Surah az-Zukhruf 43 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 89 ayat. Dinamakan surah “Az-zukhruf” (perhiasan), kerana pada ayat 35 dan ayat-ayat yang terdahulu daripadanya diterangkan perihal kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad (s.a.w). Mereka mengatakan: sepatutnya jawatan Nabi itu diberikan kepada seorang yang besar yang kaya raya dan berpengaruh. Bagi menolak hujjah mereka, Allah Ta’ala menerangkan bahawa kekayaan dan kemiskinan tidak boleh dijadikan ukuran bagi darjat seseorang, kerana segala kekayaan dan perhiasan dari emas dan lain-lainnya itu hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia; sebaliknya kesenangan hari akhirat disisi hukum Allah adalah tertentu bagi orang-orang yang bertaqwa.
Intisari kandungannya: Membentangkan sebahagian dari pertentangan kuasa yang dihadapi oleh “Da’wah Islamiyah” dalam zaman Nabi (s.a.w) dan menerangkan bagaimana pertentangan itu diberi penjelasan-penjelasan yang disertakan dengan dalil-dalilnya di dalam Al-Qur’anul’l-Karim.
Kemudian Allah ta’ala menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran Al-Qur’an maka Allah akan mengadakan baginya Syaitan yang menghasut dan menyesatkannya lalu menjadilah ia temannya yang tidak renggang daripadanya.
Ditegaskan juga bahawa Al-Qur’an itu menjadi kemuliaan besar dan peringatan bagi Nabi Muhamammad (s.a.w) dan kaumnya serta umat Islam seluruhnya kerana mengandungi pelajaran dan undang-undang yang sesuai bagi segala tempat dan segala zaman.
Setelah menceritakan perihal nabi-nabi yang telah lalu, maka Allah Ta’ala menerangkan, bahawa Nabi ‘Isa (a.s) menjadi tanda tentang kedatangan hari kiamat.
Hendaklah sentiasa yakin bahawa satu daripada tanda-tanda yang menunjukkan hampirnya hari kiamat ialah turunya Nabi ‘Isa (a.s) pada akhir zaman. (Hal ini dijelaskan lebih lanjut di dalam Hadits-hadits Nabi s.a.w yang sahih – Bukhari, Muslim dan lain-lainnya.
No comments:
Post a Comment