-qard. Ini merujuk kepada
hutang yang disyaratkan dengan faedah atau manfaat kepada pihak yang memberikan
pinjaman. Ini merupakan satu bentuk penindasan kepada orang yang sedang dalam
kesusahan kerana memerlukan bantuan kewangan.
CARA BERHUTANG DAN MEMBERI
HUTANG.
Islam menganjurkan dengan
terperinci bagaimanakah cara Dalam menguruskan suatu pinjaman atau berhutang,
antaranya;
1. Syarat bertulis dan
ditandatangan oleh kedua-dua belah pihak tanda setuju, dengan jumlah dan
tempoh.
2. Saksi iaitu mendapatkan
tandatangan satu orang selain dari pemberi hutang dan penerima hutang.
CONTOH SURAT PERJANJIAN HUTANG PIUTANG (Perjanjian ini mempunyai 2
mukasurat)
Kami yang bertandatangan di bawah
ini:
Nama :
Alamat :
Umur :
Pekerjaan :
Selaku Pemberi Pinjaman, selepas
ini disebut PIHAK PERTAMA.
Nama :
Alamat :
Umur :
Pekerjaan :
Selaku Yang Meminjam, selepas ini
disebut PIHAK KEDUA.
1. Bahawa Pihak Kedua
bermaksud hendak meminjam
sejumlah wang dari Pihak Pertama dan Pihak Pertama
Bersetuju memberi Pinjaman Itu.
2. Selanjutnya kedua belah pihak telah
bersepakat untuk mengadakan
perjanjian hutang piutang
mengenai wang di
maksud di Fasal 1 nanti, yang
diatur serta dengan mengguna
ketentuan-ketentuan berikut:
Fasal 1 : Jumlah Hutang Piutang
(1) Nilai perjanjian hutang piutang yang disepakati oleh kedua pihak
adalah wang sejumlah RM ………………………….
sahaja.
Ringgit Malaysia:………………………………………………………………………………………………………….…………………..
…………………………………………………………………….……………………………………………………………………………….....
Fasal 2 : Tarikh dan Tempoh Pembayaran Balik Pinjaman
(1) Pinjaman ini berlaku bermula pada
........................ hingga ………………
(2) Apabila dalam jangka waktu
tersebut pihak kedua masih belum mampu mengembalikan seluruh pinjaman kepada
pihak pertama, maka pihak pertama dapat memberikan toleransi pembayaran
maksima 1 (satu) bulan
dari tarikh terakhir
yang tercantum dalam ayat 1 Fasal 2 kerana mempertimbangkan keadaan pihak
kedua.
Fasal 3 : Cara pembayaran Balik Pinjaman
(1) Pihak Pertama dan
Pihak Kedua telah sepakat
bahawa pembayaran pinjaman Pihak Kedua
kepada Pihak Pertama dilakukan dengan cara tunai/ansuran sebanyak RM
…………………………sebulan.
(2) Pihak Pertama dan Pihak Kedua
juga telah sepakat bahawa untuk memudahkan kedua belah pihak maka pembayaran
dilakukan melalui Mesin ATM bank kepada :
Bank …………………….…..…………………..………………
No. Akaun ………………………….……………………………
Atas Nama Pihak
Pertama......……………………………………………………………………………………………………
(3) Terkait dengan
kegiatan ayat 2
Fasal 3, untuk
setiap kali pihak
kedua membuat pembayaran di Mesin ATM maka harus menyimpan bukti berupa
slip/resit sebagai bukti pembayaran
yang sah. Salinan slip/resit hendaklah diphotostat dan
diserahkan kepada Pihak Pertama saat bayaran terakhir untuk ditandatangani dan/atau
distem oleh pihak pertama. Sementara salinan yang asli disimpan oleh
pihak kedua.
Demikian perjanjian ini dibuat
untuk digunakan sebagai mana mestinya.
(contoh: Kota Bharu) 09 Jun 2013
Tandatangan Pihak Pertama Tandatangan Pihak Kedua
……………………………………………. …………………………………………………
(
) ( )
Tandatangan Saksi I Tandatangan Saksi II
…………………………………………….. …………………………………………………..
(
) ( )
Semoga Allah memberkati urusan
ini dan memberi jalan mudah menyelesaikannya. Insya Allah.
Dalil tentang cara mengurus
hutang ini seperti menulis jumlah hutang, tempoh hutang dan mengadakan saksi,
telah digariskan dengan jelas oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam firmanNya,
dalam surah Al Baqarah, ayat 282.
“Wahai orang-orang yang beriman!
Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi
tempoh hingga ke satu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (HUTANG
DAN MASA BAYARANNYA) itu. Dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya
dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana
Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang
yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan
hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan
sesuatu pun dari hutang itu.
Kemudian jika orang yang
berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat merencanakan (isi
surat itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar); dan
hendaklah kamu mengadakan DUA orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian,
kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua
orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika
yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu, maka dapat
diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila
mereka dipanggil menjadi saksi.
Dan janganlah kamu jemu menulis
perkara hutang yang bertempoh masanya, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang
demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan)
keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.
Kecuali, perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama
sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi
apabila kamu berjual beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu
disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya
yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu,
hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan
ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Mungkin tidak timbul masalah
untuk menulis hutang kerana prosedur yang jelas dengan persetujuan kedua-dua
pihak yang berhutang dan yang memberi hutang. Telah termaktub dalam perjanjian
hutang tersebut bahawa adalah menjadi tanggungjawab orang yang berhutang untuk
menjelaskan hutangnya pada tempoh masa yang ditetapkan. Contoh terbaik bagi
menjelaskan hutang adalah seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah
sollallaahu alaihi wasallam sendiri ketika berhutang.
Dari Abu Hurairah r.a., beliau
berkata Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam pernah berhutang seekor unta
kemudian Baginda membayarnya dengan yang lebih baik dan bersabda, maksudnya: “
Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutangnya.” Hadis
riwayat Imam Muslim. Rujuk Sahih Muslim Jil. III, Sunan al Tirmidhi Jil. II,
Misykat al Masabih Jil, III.
HUKUM MEMBERI HUTANG
Asal hukum adalah harus, tetapi
ianya boleh berubah mengikut syarat dan keadaan dari kedua-dua belah pihak.
Dalam Islam memberi hutang adalah
satu perbuatan yang baik dan akan diberikan pahala yang oleh Allah, kerana
dengan pemberian itu mungkin dapat menyelamatkan maruah dan jiwa seseorang
daripada dihina, diugut atau dibunuh…sebagaimana firman Allah…Tangan di atas
lebih baik dari tangan di bawah.
Memberi hutang juga menjadi wajib
apabila yang meminta itu adalah mereka yang Dalam keadaan kesempitan yang amat
sangat, kerana ditimpa musibah dan seumpamanya. Hutang juga wajib diberikan
kepada mereka yang dulu pernah kaya raya tetapi menjadi muflis dan miskin.
Hikmatnya untuk mengelak daripada golongan ini mengambil jalan singkat dan
sesat seperti membunuh diri atau merompak atau mencuri.
Ada ketikanya Islam memberi
kelonggaran kepada pemberi hutang meminjam atau berhutang dari orang lain untuk
diberikan pinjaman atau sedekah kepada mereka yang amat memerlukan.
MASALAH DALAM PEMBAYARAN HUTANG
Banyak kedengaran isu dan
kenyataan di akhbar mengenai permasalahan semasa menjelaskan hutang termasuklah
hutang kad kredit, hutang rumah, hutang kereta dan lain-lain lagi. Satu
persoalan timbul dalam masyarakat kita ialah bagaimana menangani masalah orang
yang susah atau sengaja melambatkan bayaran hutang atau lari dari hutang atau
mengalami kerugian yang menyebabkan mereka tidak mampu membayarnya.
Mungkin pelbagai tindakan seperti
perbincangan, penambahan masa bayaran dan tindakan mahkamah atau perundangan boleh
diambil oleh pihak pemberi pinjaman kepada mereka yang gagal menjelaskan hutang
ini. Berbagai-bagai alasan akan diberikan untuk mengelak atau menangguhkan
pembayaran hutang tersebut.
BALASAN MEREKA YANG
MELAMBAT-LAMBATKAN PEMBAYARAN HUTANG
Sesungguhnya melambat-lambatkan
bayaran hutang, amatlah besar sekali akibatnya dalam kehidupan manusia, bukan
sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat. Antaranya: 1. Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.
