Kiblat

Kiblat: ialah tempat diarahnya dada bagi setiap umat Islam dalam melakukan segala amal ibadah, terutama sekali solat. Solat tidak sah jika dada berpaling dari arah Kiblat dengan sengaja. Kiblat juga dieja dengan qiblat. Pada mulanya, kiblat mengarah ke Baitulmuqaddis atau kini Jerusalem, namun pada tahun 624M diganti menjadi mengarah ke Kaabah di Mekah.

Pada tahun 624M, semasa penghijrahan Nabi Muhammad SAW di Madinah, arah Kiblat ditukar ke arah Kaabah, dan kekal sehingga kini. Sesetengah pakar berpendapat, pertukaran tersebut berlaku akibat perselisihan antara Muhammad dengan puak Yahudi di Madinah. Kaabah yang terletak di dalam Masjidil Haram dijadikan Allah sebagai kiblat. Tak kira dari pelosok dunia mana sekalipun, solat wajib menghadap ke arah Kaabah yang berada di tengah-tengah Masjidil Haram yang dinamakan Kiblat.

Walaubagaimanapun Kaabah merupakan kiblat kedua dan kekal selama-lamanya, sebagaimana diperintah oleh Allah. Sebelum Kaabah umat Islam menghadap solatnya kepada Baitul Muqaddis.

Firman-Nya: "sungguh Kami akan memalingkan kamu kepada kiblat yang kamu berpuas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka" (2:144).



Arahan supaya memalingkan muka ke arah Masjidil Haram telah disebut dua kali di situ. Ia disebut lagi sebanyak tiga kali di dalam al-Qur'an. Satu daripadanya di dalam ayat berikut, yang turut menyatakan ia adalah yang benar daripada Tuhan. Firman-Nya,

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat." (2:149)



"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya," (2:150).
Apabila mengerjakan solat dalam Kaabah itu sendiri, seseorang Muslim menghadap ke arah dinding keluar semasa solat, manakala bagi berada di luar Kaabah pula, mereka boleh menghadap mana-mana arah kerana pusingan Kaabah itu 360 darjah.

Kiblat, merupakan titik rujukan di Bumi, ke arah Kaabah. Dalam amalan agama Islam, solat mesti menghadap ke arah Kaabah. Perlu diingatkan bahawa seseorang Muslim tidak menyembah Kaabah atau kandungannya, sama seperti pengikut Kristian tidak menyembah gereja atau salib; Kaabah hanya merupakan titik rujukan untuk solat.

Kiblat menunjukkan arah terpendek ke Kaabah. Disebabkan Bumi hampir bulat, laluan ini membentuk bulatan besar seperti laluan kapal terbang. Lokasi Kaabah (di 21° 25' 24" N, 39° 49' 24" E) boleh ditentukan secara geometri (sfera) untuk menentukan arah Kiblat di mana-mana sahaja di muka Bumi ini.

Hanya satu kes khas wujud: apabila bersolat dalam Kaabah sendiri, seseorang Muslim menghadap ke arah dinding keluar semasa solat.

Pada masa silam, Muslim yang mengembara menggunakan astrolob untuk menentukan arah Kiblat. Pada tarikh tertentu dalam tahun apabila Matahari berada tepat di atas Kaabah, arah bayang di semua tempat akan menunjukkan dengan tepat arah Kiblat.

Kiblat penting bukan semata-mata sebagai arah solat, tetapi juga dalam upacara harian/keagamaan. Dalam melakukan sembelihan haiwan yang halal di makan sunat menghadapkan dadanya ke arah kiblat dan direbahkan di atas bahu yang kiri. Selepas meninggal dunia, seseorang Muslim dikebumikan dengan muka menghadap kearah Kiblat.

Semua empat mazhab yang masyhur iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hambali bersepakat bahawa menghadap kiblat adalah syarat sah solat. Mazhab Syafie menetapkan tiga syarat yang boleh diguna pakai bagi memenuhi syarat menghadap kiblat, iaitu solat dalam keadaan aman, jika uzur ada pembantu yang boleh membantu menentukan arah kiblat dan jika sesat masih boleh melihat matahari naik dan turunnya.

Solat tidak diwajibkan menghadap kiblat.
Walaupun menghadap kiblat itu merupakan salah satu syarat sah solat, tetapi solat tetap sah jika orang yang melakukan solat itu dalam keadaan yang sebagaimana berikut. Dengan syarat beriktikad di dalam hati pada permulaan solatnya, bahawa dia sedang menghadap ke arah kiblat.

1. Uzur yang tidak boleh bergerak dan tidak ada kemudahan untuk mengarahkan wajah ke kiblat. Misalnya bagi orang yang sakit dan terlantar di katil hospital, di mana diketahui bahawa katil hospital tidak boleh dialih-alih ke arah kiblat, maka sah solat seseorang itu walau menghadap ke arah mana sekalipun.

2. Solat di atas kenderaan yang sedang bergerak. Oleh kerana kenderaan yang sedang berjalan selalu berubah-ubah arahnya maka orang yang solat di atas kenderaan boleh melakukan solatnya, meskipun hanya duduk di atas tempat duduknya.

3. Solat Khauf ketika dikejar musuh atau bertempur dengan musuh. Solat khauf ialah solat di dalam keadaan kritikan seperti di dalam peperangan, dikejar musuh atau mengejar musuh. Maka solat ini wajib dilakukan dalam keadaaan apa sahaja, lebih-lebih lagi ketika waktu solat semakin habis. Solat boleh dilakukan dalam keadaan berlari, meniarap dan sebagainya tanpa ditentukan arah kiblatnya

Kaedah atau Teknik Menentu Arah kiblat
Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk menentukan hala kiblat, dari kaedah tradisional hinggalah kepada kaedah moden.

Ada juga kesempatan yang boleh diambil keatas kedudukan jasad-jasad samawi. Ini termasuklah penggunaan bintang al-Qutbi (Polaris), fasa-fasa bulan, matahari terbenam, lintasan matahari dan juga penjajaran tiga bintang iaitu Al-Nitak, Al-Nilam dan Mintaka di dalam buruj al-Babadur (Orion). Perkembangan pesat yang berlaku di dalam bidang astronomi, geografi dan matematik telah menjadikan urusan penentuan hala kiblat sekarang sebagai satu perhitungan trigonometri yang mudah.

Terkini, peralatan moden seperti kompas prismatik, tiodolit, gyroscope dan GPS telah semakin mengambil tempat

Kaedah Tradisional penentuan arah kiblat

1. Matahari istiwa atas Kaabah
Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas kaabah berlaku dua kali setahun iaitu pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai, kira-kira jam 5.28 petang (waktu Malaysia). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan memperbetulkan arah kiblat.

Panduan menentukan arah kiblat dari satu tempat pada tarikh dan masa yang ditentukan di atas:

Pacakkan satu tiang pada kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.

Pastikan tiang berkenaan tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakannya boleh diletak sebarang pemberat yang diikat pada hujung tiang itu.

Tempat yang dipilih untuk tujuan ini tidak terlindung daripada sinaran matahari. Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang-bayang akan jatuh ke arah timur, arah kiblat ialah bayang-bayang yang menghadap ke barat.

2. Kaedah buruj bintang
Buruj bintang ialah sekumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit serta mempunyai bentuk hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain.

Langit dibahagikan kepada 88 kawasan buruj bintang. Bintang yang berada pada satu kawasan sama adalah dalam satu buruj.

Sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah dikenal pasti seperti bentuk haiwan dan geometri.

Dengan mengetahui bentuk buruj bintang tertentu, arah utara dan arah kiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan.

Menggunakan kedudukan buruj Orion atau buruj Al-Babadour. Pada buruj itu ada tiga bintang berderet iaitu Mintaka, An Nilam dan An Nitak. Arah kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet berkenaan ke arah barat.

3. Kaedah matahari terbenam
Secara umum, jika kita merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah dari azimut 235 darjah hingga 295 darjah.

Ia boleh digunakan sebagai satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan jika mengetahui perbezaan sudut antara arah matahari dengan arah kiblat. Dalam keadaan tertentu arah matahari jatuh boleh diyakini sebagai arah kiblat, sekalipun tidak tepat. Mengikut mazhab Syafi’e, walaupun tidak tepat tetapi darjahnya tidak melebihi 45 darjah kiri dan kanan maka sah solatnya.

Kaedah moden tentu kiblat

1. Pengiraan arah kiblat
Hitungan adalah berdasarkan kepada konsep arah di sepanjang bulatan gedang bumi (great circle).

Membabitkan model matematik sfera yang mengandungi koordinat geografi tempatan dan koordinat geografi rujukan (Kaabah).

2. Kompas Prismatik
Penandaan arah kiblat dengan kompas banyak diamalkan di kalangan masyarakat Islam masa kini. Arah yang ditunjukkan oleh sesuatu kompas adalah arah merujuk ke arah utara.

Arah utara magnet pula tidak semestinya bersamaan dengan arah utara benar. Perbezaan arah utara ini dipanggil sebagai sudut serong magnet.

Antara masalah yang boleh timbul menggunakan kompas ialah tarikan graviti tempatan yang mana ia terkesan dari kewujudan bahan logam atau arus elektrik di sekeliling kompas yang digunakan.

Boleh digunakan sebagai alat alternatif jika alat yang lebih sesuai tidak ada.

3. Penggunaan Teodolit
Teodolit adalah antara alat termoden yang diguna pakai oleh kebanyakan juru ukur dan pihak yang melakukan kerja menentukan arah kiblat.

Alat itu digunakan untuk mengukur bacaan sudut secara mendatar dan menegak. Ia memberi kejituan bacaan tinggi dan tepat.

Sumber : ms. wikipedia.org/wiki/Kiblat

No comments: