Surah Sajdah 32 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 30 ayat. Dinamakan surah As-Sajdah (Perihal Sujud), kerana pada ayat 15 ada diterangkan perihal orang-orang yang beriman dan sifat-sifat mereka yang terpuji, iaitu apabila mereka mendengar ajaran Kitab Allah – Al-Qur’an mereka segera menerimanya dan mengamalkannya lalu sujud sebagai bersyukur kepada Allah Ta’ala yang telah mengurniakan mereka dengan ni’mat yang tidak ada bandingannya.
Ayat itu juga ialah ayat “sajdah” iaitu disunatkan sujud selepas membaca atau mendengarnya.
Intisari kandungannya: pada mulanya Allah Ta’ala menerangkan kebenaran Nabi Muhammad (s.a.w) dan kebenaran Al-Qur’an yang diwahyukan kepadanya, lalu ditegaskan dasar tauhid dengan mengemukakan sebesar-besar dalil dengan membuktikan keesaan Allah ta’ala dan kekuasaanNya ialah seluruh alam yang terbentang luas itu diciptakan Nya dalam “enam masa”.
Kemudian ditegaskan bahawa Allah Ta’ala hanya memberi taufiq dan hidayahnya kepada orang-orang yang telah diketahuinya sedia berusaha untuk beriman dan beramal salih, sedang orang-orang yang kufur ingkar dengan pilihan dan ikhtiar mereka sendiri setelah diterangkan kepadanya : mana yang benar mana yang salah, maka balasannya – sebagaimana yang dijanjikan – ialah azab seksa yang tidak terperi.
Ditegaskan lagi, Bahawa turunnya wahyu kepada Nabi-nabi itu bukanlah suatu perkara yang belum pernah berlaku. Kitab yang diturunkan oleh allah Ta’ala adalah untuk hidayah petunjuk.
Setelah itu Allah Ta’ala menegur kaum kafir musyrik: Mengapa mereka masih berdegil mendustakan agama Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad (s.a.w) kepada mereka? Padahal mereka kerapkali berulang-alik melalui negeri-negeri yang dibinasakan oleh Allah Ta’ala kerana penderhakaan penduduk-penduduknya, dan mereka dapat melihat bekas-bekas peninggalan kaum penderhaka yang telah dibinasakan itu?
Semasa orang-orang kafir musyrik bertanya secara mengejek-ejek: Bilakah datangnya hari kemenangan kamu wahai orang-orang Islam? Maka Allah Ta’ala perintahkan nabi Muhammad (s.a.w) menjawab : Bahkan hari kemenangan itu akan tiba dengan tidak syak lagi. Pada hari itu – hari kiamat – tidak berguna lagi bagi orang-orang kafir keimanan mereka sekiranya mereka beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh untuk bertaubat.
No comments:
Post a Comment