Surah Al-Israa’ 17 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 111 ayat. Dinamakan surah al-Israa’ (Perjalanan Pada Malam Isra’) kerana peristiwa Rasulullah (s.a.w) dibawa berisra’ dalam masa satu malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, hal ini ada disebutkan dalam ayat pertama.
Intisari kandungannya: Menegaskan bahawa tujuan dan hikmat-hikmat berlakunya mukjizat “‘isra’” yang luar biasa itu, ialah kerana hendak memperlihatkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w) tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah (s.w.t.). Kemuliaan yang yang besar ini dikurniakan oleh Allah (s.w.t.) kepada baginda ketika baginda sedang menghadapi tentangan keras dari kaum kafir di Mekah untuk memberi semangat supaya baginda terus berjuang menyebarkan Islam sehingga berjaya.
Diterangkan pula perihal Kaum Yahudi Bani Isra’il yang sentiasa menderhaka kepada Allah (s.w.t.) dan bertindak ganas kepada umat manusia, dan kerana itulah mereka mereka telah menerima kehancuran dua kali di Palestin. (kali pertama ditangan Raja Babylon dan kali kedua di tangan Raja Rom). Lalu diberi amaran bahawa selagi mereka menderhaka dan menceroboh maka selama itulah pula Allah (s.w.t.) menggerakkan umat-umat yang lain untuk menyerang, memburu dan menghancurkan mereka.Dan inilah yang telah berlaku di sepanjang sejarah kaum Yahuzi zaman berzaman.
Setelah menegaskan bahawa kitab suci Al-Qur'an memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, agama Islam, lalu diterangkan tentang “Kitab Manusia” atau “suratan amalnya” yang tertulis di dalamnya segala perkara yang dilakukannya dengan usaha ikhtiarnya sendiri, samada baik atau amal jahat. Amalnya itulah yang menentukan nasibnya sendiri. Jika baik amalnya maka selamatlah dia dunia dan akhirat, dan jika jahat amalanya maka celakalah dia dunia dan akhirat. Amalnya dan nasibnya diibaratkan sebagai benda yang dikalungkan dilehernya, yang tidak dapat dipisahkan daripada dirinya, kerana dialah yang bertanggungjawab terhadapnya.
Oleh kerana sembahyang lima waktu telah difardhukan Allah (s.w.t.) kepada Nabi Muhammad (s.a.w) dan umatnya pada malam isra’ dan mi’raj yang disebutkan diawal tadi lalu diperintahkan solat dikerjakan pada waktu yang telah ditentukan, kemudian diterangkan secara khusus tentang keistimewaan solat subuh, supaya masing-masing memulakan harinya dengan ibadat pada saat yang berkat itu sebagai bersyukur kepada Allah (s.w.t.).
Surah ini diakhiri dengan menerangkan cara memuji Allah (s.w.t.) supaya Rasul dan sekalian hambanya sentiasa menyebut alhamdulillah (segala puji hanya untuk Allah (s.w.t.), sebagai bersyukur kepadaNya atas segala nikmatNya yang tidak terhitung, kerana Dialah tuhan yang Maha Esa dan Dialah sahaja yang wajib dibesarkan dan dimuliakan sengan sepenuhnya
No comments:
Post a Comment