Surah as-Saaffaat 37 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 182 ayat. Dinamakan surah “As-Saaffaat” (Makhluk-makhluk yang berbaris), kerana perihal mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 1 hingga 3.
Intisari kandungannya : Bagi menegaskan dasar tauhid. Allah Ta’ala bersumpah – pada awal surah ini – dengan jenis-jenis makhlukNya yang dimulaikan sifat-sifat mereka yang terpuji dan amal-amal baktinya.
Setelah menegaskan keesaanNya dan kekuasaanNya menciptakan seluruh alam, serta menceritakan perihal Jin syaitan yang diusir dan di rejam dengan api yang bernyala-nyala, maka Allah Ta’ala perintahkan Nabi Muhammad (s.a.w) bertanya golongan kafir yang ingkar akan hidup semula orang-orang yang telah mati dan kedatangan hari kiamat: Adakah mereka fikir sukar bagi Allah menciptakan makhluk-makhluk yang lain, yang lebih besar daripada mereka, iaitu langit dan bumi dan lain-lainnya?
Kemudian Allah Ta’ala menerangkan keadaan orang-orang yang beriman dan ni’mat kesenangan yang akan mereka dapati pada hari akhirat kelak. Setelah itu diceritakan pula perihal Nabi-nabi yang telah lalu, yang juga telah mendapat tentangan dari golongan kafir pada zaman masing-masing, dan kejayaan yang telah didapati oleh mereka.
Dalam kisah nabi-nabi itu, diceritakan secara khusus perihal Nabi Ibrahim dan anandanya Nabi Isma’il (a.s) iaitu kisah yang melambangkan pengorbanan dan ta’at setia serta penyerahan diri bulat-bulat kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Surah ini diakhiri dengan memerintahkan supaya nabi Muhammad (s.a.w) dan umatnya mengakui kesucian Tuhan Yang maha Esa yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, dan hendaklah mengucap salam sejahtera kepada sekalian Rasul, dan mengingati bahawa segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.
No comments:
Post a Comment