Zakat Fitrah

Zakat Fitrah : Zakat dari segi bahasa bermaksud bersih, subur dan berkat. Manakala dari segi istilah pula ialah mengeluarkan makanan yang tertentu (makanan asasi) kepada golongan yang tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu.

Zakat Fitrah diwajibkan ke atas setiap orang Islam lelaki, perempuan, dewasa dan kanak-kanak.

Menurut Jumhur fuqaha', zakat fitrah wajib ke atas setiap orang yan memiliki keperluan yang melebihi makanannya dan makanan tanggungannya pada hari raya fitrah dan malamnya. Keperluan itu pula melebihi keperluan tempat kediamannya, barang-barangnya dan keprluan asasnya.

Zakat fitrah wajib dikeluarkan oleh seorang lelaki bagi dirinya dan anak-anaknya yang kecil dan miskin. Datuk hendaklah mengeluarkan zakat bagi cucunya dari anak lelakinya, jika ibubapa mereka fakir dan miskin, tetapi tidak ditaklifkan jika cucu dari anak perempuannya walaupun mereka miskin.

Kadar Zakat Fitrah
Kadar Zakat Fitrah ialah segantang Baghdad makanan asasi @ 2.7 kg @ sama nilai dengannya seperti beras, gandum, tepung dan sebagainya.

Syarat Wajib Zakat Fitrah
1. Islam
2. Merdeka
3. Mempunyai lebihan harta selain daripada keperluan makanan untuk diri dan keluarga pada hari raya
4. hidup di akhir Ramdhan dan awal Syawal

Golongan Yang Berhak Menerima Zakat Fitrah
1. Fakir
2. Miskin
3. Amil (Pemungut Zakat Fitrah)
4. Mualaf, orang baru memeluk Islam.
5. Hamba Mukatab (hamba yang dijanjikan dibebaskan tuannya sekiranya ia dapat menebusnya dengan wang @ harta)
6. Orang yang berhutang dengan tujuan baik dan tidak mampu membayarnya
7. Orang yang berjuang di jalan Allah, menuntut ilmu agama atau berperang.
8. Orang musafir bertujuan baik sama ada untuk perbelanjaan, makanan dan sebagainya)

Yang lebih afdhal, zakat fitrah diberikan kepada kaum kerabat yang dekat jika mereka itu orang fakir dan miskin. Ini bermakna adalah harus memberi zakat kepada adik beradik dan kaum keluarga yang dekat jika mereka tergolong dalam 8 asnaf di atas.


Golongan Yang Tidak Layak Menerima Zakat Fitrah
1. Orang kaya
2. Hamba abdi
3. Keturunan Bani Hasyim
4. Keturunan Bani Mutalib
5. Orang Kafir
6. Orang kuat berusaha dan mempunyai cukup perbelanjaan
7. Orang yang dalam tanggungan pembayar Zakat Fitrah

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

1. Waktu Harus : Bermula dari awal bulan Ramadhan hingga akhir bulan Ramadhan

2. Waktu Wajib : Setelah terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan

3. Waktu Afdhal : Apabila terbit matahari Hari Raya Puasa yang pertama sehingga sebelum selesai Solat Hari Raya serta dua khutbahnya

4. Waktu Makruh : Bermula selepas solat Hari Raya hingga terbenam matahari Hari Raya Puasa yang pertama

5. Waktu Haram :Bermula setelah terbenam matahari Hari Raya Puasa yang pertama

Hikmat Zakat Fitrah
1. Merapatkan jurang perbezaan di antara golongan yang kaya dengan miskin
2. Mendidik diri menjadi individu yang pemurah dan tidak kedekut

No comments: