Warak

WARA’ atau WARAK : Wara’ mengandungi pengertian menjaga diri atau sikap hati-hati ‎‎‎dari perkara yang Syubhat dan meninggalkan yang haram, samada dalam perbuatan, ‎‎‎percakapan, makanan, pakaian, kewangan dan sebagainya. Lawan dari Wara’ adalah ‎‎‎syubhat. ‎

‎"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada ‎‎‎yang syubhat, manusia tidak banyak mengetahui. Siapa yang menjaga diri dari syubhat, ‎‎maka ‎selamatlah agama dan kehormatannya. Dan siapa yang jatuh pada syubhat, maka ‎‎jatuh ‎pada yang haram." (HR Bukhari & Muslim).‎

Contoh: Seseorang meninggalkan kebiasaan mendengarkan muzik dan memainkan alat ‎‎‎muzik kerana dia tahu bahawa alat muzik atau mendengar muzik itu ada yang ‎‎mengatakan ‎halal dan ada yang mengatakan haram. Para ulamak berselisih pendapat ‎‎dalam masalah ‎hukum mendengar muzik. Adapun jika mendengar lagu yang mempunyai ‎‎unsur ‎merangsang nafsu syahwat, atau pemujaan kepada selain Allah, atau menghina ‎‎agama ‎atau seseorang, maka dengan jelas bersepakat akan keharamannya.‎

Seseorang yang warak akan mengambil jalan yang paling ringkas dalam hidup mereka ‎‎‎samada pakaian, tutur kata, makanan, dan seumpamanya. Iaitu mereka memakan apa ‎‎‎yang ada dari makanan yang diyakini halal, bercakap perkara-perkara yang membawa ‎‎‎kepada kebaikan dan diredhai oleh Allah, memakai apa yang ada dari pakaian yang ‎‎‎sederhana tanpa bermewah-mewah sehingga boleh melalaikan mereka dari mengingati ‎‎‎Allah.‎

Bukan pula bererti orang yang memakai pakaian yang koyak rabak, atau lusuh itu sebagai ‎‎‎wara’. Begitu juga tidak boleh dikatakan orang yang memakan makanan yang biasa dan ‎‎‎murah itu sebagai warak.‎

Tetapi orang yang warak itu adalah mereka yang mampu melakukan segalanya seperti ‎‎‎orang lain, tetapi mengambil sikap lebih rendah dari sederhana dalam segala tindak ‎‎‎tanduknya dan penampilan dirinya. Ini bermaksud seseorang yang warak itu tidak ‎‎‎mementingkan kehidupan mewah di dunia melainkan mencari keredhaan Allah untuk ‎‎‎hari Akhiratnya. Hatinya selalu ingat pada kekuasaan Allah, kebesaran Allah, perintah ‎‎‎dan suruhan Allah, cepat-cepat meninggalkan larangan Allah, serta sentiasa bertaubat ‎‎‎dari sebarang kesilapan dan dosa walaupun yang tidak disengajakan.‎

Harta yang banyak bagi seorang yang warak adalah merupakan ujian Allah di atas ‎‎‎keimananya. Oleh itu akan segera disumbangkan kepada orang memerlukannya. Ini ‎‎‎bermakna seorang warak walaupun mampu memakai pakaian yang beribu ringgit ‎‎‎harganya tetap akan memilih yang belasan ringgit sahaja, mereka mampu membeli kereta ‎‎‎ratusan ribu tetapi tetap memilih yang paling murah sahaja. Tidak makan makanan yang ‎‎‎mahal dan enak-enak bagi kebanyakan orang, bukan kerana tidak mampu atau dihalangi ‎‎‎oleh penyakit tetapi bimbang takut menjadi pembaziran dan bermewah-mewah. Begitulah ‎‎‎sedikit contoh seorang yang boleh dianggap warak.‎

Kesimpulannya, seorang yang warak akan memilih kehidupannya seolah-olah seorang ‎‎‎yang zuhud, walaupun dia bukan seorang yang zuhud dengan:‎

‎1. ‎ Meninggalkan perkara yang Syubhat walaupun kecil.‎

‎2. ‎ Segera melakukan perintah Allah.‎

‎3. ‎ Segera meninggalkan perkara yang haram dan dilarang oleh Agama Islam.‎

‎4. ‎ Pemurah dan dermawan.‎

‎5. ‎ Merasa cukup (Qana’ah) dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya

No comments: