Surah Yunus 10 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 109 ayat. Dinamakan surah “Yunus” (Perihal nabi Yunus) kerana peristiwa mengenainya ada disebut pada ayat 98.
Intisari kandungannya: Mengupas soal-soal tauhid (Keesaan Allah azza wajalla dan membasmi fahaman syirik. Tentang ini ditegaskan bahawa kejadian langit dan bumi, peredaran matahari dan bulan, pertukaran malam dan siang, serta wujudnya makhluk-makhluk seisi alam, adalah menjadi dalil-dalil yang membuktikan keesaan, kekuasaan dan kemurahan Allah (s.w.t.) yang menjadikannya; dan hanya Allah (s.w.t.) jualah Tuhan yang sebenar-benar, yang berhak disembah, dipatuhi perintahNya dan dijauhi segala laranganNya.
Ditegaskan lagi bahawa Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah yang diutuskan kepada umat manusia seluruhnya, dan Kitab Suci Al-Qur’an al-Karim tidak syak lagi datangnya dari Allah (s.w.t.) bukan dikarang oleh baginda Rasulullah (s.a.w) sebagaimana yang dituduh oleh kaum kafir yang mengingkarinya, bahkan tidak ada sesiapapun yang dapat membuat sependek-pendek surah pun yang sebanding dengannya.
Sebagai memberi semangat supaya Nabi Muhammad (s.a.w) terus berjuang menyebarkan syiar Islam dan jangan menghiraukan golongan yang kufur ingkar, Allah (s.w.t.) menyatakan perihal Rasul-Rasul yang telah lalu yang juga telah mendapat tentangan keras dari kaum masing-masing, yang berakhir dengan kemenangan Rasul-rasulNya dan kehancuran kaum yang ingkar.
Surah ini diakhiri dengan seruan kepada umat manusia seluruhnya supaya beriman kepada Al-Qur’an untuk faedah diri mereka sendiri; kalau tidak maka baha keingkarannya akan menimpa mereka kelak; sedang Nabi Muhammad (s.a.w), hanyalah seorang Rasul yang menyampaikan perintah Allah, dan baginda tidak bertanggungjawab tentang soal keimanan dan keingkaran manusia.
No comments:
Post a Comment