Solat Istikharah

Solat Sunat Istikharah : Solat sunat dua rakaat satu salam. Dilakukan kerana ingin memohon satu-satu petunjuk dan pilihan yang tepat dari Allah (s.w.t.). Sebaik-baik dilakukan pada waktu larut malam.

Lafaz niatnya ialah : “sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah taala”.

Rakaat pertama: selepas fatihah bacalah surah al-Kaafiruun.
Rakaat kedua: selepas fatihah bacalah surah al-Ikhlas.

Dalam sujud terakhir bacalah doa:
سبحانك لا علملنا الا ماعلمتنا إنك أنت العليم الحكيم
(40 kali)

(Subhaanaka laa ilmalanaa illaa maa allamtanaa innaka antal aliimul hakiim)

Kemudian berdoa dengan doa ini.

Tanda Istikharah Diterima Allah

Mimpi adalah satu jalan bagi mengetahui adakah istikharah seseorang itu diterima atau tidak. Walaubagaimanapun tidaklah menjadi suatu kemestian di dalam Istikharah; seseorang itu mendapat tanda di dalam mimpi, justeru ia lalu perlu tidur terlebih dahulu. Amalan istikharah sebelum tidur dan kemudian tidur dengan berwudhu bagi mendapat mimpi tanda istikharah adalah hanya cadangan dari Al-Allamah Ibn ‘Abidin (rujuk Hasyiah Ibn ‘Abidin). Manakala ulama Mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali pula menggalakkan istikharah dibuat dalam bentuk yang paling meyakinkan tanpa menyebut “tidur”. Hakikatnya tanda istikharah boleh diperolehi dengan pelbagai cara, antaranya; selepas berdoa atau solat, berbincang dengan orang yang boleh dipercayai dan berpengalaman, juga melihat kepada tanda-tanda sekeliling termasuk bakal pasangan(dalam hal nikah kahwin).

Solat istikharah 7 kali berturut-turut

Adapun panduan agar solat istikharah dibuat sebanyak 7 kali datang dari sebuah hadith yang dhoif (lemah) iaitu : “Apabila kamu inginkan sesuatu maka beristikharahlah kepada tuhanmu sebanyak 7 kali kemudian perhatilah petanda / perasaan yang datang terlebih dahulu(dominan) di dalam hatimu” ( Riwayat Ibn Sunni dari Anas, Al-Hafidz Al-‘Iraqi, An-Nawawi, Ibn Hajar mengatakan sanadnya amat lemah, rujuk Fath al-Bari, 11/223 cet Maktabah Risalah Hadithah & Naylul Awtar, 3/71)

Terdapat juga ulama yang mencadangkan si pembuat istikharah agar jangan mempunyai kecenderungan tertentu kepada salah satu antara dua(atau lebih pilihannya) sebelum membuat istikharah. Demikian pandangan Ibn Hajar Al-‘Asqolani (Fath Al-Bari, 11/223)

Galakan Beristikharah

Mengutamakan keputusan istikharah perlu diutamakan di dalam membuat sesuatu keputusan atau pilihan terutama apabila telah melakukan solat istikharah, tetapi tidaklah sampai ke tahap wajib. Pandangan ini dipilih oleh Syeikh Ahmad Kutty (Senior Lecturer/Imam di Islamic Institute, Toronto). Menurut As-Syawkani, Imam An-Nawawi juga cenderung kepada perlunya seseorang meredhakan dirinya untuk menerima keputusan istikharah yang dibuat. ( Naylul Awtar, 3/71)

Galakkan menuruti tanda istikharah juga datang dari riwayat hadith Nabi SAW ertinya : “ Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah beristikharah kepada Allah dan redha dengan apa yang ditentukan kepadanya, dan daripada keburukkan anak Adam adalah meninggalkan istikharah kepada Allah dan membenci apa yang telag ditentukan kepadanya” (Riwayat Ahmad, At-Tirmidzi ; Hasan Menurut Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari 11/155 ; Bagaimanapun terdapat perawi dhoif dalam sanadnya kata Syeikh Syuaib ; Rujuk Zad al-Ma’ad , Ibn Qoyyim, 2/406 cet muassasah ar-risalah). Imam Ibn Qoyyim juga mengulas kepentingan tawakkal kepada Allah dengan keputusan yang di dapati dari istikharah, lalu perlu menurutinya . ( Zad al-Ma’ad, 2/406)

No comments: