Surah Maryam 19 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 98 ayat. Dinamakan Maryam kerana peristiwa mengenainya ada disebutkan dengan panjang lebar di dalam ayat 16 hingga 34.
Intisarinya kandungan: Menerangkan kekuasaan Allah (s.w.t.) dengan berlakunya kejadian-kejadian luar biasa.
Peritiwa Nabi Zakaria a.s. (Lihat Nabi Zakaria) yang telah tua dan isterinya pula mandul, telah dikabulkan doanya oleh Allah (s.w.t.) dan dikurniakan seorang puter diberi nama Yahya a.s. (Lihat Nabi Yahya).
Kemudian peristiwa Siti Maryam binti Imran, iaitu anak saudara Nabi Zakaria a.s., gadis suci yang tidak pernah berkahwin dan tidak pula keluar dari rumah Nabi Zakaria, telah melahirkan seorang anak lelaki diberi nama Isa a.s. (Lihat Nabi Isa) dengan tidak berbapa. Pada akhir kisahnya itu, Allah (s.w.t.) menegaskan bahawa apa yang telah diceritakan di dalam al-Qur’an mengenai nabi Isa a.s. itulah yang sebenar-benarnya. Bukanlah sebagaimana yang didakwa oleh kaum Yahudi dan kaum Kristian atau puak-puak sesat yang lain.
Setelah menyebutkan perihal sebilangan Nabi-nabi yang lain dan perihal orang-orang yang beriman dan yang ingkar serta balasan yang akan diperolehi masing-masing pada hari akhirat, lalu Allah (s.w.t.) ceritakan perihal Nabi Muhammad (s.a.w) dan kaum musyrikin yang menetang baginda. Tatkala mereka tidak berupaya menentang hujah-hujah yang dikemukan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) melalui ayat-ayat al-Qur’an mereka berdalih dengan membanggakan kekayaan mereka, bilangan mereka yang ramai berbanding dengan orang Islam yang sedikit ketika itu dan kebanyakkannya miskin. Mereka seolah-olah mengejek nabi Muhammad (s.a.w) : kalau ugamamu benar, mengapa kamu dan umatmu hidup susah di dunia sedangkan kami senang lenang?.
Hujjah mereka telah ditolak oleh Allah (s.w.t.) dengan menegaskan: bahawa kekayaan dan kemiskinan tidak melambangkan benar atau salah, kerana berapa banyak kaum-kaum yang lebih kaya dari mereka pada zaman yang lalu telah dibinasakan dan tidak selamat hidup mereka, hal ini mereka mengetahuinya dengan jelas melalui kitab-kitab Taurat, Injil dan Zabur.
No comments:
Post a Comment