KHAMR

ARAK atau KHAMR : Dalam buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin disebutkan, "Arak ialah alkohol dalam bentuk ethyl alcohol merupakan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan sering kali menyebabkan ketagihan. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau 'yeast cells' yang bertindak ke atas karbohidrat.

Terdapat beberapa jenis arak yang popular, iaitu bir yang dibuat dari biji-bijian dan mengandungi 3-6% alkohol, wain yang diperbuat daripada buah-buahan dan mengandungi 11-14% alkohol dan minuman keras yang dikenali sebagai liquor mengandungi 40-50% alkohol. Liquor dihasilkan dengan memeram ataupun mendidihkan bahan makanan sehingga menjadi arak.

Dalam proses kimia, alkohol adalah sebatian organik dimana satu hidroksil kumpulan (-OH) terikat kepada atom karbon, yang mana sebaliknya juga terikat kepada hidrogen dan/atau atom karbon lain. Formula am untuk alkohol asiklik adalah CnH2n+1OH. Keimpulannya ALKOHOL ITU ARAK.


PENGERTIAN ARAK ATAU KHAMAR ATAU KHAMR.
Maksud Khamar segi bahasa ialah diambil daripada perkataan Al-KHAMRU (الخمر ) yang bererti menutupi.


Dalam pengertian Islam, arak atau khamar adalah sesuatu minuman atau makanan yang memabukkan atau menjadikan pemakan atau peminumnya hilang akal yang waras.

Sabda Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam, maksudnya:
”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.” (HR. Bukhari dan Muslim)


HUKUM ARAK.
Persoalan berhubung pengharaman arak dibahaskan oleh ilmuwan Islam sejak dulu lagi. Ulama sepakat di dalam menghukum bahawa meminum arak adalah haram di sisi hukum syarak.

Pengharaman arak sebenarnya dilakukan secara berperingkat melalui penurunan empat ayat al-Quran iaitu:

•Ayat 67, surah al-Nahl.

Firman Allah bermaksud: “Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada satu tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya.”

Ayat ini diturunkan ketika di Makkah di mana di dalam ayat itu Allah belum lagi menjelaskan pengharaman arak dan masih boleh diminum ketika itu.

•Ayat 219, surah al-Baqarah.

Firman Allah bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya..."

Ayat kedua ini menjelaskan perbezaan di antara baik dan buruk arak. Ia juga menjelaskan bahawa dosa arak adalah lebih besar daripada manfaatnya.

•Ayat 43, surah an-Nisa'.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bersembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan..."

Ayat ketiga ini pula melarang umat Islam ketika itu meminum arak tatkala hampir waktu untuk bersolat. Perkara ini berlaku kerana imam sembahyang ketika itu dikatakan telah tersalah membaca ayat al-Quran kerana berada dalam keadaan mabuk. Maka turunlah ayat ketiga di atas.

•Ayat 90, surah al-Maidah.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."

Ayat keempat ini mengharamkan arak secara sekali gus. Jumhur fuqaha mengharamkan arak disebabkan ia adalah najis dan memabukkan.

Ayat ini adalah dalil yang putus mengenai pengharaman meminum arak.

Persoalan pengharaman arak juga dirujuk daripada beberapa sumber dan criteria.

1. Ijmak ulama’ telah menetapkan bahawa meminum arak adalah haram sama ada dengan kuantiti yang sedikit atau pun banyak.

2. Islam juga mengharamkannya daripada menjual, membeli, ataupun memperniagakan arak meskipun dengan orang yang bukan Islam. Hal ini tidak terkecuali dengan mengangkut atau membawa serta membuat arak. Hukumnya juga haram.

3. Demikian juga Islam mengharamkan seseorang Muslim menjual anggur atau sesuatu yang lain seperti nira kelapa atau seumpamanya kepada orang yang mahu memprosesnya menjadi arak atau minuman yang memabukkan.

4. Majlis-majlis yang berunsur arak juga hendaklah diboikot dan kita dilarang mendampingi peminum arak.

5. Menggunakan arak semata-mata sebagai ubat juga adalah haram dan berdosa. Lain halnya dengan campuran ubat dengan kadar tertentu dari alcohol, contohnya kerana dharurat seperti untuk memelihara sesuatu supaya tidak rosak. Tetapi ia hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

i) Terdapat bahaya yang besar ke atas kesihatan manusia jika tidak meminum ubat tersebut.

ii) Tiada ubat lain yang halal untuk menggantikannya.

iii) Ia hendaklah dengan nasihat seorang doktor Muslim yang dipercayai dalam profesionnya dan juga dari segi agamanya. Hal ini kerana prinsip Islam itu berdiri di atas dasar kemudahan, menghindarkan bahaya dan melaksnakan maslahah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:” Sesiapa yang terpaksa (memakannya) tanpa mengingininya dan tanpa mengulanginya maka tiada dosa atasnya.” (al-Baqarah: 173)


TAHAP PENGHARAMAN KHAMR DALAM ISLAM.
Sebelum kedatangan Islam dan tersebar luas, khamr adalah sebahagian dari kebudayan bangsa Arab. Tidak terkecuali bagi sahabat-sahabat nabi. Sebelum khamr diharamkan, semua sahabat pasti pernah meminum khamr, kecuali Rasulullah sollallaahu alaihi wasallam dan beberapa orang yang lain.

Hukum khamr dalam Islam itu menjadi haram secara bertahap. sehingga sahabat tidak merasa terkejut dengan hukum baru ini, walaupun sebelumnya, khamr adalah sebahagian dari kebiasaan mereka.
Berikut ini adalah 3 tahap pengharaman khamr:

Tahap 1.
"Bila engkau hendak solat, jangan dekati khamr". Kejadian ini bermula ketika Saidina Ali ra, menjadi imam dalam keadaan mabuk. Sehingga nabi melarang sahabat-sahabatnya untuk mendekati khamr ketika hendak solat. Dalilnya terdapat pada surat An-Nisaa' ayat 43.

Tahap 2.
"Dalam khamr, ada dosa besar, dan ada manfaat yang besar. Tetapi, dosa lebih besar.". Tentu kita tahu, bahawa khamr tentu masih ada manfaatnya (walaupun kecil). Bagi orang Arab, mungkin khamr berguna untuk menghangatkan badan ataupun "lari dari masalah". Tetapi, mudharat khamr masih lebih banyak dari manfaatnya. Khamr dapat mendorong salah faham, perkelahian, bahkan perzinaan. Kemungkinan manfaat yang kedua kami sebutkan itu tadi bukanlah cara yang baik dalam menyelesaikan masalah orang itu. Oleh kerana itu, Nabi mulai mengajak sahabat-sahabatnya untuk menjauhi khamr. Saat itu, khamr belum ditahkikkan haram. Dalilnya terdapat pada surat Al-Baqarah ayat 219.

Tahap 3.
"Khamr itu sebahagian dari perbuatan syaitan!". Akhirnya, Islam bertindak tegas dengan mengharamkan khamr. Kerana mudharatnya begitu besar dan khamr dapat mengarahkan seseorang untuk melakukan perbuatan dosa yang lebih besar, sebagaimana perbuatan seorang yang mabuk, menggoda perempuan dan merogolnya, kemudian bila rasa berslah dibunuh pula perempuan tadi. Akhirnya, turunlah surat Al-Maidah ayat 90, yang mengatakan bahawa meminum khamr, berjudi, dan lain sebagainya itu adalah sebahagian dari perbuatan syaitan. Setelah sahabat mendengar ayat ini, mereka langsung pulang dan membuang seluruh simpanan khamr mereka. Sehingga diceritakankan bahawa jalan-jalan di kota madinah dipenuhi oleh khamr, kerana banyaknya khamr yang dibuang.


Islam mengharamkan arak sejak 14 abad yang lalu. Orang Arab jahiliah sebelum kedatangan Islam adalah peminum arak yang tegar. Mereka menganggap arak sebagai minuman terbaik untuk menikmati keseronokan hidup sebenar. Terdapat juga di kalangan segelintir umat Arab jahiliah yang baru memeluk Islam cuba mempengaruhi Rasulullah SAW dengan mengatakan arak boleh menjadi penawar dan ubat untuk seseorang. Rasulullah segera menyanggah anggapan itu dengan bersabda:

"Ia bukan ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit" (HR. Muslim).


ARAK DI SYURGA.
Khamr disediakan oleh Allah di dalam syurga dengan sifatnya yang berlainan, sebagaimana firmanNya;

QS. Muhammad:15 bermaksud. “(Apakah) perumpamaan (penghuni) jannah yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang disaring; dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka, sama dengan orang yang kekal dalam jahannam dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memutuskan segala ususnya?


HIKMAH PENGHARAMAN ARAK.
Islam mementingkan akal malah pemeliharaan akal adalah salah satu maslahat asasi yang ditekankan oleh Islam. Syariat Islam memelihara akal dengan mewajibkan umat Islam mencari ilmu dan pada masa yang sama mengharamkan segala bahan yang memabukkan.

Justeru, arak adalah haram dalam Islam. Dalam surah al-Maidah Allah telah menjelaskan, maksudnya: ”Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan tilik nasib dengan menggunakan anak panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya.” (QS. Al-Maidah: 90)

Islam membenci arak, justeru aktiviti yang berkaitan dengan arak dihukum sebagai haram. Sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud;

Maksudnya: "Allah melaknati arak. (Allah juga melaknati) yang meminumnya, yang menuangnya, yang menjualnya, yang memerah anggur (untuk dijadikan arak), yang membantu memerah anggur itu, pembawanya dan mereka yang menerimanya. (HR. Ibnu Majah dan Tarmizi)

Ini bermakna Rasulullah s.a.w telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak, iaitu:

1. Orang yang memerah arak.
Pemerah arak : iaitu pekerja -pekerja yang melakukan kerja pemerahan buah-buahan seperti anggur yang bertujuan hasil dari perahan anggur itu akan dijadikan arak . samada mengunakan teknologi moden atau cara lama. Hasil pekerjaannya ( upah/gaji yang diterima ) adalah haram begitu juga perbuatannya.

2. Orang yang diminta arak diperah untuknya.
Meminta diperahkan arak untuknya : Bermaksud majikan /pengurus sesebuah syarikat yang mengaji beberapa orang pekerja di kilangnya untuk bekerja sebagai operator pengeluaran..Maka haramlah pekerjaannya itu.

3. Orang yang meminumnya.
Peminum arak : Orang yang meminum arak walaupun setitik atau tidak mabuk atau hanya cuba-cuba. Perbuatan itu adalah haram.

4. Orang yang membawanya.
Pembawa arak : Ia boleh dimaksudkan sebagai pelayan di sesebuah restoran/kedai makan /hotel dsb . ataupun boleh juga dimaksudkan sebagai pemandu lori yang membawa muatan arak dari sesuatu tempat ke suatu tempat yang lain..Perbuatan itu adalah haram walaupun ia tidak meminumnya .

5. Orang yang meminta dibawa arak kepadanya.
Meminta dibawakan arak kepadanya : bermaksud seseorang yang membuat pesanan arak samada untuk diminum ataupun di simpan sebagai koleksi. Maka perbuatan itu adalah haram.

6. Orang yang memberi minum arak kepada orang lain.
Memberi minum arak kepada orang lain : bermaksud seseorang yang memberi orang lain minum padahal dia tidak meminumnya cth : seseorang muslim membelanja minum rakannya non muslim minum arak di sesebuah restoran. Perbuatan itu adalah haram.

7. Orang yang menjual arak.
Penjual arak : Boleh diertikan sebagai tuan kedai /restoran yang menjual arak kepada pelanggannya walaupun dia tidak meminumnya, perbuatan itu juga haram.

8. Orang yang mendapat hasil daripada arak.
Orang yang mendapat hasil daripada arak : Suatu skop yang lebih luas dan pelbagai bolehlah dikatakan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan arak adalah haram contoh : Pengawal Keselamatan yang mengawal keselamatan kilang arak dan mendapat gaji daripada pengurus kilang tersebut. Maka perbuatan atau gajinya itu adalah haram.

9. Orang yang membeli arak.
Orang yang membeli arak : bermaksud orang yang membeli arak samada untuk diminum atau tidak. Maka perbuatan itu pun haram.

10. Orang yang meminta dibelikan arak untuknya.
Orang yang meminta dibelikan arak untuknya : Bermaksud seseorang yang meminta seseorang yang lain membelikan arak untuknya kerana sebab yang tertentu. Contoh seorang muslim meminta rakannya non muslim membelikan arak untuknya, maka perbuatan muslim itu adalah haram.


PENEMUAN BAHAYA ARAK.
Apabila seseorang meminum alkohol, ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak itu sebelum mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, hilang ingatan dan seumpamanya. Pengambilan 2 hingga 3 gelas alkohol dalam masa sejam sudah mencukupi bagi menjadikan seseorang tidak stabil.

Sepertimana kenyataan Profesor Dr. Yusof Qardhawi, kalau diadakan penyelidikan secara teliti di rumah-rumah sakit, bahawa kebanyakan orang yang gila dan mendapat gangguan saraf adalah disebabkan arak. Dan kebanyakan orang yang bunuh diri ataupun yang membunuh kawannya adalah disebabkan arak. Termasuk juga kebanyakan orang yang mengadukan dirinya kerana diliputi oleh suasana kegelisahan, orang yang membawa dirinya kepada lembah kerosakan dan menghabiskan hak miliknya, adalah disebabkan oleh arak.

Pengambilan alkohol dalam jangka masa panjang boleh merosakkan otak selama-lamanya. Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan sakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, radang, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan. Di Amerika saja terdapat 10 hingga 15 juta penagih arak dan daripada jumlah itu 4.5 juta adalah daripada kalangan remaja. Jumlah kematian yang disebabkan oleh arak di Amerika adalah 100,000 orang setiap tahun.

Justeru, Islam mengharamkan arak sama sekali dan tidak mengganggapnya sebagai penawar walaupun terdapat sedikit kebaikan padanya. Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 219:

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kamu berkenaan arak dan judi. Katakanlah, kepada kedua-duanya ada banyak keburukan dan (ada juga) beberapa kemanfaatan, namun keburukannya adalah lebih besar daripada manfaat (kebaikannya)”.

Abul Laits mengatakan, “ Jauhilah minum arak, kerana di dalamnya mempunyai 10 perkara yang tercela:

1- Apabila seseorang itu minum arak maka kedudukannya seperti orang gila, akhirnya di menjadi bahan ketawa kanak-kanak. Dan tercela ia bagi orang yang berakal.

2- Arak itu boleh menyebabkan hilang dan menyebabkan musnahnya wang ringgit.

3- Minum arak boleh menyebabkan timbulnya permusuhan antara sahabat.

4- Minum arak akan menghalangi seseorang itu ingat atau berzikir kepada Allah S.W.T. dan akan menghalangi dia dari mengerjakan solat.

5- Minum arak akan mendorong perbuatan zina. Sebab seseorang yang minum arak mungkin denggan mudah menceraikan isterinya tanpa dia sedari.

6- Minum arak adalah anak kunci segala perbuatan jahat, orang yang minum arak mudah sekali melakukan perbuatan terkutuk.

7- Minum arak boleh menyakiti keluarganya dan teman-temannyan kerana mengiringi ketempat fasik.

8- Orang yang minum arak wajib dihad, di hukum dengan 80 sebatan, kalau ia tidak dipukul di dunia dia akan di pukul di akhirat dengan cemeti api neraka di hadapan orang ramai dan disaksikan oleh bapa dan teman-temannya.

9- Minum arak itu menyebabkan pintu langit ditutup baginya, kerana semua amal baiknya dan doa-doanya tidak diterima selama 40 hari.

10- Minum arak itu menyebabkan dikhuatiri dicabut imannya.

Kesemua akibat ini adalah di dunia sebelum dia mati setelah itu dia akan menghadapi pula siksa akhirat nanti.

Dari Abu Umamah dari Nabi S.A.W bersabda, " Tiga jenis orang yang tidak akan masuk syurga :
1. Peminum Arak
2. Orang yang memutuskan tali silaturrahim
3. Orang yang mempercayai ahli sihir.

Barangsiapa yang meninggal dunia sebagai peminum arak, maka dia akan diberi minum oleh Allah S.W.T dari air Sungai Ghutha, iaitu sebuah sungai yang mengalir dari faraj kemaluan wanita pelacur. Sungai itu yang menyebabkan bertambah deritanya penghuni neraka kerana baunya yang cukup busuk."

Siti Aisah R.A. berkata, Rasulullah telah bersabda:
“Orang yang minum arak, maka janganlah kamu kahwini. Kalau sakit janganlah kamu ziarahi dan bila mati janganlah engkau solati. Demi Allah yang mengutus saya sebagai nabi dengan membawa agama yang benar, tidak akan mahu minum arak kecuali orang-orang yang terkutuk, baik diterangkan di dalam kitab Taurat, Injil, zabur dan Furqan.

Barang siapa yang memberi makan kepadanya meskipun sesuap sahaja, maka Allah S.W.T. akan membelitkan ular dan kala jengking pada badannya. Barang siapa yang melaksanakan keperluannya, maka bererti dia menghancurkan agama Islam. Barang siapa meminjamkan wang ringgit kepadanya bererti dia membantu membunuh seorang mukmin. Dan barangsiapa mempergauli dia, maka akan dihalau oleh Allah dalam keadaan buta tanpa ada hujjah baginya.”

1 comment:

Faheem said...

jazakALLAH khyrrr, mungkin ALLAH menunjukkan kepada kita jalan yang benar dan read Quran