ISLAM

Perkataan Islam berasal dari bahasa Arab (أَسْلَمَ يُسِلِمُ إِسْلاَمًا : aslama, yuslimu, islaman). Aslama bermaksud serah diri dan tunduk taat. Pengertian Islam dari segi istilah (terminologi). Islam adalah cara hidup. Cara bagaimana manusia perlu mengatur hidup mereka di atas dunia. Ia adalah Agama wahyu yang diperturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad Sollallaahu 'alaihi wasallam melalui malaikat Jibril alaihissalam.

Islam adalah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad yang juga Nabi dan Rasul yang terakhir dan tidak ada lagi Nabi selepas baginda. Segala pengajaran dan undang-undang terakhir yang disampaikan Allah s.w.t kepada Muhammad Sollallaahu 'alaihi wasallam sebagai RasulNya ialah untuk menggantikan semua peraturan dan undang-undang yang disampaikan sebelum ini. Kedatangan Islam mempunyai tujuan yang sangat banyak, antaranya:

a) Memperbaiki kepercayaan kepada Allah yang Maha Esa.
b) Memperkukuhkan lagi kepercayaan terhadap Pencipta Alam ini.
c) Menghapuskan kepercayaan kepada yang selain daripada Allah (S.W.T.).
d) Memberi petunjuk bagaimana cara mengabdikan diri kepada Allah (S.W.T.).
e) Mengatur cara beribadat.
f) Mengatur perhubungan kehidupan manusia sesama manusia.
g) Menegakkan keadilan hukum-hukum Allah (S.W.T.).
h) Mengatur cara hidup kekeluargaan Islam.
i) Mempertinggikan akhlak manusia

Syarat Menjadi Islam.

Jika seseorang itu mengakui di dalam hatinya (beriman) bahawa Tiada Tuhan yang lain yang berhak disembah melainkan Allah dan juga mengakui bahawa Nabi Muhammad itu Rasul utusan Allah, maka Islamlah seseorang itu.

Untuk melayakkan dia menjadi Muslim yang sebenar 5 perkara Rukun Islam wajib dilakukan, iaitu:
(1) Mengucap dua kalimah syahadat
(2) Solat lima waktu sehari semalam
(3) Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan
(4) Menunaikan haji ke Baitullah (Mekah)jika cukup syaratnya
(5) Menunaikan zakat

Seorang Islam juga wajib beriman kepada 6 Rukun Iman, yang melayakkannya digelar mukmin atau mukminah. Iaitu;
(1) Beriman kepada ALLAH SWT
(2) Beriman kepada Malaikat-malaikat
(3) Beriman kepada Kitab-kitab
(4) Beriman kepada Rasul-rasul
(5) Beriman kepada Hari Kiamat
(6) Beriman kepada Qada dan Qadar

Lima perkara rukun Islam dan enam perkara rukun iman wajiblah diyakini sepanjang masa, untuk melayakkannya sentiasa menjadi seorang Islam yang beriman. Jika salah satu daripada rukun iman dan Islam dicerobohi maka terkeluarlah dia daripada Islam. Atau disebut sebagai Murtad.


Al-Qur'an Kitab Rujukan Islam

Sebagaimana Nabi Musa dan Nabi Isa alaihimassalam diwahyukan Allah dengan masing-masing Kitab Taurat dan Injil, maka Nabi Muhammad Sollallaahu 'alaihi wasallam juga dikurnikan Kitab Al-Qur'an sebagai rujukan penganutnya. Dengan al-Qur'an inilah segala rujukan tentang apa itu Islam dapat diperolehi, di samping Hadits sebagai rujukan kedua yang menghuraikan ayat-ayat al-Qur'an yang diwahyukan secara umum.

Allah berfirman di dalam al-Qur'an bahawa Dia akan tetap memeliharan al-Qur'an hingga akhir zaman dunia.

FirmanNya: ( إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ) QS. al-Hijr : 9.

Maksudnya : "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya".

Ayat ini memberikan jaminan tentang kesucian dan kemurnian Al Qur'an selama-lamanya.

No comments: