Istinja'

Istinja’ : bermaksud bersuci atau membasuh tempat keluar najis iaitu zakar/faraj dan dubur selepas membuang air kecil (yakni kencing) atau air besar (yakni berak). Hukumnya adalah wajib.


Alat istinja’

Di antara bahan-bahan atau benda yang harus dan sah digunakan dalam istinja’ ialah air. Maksud hadits dari Anas r.a. menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. apabila keluar membuang air, aku akan bawakan untuknya satu bekas air untuk beliau beristinja’”.

Diharuskan juga menggunakan benda-benda kesat seperti batu, ranting kayu, kulit kayu, daun yang kesat, kertas yang kesat dan sebagainya yang boleh menanggalkan najis. Banyak hadis menceritakan Nabi s.a.w. beristinja’ menggunakan batu.

Menurut mazhab Syafi’ie, paling baik ialah menggabungkan kedua-duanya; iaitu menyapu najis dengan benda kesat (tisu atau sebagainya), kemudian disusuli dengan membasuh dengan air. Cara ini adalah terbaik kerana dapat menjimat air dan mengelak tangan dari terlalu banyak menyentuh najis. Harus menggunakan salah satu cara iaitu dengan air sahaja atau dengan benda kesat sahaja, namun beristinja’ dengan air adalah lebih afdhal kerana lebih menyucikan.


Gunakan tangan kiri

Beristinja’ sunat menggunakan tangan kiri. Beristinja’ dengan tangan kanan adalah makruh, kecuali tidak dapat dielakkan. Kata Nabi s.a.w.; “Sesiapa dari kamu kencing, janganlah ia memegang zakarnya dengan tangan kanannya dan janganlah juga ia beristinja’ dengan tangan kanannya”.[1]


Syarat-syarat beristinja’ dengan benda kesat

Namun jika hendak beristinja’ dengan benda-benda kesat sahaja (tanpa menggunakan air), mesti memenuhi syarat-syarat di bawah;

1. Hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapu, tidak boleh kurang darinya.[2] Salman r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. menegah kami dari beristinja’ kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)”.[3] Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya). Tiga kali sapu boleh juga menggunakan bahan yang sama misalnya, ranting kayu yang panjang asalkan tidak bertindih sapuannya pada tempat yang sama.

2. Hendaklah najis tidak melepasi papan punggung atau hasyafah (yakni kepala zakar). Jika najis meleleh melepasi kawasan tersebut, wajib istinja’ dengan air.

3. Hendaklah sebelum najis kering. Jika najis telah kering, wajib istinja’ dengan air.

4. Bahan yang digunakan hendaklah bersih dan kering. Sifatnya hendaklah boleh menanggalkan najis, iaitu tidak terlalu licin atau terlalu kasar kerana tujuan istinja’ ialah untuk menanggalkan najis, maka hendaklah bahan yang digunakan boleh memenuhi tujuan tersebut.

5. Bahan yang digunakan bukan dari makanan manusia atau jin seperti tulang. Kata Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu beristinja’ dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin”.[4]




Nota Kaki:


[1] Riwayat Imam Bukhari dari Abi Qatadah r.a..
[2] Sekalipun telah kelihatan bersih dengan sekali atau dua kali sapuan. Ini kerana tiga kali sapuan itu adalah had minima yang ditetapkan Nabi s.a.w., tidak harus kuraang dari itu.
[3] Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai.
[4] Riwayat Imam at-Tirmizi.

No comments: