(Nabi) Ayyub adalah dari keturunan Nabi Ibrahim (a.s.) Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada Bani Isra’il. Beliau seorang yang kaya raya, tanah, ternakan dan anak pinak amat banyak. Walaupun begitu nabi Ayyub teramat luar biasa takwanya kepada Allah (S.W.T.) sehingga para Malaikat sepakat menggelar nabi Ayyub sebagai manusia terbaik zamannya.
Oleh kerana Allah (S.W.T.) menghendaki Nabi Ayyub lebih suci agar dapat dijadikan contoh teladan kepada umatnya, maka Allah (S.W.T.) izinkan Iblis merampas semua harta kekayaan nabi Ayyub, mematikan anak-anaknya, serta dihinggapi berbagai jenis penyakit. Secara beransur-ansur habislah kekayaan nabi Ayyub, namun beliau hanya berkata. “wajarlah Allah (S.W.T.) mengambil kekayaanku, kerana semua itu milikNya”. Anak-anaknya sembilan orang meninggal dunia seorang demi seorang, namun beliau hanya berkata “Seharusnyalah Allah (S.W.T.) mematikan, kerana Dialah yang menghidupkan”. Dan yang terakhir iblis menebarkan bermacam jenis penyakit ke tubuh Nabi Ayyub hingga baginda tidak dapat bergerak dari pembaringannya. Tetapi nabi Ayyub tetap sabar dan redha dengan kehendak Allah.
Baginda hanya berdoa, “Ya Allah aku rela engkau cabut semua nikmat pemberianmu. Tetapi tinggalkanlah untukku fikiranku dan lidahku, agar aku tetap akan dapat mengingati dan memujiMu”. Di atas ketakwaannya itu Allah (S.W.T.) menyembuhkannya dari penyakitnya, mengembalikan semula kekayaan hartanya, dan keturunan, bahkan berlipat kali ganda banyaknya.
Kisahnya disebut di dalam al-Qur’an iaitu dalam surah-surah al-Anbiyaa’ ayat 83 hingga 84, surah an-Nisa’: 163, al-An’am: 84 dan Saad: 41 hingga 44.
No comments:
Post a Comment