Surah al-Ahzab 33 : Surah ini diturunkan di Madinah, mengadungi 73 ayat. Dinamakan surah “Al-Ahzab” (Perihal pasukan-pasukan tentera yang bergabung), kerana kisahnya ada disebutkan pada ayat 9 hingga 25, untuk mengingatkan orang-orang yang beriman supaya bersyukur kepada Allah Ta’ala yang telah menyelamatkan mereka dari serangan tentera musuh yang bergabung itu yang telah mengepong bandar Madinah dengan tujuan hendak menghancurkan umat Islam.
Intisari kandungannya: pada awal surah ini allah Ta’ala perintahkan nabi Muhamamd (s.a.w) supaya tetap teguh mematuhi perintahNya dan jangan menurut kehendak dan tipu helah kauf kafir dan orang-orang munafik yang banyak hasutan dan angkaranya, dan diperintahkan supaya Baginda menurut apa yang diwahikan kepadanya serta berserah bulat-bulah kepada Allah ‘ Azza wa Jalla.
Kemudian ditegaskan, bahawa sebagaimana Allah Ta’ala tidak menjadikan dua hati bagi seseorang manusia, maka demikianlah manusia itu tidak mempunyai satu tujuan dalam hidupnya, iaitu menyembah Allah Yang Maha Esa dan menurut hukum syari’atnya, kerana tauhid dan syirik, iman dan kufur, ta’at dan ma’siat, tidak dapat berhimpun dalam hati yang satu, disebabkan satunya berlawanan dengan yang lain.
Setelah menerangkan tentang masalah “Zihar” dan soal “anak angkat”, lalu ditegaskan bahawa nabi Muhammad (s.a.w) lebih berhak dihormati dan dikasihi serta perintahnya oleh orang-orang yang beriman lebih daripada diri dan kemahuan mereka senndiri; dan isteri-isteri Baginda hendaklah dihormati sebagai ibu sendiri.
Mengenai soal harta pusaka, ditegaskan: Bahawa yang berhak mewarisi hanyalah kerabat sendiri, sedang orang-orang yang tidak ada pertalian kerabat maka mereka akan tidak berhak mewarisi; kecuali jika hendak memberi kepadanya sesuatu dengan mana-mana jalan yang dibenarkan oleh syara’, maka yang demikian dibolehkan.
Surah ini diakhiri dengan menyatakan: bahawa nabi Muhamamd (s.a.w) ialah Rasulullah serta menjadi kesudahan Nabi-nabi seluruhnya (khaatamu’n-Nabiyin), yakni Nabi yang akhir sekali, tidak ada Nabi dan Rasul sesudahnya.
No comments:
Post a Comment