Ayat 1000 Dinar

Ayat 1000 Dinar

Maksudnya: ".....dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan ‎meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari ‎segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak ‎terlintas di hatinya dan (Ingatlah), dan sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, ‎maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya ‎Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan ‎kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu". (QS. At Talaq: 2-3

Sejarah Dinamakan 1000 Dinar‎

Ayat 2 dan 3 surah at-Tolaq atau lebih dikenali sebagai ayat 1000 dinar merupakan ‎amalan yang masyhur dalam hal berkaitan kerezekian serta perlindungan diri. Ramai ‎orang mengamalkan ayat ini untuk tujuan meminta agar Allah mengurniakan kemurahan ‎rezeki, kemudahan dan penyelasaian masalah. Sesiapa yang berminat bolehlah ‎mengamalkannya tetapi haruslah secara berterusan. Namun ayat ini ada kisahnya.‎

Pada zaman dahulu ada seorang pedagang lelaki yang bermimpi didatangi nabi Khaidhir. ‎Pedagang itu kemudian diperintahkan untuk bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. ‎Setelah tiga kali mengalami mimpi yang sama pedagang itu mula berfikir bahawa mimpi ‎yang beliau alami itu adalah benar. Sesuai seperti yang diperintahkan, pedagang itu pun ‎bersedekah wang sebanyak 1000 dinar. Setelah itu, sekali lagi pedagang tersebut ‎bermimpi bertemu nabi Khaidhir. Lalu nabi Khadhir pun mengajarkanlah akan pedagang ‎itu ayat 2-3 surah at-Tolaq untuk diamalkan. Lalu beramallah pedagang dengan ayat ‎berkenaan.‎

Sehinggalah pada suatu hari pedagang tersebut ingin pergi berdagang ke suatu tempat ‎yang lain dengan menggunakan jalan laut iaitu menaiki kapal. Di tengah pelayarannya ‎datang angin taufan yang sangat dahsyat. Apa yang boleh dilakukan oleh pedagang itu ‎hanyalah bertawakkal pada Allah sambil terus menerus membaca akan ayat yang telah ‎diajarkan nabi Khaidhir. Akhirnya kapal yang beliau naiki pecah dipukul ombak, semua ‎penumpangnya kembali ke alam baqa kecuali pedagang tersebut. Apabila telah reda ‎angin taufan yang melanda, beliau mendapati dirinya terdampar di tepi pantai sebuah ‎negeri, bersama barang dagangannya yang tidak rosak walau sedikitpun. Sambil menadah ‎tangan mengucapkan syukur ke hadhrat Allah, beliau sedar dan insaf akan kebesaran ayat ‎yang diamalkannya itu. Lalu padagang itu mengambil keputusan untuk tinggal di negeri ‎tersebut.‎

Tinggallah lelaki itu di negeri yang baru, berdagang dan berniaga dengan penduduk ‎negeri, disamping terus mengamalkan membaca ayat 2-3 surah at-Tolaq, sehinggalah ‎beliau diangkat menjadi raja di negeri tersebut (rezeki yang tidak disangka-sangka). ‎Begitulah kisahnya, sehinggalah sekarang ini ayat yang diajar Khaidhir itu digelar ayat ‎‎1000 dinar.‎

Hikmah ayat 1000 Dinar.‎

Barangsiapa mengamalkan ayat ini insya-Allah akan:‎

‎1.Memperoleh kemurahan rezeki yang tidak disangka-sangka.‎
‎2.Mendapat jalan keluar dari segala masalah dan kesulitan.‎
‎3.Mendapat perlindungan dari segala musibah dan bala bencana seperti peperangan, ‎kezaliman dan bencana alam.‎
‎4.Jika berperang insya-Allah tidak akan cedera atau binasa kecuali telah sampai ajal.‎
‎5.Allah akan menyampaikan segala hajat dan memberi kemudahan dalam setiap urusan.

Ulasan.

Terdapat perselisihan dan tentangan dari para alim ulama akan kelebihan dan kesohehan sumbernya, kerana tidak ada dalil dari al-Quran atau hadits. Walaubagaimanapun beramal dengan ayat-ayat Allah tidak akan merugikan sesiapa bahkan Allah akan mengurniakannya dengan kelebihan yang banyak.

Apabila diperhatikan kepada makna setiap ayat, memang tepat dan benar bahawa ayat ini amat penting untuk diamalkan oleh setiap umat Islam, agar lebih tinggi kebergantungan seseorang itu kepada Allah s.w.t. dalam setiap tindak tanduk dan perbuatan.

Intipati dari ayat tersebut ialah bertawakkal kepada Allah dalam semua urusan rezeki dan kebergantungan. Hanya Allah yang Maha Berkuasa menentukan rezeki dan jalan keluar dari sebarang masalah dalam hidup setiap hambaNya.‎ Jika keyakinan itu disematkan dihati dan fikiran maka sudah tentu Allahlah tempat penentu kesudahan.

No comments: