Showing posts with label UMUM. Show all posts
Showing posts with label UMUM. Show all posts

Masjidil Haram

Masjidil Haram: ( المسجد الحرام ), disebut juga dengan Masjid al-Haram, adalah masjid paling suci umat Islam. Masjid ini terletak di tengah-tengah Kota Makkah Al Mukharamah. Masjidil Haram dibina mengelilingi Kaabah, iaitu Kiblat umat Islam apabila mengerjakan solat dan amalan ibadah yang lain.



Haram shariff telah dibangunkan oleh malaikat sebelum kejadian manusia oleh Allah S.W.T. dan Allah mentasbihkan satu tempat sembahyang untuk membayangi ‘al-Baitul Makmur’ di ‘Arasy, tempat para malaikat melakukan tawaf dan mengerjakan solat mereka. Dalam Islam diyakini bahawa Kaabah berada betul-betul di bawah "Arasy" atau Singgahsana Allah.

Kaabah pertama sekali dibina oleh Nabi Adam dengan bantuan para malaikat. Kaabah sudah beberapa kali rosak ditimpa bencana alam seperti banjir dan pelbagai punca lain. Nabi Ibrahim dengan bantuan anaknya, Nabi Ismail telah memperbaiki Kaabah, setelah diperintah oleh Allah S.W.T. untuk memperbaiki Kaabah dan membina masjid di sekitar Kaabah.

Imam Abul Hassan al-Mawardi meriwayatkan bahawa di zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah ketika Saidina Abu Bakar r.a. diangkat menjadi Khalifah, Masjidil Haram ini tidak mempunyai dinding. Perluasan Masjidil-Haram bermula pada tahun 638 Masihi oleh Saidina Umar ibn Khattab. Beliau telah membeli rumah-rumah di sekeliling Ka'abah dan diruntuhkan kesemuanya bagi tujuan perluasan. Perluasan Masjid diteruskan lagi oleh Saidina Utsman bin ‘Affan pada kira-kira tahun 647 Masihi.

Pada tahun 696 Masihi, cucu Saidina Abu Bakar As Siddiq bernama Abdullah ibn Zubair telah memperluaskan kawasan masjid ini dengan membeli gedung-gedung yang terdapat di sebelah timur dan selatan Masjid. Sementara di bahagian utara dan barat pula telah diperluaskan oleh Zaid bin Abdullah al-Harisi dibawah perintah Abu Ja'afar al-Mansur, Khalifah Bani Abas kedua.

Orang-orang seperti Abdul Malik ibn Marwan,Umar, Al-Walid, Ziad bin Abdullah, Musa al-Mahdi, adalah antara mereka yang awal menghiasi masjid ini. Kalimah-kalimah al-Quran disulami dengan corak-corak Islam, batu-batu mamarnya telah diukir dengan indah dan tiang-tiangnya disalutkan emas.

Pada tahun 986 Masihi, Harun Ar-Rashid telah memasukkan gedung Dar An-Nadwah di sebelah utara ke dalam masjid dan membina pintu Babul Ibrahim di sebelah barat. Pintu besar Babus Salam telah diperbaiki pada tahun 1243 Masihi oleh Ali bin Umar dari Yaman.

Amir Zainal Abidin al-Utsmani (1379 Masihi) telah mengutuskan Sudun Pasha mencantikkan pintu masjid dengan hiasan yang indah, memperbaiki atap dan pancuran air di Ka'abah. Pada tahun 1399 Masihi, suatu kebakaran besar telah berlaku pada Masjidil-Haram. Banyak bahagian telah musnah begitu juga dengan hasil kesenian yang indah-indah yang sukar dicari ganti. Amir Besar Az-Zahiri telah memperbaikinya pada tahun berikutnya dan selesai pada tahun 1401 Masihi.

Sultan Salim II (1572-1577 Masihi) telah memperbaharui dan memperkemaskan lagi Masjidil-Haram ini dengan memasukkan kubah dan relung-relung yang indah di dalamnya. Atas arahan Sinan Pasha dari Mesir, kerja-kerja pembinaan telah di usahakan oleh Ahmad Bey dan seorang jurutera bernama Muallim Muhammadal-Misri. Bila Sultan Salim meninggal dunia, anaknya Sultan Murad telah meneruskan pekerjaan bapanya sehingga selesai.

Reka bentuknya kekal dari zaman Umawi (kerajaan umaiyah), Abbasiah hingga dilakukan perluasan kerajaan Arab Saudi. Mereka melihat Masjidil Haram bakal menampung pertambahan jumlah jemaah yang kian meningkat setiap tahun. Program perluasan kota itu bermula oleh Raja Abdul Aziz pada 1955. Ia menyaksikan keluasan bertambah dalam masa 20 tahun daripada 19,000 meter persegi kepada 160,000 meter persegi, hampir lapan kali ganda keluasan asalnya. Penambahan itu dibuat tanpa menjejaskan keaslian binaan asal dari zaman Turki.

Ruangan tawaf juga dibesarkan tiga kali ganda dari keluasan asal. Daun pintu Kaabah juga diganti baru, dilapisi emas tulen. Raja Fahd menambah kawasan sa’i dengan laluan bertutup berhawa dingin. Begitu juga laluan bertingkat dan jambatan bagi mengurangkan kesesakan ketika musim haji demi keselesaan umat Islam.

Selepas 13 tahun projek pembesaran Al-Haram siap, Raja Fahd melancarkan satu lagi projek pembesaran masjid ini. Pada 2 Safar 1409, projek ketiga perluasan Masjidil Haram oleh Kerajaan Saudi dirasmikan. Kos pembinaan bernilai 6.8 bilion Riyal Saudi dan melibatkan pertambahan masjid dan kompleks yang menempatkan kedai di barat Masjidil Haram iaitu di hadapan Babul Umrah dan Babul Malik.

Kini, di bawah pentadbiran Raja Abdullah Abdul Aziz As-Saud, Baginda merancang untuk membesarkan lagi Masjid Al-Haram.

Projek terbaru yang di laksanakan Baginda ialah membesarkan lorong Mas'a (tempat bersa’i) daripada 2 lorong kepada 4 lorong.

Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 2006, dengan mengambil sedikit dari bahagian dataran sembahyang di Bab As-Salam. Kerja-kerja pembinaan itu telah siap pada tahun 2008 masehi.

Walau bagaimanapun, keperluan dan pertambahan umat Islam seluruh dunia meningkat berpuluh-puluh kali ganda setiap tahun. Oleh itu projek pembesaran Masjidil Haram dirancang kembali dan kini sedang dibina dengan rancaknya. Pembesaran kali ini agak mengkagumkan, kerana ia melibatkan berpuluh-puluh ekar tanah di bahagian utara masjidil Haram. Projek ini dijangka akan disiapkan pada tahun 2011. Dengan peluasan ini mungkin masjidil haram akan dapat menampung peningktan jemaah haji sehingga tahun 2025. Lihat gambaran di bawah.


Kehebatan dan keajaiban Masjidil Haram tidak dapat dirungkaikan oleh mana-mana ahli sains dan pihak NASA hingga kini, di mana gambaran masjidil haram tidak dapat diambil dari angkasa samada oleh kapal angkasa NASA atau satelit. Masjidil Haram akan menjadi bersinar dan tidak jelas. Lihat bukti di bawah.


