Surah Al-Maa’idah

Surah Al-Maa’idah 5 : Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 120 ayat. Dinamakan surah Al-Maa’idah” (Hidangan), kerana peristiwa mengenainya ada disebut dalam ayat-ayat 112 hinggan 115.

Kandungannya: Pada awal surah ini Allah Ta’ala perintahkan orang-orang yang beriman supaya memenuhi serta menyempurnakan perjanjian, samada perjanjian itu berhubung dengan Allah atau berhubung dengan sesama manusia. Kemudian diperintahkan lagi supaya menjalankan dasar bantu membantu dan bertolong-tolongan mengerjakan perkara-perkara kebajikan, dan jangan bertolong-tolongan untuk melakukan dosa dan pencerobohan. Diperintahkan juga supaya berlaku adil kepada sesiapa sahaja. Setelah itu diterangkan pula bahawa Allah Ta’ala telah menyempurnakan agama Islam dan telah mencukupkan ni’matNya kepada umat Islam serta redhakan Islam menjadi agama umat Muhammad (s.a.w).

Kepada ahli-ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) ditegaskan: Bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) telah datang kepada mereka, menerangkan banyak dari keterangan-keterangan dan hukum-hukum yang mereka telah sembunyikan dari Kitab-kitab suci mereka.

Ditegaskan juga bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) adalah sebagai Nur (cahaya) yang menerangi dengan membawa Al-Qur'an yang menunjukkan jalan keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa yang menurut keredhaan Allah (s.w.t.), serta mengeluarkan mereka dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman.Kemudian diterangkan tentang benda-benda yang diharamkan , hukum orang murtad, hukum orang mencuri dan hukum bagi orang-orang yang melakukan keganasan dan membunuh orang. Banyak juga ayat-ayat dalam surah ini menerangkan hujjah-hujjah yang membuktikan kekufuran kau Yahudi dan Kristian, serta menegaskan bahawa sebesar-besar musuh bagi umat Islam ialah Kaum Yahudi dan orang-orang kafir musyrik yang menentang Islam.

No comments: