Di zaman Rasulullah s.a.w. baginda giat menyeru dakwah kepada seluruh umat manusia supaya menerima Agama Islam. Orang-orang yang memeluk agama Islam terdiri dari orang-orang Arab jahiliah yang menyekutukan Allah (Musyrik), orang-orang Nasrani (Kristian), orang-orang Yahudi, orang-orang Majusi (Penyembah Api) dan lain-lain. Orang-orang Yahudi dan Kristian disebut Kafir Ahlil Kitab.
Tetapi kebanyakkan daripada mereka selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. kembali kepada agama mereka (Kafir semula). Sehingga khalifah Islam pada masa itu Saidina Abu Bakar as-Siddiq terpaksa mengisytiharkan perang terhadap golongan yang murtad ini.
Oleh sebab semua yang murtad tadi asalnya orang-orang kafir, maka murtad dari segi bahasa Arab yang dipakai ini dengan erti : kembali kepada agama asal (kafir).
Perhatikan firman Allah s.w.t. dalam surah Muhammad : 25, dan al-Baqarah : 217
Pengertian Murtad menurut syarak, mengikut Dr. Abdullah Qadairi dalam bukunya “Ar-Riddah ‘Anil Islam” : Murtad itu ialah orang yang meninggalkan Agama Islam kembali kepada kekufuran (agama asal). Dalam pemakaian bahasa Melayu, kata murtad dipergunakan dengan maksud perbuatan, iaitu kembali kepada Agama Kafir. Secara lengkapnya kemurtadan itu ialah kembalinya seseorang Islam yang mukallaf (baligh) kepada kekufuran, meninggalkan agamanya (islam) dengan pilihannya sendiri samada dengan kata-kata, perbuatan atau iktikad hati.
Oleh sebab hampir seluruh orang-orang Islam diperingkat permulaan itu berasal dari agama jahiliah; maka apabila mereka memilih meninggalkan agama Islam, maka dia disebut murtad, di mana dia keluar daripada agama yang benar berpindah kepada agama yang palsu
Dari kesimpulan pengertian murtad di atas, maka dapat disimpulkan bahawa jika sekiranya seseorang yang Islamnya dari sejak keturunan jika dia memilih untuk keluar daripada Islam kepada agama-agama yang lain tidak boleh dikatakan sebagai Murtad tetapi menjadi kafir.
Berbeza dengan orang-orang yang kufur di mana dia tidak sengaja meninggalkan agama islam; tetapi secara tidak sedar dia telah termasuk ke dalam orang yang kufur (kaafir) dengan sebab melakukan perkara-perkara yang merosakkan iman dan aqidah.
Kemurtadan secara besar-besaran pernah berlaku di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar r.a. (632M) berikutan kewafatan Rasulullah s.a.w., di antara sebabnya kerana mereka beranggapan sekiranya nabi Muhammad itu benar-benar seorang Nabi tentulah beliau tidak dimatikan oleh Allah (sebagai tanda kasih Allah kepada NabiNya).
No comments:
Post a Comment