Perbuatan Sunat Dalam Solat : Solat juga mempunyai perkara-perkara sunat yang dituntut kepada orang yang solat melakukannya. Walau bagaimanapun tuntutan tersebut bukanlah wajib. Dengan itu pahala solat ditambah jika dia melakukannya dan tidak dikenakan dosa atau seksa dengan sebab meninggalkannya.
Sunat dalam solat secara keseluruhannya boleh dikategorikan kepada 3 bahagian:
1. Sunat sebelum solat
2. Sunat ketika solat dan
3. Sunat selepas solat.
Sunat sebelum solat.
Ianya tidak lebih daripada 3 perkara:
1. Azan
2. Iqamah
3. Meletakkan sesuatu (sebagai penanda) di hadapannya yang memisahkan antaranya dengan orang yang lalu lalang, seperti dinding, tiang, tongkat atau seumpamanya.
Sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. “Apabila Rasulullah s.a.w. keluar pada hari raya, baginda memerintahkan supaya diambil sebilah lembing yang pendek lalu di letakkan di hadapannya, lalu baginda menunaikan solat dengan berhadapan lembing tersebut, sedang orang ramai berada di belakangnya. Perbuatan tersebut dilakukan oleh baginda s.a.w. ketika bermusafir”.
Sunat ketika solat.
Ianya terbahagi kepada dua bahagian:
1. Sunat ab’adh ( أبعض ).
2. Sunat hai’at ( هيأت ).
Sunat ab’adh ialah semua perkara yang kalau ditinggalkan maka ia boleh diganti semula dengan sujud sahwi di akhir solat (sebelum salam). Di antara perkara yang menjadi sunat ab’adh ialah;
1. Tasyahhud awal, iaitu tasyahhud pada rakkat kedua pada solat yang 4 dan 3 rakaat. Dalil menunjukkan tasyahhud awal sunat dari hadits riwayat Bukhari dan Muslim: “Rasulullah s.a.w. mendirikan solat zohor dan baginda telah meninggalkan duduk (pada tasyahhud awal). Apabila baginda menyempurnakan solatnya, baginda sujud dengan dua kali sujud (sujud sahwi)”.
2. Selawat ke atas nabi pada tasyahhud awal.
3. Duduk untuk membaca tasyahhud awal.
4. Selawat ke atas keluarga nabi s.a.w. selepas tasyahhud akhir.
5. Membaca qunut ketika solat subuh atau selepas solat witirn pada akhir ramadhan.
Manakala sunat hai’at ialah perkara yang ditinggalkan tidak boleh diganti dengan sujud sahwi. Di antara perkara sunat dalam solat yang menjadi sunat hai’at ialah;
1. Mengangkat kedua belah tangan ketika takbiratul ihram.
2. Meletakkan tangan kiri di perut di antara pusat dan dada, dan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri sambil memegang tangan kiri, sambil. Ail bin Hijr r.a. berkata, beliau melihat nabi s.a.w. mengangkat kedua tangannya ketika mula mendirikan solat kemudian baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri”. (HR Bukhari dan Muslim).
3. Melihat ke tempat sujud. Makruh hukumnya meliarkan pandangan kesekeliling, ke atas atau ke kaki, atau memandang ke arah kaabah, melainkan ketika membaca tasyahhud disunatkan mata memandang kepada jari telunjuk.
4. Membaca doa iftitah selepas takbiratul ihram.
5. Membaca isti’azah atau ta'awuz sebelum membaca surah al-fatihah.
6. Membaca dengan nyaring pada dua rakaat solat maghrib, isya’ dan subuh, solat jumaat, solat dua hari raya, solat gerhana bulan atau gerhana matahari, solat minta hujan, solat tarawih dan witir dalam bulan Ramadhan. Manakala solat-solat yang lain disunatkan perlahan bacaannya.
7. Menyebut amiin selepas selesai membaca al-fatihah.
8. Membaca sekurang-kurangnya satu ayat daripada al-Qur’an selepas al-fatihah.
9. Mengucap takbir ketika berpindah dari satu rukun kepada rukun yang lain.
10. Membaca tasbih ketika rukuk dan sujud.
11. Meletakkan kedua tapak tangan di atas paha ketika tasyahhud awal dan akhir.
12. Duduk ‘tawarruk’ atau ‘iftirash’ ketika duduk dalam tasyahhud akhir.
Duduk tawarruk iaitu duduk diatas tulang punggung kirinya dan kaki kiri dimasukkan di bawah betis kanannya.
Manakala duduk iftirash ialah dengan duduk di atas buku lali kaki kirinya sambil mendirikan hujung kaki kanannya.
13. Membaca selawat ‘ibarhimiah’ atau selawat ke atas Nabi Ibrahim selepas tasyahhud akhir sebelum salam.
14. Mengucap salam yang kedua ke kiri selepas salam pertama yang menjadi rukun solat.
Sentiasa khusyuk di dalam solat.
Sunat-sunat selepas mengerjakan solat.
Selepas selesai menunaikan solat disunatkan melakukan perkara-perkara berikut;
1. Istighfar, zikir dan doa. “Apabila nabi s.a.w. selesai dari solat, baginda beristighfar kepada Allah sebanyak tiga kali dan baginda membaca :
اللهم أنت السلام ومنك السلام تباركت يا ذالجلال والإكرام
(Hadits riwayat Muslim)
Kemudian disambung dengan bacaan-bacaan zikir yang lain.
2. Berpindah dari tempat solat fardhu ketika hendak melakukan solat sunat Qabliyyah atau Ba’diyyah (Solat sunat sebelum atau selepas solat fardhu). Yang paling afdhal solat sunat qabliyyah dilakukan di rumah sendiri.
3. Membiarkan jamaah perempuan selesai keluar lebih dahulu dari masjid atau tempat solat. Ini untuk mengelak bercampur gaul di antara lelaki dan perempuan.
......Dalam Pembinaan..............
No comments:
Post a Comment