Surah Hud 11 : Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 123 ayat. Dinamakan surah “Hud” (perihal nabi Hud) kerana peristiwa mengenainya ada disebut pada ayat-ayat 50 hingga 60.
Intisari kandunganya: Allah (s.w.t.) menerangkan dalam permulaan surah ini tentang kebenaran al-Qur’an sebagaimana yang diwahyukan kepada RasulNya Muhammad (s.a.w) dan tentang kesempurnaannya sebagai sebuah kitab suci yang tersusun ayat-ayatnya dengan amat rapi dan jelas nyata huraiannya.
Dalam ayat-ayat lain, Allah (s.w.t.) menggambarkan tabiat manusia yang apabila diberi kesenangan dan kemewahan hidup, kemudian kesenangan itu ditarik balik maka ada yang cepat berputus asa, tidak bersyukur serta tidak mengenang budi sama sekali anak ni’mat Allah yang dikurniakan kepadanya pada masa yang lalu.
Dalam pada itu, ada pula manusia yang bersikap baik dan terpuji, iaitu mereka yang sabar dalam masa ditimpa kesusahan, dan taat mengerjakan perintah Allah (s.w.t.) dan menjauhi laranganNya pada masa susah dan senang, serta bersyukur akan segala ni’mat Allah yang dikurniakan kepadanya. Orang-orang yang demikian sifatnya, akan diampunkan dosanya serta mendapat pahala yang besar.
Kepada Nabi Muhammad (s.a.w) dan umatnya diperintahkan supaya sentiasa bersikap teguh di atas jalan yang betul dan janganlah mereka bersubhat ataupun menyetujui perbuatan orang-orang yang melakukan kezaliman dalam segala bentuknya, lebih-lebih lagi bagi orang-orang yang menjadi musuh islam dan musuh umat Islam.
Di samping itu hendaklah mereka tetap mendirikan solat lima waktu, kerana amal-amal kebajikan terutama solat itu menghapuskan kejahatan. Dan hendaklah mereka bersabar dalam mengerjakan suruhan Allah (s.w.t.), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
No comments:
Post a Comment