Menara
Masjidil-Haram mempunyai beberapa menara yang indah. Antaranya adalah Babul Umrah yang didirikan oleh Khalifah al-Mansur dari Bani Abbas pada tahun 706 Masihi. Menara ini kemudiannya diperbaiki pada tahun 1172 Masihi dan sekali lagi pada tahun 1464 Masihi oleh Sultan Jukmuk sebelum ia musnah pada tahun 1552 Masihi. Sultan Sulaiman kemudiannya menggantikan dengan yang baru di atas tapak yang sama dengan mengekalkan nama asalnya.

Seterusnya pada tahun 789 Masihi, Khalifah al-Mahdi dari keturunan Abbasiyah, membangunkan menara Babus Salam dan kemudiannya beberapa menara lagi seperti menara Babul Ali dan menara Babul Hazurah atau Babul Wida'.

Pada tahun 1392 Masihi Babul Hazurah telah runtuh dan diperbaiki oleh Al-Asraf Sya'ban dari Mesir. Pada tahun 905 Masihi, Khalifah Al-Mu'tadhid dari Bani Abbas membangunkan menara Babuz Ziadah dan di perbaiki oleh Asraf Baresbai pada tahun 1447 M. Kait Bait pula membangunkan menara Kait Bait kira-kira tahun 1501 Masihi. Kemudiannya Menara As-Sulaimaniah juga telah dibangunkan.

Selepas kerja-kerja pembesaran di lakukan oleh Penjaga Dua Masjid Suci Pertama, Raja Fahd Abdul Aziz As-Saud, Masjidil Haram mempunyai sembilan menara.

Kesemua menara ini akan kelihatan bercahaya pada waktu malam kerana di terangi lampu-lampu dan membuatkan Masjidil Haram kelihatan sangat cantik.

Menara paling baru yang di didirikan ialah di Babul Malik Fahd (Pintu Raja Fahd) yang berhadapan hotel Darut Tauhid, salah satu hotel 5 bintang di Mekah. Kawasan masuk Babul Malik Fahd juga kini lengkap berhawa dingin.

Masjidil Haram masih mengekalkan satu menara tunggal di Babus Safa. Semua menara lain didirikan secara "berpasangan", kecuali menara tunggal di Babus Safa.

Azan yang di kumandangkan 5 kali sehari dari menara-menara ini antara yang mendominasi ruang udara Kota Mekah setiap kali masuk waktu sembahyang.

Kepentingan Masjidil Haram

Kiblat atau Kaabah
Masjidil Haram dijadikan Allah sebagai kiblat. Firman-Nya: "sungguh Kami akan memalingkan kamu kepada kiblat yang kamu berpuas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka" (2:144).

Arahan supaya memalingkan muka ke arah Masjidil Haram telah disebut dua kali di situ. Ia disebut lagi sebanyak tiga kali di dalam al-Qur'an. Satu daripadanya di dalam ayat berikut, yang turut menyatakan ia adalah yang benar daripada Tuhan. Firman-Nya,

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat." (2:149)

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya," (2:150).

Dalam Masjidil Haram terdapat beberapa tempat yang menjadi keajaiban dan sejarah yang amat hebat.

Makam Ibrahim
Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim sebagaimana pendapat orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan kecil di sebelah timur Kaabah. Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu yang diturunkan oleh Allah dari Syurga bersama-sama dengan Hajarul Aswad. Di atas batu itu Nabi Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya. Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat.

Hajarul Aswad
Hajarul Aswad terletak di penjuru keempat Kaabah. Umat Islam percaya Hajarul Aswad telah diturunkan daripada syurga dan telah bertukar menjadi hitam oleh kerana kejahatan manusia. Menurut sejarahnya, Hajarul Aswad diturunkan oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama - kelamaan menjadi hitam sebab dosa oleh orang-orang musyrik.

Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat. Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda :" Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam) menyebabkannya menjadi hitam " . Riwayat Ahmad dan Turmizi

Hijir Ismail
Hijir Ismail berpagar batu berlingkar 1.5 meter terletaknya berdampingan dengan Kaabah. Ia dibangunkan oleh Nabi Ibrahim sewaktu beliau membangunkan Kaabah. Hijir Ismail pada mulanya merupakan pagar batu sederhana sahaja. Kemudian Khalifah, Sultan dan Raja berkuasa memecahkan dan membangunkan semula pagar batu itu dengan batu mamar.

Berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w., sebahagian dari Hijir Ismail itu adalah termasuk dalam Kaabah. Ini diriwayatkan oleh Abu Daud dari 'Aisyah r.a. yang bermaksud, 'Dari 'Aisyah r.a. katanya; "Aku sangat ingin memasuki Kaabah untuk melakukan sembahyang di dalamnya. Rasulullah s.a.w. memegang tanganku dan memasukkan aku ke dalam Hijir Ismail sambil berkata " Sembahyanglah kamu di Hijir jika kamu hendak masuk ke dalam Kaabah kerana kaum engkau (orang Quraisy) telah meninggalkan bahagian ini di luar semasa mereka membina semula Kaabah".

Orang yang telah mengerjakan tawaf, disunatkan mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat di Hijir Ismail selepas beroda dan mengerjakan solat sunat di Makam Ibrahim.

Telaga Zam Zam
Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.

Kawasan telaga Zam-zam kini telah ditutup oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Dan kini air zam-zam dipam dan disalurkan melalui paip sahaja.

Baitul Muqaddis





Baitulmuqaddis: (بيت المقدس) atau Jerusalem juga dieja sebagai Baitulmaqdis (Bahasa Ibrani: יְרוּשָׁלַיִם Yerushaláyim, Bahasa Arab:( القدس )al-Quds; lihat juga nama-nama Baitulmuqaddis) ialah sebuah kota lama yang terletak di Timur Tengah. Baitulmuqaddis memainkan peranan penting bagi agama Islam, Kristian, dan Yahudi. Ia merupakan kota paling suci bagi agama Kristian dan Yahudi dan tempat ketiga paling suci dalam Islam.

Baitulmuqaddis ialah sebuah kota yang kaya dengan tamadun dan budaya. "Kota Lama" Baitulmuqaddis (juga dikenali sebagai Baitulmuqaddis Timur') dikelilingi dengan tembok yang dibina sejak kurun ke-15 lagi. Kota lama ini terbahagi kepada empat kawasan: Islam, Kristian, Yahudi, dan Armenia.

Kedudukan kota ini hangat diperkatakan. Perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1949 di antara Israel dan Jordan menyebabkan kota ini terbahagi kepada dua. Baitulmuqaddis Barat menjadi milik Israel manakala Baitulmuqaddis Timur (Kota Lama) menjadi milik Jordan. Sejak kemenangan Israel pada perang tahun 1967, Israel menguasai kesuluruhan kota tersebut dan menuntut hak kedaulatan undang-undang terhadap Baitulmuqaddis. Israel juga menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara tetapi pengisytiharan ini tidak diiktiraf oleh masyarakat sedunia. Palestin juga menuntut supaya kesuluruhan Baitulmuqaddis ataupun sebahagian daripadanya yakni Baitulmuqaddis Timur menjadi ibu negaranya.

Sejarah
Sejarah Baitulmuqaddis boleh dikategorikan kepada lima tahap; Zaman Kuno, Zaman Pemerintahan Empayar Rom, Zaman Islam, Zaman Mandat British, dan Zaman Pendudukan Israel

Zaman Silam
Menurut orientalis Barat, Baitulmuqaddis mula menjadi tumpuan selepas Nabi Daud a.s. menakluk Baitulmuqaddis daripada masyarakat yang bernama Jebusite. Nabi Daud a.s. kemudiannya dikatakan mula mengembangkan kota ini dan menjadikannya ibu kota kerajaannya. Baitulmuqaddis kemudian dikatakan diperintah oleh Nabi Sulaiman a.s.. Mengikut ahli sejarah Yahudi, Nabi Sulaiman a.s. telah membina sebuah kuil yang diberi nama Solomon's Temple (Kuil Sulaiman).

Tidak lama kemudian tentera Babylon mula menguasai Baitulmuqaddis daripada orang Yahudi. Nebuchadnezzar, raja Babylon kemudiannya menakluk Baitulmuqaddis dan memusnahkan Solomon's Temple. Dia kemudiannya menghalau orang Yahudi daripada Baitulmuqaddis. Selepas beberapa dekad, tentera Parsi menakluk Babylon. Cyrus II, raja Parsi membenarkan orang Yahudi kembali ke Baitulmuqaddis dan membina semula kuil mereka. Kuil Kedua kemudiannya dibina oleh Herod the Great tetapi selepas kematiannya, kota ini jatuh ke tangan Rom Pemerintahan Rom.

Semasa pemerintahan Rom, masyarakat Yahudi di Baitulmuqaddis memberontak. Akibatnya tentera Rom mematahkan pemberontakan tersebut dan memusnahkan Kuil Kedua orangYahudi. Yang tinggal hanyalah sebahagian daripada kuil itu yang dikenali sebagai Tembok Barat.

Seni Bina Rom di Baitulmuqaddis.

Selepas pemberontakan tersebut, orang Yahudi dibenarkan tinggal di situ tetapi dalam jumlah yang kecil. Pada kurun kedua, Maharaja Rom memerintahkan supaya Baitulmuqaddis dibina semula dan membina sebuah kuil orang Rom di situ sambil menghalang kegiatan keagamaan orang Yahudi. Orang Yahudi kembali memberontak tetapi berjaya dipatahkan tentera Rom. Baitulmuqaddis dinamakan semula menjadi Aelia Capitolina.

Orang Yahudi dilarang memasuki Baitulmuqaddis. Selama 150 tahun selepas itu, kota ini menjadi tidak penting bagi kerajaan Rom. Namun demikian, Maharaja Byzantine iaitu Constantine membina Baitulmuqaddis sebagai pusat keagamaan Kristian dengan membina Church of the Holy Sepulcher pada tahun 335 masihi. Orang Yahudi tetap tidak dibenarkan memasuki Baitulmuqaddis kecuali semasa pemerintahan singkat Empayar Parsi pada tahun 614 hingga tahun 629.

Zaman Pemerintahan Islam
Walaupun Al Quran tidak menyebut mengenai nama "Baitulmuqaddis" tetapi hadith ada menyebut mengenainya. Menurut hadith sahih, adalah di Baitulmuqaddis Nabi Muhammad s.a.w. naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj. Kota itu kemudiannya ditawan oleh angkatan tentera Islam pada tahun 638 masihi. Saidina Umar Al-Khatab secara peribadi pergi ke Baitulmuqaddis untuk menerima penyerahan Baitulmuqaddis kepada kerajaan Islam. Beliau seterusnya ditawarkan bersembahyang di dalam Church of the Holy Sepulcher tetapi menolaknya dan sebaliknya meminta supaya dibawa ke Masjidil Aqsa Al Haram Al Sharif. Beliau mendapati tempat itu terlalu kotor dan mengarahkan supaya pembersihan dijalankan. Beliau kemudiannya membina sebuah masjid kayu di tempat yang sekarang merupakan kompleks bangunan Masjid Al Aqsa.

Pemandangan Udara Al-Haram Al-Sharif, dengan Qubbat As-Sakhrah di tengah, Tembok Barat dan Masjid Al Aqsa di bawah.

Enam tahun kemudian, Qubbat As-Sakhrah dibina. Struktur ini terdiri daripada sebuah batu yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdiri sebelum naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj. Perlu diingatkan bahawa kubah yang bersalut emas dan berbentuk oktagon ini tidak sama seperti Masjid Al Aqsa di sebelahnya yang dibina tidak lama kemudian. Semasa pemerintahan awal Islam, terutamanya semasa pemerintahan kerajaan Ummaiyyah (650-750) dan kerajaan Abbasiyyah (750-969), kota Baitulmuqaddis berkembang. Ramai orang berpendapat Baitulmuqaddis pada ketika itu merupakan tanah yang paling subur di Palestin.

Pemerintahan awal Islam juga mewujudkan sebuah toleransi di antara kaum. Namun semasa pemerintahan Al-Hakim Amrullah, seorang khalifah kerajaan Fatimiyyah, beliau mengarahkan supaya semua gereja dan rumah ibadat bukan Islam dimusnahkan. Hal ini menyebabkan berlakunya Perang Salib. Pada tahun 1099, tentera Kristian Eropah menakluk Baitulmuqaddis. Mereka kemudiannya membunuh kesemua penduduk bukan Kristian yakni Muslim dan Yahudi.

Baitulmuqaddis kemudian dijadikan ibu kota Kerajaan Kristian Baitulmuqaddis (Kingdom of Jerusalem). Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1291; Baitulmuqaddis sendiri ditawan oleh Salahuddin Al-Ayubbi pada tahun 1187. Salahuddin juga membenarkan semua orang beribadat di Baitulmuqaddis tidak kira sama ada Kristian, Muslim atau Yahudi. Pada tahun 1243, Baitulmuqaddis jatuh kembali ke tangan orang Kristian sebelum jatuh kembali ke tangan orang Islam pada tahun berikutnya.

Pada tahun 1517, Baitulmuqaddis ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Sulaiman Al Qanuni membina semula tembok Baitulmuqaddis yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

Mandat British
British berjaya menewaskan Empayar Turki Uthmaniyyah semasa Perang Dunia I. Dengan kemenangan mereka itu, tentera British di Mesir memasuki Baitulmuqaddis pada 11 Disember 1917. Pihak British kemudiannya membina rumah-rumah baru di sini dan menyebabkan Baitulmuqaddis berkembang sehingga luar daripada temboknya. Pemerintahan British menandakan bermulanya suasana kelam kabut di sini. Pendatang-pendatang Yahudi yang mendapat perhatian daripada kerajaan British menyebabkan orang Islam amnya dan orang Arab khususnya mendapat layanan yang tidak adil. Keganasan ini terus meningkat sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an.

Pada 29 November 1947, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan satu pelan untuk memisahkan Pentadbiran Mandat British di Palestin kepada dua buah negeri: satu untuk orang Yahudi, satu untuk orang Arab. Hal ini mengakibatkan berlaku pemberontakan di Baitulmuqaddis yang kemudiannya menyebabkan Perang Arab-Israel 1948 berlaku selepas pemerintahan Mandat British berakhir.

Baitulmuqaddis dan konflik Arab-Israel
Semasa Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis terbahagi kepada dua. Bahagian baratnya yang meliputi bandar baru menjadi sebahagian daripada Israel manakala Bahagian timurnya termasuklah kota lama Baitulmuqaddis menjadi milik Jordan.

PBB mencadangkan supaya Baitulmuqaddis berada di bawah pentadbiran antarabangsa. Walau bagaimanapun, pada 23 Januari 1950, Parlimen Israel meluluskan satu resolusi untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Baitulmuqaddis Timur kemudiannya ditawan oleh tentera Israel dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Walaupun Israel membenarkan penganut agama di Baitulmuqaddis akses ke tempat suci mereka, terdapat banyak kerisauan mengenai beberapa serangan ke atas Masjid Al-Aqsa seperti kebakaran pada tahun 1969 yang disebabkan oleh seorang pelancong Australia yang gila. Status Baitulmuqaddis Timur tetap menjadi satu isu yang kontroversi.

Status semasa
Menurut satu pelan PBB, Baitulmuqaddis sepatutnya menjadi sebuah bandaraya antarabangsa dan bukan sebahagian daripada negeri orang Arab ataupun negeri orang Yahudi. SempenaPerang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis Barat diduduki oleh Israel manakala Baitulmuqaddis Timur menjadi milik Jordan.

Peta Baitulmuqaddis sekarang dan yang terkni.
Pada tahun 1967, semasa Perang Enam Hari, Israel menawan Baitulmuqaddis Timur dan mula mengambil langkah untuk menyatukan Baitulmuqaddis di bawah penguasaan Israel. Pada tahun 1988 Jordan menarik balik semua tuntutannya ke atas Tebing Barat (termasuklah Baitulmuqaddis) bagi menyokong Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Kedudukan Baitulmuqaddis masih lagi tidak terjawab.

Baitulmuqaddis dan Islam
Bagi Muslim, Baitulmuqaddis ialah tempat ketiga paling suci dalam Islam. Apabila kembali ke sejarah Baitulmuqaddis kita dapat melihat bahawa kota ini mengalami kesengsaraan sebelum kedatangan Islam. Apabila orang Islam menakluk kota ini barulah kota ini mencapai ketenangan dan keamanan. Ramai pedagang-pedagang Arab berdagang di sini termasuklah dari Makkah dan Madinah. Kota ini juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Makkah. Apabila tentera Salib menguasai kota ini semua penduduk kota ini yang bukan beragama Kristian dibunuh dengan kejam.

Selepas Salahuddin Al-Ayubbi menawan kota ini kembali, Baitulmuqaddis kembali ke zaman kegemilangannya. Orang Islam, Kristian, dan Yahudi dapat beribadat tanpa sebarang gangguan.

Dipetik dari wikipedia.org

Kiblat

Kiblat: ialah tempat diarahnya dada bagi setiap umat Islam dalam melakukan segala amal ibadah, terutama sekali solat. Solat tidak sah jika dada berpaling dari arah Kiblat dengan sengaja. Kiblat juga dieja dengan qiblat. Pada mulanya, kiblat mengarah ke Baitulmuqaddis atau kini Jerusalem, namun pada tahun 624M diganti menjadi mengarah ke Kaabah di Mekah.

Pada tahun 624M, semasa penghijrahan Nabi Muhammad SAW di Madinah, arah Kiblat ditukar ke arah Kaabah, dan kekal sehingga kini. Sesetengah pakar berpendapat, pertukaran tersebut berlaku akibat perselisihan antara Muhammad dengan puak Yahudi di Madinah. Kaabah yang terletak di dalam Masjidil Haram dijadikan Allah sebagai kiblat. Tak kira dari pelosok dunia mana sekalipun, solat wajib menghadap ke arah Kaabah yang berada di tengah-tengah Masjidil Haram yang dinamakan Kiblat.

Walaubagaimanapun Kaabah merupakan kiblat kedua dan kekal selama-lamanya, sebagaimana diperintah oleh Allah. Sebelum Kaabah umat Islam menghadap solatnya kepada Baitul Muqaddis.

Firman-Nya: "sungguh Kami akan memalingkan kamu kepada kiblat yang kamu berpuas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka" (2:144).



Arahan supaya memalingkan muka ke arah Masjidil Haram telah disebut dua kali di situ. Ia disebut lagi sebanyak tiga kali di dalam al-Qur'an. Satu daripadanya di dalam ayat berikut, yang turut menyatakan ia adalah yang benar daripada Tuhan. Firman-Nya,

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat." (2:149)



"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya," (2:150).
Apabila mengerjakan solat dalam Kaabah itu sendiri, seseorang Muslim menghadap ke arah dinding keluar semasa solat, manakala bagi berada di luar Kaabah pula, mereka boleh menghadap mana-mana arah kerana pusingan Kaabah itu 360 darjah.

Kiblat, merupakan titik rujukan di Bumi, ke arah Kaabah. Dalam amalan agama Islam, solat mesti menghadap ke arah Kaabah. Perlu diingatkan bahawa seseorang Muslim tidak menyembah Kaabah atau kandungannya, sama seperti pengikut Kristian tidak menyembah gereja atau salib; Kaabah hanya merupakan titik rujukan untuk solat.

Kiblat menunjukkan arah terpendek ke Kaabah. Disebabkan Bumi hampir bulat, laluan ini membentuk bulatan besar seperti laluan kapal terbang. Lokasi Kaabah (di 21° 25' 24" N, 39° 49' 24" E) boleh ditentukan secara geometri (sfera) untuk menentukan arah Kiblat di mana-mana sahaja di muka Bumi ini.

Hanya satu kes khas wujud: apabila bersolat dalam Kaabah sendiri, seseorang Muslim menghadap ke arah dinding keluar semasa solat.

Pada masa silam, Muslim yang mengembara menggunakan astrolob untuk menentukan arah Kiblat. Pada tarikh tertentu dalam tahun apabila Matahari berada tepat di atas Kaabah, arah bayang di semua tempat akan menunjukkan dengan tepat arah Kiblat.

Kiblat penting bukan semata-mata sebagai arah solat, tetapi juga dalam upacara harian/keagamaan. Dalam melakukan sembelihan haiwan yang halal di makan sunat menghadapkan dadanya ke arah kiblat dan direbahkan di atas bahu yang kiri. Selepas meninggal dunia, seseorang Muslim dikebumikan dengan muka menghadap kearah Kiblat.

Semua empat mazhab yang masyhur iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hambali bersepakat bahawa menghadap kiblat adalah syarat sah solat. Mazhab Syafie menetapkan tiga syarat yang boleh diguna pakai bagi memenuhi syarat menghadap kiblat, iaitu solat dalam keadaan aman, jika uzur ada pembantu yang boleh membantu menentukan arah kiblat dan jika sesat masih boleh melihat matahari naik dan turunnya.

Solat tidak diwajibkan menghadap kiblat.
Walaupun menghadap kiblat itu merupakan salah satu syarat sah solat, tetapi solat tetap sah jika orang yang melakukan solat itu dalam keadaan yang sebagaimana berikut. Dengan syarat beriktikad di dalam hati pada permulaan solatnya, bahawa dia sedang menghadap ke arah kiblat.

1. Uzur yang tidak boleh bergerak dan tidak ada kemudahan untuk mengarahkan wajah ke kiblat. Misalnya bagi orang yang sakit dan terlantar di katil hospital, di mana diketahui bahawa katil hospital tidak boleh dialih-alih ke arah kiblat, maka sah solat seseorang itu walau menghadap ke arah mana sekalipun.

2. Solat di atas kenderaan yang sedang bergerak. Oleh kerana kenderaan yang sedang berjalan selalu berubah-ubah arahnya maka orang yang solat di atas kenderaan boleh melakukan solatnya, meskipun hanya duduk di atas tempat duduknya.

3. Solat Khauf ketika dikejar musuh atau bertempur dengan musuh. Solat khauf ialah solat di dalam keadaan kritikan seperti di dalam peperangan, dikejar musuh atau mengejar musuh. Maka solat ini wajib dilakukan dalam keadaaan apa sahaja, lebih-lebih lagi ketika waktu solat semakin habis. Solat boleh dilakukan dalam keadaan berlari, meniarap dan sebagainya tanpa ditentukan arah kiblatnya

Kaedah atau Teknik Menentu Arah kiblat
Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk menentukan hala kiblat, dari kaedah tradisional hinggalah kepada kaedah moden.

Ada juga kesempatan yang boleh diambil keatas kedudukan jasad-jasad samawi. Ini termasuklah penggunaan bintang al-Qutbi (Polaris), fasa-fasa bulan, matahari terbenam, lintasan matahari dan juga penjajaran tiga bintang iaitu Al-Nitak, Al-Nilam dan Mintaka di dalam buruj al-Babadur (Orion). Perkembangan pesat yang berlaku di dalam bidang astronomi, geografi dan matematik telah menjadikan urusan penentuan hala kiblat sekarang sebagai satu perhitungan trigonometri yang mudah.

Terkini, peralatan moden seperti kompas prismatik, tiodolit, gyroscope dan GPS telah semakin mengambil tempat

Kaedah Tradisional penentuan arah kiblat

1. Matahari istiwa atas Kaabah
Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas kaabah berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai, kira-kira jam 5.28 petang (waktu Malaysia). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan memperbetulkan arah kiblat.

Panduan menentukan arah kiblat dari satu tempat pada tarikh dan masa yang ditentukan di atas:

Pacakkan satu tiang pada kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.

Pastikan tiang berkenaan tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakannya boleh diletak sebarang pemberat yang diikat pada hujung tiang itu.

Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung daripada sinaran matahari. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang-bayang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah bayang-bayang yang menghadap ke barat.

2. Kaedah buruj bintang
Buruj bintang ialah sekumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit serta mempunyai bentuk hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain.

Langit dibahagikan kepada 88 kawasan buruj bintang. Bintang yang berada pada satu kawasan sama adalah dalam satu buruj.

Sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah dikenal pasti seperti bentuk haiwan dan geometri.

Dengan mengetahui bentuk buruj bintang tertentu, arah utara dan arah kiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan.

Menggunakan kedudukan buruj Orion atau buruj Al-Babadour. Pada buruj itu ada tiga bintang berderet iaitu Mintaka, An Nilam dan An Nitak. Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet berkenaan ke arah barat.

3. Kaedah matahari terbenam
Secara umum, jika kita merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah dari azimut 235 darjah hingga 295 darjah.

Ia boleh digunakan sebagai satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan jika mengetahui perbezaan sudut antara arah matahari dengan arah kiblat. Dalam keadaan tertentu arah matahari jatuh boleh diyakini sebagai arah kiblat, sekalipun tidak tepat. Mengikut mazhab Syafi’e, walaupun tidak tepat tetapi darjahnya tidak melebihi 45 darjah kiri dan kanan maka sah solatnya.

Kaedah moden tentu kiblat

1. Pengiraan arah kiblat
Hitungan adalah berdasarkan kepada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi (great circle).

Membabitkan model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan koordinat geografi rujukan (Kaabah).

2. Kompas Prismatik
Penandaan arah kiblat dengan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam masa kini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah arah merujuk ke arah utara.

Arah utara magnet pula tidak semestinya bersamaan dengan arah utara benar. Perbezaan arah utara ini dipanggil sebagai sudut serong magnet.

Antara masalah yang boleh timbul menggunakan kompas ialah tarikan graviti tempatan yang mana ia terkesan dari kewujudan bahan logam atau arus elektrik di sekeliling kompas yang digunakan.

Boleh digunakan sebagai alat alternatif jika alat yang lebih sesuai tidak ada.

3. Penggunaan Teodolit
Teodolit adalah antara alat termoden yang diguna pakai oleh kebanyakan juru ukur dan pihak yang melakukan kerja menentukan arah kiblat.

Alat itu digunakan untuk mengukur bacaan sudut secara mendatar dan menegak. Ia memberi kejituan bacaan tinggi dan tepat.

Sumber : ms. wikipedia.org/wiki/Kiblat

Bunga Rampai

Bunga Rampai : Bunga rampai adalah campuran bahan daripada bunga dan daun serta sedikit minyak wangi. Di antara bahan campurannya ialah daun pandan yang dihiris halus berjurai seperti tembakau rokok, dicampur pula dengan bunga-bunga yang lain untuk hiasannya. Setelah itu dicampurkan sedikit minyak wangi untuk membangkitkan suatu keharuman yang amat mengasyikkan.

Bunga rampai biasanya hanya dapat ditemui di Malaysia ketika majlis Maulidur Rasul sahaja. Sukar untuk mendapatinya pada hari-hari yang lain.
Tradisi membahagikan bunga rampai di kalangan masyarakat Islam di Malaysia ketika mengadakan majlis Maulidur Rasul sudah terlalu lama. Tanpa bunga rampai sesuatu majlis maulidur rasul tidak akan lengkap.

Sebelum tahun 1990 bunga rampai hanya disediakan dan diletakkan di dalam bekas seperti mangkuk yang besar dan diagih-agihkan sedikit seorang kepada tetamu yang sedang mengalunkan selawat dalam majlis berkenaan. Tetapi selepas tahun 1990 kita melihat pengagihan bunga rampai diletakkan di dalam bungkusan-bungkusan yang kecil atau baku-bakul kecil dengan hiasan atau bungkusan yang menarik.

Multazam

Multazam : merupakan dinding Ka'abah yang terletak di antara Hajar Aswad dengan pintu Ka'bah.

Tempat ini merupakan tempat utama dalam berdoa, yang dipergunakan oleh jamaah Haji dan Umrah untuk berdoa/ bermunajat kepada Allah SWT setelah selesai melakukan Tawaf.

Saat bermunajat di depan Multazam ini, Jarang orang tidak menitiskan air mata di sini, terharu kerana kebesaran Illahi. Multazam ini insya Allah merupakan tempat yang mustajab dalam berdoa, insya Allah doa dikabulkan oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda, "Antara Rukun Hajarul Aswad dan Pintu Ka'bah, yang disebut Multazam. Tidak seorangpun hamba Allah yang berdoa di tempat ini tanpa terkabul permintaannya"

Kaabah

Kaabah : Dikenali juga dengan nama Baitullahil Haram iaitu sebuah binaan batu yang tertua sekali di dunia yang dibina untuk tujuan ibadat. Kaabah adalah Kiblat bagi umat Islam menunaikan ibadah terutama ibadah solat. Tidak sah solat jika tidak menghadapkan wajah ke arah Kaabah yang merupakan kiblat bagi umat Islam. Bentuk dan pembinaan Kaabah sungguh istimewa. Tingginya 15 meter/49.22 kaki. Bentuknya hampir-hampir 4 persegi, mempunyai 4 penjuru:


    Keterangan :
    1. Hajarul Aswad
    2. Pintu Kaabah
    3. Mizab atau Pancur Emas
    4. Syazarwan (konkrit kaki kaabah)
    5. Hijir Ismail
    6. Multazam
    7. Maqam Nabi Ibrahim a.s.
    8. Rukun (penjuru) Hajarul Aswad
    9. Rukun (penjuru)Yamani
    10. Rukun (penjuru) Syami
    11. Rukun Iraqi
    12. Kiswah Kaabah
    13. Garis Mula Tawaf
    14.

  • Penjuru Hajarul Aswad yang menghala ketimur, kedudukan Hajarul Aswad dari lantai lebihkurang 1.5 meter.

  • Penjuru Iraqi, menghala ke Pihak negeri Iraq. Jaraknya dari penjuru Hajarul Aswad lebih kurang 12 meter/39.37 kaki. Di sinilah terletaknya pintu Kaabah dan Multazam.

  • Penjuru Syami, menghala ke negeri Syam, jaraknya dari penjuru iraqi lebih kurang 11 meter/36.1 kaki dan di sinilah terletaknya Hijir Ismail. Hijir Ismail adalah sebahagian dari Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. Maka tidak sah tawaf melalui sebelah dalam Hijir Ismail kerana ia sebahagian dari Kaabah.

  • Penjuru Yamani, iaitu penjuru yang menghala ke negeri Yaman. Jaraknya dari Penjuru Syami lebih kurang 12 meter/41.02 kaki, dan Jaraknya ke Penjuru Hajarul Aswad 10.25 meter/33.63 kaki.

Pembinaan dan Pembaikpulih
Diriwayatkan bahawa Kaabah dibina beberapa kali sehingga kehari ini.

Dibina oleh malaikat sebelum Nabi Adam as, iaitu daripada permata Yaquut merah. Kemudian diangkat ke langit pada banjir besar yang melanda Makkah. Kata-kata ini disokong oleh firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) tatkala Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah berserta Ismail (seraya berdoa): "Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya engkaulahyang maha mendengar lagi maha mengetahui,” – surah al-Baqarah, ayat 127.

Sendi itu diangkat menunjukkan bahawa sendi, iaitu asasnya sudah pun ada (dibina), jadi Baitulllah al-haram sudah pun ada sebelum Ibrahim as dan Ibrahim membinanya semula di atas asas itu. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Nabi Adam telah mengerjakan haji sebanyak 40 kali dari India ke Makkah berjalan kaki, kekallah ia tawaf Kaabah itu, begitu juga diikuti oleh anaknya hingga pada hari berlakunya banjir, lalu Allah angkatkan ke langit kempat.

Diriwayatkan bahawa Allah membina di langit sebuah rumah yang dikenali sebagai Baitul Makmur. Dia menyuruh malaikat supaya tawaf sekelilingnya, kemudian Dia menyuruh malaikat di bumi supaya membina sebuah rumah di bumi mengikut ukurannya dan bentuknya, dan mereka hendaklah tawaf sebagaimana ahli langit tawaf Baitul Makmur.

Sebenarnya Nabi Ibrahim tidak tahu di mana ia harus membinanya, lalu Allah memberitahu kepadanya tempatnya dengan angin yang bertiup. Angin tadi menyapu sekeliling rumah itu, lalu Ibrahim membinanya di tapak asal.Dalam doa Ibrahim as, ada dalil yang menunjukkan bahawa dia membina binaan itu di atas asas yang terdahulu sebagaimana firman Allah:

“Rabbanaa taqabbal minna – surah al-Baqarah, ayat 127.

‘Taqabbal minna’ bermaksud “terimalah daripada kami (amalan kami).”Ada perbezaan di antara lafaz ‘qabul’ dan ‘taqabbul’ dalam bahasa Arab. Lafaz ‘taqabbul’ dibina atas takalluf atau susah payah; digunakan apabila sesuatu perkara yang dibuat itu ada kekurangan yang mana tidak layak diterima amalan itu melainkan melalui jalan kemurahan Allah.Berbeza dengan lafaz ‘qabul’. Lafaz ini tidak ada makna seperti lafaz ‘taqabbul’. Seandainya Ibrahim as membina asasnya sebagaimana binaannya, nescaya kerjanya menjadi lengkap dan sempurna, tiada lagi kekurangan, dan dia tidak berdoa dengan lafaz ‘taqabbul’, sebaliknya dengan lafaz ‘qabul’. Pemilihan lafaz ‘taqabbul’ ini sebagai pengiktirafan daripada Ibrahim as sendiri dan juga anaknya Ismail as mengenai kekurangan dalam pekerjaan itu. Dia tahu bahawa bukan dia atau Ismail yang membina binaan Kaabah itu dari awal, dia hanya mengangkat sendi-sendinya. Dibina oleh Quraisy sebelum kebangkitan Nabi Muhammad saw dan Rasul sendiri hadir bersama mereka ketika pembinaan berkenaan. Tatkala mereka ingin meletakkan Hajarul Aswad, mereka berbalah-balahan di antara satu sama lain, siapa atau puak mana yang diberikan kemuliaan untuk meletakkan batu berkenaan ke tempat asalnya. Mereka kemudian bersetuju untuk melantik orang yang mula-mula sekali ke Masjidil Haram. Kebetulan Nabi Muhammad saw adalah orang yang pertama masuk. Dengan kepintaran Baginda saw, disuruhnya puak yang bertelagah itu menyediakan satu bentangan kain, kemudian meletakkan batu itu di tengah-tengahnya.Masing-masing ketua setiap suku kaum memegang bucu kain itu dan dibawa ke tempat letaknya, kemudian Nabi Muhammad saw sendiri mengambil Hajarul Aswad dan meletakkan di tempatnya.

Dibina oleh Abdullah bin Az-Zubair ra., iaitu binaan yang kekal sampai ke hari ini. Selepas Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail, membina Rumah itu, Allah mengarahkannya supaya menyeru manusia datang bersembahyang di situ, lalu Nabi Ibrahim berkata:

“Wahai Tuhanku, suaraku tidak sampai (untuk menyeru semua manusia).” Allah berfirman: “Hendaklah kau azan dan Aku menyampaikannya.”

Nabi Ibrahim terus naik ke Bukit Safa dan menyeru:

“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa sesungguhnya Tuhanmu telah membina sebuah rumah dan mewajibkan ke atas kamu haji ke Baitul ‘Atiq, maka hendaklah kamu menyahut seruan Tuhan kamu itu, dan kerjakanlah haji di Baitullah al-haram supaya dengannya Dia akan memberikan kamu pahala dan menjauhkan kamu daripada api neraka. Lalu ia berkata: Labbaikallahumma labbaik’.

Golongan pertama yang menyahut seruan itu ialah ahli Yaman (penduduk Yaman), merekalah yang paling banyak mengerjakan haji. Setiap yang mempunyai niat buruk terhadap rumah itu, pasti Allah akan membinasakannya. Lihatlah kepada tentera bergajah Abrahah yang ingin meruntuhkan Kaabah, Allah menghantar ke atas mereka burung ababil yang melontari mereka dengan batu daripada neraka lalu hancurlah mereka seumpama daun yang dimakan ulat.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim mengangkat sendi rumah itu bersama Ismail. Adapun sendinya memang sudah pun ada. Faktor alam sekelilinglah yang menutup atau melitupi sendi ini, lalu Allah zahirkan pada Ibrahim ketika awalnya ketika Ismail masih bayi.Selepas Ismail meningkat usianya sehingga boleh membantu ayahnya, Allah memerintahkan Ibrahim mengangkat sendi-sendi tadi. Sesungguhnya Ibrahim telah mengetahui (dengan petunjuk Allah) tanah wadia atau lembah yang khusus padanya ada Baitullah. Seandainya ia tidak mengetahui dengan tepat kedudukan Rumah Allah di tanah itu, kenapa pula Nabi Ibrahim datang bersama Hajar dan anaknya lalu meninggalkan mereka di situ, sambil berdoa sebagaimana dalam firman-Nya:

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dekat Rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati,” – surah Ibrahim, ayat 37.

Kata Nabi Ibrahim itu menunjukkan bahawa kewujudan Rumah Allah itu sudah pun diketahui ketika ia hendak menempatkan isteri dan anaknya di situ. Akan tetapi tempat kedudukan Rumah itu tidak diketahui oleh Ibrahim. Ini adalah peringkat pertama bagi hubungan Ibrahim dengan Rumah berkenaan.Kemudian datang peringkat kedua, iaitu Allah menerangkan kepada Ibrahim kedudukan rumah itu. Firman Allah bermaksud:

“Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempatBaitullah (dengan mengatakan): Janganlah kamu mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku.” (Surah al-Hajj, ayat 26)

Kemudian Allah berfirman selepas daripada itu:

“Sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang yang tawaf, dan orang yang beribadat danorang yang ruku’ dan sujud,” – surat al-Hajj, 26

Kerja ini tidaklah terlalu rumit bagi Ibrahim melakukannya seorang diri kerana hanya menyapu pasir dan batu kecil yang menutupi asas binaannya.Sebab itulah Ismail tidak mengambil peranan menolongnya pada peringkat ini. Lagipun, Baginda masih kecil ketika itu. Kemudian datang marhalah ketiga yang mana perlu kepada bantuan. Ketika ini Ismail sudah membesar yang mencapai peringkat boleh menolong bapanya. Pada marhalah ini, Ismail muncul sebagai pembantu Nabi Ibrahim dalam mengangkat sendi binaan. Maka turunlah ayat yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) tatkala Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah bersertaIsmail (seraya berdoa): Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami),sesungguhnya engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui” – surahal-Baqarah, ayat 127.

Ayat ini menunjukkan penyertaan Ismail dalam doa itu menandakan bahawa Ismail sudah pun dalam usia yang ia tahu ia turut serta dalam beribadat kepada Tuhan yang ia minta perkenan. Rumah Allah yang pertama dibina di atas muka bumi ini ialah rumah yang disambung binaannya oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail. Allah berfirman bermaksud:

“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia,” – surah Ali Imran, ayat 96.

Selagi rumah itu dijadikan untuk manusia, maka secara automatik yang meletakkannya (yang membinanya) adalah bukan daripada golongan manusia. Sesungguhnya Rumah Allah itu dibangunkan untuk tujuan ibadat kepada Allah. Allah yang memilih tempatnya dan mengkhabarkan kepada malaikat akan batas-batasnya. Sebab itulah ayat ini datang dengan ayat pasif, tidak disebutkan siapa pembinanya (faa-‘il dalam bahasa Arabnya). Pembuatnya tidak disebutkan sebagai lambang pembinanya adalah ghaib, iaitu Allah, yang melaksanakannya juga di alam ghaib, iaitu malaikat.

Apabila kita melihat kepada perkataan ‘An-Naas’ dalam ayat itu, kita akan dapati bahawa ia mencakupi semua individu manusia, dari Adam hinggalah ke hari kiamat. Tetapi, mungkin dipersoalkan, kenapakah permulaan itu bermula dari zaman Ibrahim, bukan daripada Adam lagi? Bukankah Adam juga manusia dan termasuk dalam perkataan ‘An-Naas’ seperti dalam ayat itu. Sebagaimana yang disebutkan di atas bahawa sesungguhnya Kaabah dibina oleh malaikat sebelum Nabi Adam as. Ibnu Kathir dalam tafsirnya memetik hadis daripada sahih Muslim, daripada Abu Dzar berkata:

“Aku telah bertanya Rasulullah saw mengenai masjid yang pertama sekali dibina dibumi, lalu Baginda menjawab: Masjidil-Haram. Aku berkata: Kemudian apa? Masjidil-Aqsa, kata Baginda. Aku bertanya lagi: Berapa jarak masa antara kedua-duanya? Rasulullah menjawab: 40 tahun, kemudian tanah/bumi ini dijadikan untukmu sebagai masjid, maka di mana saja kamu berada, hendaklah kamu solat.”

Mujahid berkata: Saling berbangga-bangga antara orang Islam dan orang Yahudi. Yahudi berkata: Baitulmaqdis lebih agung dan lebih mulia daripada Kaabah kerana ia tempat yang pernah didatangi oleh nabi-nabi dan ia terletak di tempat yang suci.

Orang Islam berkata: Bahkan Kaabah lebih afdhal, lalu turunlah ayat daripada surah Ali Imran ini. Kata Mujahid lagi, Allah telah mencipta tempat asas rumah itu 2000 tahun sebelum diciptakan mana-mana makhluk di atas muka bumi ini dan sendinya sudah pun ada di lapisan bawah bumi yang ketujuh. Ada pun Masjidil Aqsa dibina oleh Nabi Sulaiman a.s sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh An-Nasaei dengan isnad yang sahih daripada Abdullah bin Amru.

Timbul kemusykilan di sini kerana jarak masa di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman agak panjang. Ada yang mengatakan lebih daripada 1,000 tahun. Sudah tentu ini ada percanggahan di antara dua hadis tadi. Bagi menjawab persoalan ini, kita ambil satu riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim dan Nabi Sulaiman hanya memperbaharui saja asas yang dibina oleh orang lain sebagaimana ada riwayat yang mengatakan bahawa orang pertama membina Rumah Allah itu ialah Adam. Maka tidak mustahil ada daripada anaknya yang membina Baitulmaqdis selepas 40 tahun Kaabah dibina. Kemungkinan juga ia dibina oleh malaikat selepas ia membina Kaabah di Makkah dengan izin Allah. Semua itu adalah mungkin, hanya Allah yang lebih mengetahui.

Baitullah terletak di Makkah seperti yang disebut dalam ayat daripada surah Ali Imran bahawa Rumah itu di Bakkah. Bakkah mengikut Al-Qurthubi ialah kawasan letaknya asas Baitullah itu manakala Makkah ialah negeri Makkah seluruhnya. Jadilah Kaabah sekarang kiblat umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah salah satu lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia. Bahkan, umat sebelum Nabi Muhammad saw juga berjalan bersama nabi mereka ke arah mentauhidkan Allah yang Esa. Lihatlah peristiwa Nabi Ibrahim ketika saat akhir Baginda sebelum meninggal dunia. Dipanggil semua anak cucunya (Ismail, Ishak, Yaakub dan lain-lain) dan diberikan wasiat untuk mereka.Bukannya harta dan wang ringgit tetapi dengan pesanan:

“Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu matikecuali dalam memeluk agama Islam,” – surah al-Baqarah, ayat 132.