2. Hidup mereka tidak mendapat keredhaan Allah.
3. Mereka digolongkan dalam perbuatan zalim.
4. Amalan kebajikan mereka tidak diberkati.
Rasulullah sollallaahu alaihi
wasallam mengecam orang-orang yang menangguhkan bayaran hutangnya sedangkan
mereka itu kaya atau berkemampuan untuk menjelaskan hutang mereka. Tindakan
melewatkan bayaran hutang ini seolah-olah menafikan hak orang yang memberikan
pinjaman, kerana mungkin mereka memerlukan pula wang tersebut untuk tujuan
kemaslahatan yang lain.
Dari Abu Hurairah r.a.,
Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam bersabda: “ Menunda-nunda orang kaya
untuk membayar hutang (memberi hak kepada orang lain) adalah zalim…” . Hadis
riwayat Imam al- Tirmidhi, Rujuk Sunan al Tirmidhi Jil. II.
Sabda Rasulullah sollallaahu
alaihi wasallam bersabda: Penangguhan (hutang) oleh orang yang berkuasa
membayar, adalah satu kezaliman, halallah maruahnya dan hukuman ke atasnya
(iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atasnya dan maruahnya).
Riwayat Ibnu Majah.
Dalam konteks risiko perniagaan,
jika seorang peniaga mengalami kerugian dan masih menanggung hutang yang
banyak, maka dianjurkanlah orang ramai memberi sedekah kepada peniaga itu
dengan niat untuk membantu menjelaskan hutang orang tersebut. Amalan sedekah
ini boleh menyucikan harta seperti Firman Allah dalam surah at-Taubah, ayat
103,
“Ambillah sedekah dari sebahagian
harta mereka, dengan sedekah itu , kamu membersihkan dan mensucikan mereka.”
Anjuran bersedekah bagi membantu
orang yang terdesak dalam berhutang, juga dianjurkan oleh Rasulullah
sollallaahu alaihi wasallam. Dari Abu Sa’id al Khudri r.a., yang maksudnya:
Pada masa Rasulullah sollallaahu
alaihi wasallam, ada seorang laki-laki ditimpa musibah dalam buah-buahan yang
dia perdagangkan, lalu dia mempunyai banyak hutang. Bersabda Rasulullah
sollallaahu alaihi wasallam. yang maksudnya: “Bersedekahlah kamu sekalian
kepadanya” Maka orang-orang pun bersedekah kepadanya, akan tetapi (yang dia
terima) itu tidak mencukupi bagi menjelaskan hutangnya.
Kemudian Rasulullah sollallaahu
alaihi wasallam. bersabda kepada orang-orang yang memberi hutang kepadanya,
“Ambillah apa yang dapat kamu ambil dan kamu tidak dapat mengambil kecuali itu
(yakni hasil pengumpulan sedekah tadi)”. Hadis riwayat Imam al Tirmidhi, Sunan
al Tirmidhi Jil.I.
Oleh yang demikian, Islam
menganjurkan antara perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ini, selain
dari jenazah hendaklah segera dikebumikan, dan anak perempuan yang dipinang
orang hendaklah segera dikahwinkan, maka hutang-piutang hendaklah segera
dibayar atau dilangsaikan, untuk mengelakkan terabai membayarnya. Islam sangat
mengambil berat mengenai pembayaran hutang, kerana pelunasan hutang adalah
merupakan satu syarat untuk mendapat keredhaan Allah. Seseorang yang berhutang,
hendaklah berniat dalam hatinya untuk menunaikan hutang tersebut, kerana Allah
akan memudahkan baginya bila dia hendak menunaikannya.
Banyaklah berdoa agar hutang
dapat segera dilunaskan dan banyakkan juga berdoa supaya kita tidak termasuk
kalangan orang-orang yang terpaksa berhutang dan suka berhutang.
Rasulullah sollallaahu alaihi
wasallam. juga bersabda; “Dan barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat
tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya di hari
kiamat: " Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak hambaku?,
maka diambillah amal kebaikan orang itu, dan diberikan pada orang yang memberi
hutang, dan jika tidak mempunyai amal kebaikan, maka dosa-dosa orang yang
memberi hutang itu, diberikan pada orang-orang yang berhutang.”
Rasulullah sollallaahu alaihi
wasallam mengingatkan kita bahawa orang yang berhutang terikat dengan
pembayaran. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa di dunia, kerana apabila dia
sudah mati dan dia masih lagi menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung
sehinggalah dijelaskan hutang tersebut. Sepertimana sabda Rasulullah
sollallaahu alaihi wasallam:
”Jiwa orang-orang mukmin
tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum kepadanya selamat atau celaka)
sehinggalah dia menjelaskan hutangnya”.
Abu Said r.a berkata: "Telah
dibawa kepada Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam jenazah untuk
disembahyangkan, lalu Nabi bertanya: Apakah mayat ini masih menanggung hutang?,
Sahabat menjawab: Ya, Nabi bertanya: Apakah ia ada meninggalkan harta untuk
membayarnya?, jawab Sahabat: Tidak. Nabi bersabda : "Sembahyanglah kamu
kepada kawanmu itu", Nabi sendiri tidak ikut menyembahyangkannya. Kemudian
Ali bin Talib berkata: "Biarlah saya yang membayar hutangnya".
Sesudah itu, Nabi segera maju menyembahyangkannya, lalu ia berkata kepada Ali,
Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) dari api neraka, sebagaimana
kamu membebaskan tanggungan saudara yang muslim itu. Tidaklah seorang muslim
yang membayar hutang saudaranya, melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya
(dirinya) dari api neraka pada hari kiamat kelak.”
KEBAIKAN MEMBERI KELONGGARAN
TEMPOH BERHUTANG
Mari kita lihat pendekatan Islam
melalui hadits Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam yang disampaikan oleh Abu
Hurairah r.a, di mana ianya menceritakan tentang kebaikan memberikan
kelonggaran bagi menjelaskan hutang.
Rasulullah sollallaahu alaihi
wasallam bersabda; “Barang siapa yang memberikan kelonggaran waktu pada
hutangnya orang fakir dan miskin atau membebaskannya, maka Allah memberikan
kepadanya naungan di hari Kiamat di bawah naungan ArasyNya, ketika tidak ada
naungan kecuali naunganNya .” Hadis riwayat Imam Al Tirmidhi. Rujuk Sunan al
Tirmidhi Jil. II.
GALAKAN MEMBAYAR HUTANG
Terdapat pendapat al Salaf Al
Salih yang menggalakkan segera dibayar hutang ini, iaitu dari Imam Ahmad bin
Hanbal meriwayatkan daripada Abu Qilabah bahawa Abu al-Darda r.a. berkata:
“Kebajikan tidak pernah punah, dosa tidak akan dilalaikan dan orang yang
berhutang sukar melelapkan mata. Jadilah dirimu seperti yang engkau kehendaki.
Seberapa banyak engkau berhutang, maka sebanyak itu pula engkau harus
mengembalikannya.” Kitab al-Zuhd.
Dalam hadits yang lain Rasulullah
sollallaahu alaihi wasallam bersabda: “Berhati-hatilah kamu Dalam berhutang,
sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan
kehinaan di siang hari.” (HR al-Baihaqi)
Apa tidaknya?, kerana orang yang
berhutang akan berfikir dengan macam-macam fikiran apabila sampai tempoh
perjanjian pembayaran hutang, apalagi bila diminta oleh pemberi hutang. Mereka
akan berfikir mencari jalan untuk menyelesaikan hutang, berfikir mencari jalan
untuk lari dari bertemu dengan pemberi hutang, berfikir untuk mencari alas an
jika esok hari dituntut lagi.
Lalu keesokkan harinya mereka
akan menjadi hina dengan menjauhkan diri dari orang ramai, mengelak dari
bertemu dengan orang yang memberi hutang kepadanya, lari daripada orang-orang
yang menuntut hutang dan sebagainya.
“Membayar hutang itu ibadah”
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, janganlah
menangguhkan bayaran jika kita berhutang, dan apabila mempunyai peluang untuk
membayarnya. Perbuatan sengaja mengelakkan bayaran hutang, adalah tergolong
dalam perbuatan orang yang zalim dan dia berhak mendapat pembalasan terhadap
perbuatannya. Oleh itu, sangat-sangatlah dianjurkan orang yang berhutang untuk
menjelaskan hutang dengan segera, tanpa perlu menunggu pemberi pinjaman tadi
memberikan peringatan atau mengulang-ulang bertanyakan mengenai pelunasan
hutang tersebut. Bersegeralah kita menunaikan janji untuk membayar hutang, jika
ada; kerana sangat besarlah ganjarannyan kepada mereka yang menunaikan janji
ketika berhutang ini, seperti Firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 177:
“…. orang-orang yang menepati janjinya apabila
dia berjanji dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan…., Mereka itulah orang
yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.”
Oleh : Dr Amalina Abdullah
No comments:
Post a Comment