Surah Yaa Siin 36 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 83 ayat. Dinamakan surah “Yaa siin” kerana Allah (s.w.t) memulakan surah ini dengan dua huruf yang tersebuat dan Alalh jualah yang mengetahui maksudnya.
Intisari kandungannya: Pada bahagian awalnya, Allah Ta’ala menegaskan kebenaran Al-Qur’anu’l-karim wahyu yang diturunkanNya, dan bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) yang meneriam Al-Qur’an itu ialah RasulNya yang tetap di atas jalan yang lurus.
Kemudian Allah Ta’ala mengambarkan keadaan orang-orang yang berdegil dalam kekufurannya dan yang telah diketahuiNya bahawa mereka tidak akan beriman, dan bahawa kesombongan dan kedegilan mereka telah membelenggu mereka daripada tunduk mematuhi kebenaran, dan sifat tamak dan gila kepada hartabenda dan pangkat kebesaran telah menyekat dan menghalang mereka daripada melihat jalan yang benar.
Kemudian ditegaskan: Bahawa peringatan dan amaran yang berkesan dan mendatangkan faedah hanyalah yang diberikan kepada orang-orang yang sedia menurut Al-Qur'an serta mereka takut melanggar perintah Allah Yang Maha Pemurah, semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan.
Lalu diperintahkan Nabi Muhammad (s.a.w) menceritakan kepada golongan kafir musyrik yang menentangnya: Kisah penduduk sebuah bandar pada zaman yang silam yang telah mendustakan Rasul-rasul yang diutus kepada mereka dan akibat buruk yang menimpa mereka. Sebaliknya orang-orang yang beriman di antara mereka telah menerima balasan yang sebaik-baiknya.
Kemudian Allah Ta’ala menerangkan dalil-dalil yang jelas untuk memahami kekuasaan dan kemurahanNya. Di antaranya, ialah, bumi yang mati yang dihidupkanNya dengan berbagai-bagai jenis tanaman yang subur. Demikian juga malam dan siang yang silih berganti, juga matahari yang kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, dan bulan yang di tentukan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, dan bulan yang ditentukan beredar melalui beberapa peringkat, sehingga diakhiri peredarannya, kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – berbentuk melengkung seperti tandan yang kering.
Surah ini diakhiri dengan menerangkan keadaan kekuasaan Allah Ta’ala, yang apabila Dia mengkehendaki adanya sesuatu benda, hanyalah Ia berfirman kepada hakikat sesuatu itu: “Jadilah engkau!” maka benda itu terus wujud.
Maha suci Allah, Tuhan yang memiliki dan mengusai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah dikembalikan sekalian makhlukNya.
No comments:
Post a Comment