Begitu juga tatkala Yaakub hendak meninggal dunia, Baginda bertanya kepada anaknya apa yang akan disembah mereka selepas Baginda meninggal dunia. Lalu mereka semua menjawab:

“Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail, Yaakub, Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.” surah al-Baqarah, ayat 133.

Akan tetapi, daripada keturunan inilah juga munculnya Yahuda (anak Yaakub) yang akhirnya namanya diambil sebagai satu agama, iaitu Yahudi. Dari keturunan ini jugalah lahirnya agama Nasrani yang menyeleweng lagi sesat. Alangkah baiknya andainya mereka semua kembali kepada agama asal nenek moyang mereka sebagaimana pengakuan mereka dulu. Tahun 64H

Zaman Khalifah Abdullah Ibnu Zubair, membinanya kembali sebagaimana plan yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Syaidatina A’isyah r.ah.

74H Zaman Abdul Malik bin Marwan mengubahnya kembali, membuang tangga kayu yang telah dibina oleh Abdullah ibnu Zaubair, setelah beliau mendengar hadith daripada Rasulullah ketika mengunjungi kaabah bagi melakukan umrah, beliau sungguh menyesal.

1039H Sultan Murad Khan – 2 bahagian dinding Kaabah di timur dan barat telah runtuh kerana banjir besar. Hal ini berlaku pada 20 Sya’aban 10 Hijrah bersamaan 3 April 1620 Masehi.

1996 – Kaabah diubahsuai binaannya sehingga sekarang dengan bentuk yang berbeza dengan bangunan yang dibina oleh Abdullah ibnu Zubair mahupun Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Yang tetap hanyalah Kedudukan Hajarul Aswad sahaja.

Hajarul Aswad

Hajarul Aswad : Sebuah batu bundar yang berwarna hitam dan berlubang, terletak di sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah), tingginya sekitar 150 sentimeter, di atas tanah. Batu ini mempunyai lingkaran sekitar 30 sentimeter dan garis tengah 10 sentimeter, lebih besar daripada lingkaran muka seseorang. Kerana itu, seseorang yang ingin mencium batu ini harus memasukkan mukanya ke dalam lubang itu. Kepala yang besar pun dapat dimasukkan ke dalam lubang batu hitam ini. Bahagian luar batu hitam ini diikat dengan pita perak yang berkilat.

Asal dan Sejarah Hajar Aswad

Menurut banyak riwayat, antara lain daripada Abdullah bin Umar bin Khattab, Hajar Aswad berasal dari syurga. Riwayat oleh Sa’id bin Jubair r.a daripada Ibnu Abbas daripada Ubay bin Ka’b r.a, menerangkan bahawa Hajar Aswad dibawa turun oleh malaikat dari langit ke dunia. Abdullah bin Abbas juga meriwayatkan bahawa Hajar Aswad ialah batu yang berasal dari syurga, tidak ada sesuatu selain batu itu yang diturunkan dari syurga ke dunia ini. Riwayat-riwayat di atas disebutkan oleh Abu al-Walid Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-Azraki (M.224 H/837 M), seorang ahli sejarah dan penulis pertama sejarah Mekah.Tidak ditemukan informasi yang jelas tentang siapa yang meletakkan Hajar Aswad itu pertama kali di tempatnya di Kaabah; apakah malaikat ataukah Nabi Adam a.s.

Pada mulanya Hajar Aswad tidak berwarna hitam, melainkan berwarna putih bagaikan susu dan berkilat memancarkan sinar yang cemerlang.Abdullah bin Amr bin As r.a (7 SH-65 H) menerangkan bahawa perubahan warna Hajar Aswad daripada putih menjadi hitam disebabkan sentuhan orang-orang musyrik. Hal yang sama diungkapkan pula oleh Zubair bin Qais (M. 76 H/65 M).

Dikatakannya bahawa sesungguhnya Hajar Aswad adalah salah satu batu dunia yang berasal dari syurga yang dahulunya berwarna putih berkilauan, lalu berubah menjadi hitam kerana perbuatan keji dan kotor yang dilakukan oleh orang-orang musyrik. Namun, kelak batu ini akan berwarna putih kembali seperti sedia kala. Menurut riwayat Ibnu Abbas dan Abdullah bin Amr bin As, dahulu Hajar Aswad tidak hanya berwarna putih tetapi juga memancarkan sinar yang berkilauan. Sekiranya Allah s.w.t tidak memadamkan kilauannya, tidak seorang manusia pun yang sanggup mamandangnya.

Pada tahun 606 M, ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 35 tahun, Kaabah mengalami kebakaran besar sehingga perlu dibina kembali oleh Nabi Muhammad s.a.w dan kabilah-kabilah terdapat di Mekah ketika itu. Ketika pembangunan semula itu selesai, dan Hajar Aswad hendak diletakkan kembali ke tempatnya, terjadilah perselisihan di antara kabilah-kabilah itu tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu di tempatnya. Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku Makzum, sebagai orang yang tertua, mengajukan usul bahawa yang berhak untuk meletakkan Hajar Aswad di tempatnya adalah orang yang pertama sekali memasuki pintu Safa keesokan harinya.

Ternyata orang itu adalah Muhammad yang ketika itu belum menjadi rasul. Dengan demikian, dialah yang paling berhak untuk meletakkan Hajar Aswad itu di tempatnya. Akan tetapi dengan keadilan dan kebijaksanaannya, Muhammad tidak langsung mengangkat Hajar Aswad itu. Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah anggota kabilah yang ada. Hajar Aswad lalu diletakkannya di tengah-tengah serban itu. Baginda kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat diletakkannya Hajar Aswad. Muhammad sendiri memegang batu itu lalu meletakkannya di tempatnya. Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan penghormatan yang besar dari kalangan ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu.

Awalnya, Hajar Aswad tidak dihiasi dengan lingkaran pita perak di sekelilingnya. Lingkaran itu dibuat pada masa-masa berikutnya. Menurut Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraki (M. 203 H), seorang ahli sejarah kelahiran Mekah, Abdullah bin Zubair adalah orang pertama yang memasang lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad, setelah terjadi kebakaran pada Kaabah. Pemasangan pita perak itu dilakukan agar Hajar Aswad tetap utuh dan tidak mudah pecah. Pemasangan pita perak berikutnya dilakukan pada 189 H, ketika Sultan Harun ar-Rasyid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 786-809 M), melakukan umrah di Masjidil Haram. Ia memerintahkan Ibnu at-Tahnan, seorang pengukir perak terkenal ketika itu, untuk menyempurnakan lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad dan membuatnya lebih berkilat dan berkilau.

Usaha berikutnya dilakukan oleh Sultan Abdul Majid, Khalifah Uthmaniah (1225-1277 H/1839-1861 M). Pada tahun 1268 H, baginda menghadiahkan sebuah lingkaran emas untuk dililitkan pada Hajar Aswad, sebagai pengganti lingkaran pita perak yang telah hilang. Lingkaran emas itu kemudian diganti semula dengan lingkaran perak oleh Sultan Abdul Aziz, Khalifah Uthmaniah (1861-1876 M). Pada 1331 H, atas perintah Sultan Muhammad Rasyad (Muhammad V, memerintah pada tahun 1909-1918), lingkaran pita perak itu diganti dengan lingkaran pita perak yang baru. Untuk menjaga dan mengekalkan keutuhannya, Hajar Aswad sering dililit dan dilingkari dengan lingkaran pita perak.

Susunan SITI RAFMAH ZAKARIA