Surah al-Kahfi,

SURAH AL-KAHFI 18 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 110 ayat. Dinamakan surah al-kahfi (Gua), kerana perihal penduduk gua itu ada disebutkan pada ayat-ayat 9 – 26.

Intisari kandungannya : Menerangkan kebenaran al-Qur’an. Menegaskan dasar tauhid serta mendedahkan kesesatan kaum kafir yang mendakwa secara dusta bahawa Allah (s.w.t.) beranak pinak.

Bagi menjawab pertanyaan kaum kafir kepada Nabi Muhammad (s.a.w) yang hendak menguji kebenaranya, Allah (s.w.t.) menceritakan perihal “Ashabul Kahfi” yang sebenar-benarnya.

Kemudian diterangkan bahawa kekayaan dan anak pinak yang ramai memanglah baik bahkan menjadi perhiasan dunia yang sangat-sangat diperlukan. Tetapi janganlan menjadikan anak pinak dan harta benda itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata bahkan hendaklah kita berusaha menjadikannya sebagai jalan dan alat bagi melakukakan amal salih yang kekal faedahnya untuk kesenangan dan kebahagiaan kita di akhirat.

Oleh itu sungguh beruntung orang-orang yang dapat berusaha untuk kebaikan dunia dan akhiratnya. Diceritakan pula kisah Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s. sebagai membuktikan bahawa Allah (s.w.t.) jualah yang berkuasa mengurniakan ilmu pengetahuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Kemudian diceritakan perihal Zulqarnain, iaitu seorang raja yang beriman lagi salih, bijaksana dan memerintah dengan penuh keadilan. Untuk menyekat larangan Kaum Ya’juj dan Ma’juj yang kejam lagi ganas, dia telah mendirikan tembok besi yang kukuh.

Surah ini diakhiri dengan menerangkan tentang luasnya ilmu Allah (s.w.t.) yang tidak terhingga itu, dan memerintahkan Nabi Muhammad (s.a.w) supaya menegaskan kepada umat manusia seluruhnya, bahawa ia seorang manusia, dan bahawa baginda diutuskan untuk menegakkan dasar tauhid dan membasmi perbuatan syirik.

KEUTAMAAN MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA MALAM DAN HARI JUMAAT.

Tempoh membacanya ialah bermula masuknya waktu maghrib pada petang khamis sehingga sebelum azan maghrib pada petang jumaat.

Dalil dari Hadits Nabi Sollallahu alaihi wasallam.

Berikut adalah hadits sahih yang diriwayatkan oleh Abu Sa'eed al-Khudri (r.a.):


عن أبي سعيد الخدري قال : " من قرأ سورة الكهف ليلة الجمعة أضاء له من النور فيما بينه وبين البيت العتيق " . رواه الدارمي (3407) والحديث : صححه الشيخ الألباني في " صحيح الجامع" (6471)

Dari Abu Said al-Khudri, "Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi malam Jumaat diterangi baginya cahaya jarak di antara pembaca tersebut dan antara Baitil Atiq" (HR Ad-Darmi (3407) dan disahihkan oleh As-Sheikh al-Albani di dalam Sahih Al-Jame' (6471)



من قرأ سورة الكهف في يوم الجمعة أضاء له من النور ما بين الجمعتين رواه الحاكم (399\2) والبيهقي (249\3). والحديث : قال ابن حجر في " تخريج الأذكار " : حديث حسن ، وقال : وهو أقوى ما ورد في قراءة سورة الكهف. وصححه الشيخ الألباني في " صحيح الجامع" (6470)


"Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat diterangi baginya dengan cahaya tempoh masa antara dua Jumaat" (HR al-Hakim (399/2) dan al-Baihaqi (249/3). Dinyatakan oleh Ibnu Hajar di dalam Takhrij al-Adzkar sebagai Hadis Hasan dan disahihkan oleh As-Sheikh al-Albani di dalam Sahih Al-Jame' (6470)

“Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada dajjal”. 
(HR Muslim)

No comments: